Tag: Ismail Sabri Yaakob

  • Kadar tol 4 konsesi kekal hingga tamat tempoh – Ismail Sabri

    Kadar tol 4 konsesi kekal hingga tamat tempoh – Ismail Sabri

    KADAR tol melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya sekitar Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, penstrukturan itu dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

    “Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol sepertimana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

    “Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah penelitian terperinci dilakukan meliputi semua aspek iaitu bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan kerajaan.

    Ismail Sabri, memaklumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula melibatkan Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

    Selain itu, ia juga melibatkan syarikat Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

    Ismail Sabri berkata, penstrukturan itu juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Jan 2022 sehingga tamat tempoh konsesi serta penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

    Katanya, perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula itu akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – BERNAMA

  • Pemilik Agenda Daily nafi artikel fitnah PM

    Pemilik Agenda Daily nafi artikel fitnah PM

    PEMILIK Agenda Daily Media Enterprise, Muhamad Izwan Mohd Zubit mendakwa, beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Muhamad Izwan, 37, selaku defendan memfailkan pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi, minggu lepas menerusi Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers.

    Berdasarkan pernyataan pembelaan, Muhamad Izwan menafikan sekeras-kerasnya bahawa artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap Ismail Sabri, selaku plaintif dalam kes saman itu.

    “Artikel tersebut merupakan suatu ulasan dan analisis politik yang adil dan berjustifikasi. Sekiranya plaintif (Ismail Sabri) tidak bersetuju dengan ulasan dan analisis tersebut, pada bila-bila masa, plaintif selaku seorang perdana menteri dan ahli politik ternama, sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk menjawab dan menangkis semula ulasan serta analisis itu,” dakwanya.

    Defendan yang merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Ijazah Sarjana Muda Terjemahan dan Interpretasi, mendakwa perkataan ‘rayu’ dan ‘merayu’ bukan satu konotasi negatif atau hina dalam politik, sebaliknya melambangkan kerendahan budi dan kebesaran jiwa seseorang ahli politik semasa merayu sokongan terhadapnya.

    “Perkataan ‘rayu dan ‘merayu’ digunakan secara meluas dalam aktiviti politik. Contohnya ‘perayu undi’ merupakan gelaran biasa yang digunakan setiap kali pilihan raya, di mana perayu-perayu undi akan turun bertemu dengan rakyat bagi merayu undi terhadap calon pilihannya,” dakwa defendan yang telah berkhidmat sebagai wartawan, pemberita, editor dan penterjemah sejak 2008.

    Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.

    Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan, dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

    Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa, beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai Perdana Menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri, 62, mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel tersebut, boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

    Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif. – BERNAMA

  • Tol percuma 7 hari di ICQS Johor mulai 1 April

    Tol percuma 7 hari di ICQS Johor mulai 1 April

    KERAJAAN bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula Jumaat ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian itu membabitkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) di Johor.

    “Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, keputusan memberikan pengecualian bayaran tol melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan pembukaan sempadan laluan darat yang ditutup sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

    “Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, sempena pembukaan semula sempadan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari.

    “Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan,” katanya.

    Perdana Menteri berkata, bagi memastikan perjalanan lancar, PLUS dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta kementerian dan agensi berkaitan juga giat melakukan persiapan akhir termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di lebuh raya PLUS.

    “Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, bermula 1 April juga, semua pengembara yang lengkap vaksinasi dibenar merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – BERNAMA

  • Martabat bahasa Melayu semakin gah di persada antarabangsa

    Martabat bahasa Melayu semakin gah di persada antarabangsa

    Oleh MOHD NORAZIZI SAMSUDAIN

    KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa sememangnya inisiatif cemerlang yang perlu dipuji.

    Bukan itu sahaja, beliau menegaskan pendirian itu dengan menyatakan segala surat rasmi yang akan diberikan kepada negara luar juga akan menggunakan bahasa Melayu di samping terdapat terjemahan bahasa Inggeris.

    Semestinya usaha ini dapat mengangkat martabat bahasa kebangsaan seperti mana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

    Terdahulu, pada Februari 2022 lalu, Ismail Sabri telah menegaskan bahawa Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk dalam pelaksanaan mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

    Penegasan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu melambangkan keseriusan negara ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selari dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Arahan yang dikeluarkan oleh beliau itu bukan sahaja perlu diguna pakai oleh semua penjawat awam malahan syarikat-syarikat swasta turut tidak terkecuali dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa ibunda.

