Category: Umum

  • PGA9 rampas rokok seludup bernilai RM3.2 juta dalam rumah kedai di Tumpat

    PGA9 rampas rokok seludup bernilai RM3.2 juta dalam rumah kedai di Tumpat

    BATALION Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas sebanyak 429 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3.2 juta di sebuah rumah kedai di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rampasan rokok itu dilakukan hasil maklumat diperoleh PGA berkaitan aktiviti penyeludupan produk tembakau itu  pada 3.30 pagi.

    “Ketika serbuan pintu hadapan premis berkenaan tidak berkunci dan hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam premis itu telah menjumpai kotak-kotak berwarna coklat.

    ”Pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak itu menemukan pelbagai jenama rokok putih yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini secara haram,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal (Martek) PGA, Lubok Stol, di sini hari ini.

    Turut hadir Pegawai Pemerintah Medan PGA9, DSP Ismail Sidek.

    Muhamad Zaki berkata pihaknya membawa kesemua rokok yang dirampas itu ke Martek PGA Lubok Stol untuk tindakan selanjutnya.

    “Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi kita mendapati penyeludup telah mengubah modus operandi susulan kawalan ketat di kawasan sempadan iaitu dengan menjadikan rumah atau premis sebagai tempat transit barangan seludup itu.

    Kesemua rokok seludup ini dipercayai untuk pasaran dalam dan luar Kelantan. Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti dalang aktiviti penyeludupan rokok-rokok ni,” katanya.

    — BERNAMA

  • KPDNHEP Terengganu tumpas kegiatan seleweng lebih 16,000 liter diesel bersubsidi

    KPDNHEP Terengganu tumpas kegiatan seleweng lebih 16,000 liter diesel bersubsidi

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas 16,380 liter diesel dan menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi dalam satu operasi di Marang, malam tadi.

    Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata dalam serbuan di stesen minyak di Wakaf Tapai pada 9.30 malam itu, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki dengan nilai keseluruhan rampasan (termasuk diesel) berjumlah RM83,217.

    “Ketika serbuan, seorang pemandu lori sedang leka mengisi minyak ke dalam tangki simpanan lori dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sambungan paip diubah suai dipercayai untuk menyalurkan minyak diesel dari tangki asal ke ruang simpanan lori.

    “Pegawai risikan telah mengekori pergerakan lori tangki tersebut dari beberapa stesen minyak sebelum serbuan dilakukan dan modus operandi kegiatan ini adalah dengan membeli minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sehingga penuh tangki simpanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kegiatan pemindahan minyak diesel dari pam stesen minyak ke ruang simpanan lori tangki tanpa kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia adalah salah di sisi undang-undang.

    Saharuddin berkata justeru, pemandu lori tangki berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Katanya jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta.

    Beliau berkata siasatan turut dijalankan terhadap pemilik stesen-stesen minyak yang dipercayai terlibat untuk mengetahui sama ada mereka turut bersubahat dengan kegiatan itu.

    “Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu katanya sebarang aduan boleh dibuat di portal [email protected], talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, [email protected], aplikasi Telefon Pintar EzADU, Whatsapp ke 019-2794317 atau di laman Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu.

    — BERNAMA

  • Habibah dilantik Pengerusi JK Khas tangani gangguan seksual, buli

    Habibah dilantik Pengerusi JK Khas tangani gangguan seksual, buli

    BEKAS Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah baik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penubuhan jawatankuasa khas ini merupakan antara pendekatan kementerian untuk mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes gangguan seksual dan buli.

    Selain Habibah, turut menerima watikah pelantikan semalam ialah tujuh ahli jawatankuasa berkenaan yang merupakan individu berpengalaman luas dan mempunyai latar belakang profesion berbeza termasuk pensyarah, kaunselor, pegawai undang-undang serta wakil badan bukan kerajaan.

    Mereka terdiri daripada Datuk Sutinah Sultan, Datuk Sulaiman Wak, Prof Datin Mariani Md Nor, Lt Kol Bersekutu (PA) Aminuddin Awang, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Prof Madya (Kehormat) Datuk Dr Sundramoorthy dan ACP Siti Kamsiah Hassan.

    “Kami yakin serta percaya dengan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu kementerian meneliti secara mendalam dan seterusnya mengesyorkan pelan tindakan bersesuaian,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini. – BERNAMA

  • Google haramkan 3 aplikasi curi wang pengguna

    Google haramkan 3 aplikasi curi wang pengguna

    GOOGLE mengharamkan tiga aplikasi telefon pintar yang didapati digunakan untuk mencuri wang dari akaun bank individu yang memuat turunnya.

