MAHKAMAH Tinggi Shah Alam  diberitahu bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) telah menaja bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancong ke luar negara, sambutan ulang tahun isterinya dan hari raya.

Bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun berkata penajaan itu merupakan keutamaan sumbangan bulanan daripada syarikat tersebut dari 2014 hingga 2018.

“Terdapat juga beberapa bulan kami tidak membuat bayaran tetapi kami telah menggandakan bayaran  pada bulan berikutnya untuk menampung bulan yang kami terlepas.

“Secara peribadi saya tidak menyimpan rekod pembayaran itu namun saya tahu David Tan (Pengurus Pentadbiran UKSB dari 2012 hingga 2018) menyimpan lejar mengenai bayaran bulanan itu yang ditunjukkannya kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya ketika membaca pernyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Abdul Malik Ayob.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-15 itu mengesahkan bahawa UKSB telah menyerahkan wang tunai secara bulanan berjumlah antara SGD200,000 dan SGD520,000 kepada Ahmad Zahid dari 2014 kepada 2018 berhubung Kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Sebelum ini, saksi ketiga pendakwaan iaitu bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal imigresen Kementerian Dalam Negeri Siti Jalilah Abd Manap memberitahu mahklamah bahawa Ahmad Zahid telah melanjutkan kontrak UKSB bagi projek VLN meskipun kontrak sedia ada sah untuk tempoh tiga tahun lagi.

Menjelaskan bagaimana sumbangan itu bermula, Lee berkata Ahmad Zahid telah membayangkan bahawa beliau memerlukannya untuk dana politik dan meminta saksi tersebut membantu dalam hal berkaitan UMNO.

“Wang tunai itu disediakan oleh David Tan. Setelah siap, David Tan akan memberikan sampul mengandungi wang itub dan saya akan menghantarnya. Biasanya, kami bertiga iaitu Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani – pengarah UKSB), David Tan dan saya akan pergi sendiri ke rumah Datuk Seri Zahid nsmun hanya seorang yang diberikan tanggungjawab menyerahkan wang itu.

Saksi itu berkata tarikh penghantaran wang itu tidak ditetapkan dan bergantung kepada keselesaan Ahmad Zahid.

Beliau berkata meskipun pembayaran itu dikatakan untuk dana politik, UKSB tidak pernah memasukkannya ke akaun UMNO atau diberikan resit atau perakuan bagi pembayaran tersebut.

Lee juga berkata UKSB tidak akan memberikan wang itu kepada Ahmad Zahid jika beliau tidak memintanya.

Beliau berkata kali pertama bertemu Ahmad Zahid ialah pada Mei 2013 di Hospital Tawakal ketika anak Presiden UMNO itu kemalangan dan dirawat di situ.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menrima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB ketika menjadi Menteri Dalam Negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan membekalkan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa meminta SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here