    Pendirian kerajaan berkenaan perkara itu sememangnya memberi implikasi positif kepada negara kita sementelah kebanyakan generasi kini seolah-olah memandang enteng terhadap kebolehpasaran bahasa berkenaan di peringkat global.

    Sama sekali tidak menjadi kesalahan kepada semua lapisan masyarakat untuk memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris namun dalam usaha mengekalkan identiti negara ini, bahasa Melayu perlu disebarluaskan oleh rakyat Malaysia sendiri meskipun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

    Dalam hal ini, semua pihak bermula dengan generasi di sekolah sehinggalah barisan kepimpinan negara perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan bahasa Melayu lantaran menyebabkannya tidak lapuk ditelan oleh zaman kemajuan teknologi ini.

    Sebagai contoh, usaha murni yang dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu ketika persidangan antarabangsa pada November 2021 di Glasgow, Scotland perlulah menjadi batu asas kepada orang ramai.

    Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi juga bertepatan dengan sifat bahasa itu sendiri yang digunakan bagi tujuan perpaduan rakyat. Kepelbagaian bangsa dan etnik di negara ini menggambarkan keunikan kepada Malaysia kerana setiap daripada mereka mempunyai bahasa yang tersendiri.

    Walau bagaimanapun, pemupukan perpaduan ini dapat dicapai apabila setiap daripada rakyat memahami makna komunikasi yang disampaikan dalam sesuatu urusan itu.

    Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang paling mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat walaupun berbeza bangsa dan etnik.

    Justeru, penggunaannya sama sekali jelas tidak akan mendatangkan ketidakfahaman dalam kalangan masyarakat mesikupun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

    Situasi ini sering kali dilihat apabila pengamal media menyiarkan laporan berbahasa Melayu yang menyebabkan pelaporan itu boleh dibaca ataupun didengari oleh semua masyarakat di negara ini tanpa sebarang prejudis dan menimbulkan salah faham. Perkara ini juga dilihat memberi manfaat yang besar ketika rakyat menjalankan urusan di kaunter perkhidmatan kerajaan.

    Terdapat juga desas-desus yang mengatakan sekiranya bahasa Melayu diperluas bagi tujuan urusan rasmi sama ada di peringkat lokal mahupun global boleh menyebabkan pelabur asing menarik diri daripada menjalankan urus niaga dengan negara kita.

    Perkara tidak berasas ini sepatutnya tidak timbul kerana banyak negara maju yang boleh dijadikan contoh termasuk negara pengeluar seperti Jepun. Sepatutnya rakyat di negara ini perlu membuka mata sebab-sebab pendatang asing boleh mempelajari bahasa kebangsaan itu dengan mudah.

    Malahan mereka berasa bangga apabila dapat berkomunikasi dengan rakyat negara ini menggunakan bahasa Melayu dengan begitu baik. Sebaliknya, rakyat yang sedia kala memiliki bahasa itu pula yang terikut-ikut bahasa mereka misalnya yang berlaku di stesen minyak dan restoran-restoran.

    Penegasan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan rakyat terus mewujudkan rasa cinta di samping memastikan bahasa ibunda itu terus dimartabatkan oleh semua lapisan masyarakat baik di desa mahupun kawasan bandar. Jangankan pula satu hari nanti kita diibaratkan seperti menang sorak kampung tergadai.

    Kesimpulannya, penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perlu diteruskan dan mendapat sokongan daripada semua pihak dalam memastikan identiti negara dan jati negara ini dapat dipelihara.

    Usaha murni ini sukar untuk dilaksanakan sekiranya badan-badan berkepentingan sahaja yang memainkan peranan tetapi tidak mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

    Justeru, sebagai rakyat yang cinta akan negara ini seharusnya memastikan penggunaan bahasa Melayu terus diperkasakan demi kemaslahatan generasi masa akan datang.

    Sayangilah bahasa kebangsaan kita dan bersama-samalah kita membantu kerajaan untuk menyuburkan slogan bahasa jiwa bangsa.

    Penulis ialah guru di SMK Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

  • Bentang RUU anti lompat parti atau MoU batal, DAP gertak PM

    Bentang RUU anti lompat parti atau MoU batal, DAP gertak PM

    DAP akan mendapatkan kepastian daripada kerajaan berhubung tarikh muktamad pembentangan rang undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti di Parlimen, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

    Beliau berkata, DAP akan mendapatkan kepastian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkara itu, jika tidak, Memorandum Persedahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang dari gabungan Pakatan Harapan (PH) akan terbatal secara automatik.

    Ahli Parlimen Bagan itu berkata, parti DAP tiada bantahan sekiranya kerajaan berhasrat melanjutkan persidangan parlimen bagi tujuan meluluskan rang undang-undang itu, selagi ia tidak terus menangguhkannya.