    Memetik laporan Mirror, aplikasi-aplikasi yang berbahaya itu ialah Style Message, Blood Pressure App dan Camera PDF Scanner.

    Aplikasi-aplikasi tersebut cuba mencuri duit pengguna dengan ‘menyamar’ seperti aplikasi lain yang tulen.

    Namun, ia mengandungi ‘kuda trojan’ yang berupaya mencuri maklumat peribadi atau memulakan langganan berbayar tanpa dimohon oleh pengguna.

    Malah salah satu daripada mempunyai pepijat yang membolehkannya melepasi tapisan keselamatan Google.

    Google
    Tiga aplikasi yang diharamkan Google kerana didapati berupaya mencuri wang daripada akaun pengguna. (Gambar: Mirror)

    Selain itu, terdapat aplikasi lain yang meniru GameBeyond, Tubemate, Minecraft, GTA5 dan Vidmate yang bertujuan menipu pengguna.

    Lazimnya, aplikasi yang mempunyai kuda trojan dikeluarkan dari Google Play Store namun penjenayah dengan pantas menggantikannya dengan yang lain.

    Pakar dari Kaspersky, Ivan Golovin berkata, kebanyakan aplikasi tersebut tiada mempunyai fungsi yang sah.

    “Langganan bermula sebaik sahaja ia dilancarkan di mana pengguna akan melihat proses memuat turun bermula.

    “Bayaran dibuat atas nama pengguna untuk perkhidmatan yang sah dan si penipu beroleh bahagiannya daripada wang yang ditolak.

    “Langganan sebegini biasanya dibayar dengan menggunakan baki kredit talian telefon,” jelasnya.

    Pakar mendedahkan, penjenayah siber memuat turun aplikasi sebenar dan menambah kod hasad sebelum memuat naiknya semula ke Play Store menggunakan nama lain.

    Sebaik sahaja aplikasi dimuat turun, ia akan cuba mendapatkan akses kepada pesanan teks atau notifikasi untuk mengumpul maklumat.

    Golovin menasihatkan pengguna supata tidak memuat turun aplikasi dari sumber tidak rasmi dan membaca ulasan, maklumat pembangunan serta terma penggunaan dan bayaran terlebih dahulu.

    “Bagi pesanan teks, gunakan app yang popular dengan ulasan positif,” katanya.

  • Ustaz Kazim mohon bantuan ubati penyakit ‘misteri’

    Ustaz Kazim mohon bantuan ubati penyakit ‘misteri’

    PENDAKWAH bebas, Datuk Mohd Kazim Elias memohon bantuan untuk mengubati penyakit yang dialaminya sejak lapan bulan lalu.

    Dalam satu muat naik di laman media sosial Facebook, Ustaz Kazim mendedahkan gambar sebelah tangan dan wajahnya ditumbuhi beberapa ketulan kecil berwarna hitam yang turut sama ada di seluruh badannya.

    “Selama ini saya simpan keadaan diri saya tetapi selepas berusaha mendapatkan rawatan moden dan tradisional selama lapan bulan, saya rasa tidak boleh lagi sembunyikan daripada orang ramai.

     ‘’Ini keadaan wajah saya sekarang dan selama ini saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul di khalayak ramai, bukan hanya di wajah tetapi di seluruh badan dan ia boleh terjadi luka sendiri sehingga mengeluarkan darah tanpa semena-mena.

    “Saya tidak boleh siarkan keadaan yang lain kerana saya malu dan rendah diri sangat-sangat, sebab itu saya siarkan lengan sebagai kiasan pada badan saya,” katanya lapor Astro Awani.

    Ustaz Kazim menceritakan beliau memerlukan bantuan sesiapa sahaja termasuk doktor atau perubatan alternatif untuk merawat penyakit dialaminya itu.

    Tambahnya, rasa sakit, gatal dan pedih serta pelbagai perasaan yang terjadi kepada dirinya itu tidak boleh disorok lagi apabila tidurnya turut terganggu sejak berbulan lepas.

    Beliau turut bimbang penyakitnya itu akan membuatkan beliau mengundurkan diri daripada berdakwah walaupun masih menerima jemputan ceramah dan program.

    “Kadang-kadang saya masuk dan keluar dari tempat ceramah dengan tergesa-gesa kerana tidak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung. Walaupun dilabel sombong kerana tidak beramah mesra dengan pendengar seperti dulu, saya tabahkan hati sebab saya tahu ramai tidak tahu keadaan sebenar saya.

    “Terima kasih menawarkan bantuan dan nasihat kepada saya, saya telah berusaha berubat di banyak tempat tetapi belum diberi keizinan oleh Allah SWT. Mungkin ada dalam kalangan tuan dan puan yang boleh membantu saya.

    “Saya juga memohon maaf jika selama ini perkataan dan tingkah laku saya mengguris hati anda,” ujarnya.

  • Isu tular jual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia bukan milik JPN – Hamzah

    Isu tular jual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia bukan milik JPN – Hamzah

    DAKWAAN  penjualan 22.5 juta data peribadi rakyat Malaysia seperti yang tular menerusi media sosial hari ini, disahkan bukan milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    “Kami (Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai mekanisma untuk mengesahkan data yang dijual itu bukan daripada JPN. Seperti kes-kes sebelum ini, penjualan data melibatkan agensi yang diberi ruang untuk terima maklumat daripada JPN,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu berkenaan selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

    Hamzah berkata satu siasatan sedang dilakukan pihaknya dan mendapati data yang dijual itu adalah koleksi penjual daripada sumber-sumber lain.

    “Semua individu yang terlibat dengan kegiatan penjualan data peribadi ini akan dipanggil bagi membantu siasatan dan hasil siasatan penuh akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

    Sehubungan itu, Hamzah berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi mendapatkan data peribadi melalui agensi di bawah JPN akan dikaji semula.

    “JPN merasakan wujud keperluan untuk data peribadi didapatkan terus daripada jabatan terbabit supaya isu seperti ini tidak timbul,” katanya.

    Terdahulu, sebuah portal teknologi dan telekomunikasi, Lowyat.net melaporkan terdapat penjualan data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan dimiliki 800,000 individu milik JPN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara dalam talian.

    Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

    — BERNAMA

  • RTS: 35 peratus kesesakan Tambak Johor mampu dikurangkan

    RTS: 35 peratus kesesakan Tambak Johor mampu dikurangkan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KESESAKAN di laluan darat paling sibuk, Tambak Johor yang menghubungkan negara ini dengan Singapura mampu dikurangkan sehingga 35 peratus melalui projek Sistem Transit Rapid (RTS).

    Ketika ini, pelaksanaan projek RTS yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands mengikut jadual dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

    Ketua Pegawai Eksekutif Projek Transit Aliran Massa Sdn. Bhd. (MRT), Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, urusan pengambilan tanah di Wadihana, di sini untuk projek itu juga sudah diselesaikan Disember lalu dengan tahap kemajuan projek menjangkau 15 peratus.

    “Apabila projek ini siap dan beroperasi sepenuhnya, ia akan digunakan seramai 350,000 pengunjung setiap hari dan mampu mengurangkan sehingga 35 peratus kesesakan jalan raya di sempadan Malaysia-Singapura ini.

    “RTS ini mampu menampung sehingga seramai 10,000 penumpang setiap jam melalui stesen di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands di Singapura,” katanya.

    Mohd. Zarif memaklumkan perkara itu selepas menerima lawatan sekumpulan penuntut dari Wharton School, University of Pennsylvania ke projek RTS di Skyscape, Menara JLand, di sini hari ini.

    Tambah beliau, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perjalanan projek itu lancar.

    “Penumpang perkhidmatan ini dijangka hanya perlu menunggu selama 15 minit untuk setiap perjalanan menghubungkan kedua-dua negara.

    “Buat masa ini, kita masih belum membuat keputusan berhubung harga tambang perkhidmatan yang akan dikenakan namun dijangka tidak membebankan kerana projek ini merupakan pengangkutan awam,” katanya.

    Mohd. Zarif berkata, RTS akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor ekonomi negara khususnya Johor Bahru dalam membantu pembangunan dan pertumbuhan bandar raya ini.

    Antara sektor yang akan menerima manfaat secara langsung termasuklah kesihatan, pengajian tinggi dan perkhidmatan.

    Pada masa sama, beliau berkata, MRT Corp sedang menjalankan kajian berhubung sistem penyuraian trafik di pusat bandar Johor Bahru dan akan menyerahkan hasilnya kepada kerajaan dan Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk pertimbangan.

  • Pengorbanan warga pendidik sungguh besar – Muhyiddin

    Pengorbanan warga pendidik sungguh besar – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik di seluruh negara yang menyambutnya hari ini.

    Berikut adalah ucapan penuh beliau yang disiarkan dalam laman Facebook hari ini:

    Assalamualaikum dan apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat walafiat.

    Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya kita dapat menyambut Hari Guru pada hari ini.

    Sempena sambutan Hari Guru, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidik di negara ini atas segala jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi warga berguna sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

    Saya pasti sambutan Hari Guru tahun ini terutama di peringkat sekolah lebih meriah kerana negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dan sudah tidak ada lagi sekatan untuk mengadakan majlis atau acara sambutan termasuk Hari Guru.

    Gunakanlah peluang ini untuk mengeratkan lagi silaturahhim sesama guru atau dengan anak murid.

    Kita tidak akan sesekali melupakan pengorbanan besar para guru dan pendidik ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Ketika itu murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah kerana semua sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan virus berbahaya itu.

    muhyiddin hari guru

    Bagaimanapun warga pendidik tidak berdiam diri dan meneruskan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar seperti biasa.

    Kerajaan juga telah memperkenalkan DidikTV bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah terutamanya bagi pelajar luar bandar yang mempunyai akses internet dan peranti yang terhad.

    Setelah pandemik reda dan murid sudah dapat kembali belajar semula, sebahagian besar sekolah memperkenalkan pula ’catch up programme’ kepada murid-murid yang terjejas bagi memastikan mereka tidak jauh ketinggalan atau tercicir dalam pelajaran.

    Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti anda selama ini.

    Saya berdoa agar anda semua sentiasa sihat, tabah dan diberi kekuatan untuk terus memikul tanggungjawab mendidik dan memartabatkan anak bangsa.

    Selamat Hari Guru 2022. Sekolah Tunjang Negara SEJAHTERA

  • Guru perlu jadi ikon bentuk keperibadian murid – Radzi

    Guru perlu jadi ikon bentuk keperibadian murid – Radzi

    KERJAYA guru bukan sekadar tertumpu kepada penyampaian ilmu, tetapi ia mendesak para pendidik menjadi ikon penting dalam membentuk kemenjadian murid dengan keperibadian unggul, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, peranan mereka sebagai pembimbing penting dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti kepada kesejahteraan negara.

    “Ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah,” katanya dalam Perutusan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 Tahun 2022, hari ini.

    Sambutan Hari Guru disambut 16 Mei setiap tahun.

    Justeru, Radzi berharap warga pendidik dapat terus meningkatkan usaha dalam membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi bertepatan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 14 elemen SEJAHTERA terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

    Katanya, guru dapat menyampaikan penerapan elemen itu melalui pelbagai aktiviti di dalam dan luar sekolah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

    “Penerapan elemen SEJAHTERA secara semulajadi sejak dari peringkat awal persekolahan tentunya akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya diwarisi oleh generasi pewaris negara yang berikutnya,” katanya.

    Tema Hari Guru tahun ini juga menurut Radzi, sangat bertepatan bagi menghargai peranan guru sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan untuk menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi.

    “Akhir kata, semoga guru dan pendidik sekalian terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara. Ayuh, laksanakan amanah ini dengan jujur, ikhlas dan berintegriti,” katanya. – BERNAMA

  • Pulau Batu Puteh: Rakyat patut tahu sebab di sebalik keputusan PH

    Pulau Batu Puteh: Rakyat patut tahu sebab di sebalik keputusan PH

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, sebab-sebab keputusan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan semakan semula kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan perlu dijadikan pengetahuan umum.

    Baginda menegaskan perkara itu kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu-isu dan tindakan perundangan berhubung kes berkenaan.

    “Ini adalah soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa kerajaan PH mengambil keputusan sedemikian,” titah baginda, hari ini.

    Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan untuk menerima laporan daripada Pasukan Petugas Khas serta taklimat yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali di Istana Polo, Johor Bahru.

    Yang turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Pada 29 Oktober tahun lalu, Kabinet bersetuju membentuk pasukan berkenaan ekoran keputusan kerajaan ketika pentadbiran PH di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

    Ketika itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa keputusan sedemikian seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di mahkamah berkenaan, walaupun ada pertemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.

    “Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu,” soal baginda.