Category: Umum

  • Ayam, telur, sawi, kacang panjang turun harga esok

    Ayam, telur, sawi, kacang panjang turun harga esok

    AYAM, telur ayam, sawi dan kacang panjang akan mengalami penurunan harga di seluruh negara bermula esok, dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga munasabah.

    Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, keempat-empat barangan itu terlibat dalam pelarasan harga semula sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan.

    “Empat harga barang baharu berkenaan adalah di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang terlibat dalam pelarasan harga semula dan pelarasan dibuat dengan mengambil kira situasi serta lokaliti sehingga 4 Feb nanti.

    “Antara contoh penurunan bermula esok adalah harga ayam iaitu dari RM9.30 kepada RM9.10. Sama juga seperti tiga lagi barang keperluan makanan termasuk dua jenis sayur-sayuran berkenaan, turun lima hingga 10 peratus,” katanya selepas program ‘walkabout’ operasi Back To School (BTS) dan SHMMP di Pasaraya Mydin di Bukit Mertajam, hari ini.

    Sementara itu katanya, menerusi SHMKM pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 25,897 premis perniagaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu pihaknya mengesa 85 kes pelbagai kesalahan perniagaan yang membabitkan nilai kompaun RM20,000, setakat semalam.

    Beliau berkata, kompaun itu antaranya membabitkan kesalahan berkaitan tindakan menjual barangan keperluan melebihi harga maksimum ditetapkan serta tidak meletakkan tanda harga.

    Sementara itu merujuk kepada BTS, Azman berkata, operasi itu bertujuan memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang keperluan sekolah sewenang-wenangnya, dan mematuhi peraturan kawalan harga ditetapkan.

    “Operasi ini dilaksanakan bermula 13 Dis lepas hingga 20 Mac tahun depan membabitkan sembilan jenis barangan keperluan sekolah, yang terdiri daripada pakaian sekolah, beg sekolah, kasut sekolah dan peralatan pembelajaran. Setakat ini kami telah periksa 437 premis membabitkan 1,858 jumlah barangan,” katanya. – BERNAMA

  • Gagal jumpa CEO KWSP, pencarum rayu dengar rintihan mereka

    Gagal jumpa CEO KWSP, pencarum rayu dengar rintihan mereka

    SEKUMPULAN pencarum gagal bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi menyampaikan hasrat menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran wang sebanyak RM10,000 hari ini.

    Walau bagaimanapun, memetik laporan FMT, wakil mereka, Khairul Anuar Othman berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama Amir Hamzah dalam masa terdekat selepas berjumpa dengan seorang pegawai KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur,

    Terdahulu, dalam sidang media di hadapan bangunan KWSP, beliau berkata, kehadirannya adalah bagi mewakili pencarum untuk menyuarakan hasrat dan rintihan mereka yang sebahagiannya dalam kesusahan menghadapi bencana banjir baru-baru ini.

    Beliau juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendengar suara mereka berkaitan tuntutan dibuat pencarum KWSP itu.

    “Dengar rintihan dan suara rakyat. Kami pencarum dalam kepayahan dan derita.

    “Bantuan RM1,000 dari kerajaan dan zakat sebanyak RM600 tidak cukup untuk kami teruskan kehidupan,” katanya di hadapan bangunan KWSP Jalan Raja Laut bersama kira-kira 10 pencarum lain.

    Mereka hadir di hadapan bangunan KWSP kira-kira pukul 2.45 petang tadi namun tiada perhimpunan dibuat mahupun perarakan bantahan dari Pusat Beli-Belah Sogo ke bangunan KWSP itu.

    Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, sekiranya suara pencarum tidak didengar hari ini, kumpulan yang mewakili pencarum KWSP akan menghantar memorandum kepada Ismail Sabri di Parlimen dalam masa terdekat.

    Terdahulu, FMT melaporkan tiada himpunan aman solidariti pencarum KWSP dibuat pagi tadi.

    Difahamkan, himpunan yang mahu menuntut pengeluaran i-Citra RM10,000 itu dibatalkan pada saat akhir berikutan kegagalan mendapat permit polis.

    Himpunan itu yang sepatutnya bermula pada pukul 8.30 pagi tadi di hadapan Sogo dilihat lengang tanpa kehadiran peserta.

    Tinjauan FMT mendapati laluan jalan di hadapan Sogo sehingga ke Bangunan KWSP, Jalan Raja Laut dipantau polis sejak pukul 8 pagi tadi.

  • Tiada bajet, KPKT tamatkan khidmat PeKT lebih awal

    Tiada bajet, KPKT tamatkan khidmat PeKT lebih awal

    KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menamatkan perkhidmatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di seluruh negara mulai 1 Januari ini, lebih awal daripada penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.

