Tag: Ismail Sabri Yaakob

  • Orang bodoh sahaja tak sedar tema sambutan kemerdekaan berbaur politik

    Orang bodoh sahaja tak sedar tema sambutan kemerdekaan berbaur politik

    RAKYAT yang melihat isu pilihan tema dan logo Hari Kebangsaan 2023 yang dilahirkan oleh kerajaan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) adalah kebudakan. Kesilapannya adalah dari kerajaan sendiri.  

    Mengapa mesti dipolitikkan tema dan logo Hari Kebangsaan yang harus disambut oleh semua rakyat dari berbagai kaum dan kepercayaan?  

    Apabila kerajaan memilih tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, ia menginginkan rakyat menerima Malaysia Madani sebagai ideologi yang boleh membawa perpaduan dan memenuhi harapan.  

    Masalahnya, hanya orang bodoh sahaja tidak nampak bahawa Malaysia Madani adalah rangka kerja dasar dan slogan parti politik kerajaan PH-BN. Lebih teruk lagi apabila ada perkataan “penuhi harapan”.

    Adakah ini ajakan supaya rakyat penuhi harapan PH-BN?

    Persoalannya, mengapa bentuk tema dan logo yang ketengahkan ideologi dan slogan PH-BN? Tentunya ini akan melahirkan kesangsian di kalangan rakyat mengenai keikhlasan PH-BN menanam semangat patriotisme dan keharmonian dalam negara berbilang kaum, budaya dan agama.

    Oleh itu, tidak hairan apabila Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran gabungan itu mungkin menggunakan tema dan logo Hari Kebangsaan berbeza, iaitu “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo melambangkan bunga raya.  

    Apa yang berlaku sekarang ialah, seperti PH-BN, PN juga inginkan tema Hari Kebangsaan disangkutkan dengan ideologi Muafakat Nasional (kerjasama PN dan PAS) dan logo parti politik Bersatu bunga raya juga dijadikan elemen dalam logo Hari Kebangsaan.

    Peribahasa Melayu ialah memulangkan paku buah keras: menempelak PH-BN dengan membangkitkan kembali perkara yang sama.

    Oleh itu, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa ia tidak patut dipolitikkan sukar diterima.  

    Begitu juga dengan ungkapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim bahawa PN tidak seharusnya mengeluarkan tema dan logo Hari Kebangsaan berbeza kerana ia sambutan yang melibatkan seluruh negara, perpaduan dan kenegaraan.

    “Ia tidak berkaitan dengan kepercayaan atau ideologi politik,” tambahnya seperti dilaporkan Bernama semalam.

    Begitu juga kecaman Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan kononnya ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan kepimpinan PN seharusnya mempunyai hati besar menerima tema dan logo PH-BN itu.

    Lebih hebat lagi apabila retorik yang sukar difahami ialah dari Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang yang mendakwa sebarang cadangan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza merupakan salah satu daripada defisit sosial yang dikenal pasti mampu menjejaskan perpaduan.

    Menurutnya, tema dan logo PH-BN yang dilancarkan pada 27 Mei lalu membawa maksud semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi, serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.

    Sambutan Hari Kebangsaan adalah suatu perayaan bersifat nasional. Logo dan tema yang ditetapkan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia, tambahnya.

    Masalah dengan semua dakwaan ini ialah tema dan logo Hari Kebangsaan PN “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo melambangkan bunga raya juga boleh dipertahankan sebagai membawa perpaduan dan semangat patriotisme tinggi. Oleh itu, bolehkah kepimpinan PH-BN secara hati besar menerima tema dan logo PN itu?

    Inilah masalah pemimpin-pemimpin PH-BN yang pernah dikatakan mempunyai ramai “pakar penasihat”.  Namun, daripada apa yang rakyat melihat kebanyakan hala tuju kerajaan kabur dan penuh retorik dengan kata-kata samar dan tidak konkrit.

