SELEPAS dikejutkan dengan ramai jemaah umrah yang baru pulang dari Arab Saudi dijangkiti varian baharu COVID-19 iaitu Omicron, kini dilaporkan 55 orang jemaah umrah dari Malaysia sedang menjalani kuarantin di Mekah kerana positif penyakit tersebut.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata, mereka yang dikesan positif COVID-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik dengan ditempatkan di bilik hotel berasingan dan tidak menunjukkan simptom penyakit yang teruk.

Katanya, pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu juga menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari, selain menghantar ubat-ubatan.

“Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya memetik laporan Selangorkini.

Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd, Mohd Fahmi Mohd Nawi satu dalam kenyataan menyatakan, pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

“Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

“Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron dan jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here