Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEORANG pengarah dan pengurus sebuah kilang penyaduran logam di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor ekoran pencemaran Sungai Selangkah yang bertukar menjadi warna hijau, Isnin lalu.

Pengarah terbabit yang berusia 50-an dan pengurus berusia 35 tahun itu ditahan di sekitar Johor Bahru, kira-kira pukul 4 petang, semalam.

Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, dua individu itu ditahan mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap orang yang disyaki untuk siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 25 akta sama.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini hari ini.

JAS menahan pengarah dan pengurus kilang terbabit.

Pada 29 November lalu, pemeriksaan dijalankan JAS Cawangan Pasir Gudang terhadap sungai berkenaan mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna hijau daripada longkang kilang berkenaan.

Menurut Mohd. Famey, siasatan di dalam kawasan sistem rawatan efluen di kilang terbabit mendapati berlaku situasi banjir dengan air berwarna hijau ketika itu.

Justeru kata beliau, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) telah dikenakan untuk menghentikan punca air berwarna hijau itu selain pihak kilang turut diarahkan mengambil tindakan pembaikan dan pembersihan sewajarnya.

“Persampelan efluen juga telah dijalankan dan sampel yang diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here