Category: Semasa

  • PN Melaka masih teruskan Gerai Prihatin Rakyat

    PN Melaka masih teruskan Gerai Prihatin Rakyat

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka masih meneruskan pelaksanaan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barang dapur pada harga yang sangat murah.

    Walau bagaimanapun, kata Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, jualan tiga barang pada harga RM10 seperti sebelum ini tidak lagi dapat diteruskan.

    Menurut beliau, jualan seekor ayam, sepapan telur dan dua kilogram (kg) kentang pada harga tersebut adalah sangat luar biasa dan menelan kos yang sangat besar.

    Mohd Rafiq memberi jaminan, Gerai Prihatin Rakyat inisiatif PN Melaka akan berusaha sedaya upaya mungkin untuk memberikan harga jualan yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

    “Pada minggu ini, Gerai Prihatin Rakyat menawarkan enam barangan dapur iaitu seekor ayam, dua papan telur, 1 kg minyak masak, 1.5 kg bawang besar dan 2 kg kentang dengan harga serendah RM31 walaupun harga pasaran enam barangan dapur ini mencecah RM45.

    “Ini bermaksud, bagi setiap pembelian, rakyat masih jimat RM14.

    “Pada minggu ini, 200 pembeli terawal di Taman Tangga Batu Perdana akan mendapat 1 pek Milo 200 gram secara percuma dan 200 pembeli terawal di Emerald Park Bukit Beruang (berhampiran MMU Melaka) akan mendapat 1 tin susu pekat secara percuma. Jumpa anda hujung minggu ini” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau menjelaskan, idea asal Gerai Prihatin Rakyat pada peringkat awal hanya akan dianjurkan enam kali di enam kawasan Parlimen di Melaka ketika semua sektor ekonomi ditutup untuk membantu rakyat Melaka yang sangat terjejas ketika itu.

    “Namun begitu, memandangkan ada permintaan yang tinggi dari rakyat Melaka untuk PN Melaka meneruskan lagi inisiatif Gerai Prihatin Rakyat dalam tempoh-tempoh yang mendatang walaupun sektor-sektor ekonomi sudah mula dibuka, harga barang keperluan Gerai Prihatin Rakyat yang dijual perlu diselaraskan berdasarkan kemampuan PN Melaka dan kemampuan pihak-pihak swasta yang sanggup menyumbang kepada rakyat untuk inisiatif ini,” jelasnya.

  • 3 beranak antara ditahan dalam kes dadah RM2.19 juta

    3 beranak antara ditahan dalam kes dadah RM2.19 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 54.72 kilogram dadah bernilai hampir RM2.19 juta dirampas polis menerusi tiga siri tangkapan terhadap empat individu Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga individu yang ditahan terdiri daripada seorang warga emas berusia 70 tahun dan anak lelaki serta anak perempuannya yang masing-masing berumur 30 dan 36 tahun.

    Selain katanya, seorang lagi lelaki yang merupakan kenalan mereka berusia 41 tahun turut ditahan.

    “Pada pukul 8.10 pagi Isnin lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan sebuah kenderaan jenis Mistubishi Triton di depan sebuah rumah di Bandar Amanjaya. Pemandunya cuba melarikan diri dengan keluar dari kereta tetapi berjaya ditahan.

    “Selain itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki yang menaiki kereta Honda City di sebelah Mitsubishi Triton tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua guni dan satu plastik hitam di bahagian penumpang belakang Mitsubishi Triton berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua guni dan plastik itu mengandungi bungkusan plastik hijau berisi bahan disyaki dadah jenis syabu.  

    “Dadah itu disyaki dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri-negeri utara tanah air. Jika terlepas di pasaran, dadah tersebut boleh digunakan oleh kira-kira 540,000 penagih,” katanya.

    Susulan penangkapan dan rampasan dadah itu katanya, polis membuat serbuan di sebuah rumah dalam kawasan perumahan sama kira-kira pukul 8.30 pagi.

    “Di situ, kami menahan seorang wanita berusia 36 tahun dan setengah jam kemudian kami menyerbu pula sebuah premis di Pusat Komersial Saujana dan menahan warga emas terbabit.

    “Bagaimanapun tiada barangan yang menyalahi undang-undang ditemukan di rumah serta premis tersebut,” katanya.

    Tambahnya ujian urin dijalankan terhadap kesemua individu tersebut didapati negatif dadah.

