Oleh RAHIMI MOHAMAD

BAHAGIAN Pendakwaan dan Undang-​Undang (D5) Bukit Aman sudah menerima kertas siasatan melibatkan kejadian buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian melibatkan lima pelajar itu dirujuk ke Bukit Aman kerana ia menjadi satu kes yang mempunyai kepentingan awam.

“Ketika ini masih tiada sebarang tindakan pertuduhan dikenakan terhadap mereka selepas tamat tempoh reman namun siasatan kes yang berlaku di MRSM itu sudah lengkap dan kita sudah hantar hasil ke IPK Johor sebelum dipanjangkan ke Bukit Aman,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan isterinya, Senior Asisten Komisioner Datin Zaleha Mohd. Ariffin yang juga Pengerusi Perkep Johor.

Pada 16 Disember lalu, kelima-lima pelajar berkenaan direman bagi membantu siasatan kejadian buli terhadap seorang mangsa berusia 14 tahun yang mengalami kecederaan bengkak rusuk kiri.

Kelima-lima mereka sebelum itu ditahan di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Zaharudin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kini sedang menunggu arahan selanjutnya berkaitan kes itu daripada Bukit Aman.

Tambah beliau, siasatan yang dijalankan buat masa ini juga hanya hanya melibatkan lima pelajar berkenaan dan tidak melibatkan individu lain.

“Lima pelajar tersebut merupakan wakil pelajar yang dilantik pihak sekolah dan kejadian dipercayai berpunca akibat ketidakpuasan hati antara suspek dan mangsa.

“Ketika ini saya tidak dapat mengesahkan tindakan yang diambil pihak sekolah terhadap mereka kerana sekolah sedang bercuti,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here