Tag: DAP

  • Syarat ceramah mesti ada permit polis langkah ke belakang

    Syarat ceramah mesti ada permit polis langkah ke belakang

    AHLI Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa, syarat mendapatkan permit polis bagi penganjuran ceramah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah langkah ke belakang.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau menganggap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu mengecewakan.

    Menurut pemimpin DAP itu, walaupun Akta Polis 1967 sebelum ini memerlukan penganjur mendapat kebenaran polis, ia tidak lagi dikuatkuasakan.

    “Seksyen 27 akta ini dipinda pada 2012. Maka penganjur tidak lagi perlu memohon kebenaran daripada polis. Mereka hanya perlu maklumkan masa dan tempat (ceramah diadakan) kepada polis,” katanya.

    Nie Ching menambah, walaupun langkah berjaga-jaga penting untuk melindungi rakyat daripada COVID-19, syarat berkenaan permit polis tidak menyumbang ke arah itu.

    “Ini terutama apabila SOP sudah jelas dari segi aktiviti dan kapasiti yang dibenarkan.

    “Tambahan pula, ia memberi kuasa seluruhnya kepada polis untuk menahan jika dan bila mereka rasa sesuai,” tambahnya.

    Beliau menggesa SPR untuk menilai semula SOP itu kerana ia juga tidak menjelaskan bilangan hari diperlukan untuk permit diluluskan dan akan menjejaskan proses demokrasi.

    Nie Ching mendakwa, syarat itu boleh menjurus kepada sikap berat sebelah, jika gabungan pemerintah mendapat lebih banyak permit ceramah berbanding pembangkang.

  • DAP kitar semula calon-calon DUN Stulang, Johor Jaya

    DAP kitar semula calon-calon DUN Stulang, Johor Jaya

    DAP mengumumkan dua lagi calon parti itu untuk bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

    Kedua-dua mereka ialah Andrew Chen Kah Eng dan Liow Cai Tung, masing-masing penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dan Johor Jaya.

    Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam dua majlis berasingan di sini sekali gus menjadikan setakat ini enam calon dari DAP diumum bertanding pada PRN Johor.

    Lim berkata, pemilihan Chen bagi memberi peluang kepadanya untuk meneruskan khidmat di DUN Stulang manakala Liow merupakan seorang wanita muda yang bersemangat berkhidmat kepada rakyat.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Chen memenangi kerusi DUN Stulang dengan memperoleh majoriti 12,470 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Ang Boon Heng, sementara Liow menewaskan Tan Cher Puk (BN) dengan majoriti 15,565 undi.

    DAP sebelum ini mengumumkan calon daripada parti itu yang akan bertanding atas tiket PH iaitu di kerusi DUN Tangkak, Paloh, Mengkibol dan Penggaram. – BERNAMA

  • Teo Nie Ching sedia bertanding PRN Johor

    Teo Nie Ching sedia bertanding PRN Johor

    TIMBALAN Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching bersedia bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) sekiranya dicalonkan oleh partinya.

    Memetik laporan Bernama, beliau menyerahkan sebarang keputusan berhubung perkara itu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.

    “Kepimpinan DAP ada berpandangan bahawa Ahli Parlimen boleh dicalonkan sebagai calon PRN Johor. Tetapi setakat ini, tiada keputusan muktamad (untuk saya menjadi calon) jadi saya bersedia mengikut arahan parti untuk bertanding.

    “Kalau parti rasa saya perlu dicalonkan, saya akan ikut,” kata Ahli Parlimen Kulai itu ketika ditemui selepas meninjau projek baik pulih kemudahan awam di Taman Eko Rimba, Gunung Pulai di Kulai, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, DAP kini berada pada peringkat akhir bagi menentukan baki calon yang bakal bertanding pada PRN Johor yang dijadualkan pada 12 Mac depan.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Pilihan Raya DAP Johor itu berkata nama-nama calon itu dijangka diumumkan minggu hadapan.

    Setakat ini, DAP telah mengumumkan empat calon yang akan bertanding iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri Tangkak, Paloh, Mengkibol dan Penggaram.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

  • Terence sudah kemuka penjelasan bertulis kepada DAP

    Terence sudah kemuka penjelasan bertulis kepada DAP

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu telah mengemukakan penjelasan secara bertulis kepada DAP berhubung penahanannya dalam serbuan polis di Perai, Pulau Pinang, dua minggu lepas.

    Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, menerusi penjelasan itu, Terence turut menyertakan bukti laporan air kencing yang dilakukan beliau di sebuah klinik di Pulau Pinang yang menunjukkan keputusan negatif dadah.

    “Mungkin ada kesilapan pada ujian kali pertama kerana ujian yang dilakukan pada hari kedua selepas ditahan membuktikan keputusan adalah negatif.