    Oleh itu, jika kerajaan PH-BN benar seperti dikatakan oleh Aaron bahawa Hari Kebangsaan berkait rapat dengan semangat kerjasama, toleransi dan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, yang perlu ditangani secara berhemah, tukarlah tema dan logo kepada yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

    * Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Warta Rakyat

    Khairuddin Othman ialah bekas wartawan Berita Harian

  • Pekerja kilang mengaku tidak bersalah miliki gambar lucah

    Pekerja kilang mengaku tidak bersalah miliki gambar lucah

    SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas pertuduhan memiliki 128 gambar lucah dalam telefon bimbit. 

    Mengikut pertuduhan, Saiful Anuar Ab Rani, 27, didakwa memiliki gambar lucah berkenaan dalam telefon bimbit jenama Samsung model Galaxy A20, di alamat No.1949, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani kira-kira pukul 3 petang pada 1 April 2021.

    Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Jun ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan serta lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri.

  • PRN 6 negeri penentu akar umbi UMNO terima DAP atau tidak – Ismail Sabri

    PRN 6 negeri penentu akar umbi UMNO terima DAP atau tidak – Ismail Sabri

    BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan pilihan raya di enam negeri bakal menjadi penentu sama ada akar umbi parti itu boleh menerima kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP atau sebaliknya.

    Beliau yang juga bekas perdana menteri berkata, penilaian melalui PRN perlu memandangkan kerjasama dengan DAP dibuat secara mengejut iaitu seminggu selepas keputusan PRU15 berikutan dua parti itu mempunyai sejarah panjang permusuhan.

    “Dari segi kajian kita tak ada, kita (UMNO) dengan DAP hubungan tidak pernah bersama. Perjuangan kita berbeza dengan UMNO dan DAP…macam kalau laluan satu ke kanan satu kiri, seminggu selepas PRU kita bentuk kerajaan bersama.

    “Terkejut itu memang terkejut, soal penerimaan (akar umbi) sampai hari ini kita tak buat kajian, tapi mungkin PRN nanti akan memberi gambaran,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan, perjuangan dan sikap orang UMNO terhadap DAP amat jelas apabila mereka tidak boleh menerima parti itu.

    “DAP sejak dahulu lagi tidak boleh menerima UMNO tetapi tiba-tiba seminggu selepas pilihan raya, kita kerjasama, sebab itu saya katakan kawin kena bercinta dulu, sekurangnya kita kenal sudah lama,” katanya kepada media di program beli belah baju raya bersama 41 penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Keramat.

    Beliau berkata, demikian ketika ditanya sejauh mana akar umbi UMNO boleh menerima kerjasama dengan DAP selepas empat bulan membentuk kerajaan perpaduan.

    Katanya, berbanding kerjasama dengan Pas sebelum ini, ia dibuat lebih lama melalui Muafakat Nasional (MN) dan mempunyai struktur jawatankuasa dari peringkat atasan sehingga bawahan, berbanding PH.

    “Dengan Pas, kita ada jawatankuasa sehingga di peringkat bahagian kerjasama UMNO-Pas, kalau bulan puasa boleh buat majlis berbuka bersama…ibadah qurban bersama, ia tak sama (kerjasama dengan PH),” katanya.

    Mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari bahawa orang Malayu lebih menyokong Perikatan Nasional (PN) berbanding UMNO, Ismail Sabri berkata, itu pandangan pemimpin DAP sebab parti itu ada penilaian sendiri.

    “Tengok keputusan pilihan raya, kita tak tahu itu mungkin andaian dia seperti itu, dan UMNO bukan berdiam diri sahaja, teruskan bekerja pastikan kemenangan dan kita ada kepimpinan baharu, ada perancangan baharu, itu andaian Aziz.” katanya.

  • “Kerajaan Madani tanpa cinta pasti roboh” – Pas

    “Kerajaan Madani tanpa cinta pasti roboh” – Pas

    Oleh KHAIRIL NIZAM KHAIRUDIN

    PARTI Islam Se-Malaysia (Pas) memandang serius luahan mantan Naib Presiden Umno, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang mendakwa kerjasama itu tidak akan berjaya kerana ‘tiada rasa cinta’ antara kepimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.

    Ini adalah satu kenyataan yang benar dan telah dibuktikan dengan kenyataan Anthony Loke yang membayangkan tidak akan beri laluan kerusi buat BN di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). Di Selangor, jawatan Ketua Pembangkang diberi kepada Umno, ini juga penghinaan jelas. Bila tiada cinta di jiwa antara PH dan BN, tiadalah pengorbanan demi setia kawan.

    Malah PAS melihat cinta palsu antara PH-BN hanyalah kerana kuasa dan jawatan selain mahu menyelamatkan kedudukan kelompok kluster mahkamah, di samping melunaskan hasrat seorang pemimpin yang ‘terlalu’ impikan untuk menjadi Perdana Menteri.

    Cinta palsu yang tiada rasa antara PH-BN ini pasti akan terlerai kerana rumah tangga mereka kini sedang berantakan, malah pada bila-bila masa boleh runtuh.

    Selain itu, DAP dan PH sebagai Abang Long telah pun menggunakan kesempatan menunjukkan belangnya, pasti ramai wakil rakyat Umno amat tidak selesa seperti yang diluahkan oleh Ismail Sabri.

    PAS yakin Perdana Menteri ke-10 (PMX) sedang cemas dengan situasi ini, kerajaan madani tanpa cinta ini pasti roboh, namun lebih mendukacitakan kerajaan madani ini telah pun memangsakan rakyat kerana ketidakstabilan rumah tangga kahwin tanpa rela ini.

    Penulis ialah Ketua Penerangan Pas/Ahli Parlimen Jerantut

  • ‘Kalau betul tolak, tunjuk surat RoS’, kata Ismail Sabri

    ‘Kalau betul tolak, tunjuk surat RoS’, kata Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menunjukkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas perkara itu berkata, ia berikutan polemik status usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

    “Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan (surat) sebab ada dua laporan media berbeza.

    “Satu kata RoS tolak tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru.

    “Saya pun baca laporan media juga,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

    Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, RoS meluluskan usul PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

    Katanya, perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN semalam.

    Bagaimanapun, sebuah portal berita melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO, memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah.

    Portal berita terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

    Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

    Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.

    Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.

  • Ismail Sabri nafi bersara politik, pertahan Ketua UMNO Bahagian Bera

    Ismail Sabri nafi bersara politik, pertahan Ketua UMNO Bahagian Bera

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan beliau akan bersara daripada politik walaupun membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya sejak 2018.

    Ahli Parlimen Bera itu menerusi satu kenyataan menyifatkan laporan media yang menyatakan bahawa beliau akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera adalah spekulasi ‘nakal’ dan tidak betul.

    Tegasnya, ini kerana beliau tetap mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

    “Berkait dengan laporan sebuah akhbar media arus perdana yang menyatakan bahawa saya akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera, ia adalah spekulasi ‘nakal’ dan tidak benar sama sekali.

    “Malah Setiausaha UMNO Bahagian Bera telah memaklumkan bahawa saya adalah calon tunggal untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

    “Tiada pencalonan lain untuk jawatan tersebut diterima sehingga tamat tempoh pencalonan yang ditetapkan pada pukul 5 petang, 26 Februari 2023.

    “Bagaimanapun saya menunggu keputusan muktamad daripada Ibu Pejabat UMNO Malaysia mengenai pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keputusannya tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan kali ini, setelah mengambil kira suasana politik semasa khususnya dalaman UMNO pada hari ini.

    Menurutnya, atas sebab itu juga beliau turut tidak bertanding jawatan tertinggi parti di peringkat Pusat namun mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

    “Mengambil kira suasana politik semasa khususnya dalaman UMNO pada hari ini, saya mengambil pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden dan tidak bertanding apa-apa jawatan tertinggi parti di peringkat Pusat,” katanya.

    Ahad lalu, Ismail Sabri mengesahkan beliau tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang tanpa menyatakan sebab berbuat demikian.

  • MT tolak maklumat agensi kata UMNO kalah jika PRU-15 awal

    MT tolak maklumat agensi kata UMNO kalah jika PRU-15 awal

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan beliau telah memaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tetapi MT enggan menerima maklumat disalurkan agensi-agensi tertentu.

    Jelas beliau, MT dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) begitu yakin akan mencapai kemenangan besar sekiranya PRU-15 diadakan segera, sedangkan dalam laporan yang beliau terima menunjukkan gabungan itu akan kalah.

    Beliau berkata, walaupun mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri untuk membubarkan atau tidak Parlimen, beliau tetap mengikut keputusan MT dan PAU.

    Menurutnya yang juga Naib Presiden UMNO, maklumat beliau terima berbeza dengan apa yang diperoleh Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa gabungan itu akan menang.

    Malah katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengatakan beliau pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dan maklumat yang diberikan agensi tertentu kadang-kala tidak tepat.

    “Apabila desakan itu, desakan daripada parti sendiri untuk pilihan raya… dan dia orang kata ooh tak, kenapa kita tak buat awal? (MT kata) Tak buat awal kita kalah.. konon-kononnya kalau lepas PRN di Johor dan Melaka kalau kita buat kita menang.

    “Dalam laporan yang saya terima, kita kalah. Dan waktu saya nak bubarkan Parlimen itu, saya beritahu kepada MT. Kita setakat ini kita kalah… Wanita UMNO melaporkan 35 kerusi maksimum kita menang.

    “Dan saya kata kalau (pengundi) kelabu putih campur putih hanya 60 kerusi… mungkin kita menang 30. Tapi dalam MT berkeras (adakan pilihan raya) sehinggakan saya kata okeylah. Kalau you all nak juga pilihan raya diadakan sekarang dalam setahun kita kalah. Kita semua kena bertanggungjawab.

    “Sebab saya dah beritahu keadaan yang sebenar. Saya sebut di dalam mesyuarat MT bukan saya merajuk. Saya dah angkat suara sikit itu hari… kalau you all nak juga okeylah. Kita semua bertanggungjawablah.

    “Sebab saya tahu kalau pilihan raya masa itu… tak menang… boleh kalah. Tapi laporan yang dikeluarkan oleh pengarah pilihan raya Tok Mat ketika itu kita menang. Kita boleh cross 112. Kita boleh menang. Presiden pun kata kita menang.

    “Sehinggakan presiden kata dulu saya pernah jadi Menteri Dalam Negeri kadang-kadang agensi pun buat silap dari segi laporan. Ya kalau dah ini kehendak dan itu adalah kehendak parti… kehendak parti yang diputuskan oleh MT supaya pilihan raya perlu disegerakan,” katanya dalam temu bual bersama Media Mulia.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata jurucakap yang membahas dalam PAU juga mengatakan PRU perlu disegerakan.

    “Dan setiap kali saya pergi terutamanya di kalangan Pemuda. dia oranglah yang menjerit bubar, bubar, bubar setiap kali saya pergi. Saya pun manusia. Ada perasaan,” tambahnya lagi.

    Beliau juga mendedahkan pemimpin pembangkang bertemu beliau dan meminta supaya pilihan raya tidak diadakan segera, sebaliknya menunggu sehingga habis penggal Parlimen, malah mereka sanggup memberi sokongan penuh.

    “Dia (pembangkang) kata kita akan sokong Datuk. Maknanya kerajaan takkan takkan terbubar sebab pembangkang akan sokong saya. Dia (pembangkang) boleh tandatangan SD (akuan bersumpah) sokong saya

    “Boleh buat undi percaya di Parlimen pun untuk sokong saya supaya terus kekal. Tapi bagi saya apa makna saya Naib Presiden UMNO (yang) survive kerajaan dengan bergantung nyawa kepada pembangkang.

    “Pembangkang beri nyawa kepada saya untuk terus menjadi Perdana Menteri… sedangkan UMNO tak boleh terima kerana mereka dah buat keputusan nak cepat adakan pilihan raya,” katanya.

    Ismail Sabri berkata disebabkan beliau adalah orang parti maka beliau mengikut keputusan MT dan PAU untuk mengadakan PRU lebih awal.