    Perkara itu dimaklumkan kepada Warta Rakyat oleh salah seorang Pengerusi PeKT di Negeri Sembilan yang menerima surat berhubung penamatan pelantikan PeKT.

    Surat bertarikh 29 Disember itu ditandatangani oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Menurut beliau, langkah itu terpaksa diambil kerana tiada peruntukan disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan.

    “Seperti yang tuan sedia maklum, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan COVID-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini.

    “Berdasarkan situasi berkenaan, penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 akan lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini.

    “Sehubungan itu, dukacita dimaklumkan bahawa kementerian tidak dapat meneruskan perkhidmatan anggota PeKT kerana tiada peruntukan disediakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan,” jelasnya dalam surat tersebut.

    Mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 24 Jun 2020 telah bersetuju dengan penubuhan PeKT dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Penubuhan PeKT adalah merupakan inisiatif KPKT dalam merealisasikan Dasar Komuniti Negara (DKomN) yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2019.

    PeKT berperanan dalam memperkasakan komuniti dari segi penjagaan harta benda, kebersihan, keselamatan dan penjagaan alam sekitar di sesebuah komuniti melalui khidmat nasihat.

    Di samping itu, PeKT turut berperanan dalam mewujudkan komuniti yang bersatu padu dan berdaya saing serta memahami aspek pengurusan kewangan dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat memperkasakan komuniti dan kesejahteraan bandar.

    PeKT diwujudkan di tiga negeri yang masih dikuasai rejim Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

    Sepanjang pelaksanaannya, PeKT bergiat aktif membantu masyarakat di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan agar mereka tidak ketinggalan akibat kelemahan pentadbiran rejim PH.

  • Tiada lagi pengeluaran tambahan simpanan KWSP – Tengku Zafrul

    Tiada lagi pengeluaran tambahan simpanan KWSP – Tengku Zafrul

    KEMENTERIAN Kewangan menolak desakan supaya pencarum yang terkesan akibat bencana banjir dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP).

    Ketika menegaskan perkara itu seperti dilaporkan Malays Mail, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan membenarkan pengeluaran seumpama itu hanya akan membebankan generasi akan datang yang perlu menjaga warga emas tanpa simpanan persaraan.

    ‘’Ini adalah program luar biasa yang “telah mencapai tujuannya dan mesti berakhir dengan muktamad”, kata Tengku Zafrul.

    Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu mangsa banjir untuk bangkit, tetapi pengeluaran KWSP tidak akan menjadi sebahagian daripada bantuan berkenaan.

    “Dalam kes KWSP, kita tidak boleh terus bersikap populis dengan mencari jalan mudah membenarkan pengeluaran tambahan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan telah menyediakan pakej bantuan banjir terbesar dalam sejarah.

    “Pertimbangkan akibat jangka panjangnya, khususnya kepada anak cucu kita yang bakal mewarisi bebanan menyara kehidupan warga emas di negara ini yang tidak mampu menanggung persaraan sendiri,” katanya.

    Tengku Zafrul berkata, banjir bukan tidak pernah berlaku sebaliknya pada tahun 2014 beberapa negeri termasuk Pahang dan Kelantan dilanda bencana tersebut tetapi

    kerajaan bertegas tidak membenarkan sesiapa menyentuh “satu sen sekalipun” daripada simpanan persaraan mereka.

    Pada masa sama, Tengku Zafrul menegur pihak yang menggesa agar pengeluaran tambahan dibenarkan dan cuba mendorong orang ramai berbuat perkara yang sama.

    “Biar saya jelaskan, kerajaan yang pertama sekali mengutarakan idea ini pada 2020 dan ia dibolehkan setelah dipertimbangkan secara berhati-hati dan melalui penilaian kewangan dan ekonomi yang teliti.

    “Suara-suara yang kini mendorong rakyat dalam isu ini tidak pernah terlibat dalam keputusan itu, maka mereka tidak maklum mengenai pelbagai analisis komplikasi dan impak. Namun, pihak-pihak yang memprovokasi ini bertekad untuk mengeksploitasi situasi ini dan ‘mengepung’ KWSP dan kerajaan,’’ katanya.

    Beliau berkata, menerusi pelbagai pusingan pengeluaran, RM101 bilion telah disalurkan kepada tujuh juta pencarum KWSP.

    ‘’Ini mengakibatkan hampir separuh daripada pencarum, kira-kira enam juta, kini hanya ada kurang RM10,000 bagi persaraan mereka,’’katanya.

  • Sarawak, Kelantan beralih ke Fasa Empat PPN Isnin ini – Hishammuddin

    Sarawak, Kelantan beralih ke Fasa Empat PPN Isnin ini – Hishammuddin

    KERAJAAN bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan, beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Dengan peralihan di kedua-dua negeri berkenaan dari Fasa Tiga sebelum ini, ia bermakna seluruh negara kini berada di Fasa Empat PPN.

