LEBIH 400 orang sukarelawan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turun padang di Bukit Changgang, Kuala Langat bagi meneruskan misi gotong royong dan pembaikan barangan elektrik pasca banjir di kampung-kampung sekitar Bukit Changgang.

KPLB dalam satu kenyataan memaklumkan empat buah kampung termasuk Kampung Orang Asli (KOA) dijadikan sebagai kampung angkat oleh kementerian.

‘’Dalam bencana banjir baru-baru ini sebanyak 1,700 daripada 2,200 kediaman terjejas. Kampung-kampung terlibat adalah Kampung Bukit Changgang, Kampung Labuhan Dagang, Rancangan Tanah Berkelompok Bukit Changgang dan Kampung Orang Asli Paya Rumput,’’ kata kenyataan itu.

Turut mengetuai misi ialah Ketua Setiausaha, Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf serta pegawai dan kakitangan KPLB dan Agensi.

Menurut kenyataan itu, KPLB turut menggerakkan pelajar-pelajar dalam bidang kejuruteraan elektrik di bawah institusi agensi iaitu KEDA dan MARA untuk melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan pendawaian dan pembaikan barangan elektrik.

‘’Misi yang dilaksanakan oleh KPLB ini adalah selaras dengan saranan Ketua Setiusaha Negara dalam menggerakkan agensi kerajaan serta menjadikan kawasan yang terjejas banjir sebagai kawasan angkat dalam memastikan pemulihan pasca banjir dapat dilaksanakan segera,’’ kata kenyataan tersebut.

Menurut KPLB, inisiatif itu akan dilaksanakan selama seminggu di kawasan Bukit Changgang dalam memastikan kehidupan masyarakat yang terlibat dapat dipulihkan seperti biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here