BATALION Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas sebanyak 429 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3.2 juta di sebuah rumah kedai di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rampasan rokok itu dilakukan hasil maklumat diperoleh PGA berkaitan aktiviti penyeludupan produk tembakau itu  pada 3.30 pagi.

“Ketika serbuan pintu hadapan premis berkenaan tidak berkunci dan hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam premis itu telah menjumpai kotak-kotak berwarna coklat.

”Pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak itu menemukan pelbagai jenama rokok putih yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini secara haram,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal (Martek) PGA, Lubok Stol, di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Pemerintah Medan PGA9, DSP Ismail Sidek.

Muhamad Zaki berkata pihaknya membawa kesemua rokok yang dirampas itu ke Martek PGA Lubok Stol untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi kita mendapati penyeludup telah mengubah modus operandi susulan kawalan ketat di kawasan sempadan iaitu dengan menjadikan rumah atau premis sebagai tempat transit barangan seludup itu.

Kesemua rokok seludup ini dipercayai untuk pasaran dalam dan luar Kelantan. Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti dalang aktiviti penyeludupan rokok-rokok ni,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here