    “Dua lelaki berusia 30 dan 41 tahun itu memiliki rekod jenayah manakala wanita dan warga emas berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod.

    “Enam kenderaan disita bagi membantu siasatan. Selain itu kami turut menyita duit sebanyak RM5,466 yang ditemui ketika serbuan serta lima akaun bank yang memiliki wang berjumlah RM411,121,” katanya.

    Katanya, keempat-empat individu tersebut direman antara tiga hingga tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Penyokong boleh hadir tonton perlawanan sukan

    Penyokong boleh hadir tonton perlawanan sukan

    KERAJAAN membenarkan penonton dan penyokong untuk hadir di tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4 mulai 1 Oktober ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi.

    Beliau turut mengumumkan syarat kelonggaran iaitu penonton/ penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

    “Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Selain itu, Ismail Sabri menambah, majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis, manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi Fasa 4.

    Beliau memberitahu, bagi individu yang belum divaksin, mereka perlu menjalani ujian saringan awal menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan
    disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.

    Ismail Sabri turut mengumumkan pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuat kuasa 15 Oktober 2021.

    “Maklumat lanjut mengenai SOP bagi kelonggaran baharu ini, boleh dilayari di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my,” jelasnya.

    Ismail Sabri juga mengumumkan peralihan fasa bagi negeri-negeri seperti berikut:

    • Lembah Klang : Daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 (Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor)
    • Melaka : Daripada Fasa 2 kepada Fasa 3
    • Kedah : Daripada Fasa 1 kepada Fasa 2

    Menurut beliau, peralihan fasa itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara.

    “Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus enguruskan
    situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.

    “SOP bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my,” ujarnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menegaskan, kerajaan memandang serius isu segelintir individu yang keluar daripada kediaman biarpun sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

    “Individu yang didapati bersalah, akan dikenakan tindakan yang tegas. Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat serta menjejaskan usaha kerajaan bagi menangani wabak ini,” katanya.

  • Puting beliung ‘gerunkan’ penduduk Taman Bagan Kurnia

    Puting beliung ‘gerunkan’ penduduk Taman Bagan Kurnia

    PENDUDUK Taman Bagan Kurnia, Kuala Lukut di Port Dickson melalui detik cemas apabila puting beliung dengan bunyi yang menakutkan membadai kawasan perumahan itu pagi tadi.

    Menceritakan situasi itu, Ardila Alia Mohd Ali, 22, berkata, kejadian tersebut yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi tadi, merupakan pengalaman pertamanya sejak hampir lima tahun tinggal di kawasan itu.

    Menurut anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu, ketika kejadian beliau sedang keluar membeli sarapan, namun terpaksa berpatah balik kerana melihat atap rumah tercabut dan terbang berpusing di udara.

    “Kejadian puting beliung ini sangat menakutkan, pertama kali saya lihat serpihan atap berterbangan di udara dengan angin yang kuat, ketika itu saya bersama adik-adik di rumah, ibu keluar membawa salah seorang adik saya untuk suntikan vaksin COVID-19,” katanya kepada Bernama.

    Kesan puting beliung yang melanda Taman Bagan Kurnia, Kuala Lukut, Port Dickson, hari ini. – Gambar: Bernama

    Pelajar Universiti Malaysia Kelantan itu berkata akibat bencana itu, khemah bersaiz 20×20 kaki yang dipasang di hadapan rumah untuk berniaga mengalami kerosakan, selain atap rumah turut tercabut.

    Sementara itu, seorang pekerja swasta Noorsila Abdul Jali, 37, berkata bencana itu menyebabkan sengkuap atau awning rumahnya mengalami kerosakan yang teruk.

    Katanya puting beliung itu berlaku dalam tempoh kurang daripada 15 minit namun amat menggerunkan.

    “Dalam tempoh seminggu dua ini memang hujan lebat dan angin kuat berlaku dan akibat kejadian ini juga, serpihan atap kilang berhampiran iaitu kira-kira 60 meter dari kawasan perumahan ini turut berterbangan,” katanya.

    Dalam pada itu, Adilah Mohd Yunus, 44, berkata ibu mentuanya Siti Mariam Abu, 86, mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas siling rumah mereka terjatuh ekoran pusaran angin itu.

    Menurutnya warga emas itu menerima enam jahitan dan kini dirawat di Hospital Port Dickson.

    Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata sebanyak 10 buah rumah mengalami kerosakan terutamanya di bahagian bumbung.

