DAP Johor mendakwa terdapat kumpulan tertentu dalam UMNO yang mahu menjadikan Johor sebagai batu loncatan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen mendakwa pemimpin-pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak mahu memenangi PRU-15 agar mereka terlepas daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

“UMNO adalah dalang dalam mendesak pilihan raya mengejut di Johor. Ia mahu Johor dijadikan batu loncatan untuk mencetuskan pilihan raya umum yang bertentangan dengan kehendak Perdana Menterinya sendiri, Datuk Seri Ismail Sabri.

“UMNO yang kini diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi mahu memenangi pilihan raya umum bagi membolehkan Najib dan Zahid terlepas daripada hukuman penjara atas kes rasuah mereka.

“Puak UMNO yang dominan ini mempertaruhkan kepentingan rakyat. Mereka mengheret rakyat dan Sultan Johor, yang budi bicara mutlaknya diperlukan jika DUN mahu dibubarkan, ke dalam permainan kuasa UMNO,” katanya.

Kenyataannya itu muncul ketika khabar angin mengenai pilihan raya mengejut di Johor semakin kuat.

Pembangkang di negeri itu menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mungkin dibubarkan selepas Tahun Baharu Cina bulan depan.

Andrew mengulangi pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat pimpinan tertingginya pada 27 Disember lalu, di mana gabungan itu berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Johor.

“Banjir dan kesannya masih belum selesai di Johor, dan varian Omicron yang melanda dunia sudah pun berada di Malaysia. Kita perlu menangani keperluan rakyat terlebih dahulu.

“PH Johor juga komited untuk tidak menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad ketika ini bagi mengelak ketidakstabilan di negeri itu,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa DAP Johor bagaimanapun bersedia untuk menghadapi pilihan raya mengejut sekiranya ia diadakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here