    Pada PRU-15 lalu, BN dan UMNO mengalami kekalahan paling teruk dalam segarah politik sejak negara merdeka apabila hanya menang 30 kerusi Parlimen dengan 26 daripadanya adalah daripada UMNO.

  • Tiada rancangan pintu belakang di St Regis, kata Ismail Sabri

    Tiada rancangan pintu belakang di St Regis, kata Ismail Sabri

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Yaakob menafikan wujud ‘Langkah St Regis’ atau rundingan pintu belakang yang diatur beliau dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Jelas beliau, rundingan yang dilakukan dengan PN di hotel berkenaan yang disertai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Zambry Abdul Kadir adalah perbincangan rasmi yang dipersetujui Dewan Tertinggi parti.

    “BN pergi ke Hotel St Regis mengadakan perundingan dengan PN. Maka, tidak timbul Langkah St Regis seperti didakwa. Itu menipu malah, Dr Zambry sendiri hadir dalam rundingan itu.

    “Pertemuan itu adalah rasmi. Sebelum itu, kami berunding dengan PH seperti dilihat di Hotel Seri Pacific. Kita sampaikan permintaan dan syarat kita. Saya tidak hadir kerana menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    “Melalui dua rundingan itu, PH setuju semua permintaan BN, manakala PN menyatakan satu dua permintaan seperti jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri mereka mahu rundingkan semula,” katanya dalam temubual bersama Berita Harian, baru-baru ini.

    Pada Perhimpunan Agong UMNO 2022, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan wujud usaha menyingkirkan beliau sebagai Pengerusi BN ketika proses rundingan pembentukan kerajaan berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Malah, Ahmad Zahid mendakwa wujud juga rundingan pintu belakang yang diatur dengan PN dikenali sebagai ‘Langkah St Regis’ yang turut mendedahkan tindakan 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, Dewan Tertinggi BN dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk menjadi pembangkang buat sementara waktu selepas tiada mana-mana parti dapat membentuk kerajaan selepas PRU15.

    Beliau menjelaskan turut diputuskan BN mahu mengadakan rundingan dengan kedua-dua parti iaitu PN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum membuat keputusan seterusnya.

    Turut didedahkan keputusan menyertai PH itu masih tidak dimaklumkan secara rasmi dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

    Menyifatkan dakwaan Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO mengenai Langkah St Regis itu sebagai usaha merosakkan nama ‘Geng 10’ yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin.

    “Dengan dua keputusan berbeza daripada PH dan PN, maka semua MP setuju kekal dengan keputusan berkecuali dan mewakilkan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Namun, apabila mereka pergi, mereka memberitahu MKT, Yang di-Pertuan Agong meminta parti menyertai Kerajaan Perpaduan dan ini diterima MKT UMNO.

    “Perkara ini sepatutnya dibawa kepada BN sebab kita bertanding atas tiket BN. Ini tidak berlaku menyebabkan MCA dan MIC enggan menerima sebarang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

  • ROS boleh tentukan usul tambahan sah atau tidak, kata Ismail Sabri

    ROS boleh tentukan usul tambahan sah atau tidak, kata Ismail Sabri

    KEPUTUSAN Perhimpunan Agung UMNO (PAU) meluluskan usul dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang dilihat sebagai suatu pendirian yang membimbangkan.

    Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia juga dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

    Katanya, beliau mengakui dalam UMNO sendiri terdapat dua pandangan berbeza mengenai status dan kedudukan usul itu dari segi Perlembagaan parti, dengan ada yang berpandangan ia bertentangan dengan ketetapan Perlembagaan.

    “Kalau lihat fasal 8.1 Perlembagaan UMNO sendiri mengatakan PAU adalah kuasa tertinggi dalam menentukan perjalanan parti, namun ia tertakluk kepada Perlembagaan.

    “Dalam Perlembagaan dari segi memilih jawatan, ia hendaklah dibuat secara pemilihan tiga tahun sekali atau pun penangguhan seterusnya yang dilaksana di peringkat bahagian.