    “Bagaimanapun kita tidak boleh buat sebarang keputusan dan tidak mahu komen lebih lanjut sekarang kerana masih menunggu keputusan siasatan yang dijalankan polis,” katanya pada sidang media selepas program pemberian buah limau sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Buntong di Ipoh hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan Terence ditahan bersama 35 individu lain di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang pada 13 Jan lepas apabila keputusan ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah.

    Selasa lepas polis menyerahkan kertas siasatan berhubung kes ADUN Perak yang positif dadah itu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang, namun ia dikembalikan kepada polis untuk beberapa tindakan susulan. – BERNAMA

  • Aduhai Warisan! Dikejar tak dapat, dikendong berciciran…

    Aduhai Warisan! Dikejar tak dapat, dikendong berciciran…

    PARTI Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kelihatan semakin galak melebarkan sayapnya ke Semenanjung dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri satelitnya.

    Beberapa bekas pemimpin DAP di Pulau Pinang seperti Jeff Ooi, Datuk Danny Law Heng Kiang dan Martin Lim manakala ramai lagi yang dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Dinasti Lim akan menyusul.

    Tidak pasti pula sama ada nama Parti Warisan Sabah akan ditukar bagi mengendurkan sentimen memperjuangkan kepentingan Negeri di Bawah Bayu itu agar lebih menarik perhatian penyokong di Semenanjung.

    Sekali pandang, memang nampak seperti Warisan memulakan aksinya dengan garang sehingga tergamak mengutip bekas-bekas pemimpin sekutunya sendiri dalam Pakatan Harapan (PH).

    Jika dicongak, perkembangan terkini melibatkan Warisan itu tidak memberi sebarang nilai tambah kepada PH. Keluar dari DAP, masuk dalam Warisan. Kedua-dua parti dalam kem yang sama.

    Analoginya, isteri yang setia di rumah diabaikan semata-mata untuk mengejar janda di seberang laut yang belum tentu jatuh ke riba.

    Pada masa yang sama, Warisan kehilangan ramai pemimpin kanannya yang membuat keputusan meninggalkan parti ekoran tidak berpuas hati dengan hala tuju yang ditetapkan oleh Mohd Shafie.

    Antaranya, bekas Naib Presiden Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony; ADUN Limbahau, Juil Nuatim; ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi.

    Malah, Peter yang sedang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah secara terang-terangan menyatakan bahawa Warisan sudah tersasar jauh daripada perjuangan sebenar penubuhannya.

    Beliau turut mendakwa Mohd Shafie tersasar dengan perjuangan apabila melebarkan sayap partinya ke Semenanjung.

    Sememangnya parti itu dalam keadaan kucar-kacir selepas gagal mempertahankan kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

    Sejak kekalahan yang memalukan, parti yang tebal dengan sentimen kesabahan itu seolah-olah hilang arah dan dilihat semakin terdesak untuk meneruskan kelangsungan politiknya yang tinggal nyawa-nyawa ikan.

    Keadaan diburukkan lagi dengan sikap Mohd Shafie yang lebih cenderung menyokong Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang lazimnya tidak sependapat dengan ketua-ketua parti yang lain dalam PH.

    Memang sukar difahami motif sebenar Warisan melebarkan sayap di Semenanjung dalam keadaan kubunya di Sabah bocor dan sempang-perenang.

    Tidak mustahil lebih ramai lagi pemimpin dan ahli Warisan bakal keluar parti jika Mohd Shafie gagal mengemudi bahtera parti yang hampir karam dengan baik, sekali gus menjadikan usaha mengembangkan pengaruh di Semenanjung satu perbuatan yang sia-sia.

  • Lebih ramai bekas pemimpin DAP bakal sertai Warisan

    Lebih ramai bekas pemimpin DAP bakal sertai Warisan

    LEBIH ramai bekas pemimpin DAP Pulau Pinang dijangka menyertai Parti Warisan (Warisan) susulan penyertaan tiga bekas pemimpin DAP dalam parti yang berpangkalan di Sabah itu.

    Koordinator Warisan Pulau Pinang yang baru dilantik, Jeff Ooi berkata, penyertaan beliau dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang Datuk Danny Law Heng Kiang dilihat sebagai perintis kepada lebih ramai lagi bekas pemimpin DAP untuk mengikut jejak mereka.

    “Tetapi tumpuan kita bukan setakat untuk menerima bekas ahli DAP kerana Warisan Pulau Pinang mahu merentas semua pelosok landskap politik dan melihat penyertaan daripada tokoh korporat dan golongan profesional muda.

