Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas 16,380 liter diesel dan menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi dalam satu operasi di Marang, malam tadi.

Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata dalam serbuan di stesen minyak di Wakaf Tapai pada 9.30 malam itu, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki dengan nilai keseluruhan rampasan (termasuk diesel) berjumlah RM83,217.

“Ketika serbuan, seorang pemandu lori sedang leka mengisi minyak ke dalam tangki simpanan lori dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sambungan paip diubah suai dipercayai untuk menyalurkan minyak diesel dari tangki asal ke ruang simpanan lori.

“Pegawai risikan telah mengekori pergerakan lori tangki tersebut dari beberapa stesen minyak sebelum serbuan dilakukan dan modus operandi kegiatan ini adalah dengan membeli minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sehingga penuh tangki simpanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kegiatan pemindahan minyak diesel dari pam stesen minyak ke ruang simpanan lori tangki tanpa kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia adalah salah di sisi undang-undang.

Saharuddin berkata justeru, pemandu lori tangki berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta.

Beliau berkata siasatan turut dijalankan terhadap pemilik stesen-stesen minyak yang dipercayai terlibat untuk mengetahui sama ada mereka turut bersubahat dengan kegiatan itu.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi tersebut,” katanya.

Dalam pada itu katanya sebarang aduan boleh dibuat di portal [email protected], talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, [email protected], aplikasi Telefon Pintar EzADU, Whatsapp ke 019-2794317 atau di laman Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here