    Katanya seramai enam anggota APM telah selesai melakukan tinjauan dan pemeriksaan di taman perumahan itu pada jam 2.40 petang tadi. – BERNAMA

  • Peruntukan RM1.4 juta bina 25 rumah baharu nelayan

    Peruntukan RM1.4 juta bina 25 rumah baharu nelayan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi pembinaan 25 unit rumah baharu untuk nelayan di setiap daerah, pada tahun ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) itu berharga RM56,000 seunit.

    Katanya, projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu.

    “Sehingga ini kita berjaya menyiapkan sebanyak 12 unit rumah baharu kepada nelayan termasuk di Paka, Marang, Setiu dan Besut.

    “Manakala baki 13 unit lagi dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat, bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di bawah PKPN LKIM Terengganu di Kampung Alor Ketitir Merchang, Marang, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

    Menurut Dr Azman, selain bina baru rumah, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada nelayan berpendapatan rendah yang melibatkan baikpulih rumah disamping membangunkan semula penempatan nelayan.

    Katanya, usaha ini adalah bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada keluarga nelayan agar mereka dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

  • Notis kebangkrapan: Najib mohon periksa pegawai LHDN

    Notis kebangkrapan: Najib mohon periksa pegawai LHDN

    DATUK Seri Najib Tun Razak memohon untuk memeriksa lima pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengikrarkan afidavit mereka berhubung notis kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN.

    Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib ketika dihubungi Bernama berkata, permohonan itu difailkan pada 22 Sept lepas, menurut Kaedah 47 Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017.

    Najib, 68, memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi melakukan pemeriksaan ke atas lima pegawai lelaki berkenaan, atas alasan pihak LHDN gagal memberi butiran bagaimana pengiraan jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan terhadapnya.

    Yeong Kang berkata ketika pengurusan kes secara dalam talian (Zoom) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif hari ini, pihak LHDN memaklumkan bahawa mereka akan memfailkan permohonan untuk membatalkan permohonan pemeriksaan berkenaan.

    “Mahkamah kemudian mengarahkan LHDN memfailkan permohonan itu pada 13 Okt ini dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 9 Nov,” katanya.

    Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN yang turut serta dalam prosiding itu, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

    Kerajaan, melalui LHDN memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lepas terhadap Najib, selaku penghutang.

    Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

    Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Pada 9 September lepas, Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas menolak rayuan Najib.

    Najib pada 13 September lepas, telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. – BERNAMA

  • Kontrak Ketua Polis Negara dilanjutkan dua tahun lagi

    Kontrak Ketua Polis Negara dilanjutkan dua tahun lagi

    KHIDMAT Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara (KPN) akan dilanjutkan selama dua tahun secara kontrak selepas beliau bersara wajib awal bulan depan.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Acryl Sani, 59, dilantik secara kontrak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Okt 2021 hingga 3 Okt 2023.

    Beliau berkata pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Tahniah dan syabas kepada Datuk Seri Acryl Sani atas pelanjutan perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara. Saya percaya beliau akan melakukan yang terbaik untuk negara.

    “Saya yakin pelantikan ini dapat memberi semangat kepada semua pegawai dan anggota untuk terus bekerjasama dengan Ketua Polis Negara untuk memberi khidmat terbaik kepada negara,” katanya pada sidang media khas penyerahan watikah pelantikan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini hari ini.

    Acryl Sani dilantik secara rasmi sebagai Ketua Polis Negara ke-13 pada 4 Mei tahun ini bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak perkhidmatan pada 3 Mei lalu.

  • Isu Ziyad: JK siasatan mula mesyuarat minggu depan

    Isu Ziyad: JK siasatan mula mesyuarat minggu depan

    JAWATANKUASA siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo, bulan lepas, akan mula bermesyuarat selama lima hari mulai 4 Oktober ini.

    Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kesemua hasil dapatan daripada mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah itu akan diserahkan kepada kementeriannya selepas 8 Oktober.

    “Dari situ, kami akan maklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

    Pada 31 Ogos lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan di Tokyo, Jepun itu.

    Muhammad Ziyad diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

    Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34 m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

    Pada 18 September lepas, Majlis Paralimpik Malaysia berjaya memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Olimpik Tokyo daripada pihak penganjur Sukan Paralimpik Tokyo bagi membantu pihak siasatan merungkai persoalan di sebalik kontroversi di Jepun itu.

    Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan proses pendengaran terhadap dua atlet angkat berat yang sebelum ini dilaporkan positif penggunaan bahan terlarang akan dilaksanakan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) pada 18 Okt ini.

    Pada 6 Sept lepas, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan kedua-dua badang itu telah digantung daripada sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalankan. – BERNAMA

  • SUV terhumban dalam laut, lelaki diperintah bela diri

    SUV terhumban dalam laut, lelaki diperintah bela diri

    SEORANG pemuda yang terlibat dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu diperintah membela diri atas pertuduhan tersebut.

    Keputusan ke atas bekas pekerja salon, M. Vaitheswaran, 23, itu dibuat Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam keputusannya itu, Ahzal Fariz yang turut bertindak sebagai Majistret mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

    Malah, beliau turut berpuas hati yang mana terdapat bukti yang boleh dipercayai untuk menunjukkan adanya unsur-unsur kecuaian melibatkan tertuduh dalam kemalangan yang menggemparkan negara pada 20 Januari 2019 itu.

    Sehubungan itu, Ahzal Fariz menetapkan 28 dan 29 Oktober depan sebagai tarikh prosiding pembelaan.

    Dalam pada itu, peguam K. Paramanathan berkata, beliau akan memanggil seramai tiga saksi pembelaan terdiri daripada tertuduh sendiri, ibu tertuduh dan seorang pakar perubatan dari Hospital Seberang Jaya di sini.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim.

    Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan berhubung kes tersebut.

    Pada 2019, Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelajar kolej yang juga rakannya, Moey Yun Peng.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira jam 3 pagi 20 Januari 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

    Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan kenderaan yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV jenis Mazda CX-5 tersebut hilang kawalan dan terhumban ke laut.

  • KKM teliti video tular dakwa individu mati lepas divaksin

    KKM teliti video tular dakwa individu mati lepas divaksin

    SEMUA pihak diminta bertenang dan tidak menimbulkan kebimbangan awam susulan rakaman video tular mendakwa beberapa individu meninggal dunia selepas menerima vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Menerusi satu ciapan di Twitter rasminya, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara berkenaan dan akan memberikan maklum balas dalam masa terdekat.

    “Pihak KKM mengambil maklum akan video tular di media sosial berkenaan dakwaan kesan sampingan susulan pemberian vaksin melalui program vaksinasi remaja.

    “Pihak KKM memandang serius perkara ini dan pihak KKM juga sedang mendapatkan fakta yang terperinci bagi setiap isu yang dibangkitkan di dalam video tersebut,” katanya dalam ciapan itu.

    Video tular berdurasi satu minit 40 saat itu memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa individu termasuk dua pelajar sekolah menengah di Ipoh, Perak dan seorang remaja di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia akibat vaksin COVID-19.

    Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata. dakwaan mengenai dua pelajar sekolah di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima vaksin COVID-19 seperti didakwa dalam video berkenaan adalah tidak benar.

    Sementara itu, Dr Noor Azmi dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan KKM mendapati kedua-dua pelajar berusia 17 tahun di Ipoh itu masing-masing menghidap kencing manis jenis 1 dan penyakit jantung kongenital.

    “Seorang remaja perempuan merupakan pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin. Pelajar ini dijangkiti COVID-19 dan meninggal pada 18 Ogos sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

    “Seorang remaja lelaki menghidap penyakit jantung kongenital. Pelajar ini dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk. Bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 Sept dan belum menerima vaksin COVID-19,” menurut kenyataan itu.

    Beliau berkata hasil siasatan itu turut mendapati tiada kematian melibatkan remaja selepas vaksinasi seperti dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.

    Dalam pada itu, wanita dalam video itu juga mendakwa dua anak seorang wanita sedang mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI) di Ipoh.

    Merujuk perkara itu, Dr Noor Azmi berkata KKM mendapati dua beradik berusia 16 dan 18 tahun itu mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty dan dimasukkan ke hospital swasta di Ipoh dan semakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati laporan kesan sampingan mereka masih belum diterima.

    Beliau menasihati ibu bapa atau penjaga memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty memandangkan AEFI boleh berlaku dan kebanyakan kes adalah kesan ringan.

    “KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami AEFI untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.

    Sebelum mengeluarkan maklumat awam, pastikan sumber maklumat yang ingin dikongsi disahkan terlebih dahulu dengan sumber sahih atau pihak bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA