KEMENTERIAN Kewangan menolak desakan supaya pencarum yang terkesan akibat bencana banjir dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP).

Ketika menegaskan perkara itu seperti dilaporkan Malays Mail, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan membenarkan pengeluaran seumpama itu hanya akan membebankan generasi akan datang yang perlu menjaga warga emas tanpa simpanan persaraan.

‘’Ini adalah program luar biasa yang “telah mencapai tujuannya dan mesti berakhir dengan muktamad”, kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu mangsa banjir untuk bangkit, tetapi pengeluaran KWSP tidak akan menjadi sebahagian daripada bantuan berkenaan.

“Dalam kes KWSP, kita tidak boleh terus bersikap populis dengan mencari jalan mudah membenarkan pengeluaran tambahan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan telah menyediakan pakej bantuan banjir terbesar dalam sejarah.

“Pertimbangkan akibat jangka panjangnya, khususnya kepada anak cucu kita yang bakal mewarisi bebanan menyara kehidupan warga emas di negara ini yang tidak mampu menanggung persaraan sendiri,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, banjir bukan tidak pernah berlaku sebaliknya pada tahun 2014 beberapa negeri termasuk Pahang dan Kelantan dilanda bencana tersebut tetapi

kerajaan bertegas tidak membenarkan sesiapa menyentuh “satu sen sekalipun” daripada simpanan persaraan mereka.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menegur pihak yang menggesa agar pengeluaran tambahan dibenarkan dan cuba mendorong orang ramai berbuat perkara yang sama.

“Biar saya jelaskan, kerajaan yang pertama sekali mengutarakan idea ini pada 2020 dan ia dibolehkan setelah dipertimbangkan secara berhati-hati dan melalui penilaian kewangan dan ekonomi yang teliti.

“Suara-suara yang kini mendorong rakyat dalam isu ini tidak pernah terlibat dalam keputusan itu, maka mereka tidak maklum mengenai pelbagai analisis komplikasi dan impak. Namun, pihak-pihak yang memprovokasi ini bertekad untuk mengeksploitasi situasi ini dan ‘mengepung’ KWSP dan kerajaan,’’ katanya.

Beliau berkata, menerusi pelbagai pusingan pengeluaran, RM101 bilion telah disalurkan kepada tujuh juta pencarum KWSP.

‘’Ini mengakibatkan hampir separuh daripada pencarum, kira-kira enam juta, kini hanya ada kurang RM10,000 bagi persaraan mereka,’’katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here