    “Sekiranya persidangan dilanjutkan namun ia masih tidak mendapat kelulusan awal, atau sebagainya, ia boleh diterima selagi kita dapat tarikh muktamad.. kita akan bincang berkara itu apabila Perdana Menteri kembali daripada lawatan rasmi di Vietnam.

    “Sekiranya ini (Rang Undang-undang Anti Lompat) tidak dapat diluluskan, ia bermakna MoU tamat,” katanya dalam persidangan media pada Kongres Nasional DAP ke-17 2022 di Shah Alam hari ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata, rang undang-undang bagi Anti Lompat Parti itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat hanya selepas pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh, dan semua sesi libat urus tamat.

    Bagaimanapun Guan Eng berkata, MoU yang dicapai antara kerajaan dan gabungan PH akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana syarat, termasuk yang berkaitan rang undang-undang Anti Lompat Parti, tidak dipenuhi.

    MoU yang ditandatangan pada bulan September lepas oleh Ismail Sabri dan pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan PH sepakat bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan setidak-tidaknya sebelum 21 Julai ini.

    Ismail memulakan lawatan rasmi pertama beliau ke Vietnam mulai hari ini hingga 22 Mac. – BERNAMA

  • Patut kawal harga barang, bukan naik gaji minimum

    Patut kawal harga barang, bukan naik gaji minimum

    RAMAI perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang bertepuk tangan semalam apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan mulai 1 April ini.

    Namun, ramai juga rakyat biasa di luar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang mengeluh dalam masa beberapa jam selepas pengumuman tersebut.

    Mereka menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku kenaikan harga barang apabila majikan terpaksa membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja.

    Pada masa ini, rakyat berasa amat terbeban dengan kenaikan harga barang yang berlaku akibat krisis pandemik COVID-19 dan kadar tukaran ringgit yang rendah.

    Walaupun kerajaan telah menguatkuasakan skim kawalan harga barang terutamanya pada musim perayaan, langkah itu hanya bersifat sementara dan tidak banyak membantu.

    Selepas habis tempoh, harga barang naik semula. Sekali harga naik, memang liat hendak turun.

    Lagipun, bukan semua barang yang dimasukkan dalam skim kawalan harga barang. Banyak barang bukan makanan asas dan perkhidmatan yang harganya melambung jika dibandingkan dengan harga beberapa tahun lalu.

    Misalnya, dahulu caj gunting rambut untuk seorang kanak-kanak di kawasan luar bandar hanya RM5 sahaja. Kini, sudah melonjak jadi RM10, kenaikan 100 peratus.

    Begitu juga dengan kos perkhidmatan lain seperti servis dan membaiki kenderaan, harga makanan siap dimasak dan peralatan komputer serta telefon pintar.

    Kenaikan gaji minimum yang diumumkan Ismail Sabri itu juga tidak bersifat meluas kerana pekerja yang pada masa ini menerima gaji melebihi RM1,500 sebulan tidak akan menikmati sebarang peningkatan dari segi pendapatan.

    Maknanya, gaji mereka masih kekal pada takuk lama sedangkan kuasa beli semakin menyusut ekoran peningkatan harga barang atau inflasi.

    Langkah yang paling berkesan bagi membantu rakyat adalah dengan mengawal harga barang dan caj perkhidmatan.

    Jika peningkatan harga barang dan caj perkhidmatan naik mendadak, kenaikan gaji minimum tidak memberi sebarang manfaat.

    Kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mesti bersikap proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

    Janganlah tunggu sehingga rakyat bising baru hendak bertindak. Tindakan yang diambil pun macam tak beri kesan sebab harga barang masih terus melambung dan rakyat marhaen semakin terbeban.

  • Ismail Sabri bos nombor satu dalam kerajaan, ingat tu Zahid

    Ismail Sabri bos nombor satu dalam kerajaan, ingat tu Zahid

    NASIB baik drama ‘mendapatkan persetujuan sebulat suara’ daripada para perwakilan tidak berlaku pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020, Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan soalan kepada perwakilan tentang isu memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

    Melihat kepada hebatnya asakan beliau dan para pembahas yang menggesa agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen segera, terdapat kemungkinan episod serupa berulang.

    Namun, situasi itu tidak berlaku kerana Ismail Sabri dalam ucapan penggulungannya sebagai Naib Presiden UMNO terlebih dahulu menegaskan bahawa lima pemimpin tertinggi parti termasuk Ahmad Zahid perlu berbincang dahulu berhubung gesaan membubarkan Parlimen.