    “Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hishammuddin bagaimanapun menyeru orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa, memandangkan COVID-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.  – BERNAMA

  • 55 jemaah umrah Malaysia dikuarantin di Mekah kerana positif COVID-19

    55 jemaah umrah Malaysia dikuarantin di Mekah kerana positif COVID-19

    SELEPAS dikejutkan dengan ramai jemaah umrah yang baru pulang dari Arab Saudi dijangkiti varian baharu COVID-19 iaitu Omicron, kini dilaporkan 55 orang jemaah umrah dari Malaysia sedang menjalani kuarantin di Mekah kerana positif penyakit tersebut.

    Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata, mereka yang dikesan positif COVID-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik dengan ditempatkan di bilik hotel berasingan dan tidak menunjukkan simptom penyakit yang teruk.

    Katanya, pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu juga menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari, selain menghantar ubat-ubatan.

    “Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya memetik laporan Selangorkini.

    Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

    Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd, Mohd Fahmi Mohd Nawi satu dalam kenyataan menyatakan, pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

    “Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

    “Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

    Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron dan jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

  • Majlis Syura Ulama Pas mahu parti Melayu berunding elak pertembungan

    Majlis Syura Ulama Pas mahu parti Melayu berunding elak pertembungan

    MAJLIS Syura Ulama menegaskan, perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Muzakarah Majlis Syura Ulama yang bersidang  bersetuju untuk menegaskan kepentingan “Memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional” dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

    ‘’Semangat Ta’awun Siyaasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

    ‘’Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,’’ katanya dalam kenyataan malam ini.

    Pendirian Majlis Syura Ulama itu menamatkan spekulasi berhubung pendirian Pas berhubung Muafakat Nasional selepas parti tersebut menjadi anggota rasmi Perikatan Nasioanal (PN) yang turut disertai oleh Bersatu.

  • Sukarelawan KPLB gotong royong, baiki barang elektrik mangsa banjir di Bukit Changgang

    Sukarelawan KPLB gotong royong, baiki barang elektrik mangsa banjir di Bukit Changgang

    LEBIH 400 orang sukarelawan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turun padang di Bukit Changgang, Kuala Langat bagi meneruskan misi gotong royong dan pembaikan barangan elektrik pasca banjir di kampung-kampung sekitar Bukit Changgang.

    KPLB dalam satu kenyataan memaklumkan empat buah kampung termasuk Kampung Orang Asli (KOA) dijadikan sebagai kampung angkat oleh kementerian.

    ‘’Dalam bencana banjir baru-baru ini sebanyak 1,700 daripada 2,200 kediaman terjejas. Kampung-kampung terlibat adalah Kampung Bukit Changgang, Kampung Labuhan Dagang, Rancangan Tanah Berkelompok Bukit Changgang dan Kampung Orang Asli Paya Rumput,’’ kata kenyataan itu.

    Turut mengetuai misi ialah Ketua Setiausaha, Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf serta pegawai dan kakitangan KPLB dan Agensi.

    Menurut kenyataan itu, KPLB turut menggerakkan pelajar-pelajar dalam bidang kejuruteraan elektrik di bawah institusi agensi iaitu KEDA dan MARA untuk melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan pendawaian dan pembaikan barangan elektrik.

    ‘’Misi yang dilaksanakan oleh KPLB ini adalah selaras dengan saranan Ketua Setiusaha Negara dalam menggerakkan agensi kerajaan serta menjadikan kawasan yang terjejas banjir sebagai kawasan angkat dalam memastikan pemulihan pasca banjir dapat dilaksanakan segera,’’ kata kenyataan tersebut.

    Menurut KPLB, inisiatif itu akan dilaksanakan selama seminggu di kawasan Bukit Changgang dalam memastikan kehidupan masyarakat yang terlibat dapat dipulihkan seperti biasa.

  • Pembuangan sampah berleluasa punca banjir di Johor Bharu

    Pembuangan sampah berleluasa punca banjir di Johor Bharu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MASALAH pembuangan sampah yang berleluasa dilihat semakin serius di bandar raya Johor Bahru yang sekali gus boleh menyumbang kepada masalah banjir di beberapa kawasan tumpuan.

    Menurut Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman, meskipun sudah banyak kali kerja-kerja pembersihan saliran, parit dan sungai dilakukan, masalah terbabit akan tetap berulang selepas itu.

    Kata beliau, masalah itu kebanyakannya berlaku di kawasan setinggan yang berada di kawasan ‘hotspot’ berlakunya banjir ketika fenomena Luruan Monsun yang diramal bermula esok hingga 3 Januari ini.