    “Itu dalam Perlembagaan (yang mana) apabila disebut pemilihan hendaklah dipilih. (Maknanya) jawatan seperti pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) hendaklah dipilih (ada pemilihan) tiga tahun sekali atau (dibuat) penangguhan di peringkat bahagian,” katanya pada sidang media di Laman Media PAU 2022 hari ini.

    Mengulas lanjut Ismail Sabri menegaskan, ahli akar umbi dan pemimpin yang tidak jelas dan mahu mendapatkan kepastian dari sudut perundangan mengenai usul tambahan itu boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

    Beliau turut menjelaskan, usul itu masih terikat dengan notis usul seperti ditetapkan dalam fasal 10.1 perlembagaan UMNO.

    “MKT mungkin boleh mencadangkan satu-satu usul. Ada yang berpandangan usul asalnya adalah membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden iaitu ada tujuh perkara yang dicadangkan, tetapi (ada) tambahan satu lagi usul.

    “Jadi ada yang berpandangan tidak boleh ditambah seperti itu, kerana dari segi notis usul dalam fasal 10.1, usul dari bahagian mesti 14 hari notis dan usul dari MKT mesti tujuh hari.

    “Usul tadi cuma semalam dibawa dan masukkan terus. Walaupun ada sebut pindaan (terhadap usul asal), pindaan kalau di bawah fasal 20.3 pun, mengatakan jika ada pindaan ke atas usul sama, kalau nak perbetulkan dari perkataan dan ayat, memang boleh, tapi bukan ditambah, itu pun ada pandangan berbeza.

    “Ada yang kata kalau pengerusi benarkan, pun boleh. Ada kata tak boleh, sebab tertakluk kepada notis apa yang boleh dipinda, bukan ditambah macam itu saja,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ismail Sabri berkata, tidak pernah berlaku sehingga perwakilan membawa usul sedemikian dalam PAU kerana ia dilihat seolah-olah mengenepikan pandangan akar umbi.

    “Zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) pun, 22 tahun dia jadi presiden tidak ada arahan yang keluar (dari PAU) tak boleh jawatan presiden dan timbalan presiden tak boleh dipertandingkan.

    “Walaupun tidak ada yang lawan Dr Mahathir waktu itu, tidak bermakna (kena) keluar arahan tidak boleh ditandingi,” katanya.

  • Ismail Sabri nafi terbabit ‘Langkah London’, sifatkannya fitnah jahat

    Ismail Sabri nafi terbabit ‘Langkah London’, sifatkannya fitnah jahat

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan beliau antara dua Naib Presiden UMNO terbabit dalam usaha menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang perhimpunan agung parti itu minggu depan.

    Ia susulan dakwaan seorang penulis blog yang tular media sosial bahawa dua Naib Presiden UMNO mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Zahid sebagai Presiden UMNO.

    Menurut dakwaan itu, gerakan yang dinamakan “Langkah London” bertujuan menjatuhkan Zahid dalam usaha menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ismail menyifatkan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan gerakan seperti itu sebagai fitnah yang sengaja dicipta untuk memburukkan namanya.

    Bekas perdana menteri itu menjelaskan beliau bercuti dengan keluarganya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 22 Dis hingga 3 Jan lalu, tarikh yang didakwa beliau menemui beberapa pemimpin politik di London.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ini merupakan fitnah jahat.

    “Saya berdiam diri selepas PRU15 sehingga kini, tiada kenyataan mengenai Umno, tiada kenyataan mengenai kerajaan. Tujuan saya berdiam diri supaya tiada spekulasi dan fitnah mengaitkan saya.

    “Tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya, sebab itu saya menganggap ini merupakan fitnah berniat jahat,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today melalui WhatsApp.

    November lalu, Ismail menafikan dakwaan pertemuan tertutup membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS diadakan di Tropicana Golf & Country Resort.

    Ismail dilaporkan berkata, semua tindakannya disalah tafsir sehingga dirinya dianggap pengkhianat jika bertemu rakan daripada Pas, manakala pihak yang bertemu pimpinan Pakatan Harapan pula dianggap hero