    “Syarat daripada pucuk pimpinan adalah untuk melihat tidak kurang 50 peratus keahlian dan sokongan daripada golongan profesional muda,” katanya dalam sidang media di Georgetown hari ini.

    Jeff yang juga bekas Ahli Parlimen Jelutong hari ini turut mengumumkan kemasukan seorang lagi bekas pemimpin DAP iaitu Martin Lim, 53, dalam Warisan Pulau Pinang

    Martin menyertai DAP pada 2009 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kakitangan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang manakala Law yang mengumumkan keluar parti itu pada 18 Jan lepas setelah menyertainya selama 35 tahun pernah menjadi ADUN Batu Lanchang.

    Ditanya mengapa beliau memilih Wariasan, Jeff berkata, beliau tertarik dengan konsep parti berbilang kaum dan agama, inklusif dan progresif yang diterapkan ke dalam parti tersebut.

    Berkenaan hala tuju parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, Jeff berkata, parti Warisan Pulau Pinang akan berusaha keras untuk mencapai matlamat menubuhkan sebuah kerajaan pusat dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memainkan peranan penting dan kritikal. – BERNAMA

  • Perbalahan dalaman antara punca ADUN Elopura tinggalkan DAP

    Perbalahan dalaman antara punca ADUN Elopura tinggalkan DAP

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong meminta Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon supaya tidak sewenangnya membuat tuduhan tidak berasas, dan sebaliknya menerima keputusannya meninggalkan DAP dengan terbuka.

    Katanya, tujuan beliau bersama beberapa rakan seperjuangannya meninggalkan DAP adalah dengan harapan agar pembelaan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih inklusif, dan bukannya sengaja berhasrat untuk melompat ke mana-mana parti lain.

    Dalam satu kenyataan di Sandakan hari ini beliau berkata, mereka juga memilih untuk keluar parti atas alasan sama, yakni DAP Sabah hilang arah, selain mengalami perbalahan dalaman serta masalah komunikasi teruk antara pemimpinnya.

    “Kami tekankan di sini, kami meninggalkan parti kerana mahu berjuang untuk rakyat di Sabah agar dapat diberi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik serta bersifat masyarakat inklusif mengatasi bangsa dan agama,” tegas Chong.

    Dua hari lepas Poon mendakwa, tindakan Chong dan ADUN Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin untuk keluar parti dibuat sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang disebabkan agenda tertentu, dan beliau turut menggesa mereka supaya meletak jawatan sebagai ADUN. – BERNAMA

  • DAP panik, sentimen anti Lim Guan Eng semakin kuat

    DAP panik, sentimen anti Lim Guan Eng semakin kuat

    Oleh BADRUL HISHAM SHAHARIN

    DAP semakin panik, krisis pertembungan pasukan Lim Guan Eng lawan pasukan bukan pro dinasti Lim semakin kuat.

    Walaupun yang pro Lim ini nama nama besar tetapi yang dikatakan melawan bukanlah kecil seperti Dr Boo Cheng Hau (Johor), Datuk Teng Chang Kim dan ramai lagi orang lama yang berpengaruh dan setia dalam DAP.

    Sebenarnya ramai termasuk yang muda-muda tetapi mungkin kurang sabar maka itu yang ramai pemimpin muda yang berpotensi keluar.

    Tawaran untuk Lim Guan Eng berundur sebagau Setiausaha Agung DAP dalam Pemilihan Agung DAP 20 Mac ini nampaknya seperti tidak mampu meredakan.

    badrul hisham shaharin hidup antivaksin
    BADRUL HISHAM SHAHARIN (Gambar: The Sun)

    Terbaharu dua Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Sabah dan seorang bekas Senator keluar parti.

    Alasan mereka adalah DAP hilang arah dan semakin sombong tidak mahu mendengar akar umbi.

    Namun kawan-kawan DAP di Pulau Pinang mengatakan di sebalik keluarnya 1,000 ahli di Johor dengan bubar 13 cawangan, keluarnya beberapa pimpinan berpengaruh di Pulau Pinang dan terbaharu di Sabah adalah kerana ada ‘pancingan’ dari Warisan sebagai strategi selepas Warisan umum melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia untuk menjadi parti nasional.

    Sejauh mana kebenaran cuma masa menentukan namun akhbar berbahasa Cina berpengaruh iaitu 光华日报 Kwong Wah Yit Poh menerbitkan tulisan ada kemungkinan dua nama besar DAP iaitu Ng Wei Aik dan Jeff Ooi sendiri berkemungkinan akan keluar parti dalam masa terdekat dan tindakan itu turut dikaitkan parti Warisan.

    Penulis ialah Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor. Artikel ini dipetik daripada laman Facebook beliau.

  • PRN Johor batu loncatan desak PRU-15 lebih awal

    PRN Johor batu loncatan desak PRU-15 lebih awal

    DAP Johor mendakwa terdapat kumpulan tertentu dalam UMNO yang mahu menjadikan Johor sebagai batu loncatan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen mendakwa pemimpin-pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak mahu memenangi PRU-15 agar mereka terlepas daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

    “UMNO adalah dalang dalam mendesak pilihan raya mengejut di Johor. Ia mahu Johor dijadikan batu loncatan untuk mencetuskan pilihan raya umum yang bertentangan dengan kehendak Perdana Menterinya sendiri, Datuk Seri Ismail Sabri.

    “UMNO yang kini diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi mahu memenangi pilihan raya umum bagi membolehkan Najib dan Zahid terlepas daripada hukuman penjara atas kes rasuah mereka.

    “Puak UMNO yang dominan ini mempertaruhkan kepentingan rakyat. Mereka mengheret rakyat dan Sultan Johor, yang budi bicara mutlaknya diperlukan jika DUN mahu dibubarkan, ke dalam permainan kuasa UMNO,” katanya.

    Kenyataannya itu muncul ketika khabar angin mengenai pilihan raya mengejut di Johor semakin kuat.

    Pembangkang di negeri itu menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mungkin dibubarkan selepas Tahun Baharu Cina bulan depan.

    Andrew mengulangi pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat pimpinan tertingginya pada 27 Disember lalu, di mana gabungan itu berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Johor.

    “Banjir dan kesannya masih belum selesai di Johor, dan varian Omicron yang melanda dunia sudah pun berada di Malaysia. Kita perlu menangani keperluan rakyat terlebih dahulu.

    “PH Johor juga komited untuk tidak menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad ketika ini bagi mengelak ketidakstabilan di negeri itu,” jelasnya.

    Beliau menegaskan bahawa DAP Johor bagaimanapun bersedia untuk menghadapi pilihan raya mengejut sekiranya ia diadakan.

  • Kemaruk jadi Senator, pemimpin DAP Johor bertikam lidah

    Kemaruk jadi Senator, pemimpin DAP Johor bertikam lidah

    AHLI Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau tidak berpuas hati dengan tindakan kepimpinan pusat parti itu yang tidak memaklumkan kepimpinan negeri tentang pencalonan jawatan atau pilihan raya.

    Malah, beliau menuduh pucuk pimpinan DAP di peringkat pusat meminggirkan konvensyen sedia ada.

    Memetik laporan Malaysiakini, Cheng Hau berkata, walaupun perlembagaan DAP menyatakan pelantikan calon pilihan raya dan jawatan kerajaan adalah hak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), maklum balas daripada akar umbi dan kepimpinan negeri biasanya akan diperoleh terlebih dahulu.

    “Jika benar dakwaan (Pengerusi DAP Johor) Liew Chin Tong dan (timbalannya) Teo Nie Ching bahawa cadangan (Chin Tong) untuk dicalonkan sebagai senator di negeri kendalian BN-Perikatan Nasional, mungkin mereka boleh membantu menjelaskan sebab sebenar Jawatankuasa Pemilihan Calon Pusat kerana melanggar konvensyen demokrasi parti yang telah lama wujud tanpa memberitahu jawatankuasa negeri?” soalnya.

    Semalam, beliau menuduh Chin Tong membelakangkan ADUN DAP Johor dan kepimpinan DAP Johor dalam mendapatkan sokongan Pakatan Harapan (PH) Johor untuk dicalonkannya sebagai Senator.

    Cheng Hau kemudian menyindir bahawa Chin Tong mungkin telah menyalahgunakan kepercayaan dan perjanjian perbekalan antara PH dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan kerusi di Dewan Negara.

    Terdapat satu kerusi kosong di Dewan Negara yang diperuntukkan kepada Johor sejak tahun lepas dan hanya empat ahli pembangkang di Dewan Negara setakat ini.

    Ketika berita ini ditulis, Chin Tong masih belum menjawab dakwaan Cheng Hau, manakala Nie Ching mengeluarkan kenyataan semalam mendakwa pimpinan pusat tidak diwajibkan memaklumkan kepada pimpinan negeri.

    Sehubungan itu, Cheng Hau menggesa Chin Tong untuk bertanggungjawab atas tindakannya dan secara peribadi menjelaskan dirinya kepada akar umbi DAP dan tidak berselindung di belakang Nie Ching.

    “Saya ingin menasihatkan Nie Ching sebagai Timbalan Pengerusi DAP Johor supaya tidak menjadi orang suruhan pengerusi (Chin Tong) dan sepatutnya menasihatinya agar tidak melanggar konvensyen demokrasi parti,” katanya.