    “Diharapkan masyarakat di kawasan terbabit bersiap sedia dengan kemungkinan berlaku banjir dan jangan pula teruskan sikap membuang sampah ke dalam parit atau sungai, ini yang menjadi punca berlaku banjir dalam bandar.

    “Tidak dinafikan masalah pembuangan sampah semakin berleluasa walaupun sudah banyak kali kerja-kerja pembersihan dilakukan di longkang dan sungai. Sebagai contoh di Sungai Tebrau, kita mengutip kira-kira satu tan plastik sampah dalam masa sehari dan kutipan itu konsisten bermakna setiap hari pembuangan sampah dilakukan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis pelancaran Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini hari ini.

    Tambah Mohd. Noorazam, isu tersebut perlu dipandang serius oleh semua pihak dan bersama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan sungai di kawasan bandar raya itu.

    Katanya, kerja pembersihan sungai akan diteruskan ke Sungai Skudai pada tahun depan bagi mengindahkan kawasan sungai berkenaan.

    Sementara itu, MBJB juga sudah mengenal pasti hampir 10 kawasan hotspot yang berkemungkinan berlaku banjir susulan fenomena Luruan Monsun terbabit antaranya di Kampung Md. Amin, Kampung Pasir serta beberapa kampung yang berhampiran sungai.

    Tambahnya, MBJB pada masa sama turut memberikan tumpuan kepada 54 kawasan penempatan setinggan di sekitar bandar raya ini yang juga terletak berhampiran dengan sungai.

    “Kita telah melaksanakan pembinaan sistem tebatan banjir di kawasan hotspot banjir kilat termasuk kerja-kerja meninggikan tembok parit sedia ada; memasang flap valve untuk mengelakkan air masuk atau melimpah ke kawasan hotspot banjir.

    “MBJB juga membina ban banjir, menaik taraf kapasiti pam sedia ada di Sungai Chat, membina sistem pam baru di Kampung Md. Amin dan Kampung Pasir serta memasang perangkap sampah di beberapa lokasi yang disebabkan sampah domestik dan pokok tersangkut di pembetung utama.

    “Melihat kepada persediaan yang telah dilakukan, kita sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di kawasan bandar raya ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Skuad Kilat yang merangkumi lapan unit tindakan dari pelbagai jabatan dalam MBJB membabitkan kira-kira 300 anggota, selain MBJB juga akan membuka bilik gerakan 24 jam serta mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan orang ramai.

    “Skuad ini adalah pasukan tindakan pantas terhadap aduan-aduan awam yang bersifat kecemasan dan kejadian bencana alam serta melaksanakan tindakan bantuan termasuk sokongan kepada usaha-usaha dijalankan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” ujarnya.

  • Kerajaan UAE salur sumbangan kepada warga ATM terjejas banjir – Hishammuddin

    Kerajaan UAE salur sumbangan kepada warga ATM terjejas banjir – Hishammuddin

    KEPERLUAN warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, terus menjadi perhatian apabila kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara luar terbaharu tampil menghulurkan sumbangan.

    Ketika mengumumkan perkara tersebut, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sumbangan itu berbentuk barang keperluan asas khusus untuk anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan (MINDEF).

    Seramai 3,000 warga ATM melibatkan 775 keluarga terkesan akibat banjir baru-baru ini.

    Beliau berkata sumbangan tersebut bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan UAE tetapi juga menyerlahkan keakraban hubungan hala antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

    “Hari ini saya nak umumkan kerajaan UAE juga berbesar hati untuk menyalur sumbangan berbentuk barangan keperluan asas khusus untuk anggota, veteran ATM dan warga awam MINDEF yang terkesan.

    “Antara yang akan disumbangkan ialah sejadah berjumlah 2,000 helai, tuala (4,000 helai), cadar (4,000 helai), selimut (4,000 helai) dan bantal (4,000 biji),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

    Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan UAE kerana sentiasa bersama-sama Malaysia ketika negara ini ditimpa musibah.

    Hishammuddin berkata menerusi gabungan lima syarikat swasta termasuk syarikat industri pertahanan, MINDEF setakat ini telah berjaya mengumpul sumbangan bantuan banjir berjumlah RM3.7 juta merangkumi wang tunai dan barang keperluan asas.

    “Syarikat-syarikat yang telah menyalurkan sumbangan dana bantuan banjir kali ini kepada MINDEF ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Affin Bank, Boustead Group, Pharmaniaga dan Sapura Group.

    “Sumbangan yang diterima ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meringankan beban bukan sahaja anggota dan warga awam MINDEF, tetapi juga saya sendiri secara peribadi mahu fokus turut diberikan bagi membantu veteran-veteran ATM yang terkesan akibat banjir di beberapa negeri ketika ini,” katanya.

    — BERNAMA