    Ismail Sabri Yaakob
    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kalau top 5 UMNO bersetuju sekali pun, ia tidak bermakna Ismail Sabri boleh terus mempersembahkan syor pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Perlu dibawa dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terlebih dahulu, kemudian baru dibawa ke Kabinet yang turut dianggotai pemimpin-pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Ahli Parlimen Bera itu kelihatan tenang ketika memberi penjelasan tentang isu pembubaran Parlimen walaupun terdapat laporan media berhubung penyebaran surat layang semasa Perhimpunan Agung UMNO yang mengecam beliau serta mendesak PRU-15 segera diadakan.

    Selain itu, Ismail Sabri membentangkan langkah-langkah yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan mulai 1 April ini sebagai maklumbalas terhadap usul-usul yang dikemukakan oleh UMNO.

    Antaranya pelaksanaan gaji minimum RM1,500, mengarahkan bank melaksanakan debit dari akaun bekas suami yang gagal memberi nafkah bulanan kepada bekas isteri, pengeluaran caruman KWSP RM10,000 dan pembayaran ex-gratia RM1.5 juta kepada keluarga anggota bomba yang terkorban dalam insiden rusuhan, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

    Boleh dikatakan ucapan penggulungan Ismail Sabri adalah lebih berisi dan lebih padu berbanding ucapan penggulungan Ahmad Zahid yang seolah-olah tiada apa yang menarik selain menyakat Tok Mat tentang kemungkinan menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15.

    Ahmad Zahid Hamidi
    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pemerhati politik melihat ucapan penggulungan Ismail Sabri sebagai satu penegasan bahawa keberadaan beliau dalam UMNO tidak seharusnya diperlekehkan.

    Memang benar Ahmad Zahid berkuasa sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) namun setakat itu sahajalah.

    Hakikatnya, Ismail Sabri merupakan pemimpin nombor satu dalam kerajaan dan segala usul yang dibawa oleh UMNO tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kelulusan Kabinet yang diketuai beliau.

    Ahmad Zahid juga mesti ingat bahawa UMNO bukan satu-satunya parti yang membentuk kerajaan dan kembalinya pemimpin BN sebagai Perdana Menteri adalah hasil persetujuan pemimpin-pemimpin PN dan GPS.

    Zaman UMNO dan BN menjadi ‘abang besar’ dalam gabungan parti pemerintah sudah lama berakhir. Terimalah hakikat itu biarpun pahit untuk ditelan.

  • Bubar Parlimen: Top 5 UMNO bincang dahulu – Ismail Sabri

    Bubar Parlimen: Top 5 UMNO bincang dahulu – Ismail Sabri

    PERDANA MENTERI, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan pembubaran Parlimen seperti yang didesak oleh pucuk pimpinan UMNO tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa.

    Dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini, Naib Presiden UMNO itu menyatakan, perkara itu perlu dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi parti terlebih dahulu.

    Lima pemimpin tertinggi atau ‘top five’ UMNO itu ialah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden iaitu Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    “Insya-Allah, selepas top five membincangkan, kita akan bawa ke dalam Majlis Kerja Tertinggi untuk bincang bersama-sama,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, selepas perbincangan dengan keempat-empat pemimpin parti, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Semalam, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya menggesa kerajaan pimpinan Ismail Sabri membubarkan Parlimen dan gesaan serupa turut disuarakan oleh Mohamad.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Antara pemimpin-pemimpin UMNO yang menyuarakan pandangan berbeza dalam isu tersebut ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Khairy Jamaluddin.

    Sementara itu, Mohamad dalam ucapan penggulungannya berkata, pemilihan UMNO hanya akan dilakukan dalam tempoh enam bulan selepas PRU-15 diadakan.

    Penjelasan beliau itu sekali gus meranapkan usaha dan peluang untuk membebaskan UMNO daripada cengkaman kluster mahkamah sebelum PRU-15.

    UMNO berdepan risiko ditolak sekali lagi oleh rakyat sekiranya bertanding dalam PRU-15 dalam keadaan parti itu masih didominasi kluster mahkamah.

    Pada PRU-14, Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO mengalami kekalahan yang memalukan sehingga menyebabkan parti itu gagal membentuk kerajaan.

    Ketika ini, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam proses rayuan setelah didapati bersalah dalam kes SRC International.

    Beliau juga sedang berdepan perbicaraaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah memalukan negara di seluruh pelosok dunia.

    Ahmad Zahid sendiri masih bergelut dengan 87 pertuduhan berkaitan rasuah di mahkamah.

    Pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sedang dibicarakan di mahkamah ialah Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

  • Hormatilah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri

    Hormatilah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri

    SEORANG lagi perwakilan UMNO meminta semua pihak dalam parti itu menghormati Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Peringatan itu disuarakan oleh wakil UMNO Perak, Datuk Dr Azhar Ahmad ketika suasana Perhimpunan Agung UMNO 2021 dihangatkan dengan desakan agar kerajaan membubarkan Parlimen.

    Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mesti dihormati bukan atas dasar namanya secara peribadi tetapi atas tanggungjwab besar yang digalas di bahunya.

    “Kita menghormati Perdana Menteri, bukan atas nama Datuk Seri Ismail Sabri kerana esok-esok beliau boleh ‘pergi’ tapi sebab beliau memikul satu amanah yang besar.

    “(Jawatan) Perdana Menteri itulah yang perlu dihormati dan kebetulan Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, jadi kita hormatlah beliau waktu beliau menjawat jawatan itu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO hari ini.

    Semalam, wakil UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah memberi peringatan itu ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO.

    “Saya berharap PM, kami tidak mahu anda dibuli oleh orang lain, kita merangkak beramai-ramai walaupun dalam krisis, (sehingga) akhirnya kesemua Ahli Parlimen UMNO menyokong Ismail Sabri menjadi PM,” katanya.

    Sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya menggesa kerajaan pimpinan Ismail Sabri membubarkan Parlimen.

    Gesaan serupa turut disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Antara pemimpin-pemimpin UMNO yang menyuarakan pandangan berbeza dalam isu tersebut ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Khairy Jamaluddin.

  • Apakah UMNO tak hormat Ismail Sabri sebagai PM?

    Apakah UMNO tak hormat Ismail Sabri sebagai PM?

    SEMALAM tular dalam media sosial gambar yang menunjukkan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO berdiri beramai-ramai semasa Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

    Dalam gambar itu, antaranya kelihatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Presiden UMNO; Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Perkara yang menarik perhatian para netizen adalah Ahmad Zahid dan Najib berdiri di atas karpet merah tetapi Ismail Sabri berada di atas lantai yang tidak berlapik.

    Perkara itu menyebabkan ramai netizen merungut mengapa seorang Perdana Menteri tidak diberi penghormatan yang sewajarnya sedangkan kluster mahkamah diberi layan ‘karpet merah’?

    Walau bagaimanapun, tanggapan sedemikian terpulang kepada tafsiran masing-masing yang melihat gambar tersebut.

    Mungkin juga ketika gambar diambil, pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO terbabit berbaris untuk memenuhi permintaan jurugambar yang ingin merakamkan gambar mereka.

    Secara kebetulan pula, Ismail Sabri ketika itu berdiri di atas lantai tidak berlapik manakala yang lain berada di atas karpet merah.

    Namun, desakan yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Ahmad Zahid dan Mohamad agar Parlimen dibubarkan segera bukan satu kebetulan.

    Gesaan tersebut memang sudah dijangka akan dilontarkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021, selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    ismail sabri umno
    Poster Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digantung di luar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021. GAMBAR: Warta Rakyat

    Memang tidak menjadi kesalahan UMNO mendesak Parlimen dibubarkan. Cuma lebih baik dan berbudi bahasa jika dilakukan secara tertutup dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dan bukannya secara terbuka di hadapan para perwakilan semasa perhimpunan agung.

    Tindakan sedemikian boleh disalah tafsir oleh rakyat sebagai tidak menghormati kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

    Walaupun jawatan Ahmad Zahid dan Mohamad dalam parti adalah lebih tinggi daripada Ismail Sabri, tidak sepatutnya seorang Perdana Menteri diasak bertubi-tubi dengan desakan bubar Parlimen.

    Mujurlah masih ada suara yang rasional dalam UMNO mengingatkan semua pihak agar tidak memperlekehkan Ismail Sabri.

    Wakil UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah memberi peringatan itu ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO semalam.

    “Saya berharap PM (Perdana Menteri), kami tidak mahu anda dibuli oleh orang lain, kita merangkak beramai-ramai walaupun dalam krisis, (sehingga) akhirnya kesemua Ahli Parlimen UMNO menyokong Ismail Sabri menjadi PM,” katanya.

    Seharusnya peringatan tersebut diambil perhatian sewajarnya oleh semua pucuk pimpinan dan ahli UMNO.

    Sekiranya parti sendiri tidak menghormati Ismail Sabri selaku Perdana Menteri, nak harapkan siapa lagi?