Category: Semasa

  • 8,269 pelajar sekolah positif Covid-19

    8,269 pelajar sekolah positif Covid-19

    SERAMAI 8,269 murid dan pelajar sekolah dijangkiti Covid-19 sepanjang sesi persekolahan bermula 20 Januari hingga 7 Mei lalu.

    Perkara itu didedahkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidi menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

    “Jumlah berkenaan membabitkan 4,086 murid sekolah rendah dan 4,173 pelajar sekolah menengah.

    “Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa membuat perancangan teliti bagi memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya.

  • Wanita baru berjinak-jinak sindiket dadah dicekup

    Wanita baru berjinak-jinak sindiket dadah dicekup

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita dicekup selepas dia didapati bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai baru berjinak-jinak dengan aktiviti haram terbabit.
     

    Perbuatan wanita berusia 22 tahun itu terbongkar selepas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menyerbu rumah dua tingkat yang disewanya di Laguna, Merbok, Sungai Petani, Selasa lalu.
     

    Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, polis berjaya menemui dan merampas sepuluh paket syabu seberat 1.05 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM37, 850 di rumah terbabit.
     

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dia berperanan sebagai pembantu untuk menyimpan bekalan dadah di rumah berkenaan.
     

    “Kita percaya suspek mungkin menerima upah untuk melakukan kerja berkenaan dan siasatan turut menjurus sama ada dia juga terbabit mengedar dadah.
     

    “Sindiket terbabit didalangi warga tempatan dan dipercayai baru beroperasi pertengahan tahun ini dengan hanya menjalankan aktiviti mengedar dadah sekitar bandar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
     

    Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah dan suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
     

    “Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
     

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 6.30 petang pada hari sama, dua penagih tegar ditahan anggota unit Expressway Mobile Patrol Vehichles (EMPV) Bukit Aman zon utara dalam sekatan jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Gurun.
     

    Adzli berkata, hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui heroin seberat 906.5 gram (g) yang dianggarkan bernilai RM12,000, syabu  0.6g, ganja (1g) serta alat penimbang dan membungkus dadah.
     

    Menurutnya, dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun itu masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
     

    “Ujian air kencing mendapati dua suspek terbabit positif morfin dan selain menghisap mereka turut mengedar dadah sekitar kawasan  bandar ini.
     

    “Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
     

    Menurutnya, polis akan sentiasa mempergiatkan usaha memburu dan menumpas kegiatan ahli sindiket ini bagi membanteras sehabis-habisan aktiviti haram terbabit.

  • 85.7 peratus dewasa, 61.5 peratus populasi lengkap divaksinasi

    85.7 peratus dewasa, 61.5 peratus populasi lengkap divaksinasi

    SEJUMLAH 94.1 peratus (23.35 juta) daripada individu dewasa di Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin termasuk dos tunggal vaksin CanSino.

    Sementara lebih 85.7 peratus (20.09 juta) daripada populasi dewasa lengkap divaksinasi setakat semalam.

    Bagi populasi keseluruhan, 61.5 peratus telah menerima vaksin lengkap sementara 71.6% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

    Sejumlah 338,661 dos telah diberikan semalam, menjadikan keseluruhan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 43.37 juta.

  • Selangor tidak dilibatkan secara langsung dalam Projek LRA Langat 2

    Selangor tidak dilibatkan secara langsung dalam Projek LRA Langat 2

    PELAKSANAAN Projek LRA Langat 2 tidak melibatkan kerajaan Selangor secara langsung atau menyeluruh, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim.

    Beliau menjelaskan, pengurusan projek berkenaan akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang merupakan anak syarikat kepada Kementerian Kewangan Malaysia.

    “Kerajaan Selangor hanya terlibat dalam urusan berkaitan tapak tanah projek dan permit yang dikeluarkan oleh agensi teknikal negeri.

    “Secara amnya, pengauditan oleh Jabatan Audit Negara adalah baik bagi menyedarkan semua pihak tentang pengurusan sesuatu projek terutama berskala mega.

    “Kegagalan pengurusan projek boleh menyebabkan matlamat pelaksanaannya tidak dapat dicapai dengan sebaiknya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

    Izham berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 berhubung pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan projek LRA Langat 2 yang belum mencapai objektif disasarkan.

    Mengulas lanjut, Izham berkata, dalam usaha menampung kekurangan air ekoran kelewatan projek berkenaan, kerajaan Selangor telah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya dengan pembinaan LRA Labohan Dagang.

    “Selain itu, kerajaan negeri turut mendapatkan pinjaman daripada Kementerian Kewangan Malaysia bagi melaksanakan Projek Mitigasi 2 yang melibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 3,” katanya.

    Pada masa sama, Izham berkata, kerajaan Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membangunkan Projek Skim Bekalan Air Rasau yang dijangka mampu mengeluarkan sebanyak 1,400 juta liter/hari (JLH) bagi kegunaan pengguna.

    “Ini adalah sebagai langkah untuk memastikan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi,” katanya.

  • Kenaikan pencen B40 antara fokus dewan rakyat hari ini

    Kenaikan pencen B40 antara fokus dewan rakyat hari ini

    KENAIKAN bayaran pencen bagi golongan B40 adalah antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) bertanya kepada Perdana Menteri sekiranya kerajaan akan menaikkan bayaran pencen bagi golongan itu selaras dengan kos sara hidup yang tinggi, selain ramai yang kehilangan sumber pendapatan ketika pandemik COVID-19 pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

    Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai cabaran dihadapi sektor pembinaan akibat COVID-19 dan bantuan dihulurkan kerajaan kepada sektor itu.

    Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, isu status terkini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 serta pelan tindakan kerajaan dalam mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak, dibangkitkan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri.

    Turut dibangkitkan ialah persiapan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menghasilkan vaksin sendiri serta vaksin terhadap varian baharu yang diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian).
     
    Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memasuki hari ketiga, hari ini.

    Semalam, seramai 29 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. – Bernama

  • SPRM siasat isu uCUSTOMS yang gagal disiapkan

    SPRM siasat isu uCUSTOMS yang gagal disiapkan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung isu sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) kerana gagal disiapkan sejak projek itu bermula pada Oktober 2013.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya akan mengetuai siasatan berkenaan.

    Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan menjurus kepada sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

    “SPRM telah mendapatkan dokumen-dokumen mengenai sistem uCUSTOMS daripada JKDM hari ini bagi membantu siasatan isu berkenaan.

    “Setakat ini, belum ada mana-mana individu yang dipanggil bagi membantu siasatan isu sistem uCUSTOMS ini.

    “SPRM juga akan mendapat penerangan daripada pihak Jabatan Audit Negara berhubung isu itu,” katanya, hari ini.

    LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendedahkan sistem uCustoms oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

    Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh menggesa SPRM melakukan siasatan segera terhadap sistem uCustoms yang gagal disiapkan itu tetapi pembayaran telah dibuat.

    Menurut Wong, itu merupakan salah satu daripada 25 isu dalam LKAN 2019 Siri 2 yang bersifat tindakan pembaziran atau punitif.

  • Penggiliran pelajar ke sekolah tidak beban guru

    Penggiliran pelajar ke sekolah tidak beban guru

    PENGGILIRAN ke sekolah dengan memecahkan kelas kepada dua kumpulan pada pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Oktober ini, tidak akan menambah beban tugas pengajaran guru.

    Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, melalui kaedah ini, guru hanya perlu mengajar secara bersemuka mengenai silibus yang sama, untuk dua kumpulan murid yang berbeza.

    “Kaedah penggiliran ini tidak menambah beban tugas guru kerana mereka memang sudah buat persediaan dan rancangan mengajar, mereka hanya kongsikan perkara ini dengan murid untuk buat persediaan di rumah dan bila murid datang semula ke sekolah, guru akan tengok topik mana yang anak murid mereka tidak faham, guru akan bantu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada program Inklusif: Pengoperasian Sekolah Secara Selamat dan Kondusif yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

    Memetik Bernama beliau berkata, kumpulan B akan hadir ke sekolah pada minggu berikutnya untuk mengikuti sesi pembelajaran bersemuka.

  • Covid-19:208 kes kematian dilaporkan semalam, kini berjumlah 26,143

    Covid-19:208 kes kematian dilaporkan semalam, kini berjumlah 26,143

    MALAYSIA mencatatkan 208 kes kematian akibat Covid-19 setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26,143 kes.

    Daripada jumlah kematian semalam, sebanyak 30.8 peratus (64 orang) meninggal sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

    Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi, iaitu 76 orang atau 36.5 peratus.

    Ini disusuli dengan Johor (30), Pulau Pinang (30), Sabah (22), Kedah (12), Kelantan (9), Perak (8), Terengganu (7), Pahang (4), Perlis (4), Kuala Lumpur (4) dan Sarawak (2).

    Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

    Jumlah kes kematian harian melebihi 200 untuk enam hari berturut-turut.

    Sementara itu, daripada jumlah 26,143 itu, sebanyak 9,488 kes iaitu lebih satu pertiga berlaku pada September, menjadikan kes kematian pada bulan ini tertinggi sejak wabak Covid-19 mula menular di Malaysia.

    Ini menunjukkan kedudukan Malaysia sebagai negara terburuk di Asia dalam jumlah kes kematian per kapita.

    Sebagai perbandingan, 7,642 kematian akibat Covid-19 berlaku pada Ogos, 3,858 kes pada Julai, 2,380 kes pada Jun dan 1,302 kes pada Mei.

  • Ahli perniagaan wanita rugi RM95,000 ditipu saudara sendiri untuk rawatan kecantikan

    Ahli perniagaan wanita rugi RM95,000 ditipu saudara sendiri untuk rawatan kecantikan

    SEORANG wanita yang merupakan ahli perniagaan kerugian sejumlah RM95,000 selepas ditipu oleh saudaranya sendiri untuk mendapatkan rawatan kecantikan, malah turut mengalami kesan sampingan terhadap kesihatannya.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pada Ogos tahun lepas, mangsa telah ditawarkan suspek iaitu seorang wanita untuk rawatan suntikan pemutihan kulit dengan pengakuan bahawa suspek mempunyai kelayakan dan pengalaman bagi rawatan itu.

    Beliau berkata menurut mangsa yang berusia lewat 20-an itu, suspek juga mengakui merupakan seorang kakitangan di pusat rawatan kecantikan yang dikenali di ibu negara ini.

    “Dalam tempoh dua bulan pada awal tahun ini, mangsa telah menjalani 17 rawatan di rumah suspek, selepas pengadu (mangsa) dimaklumkan suspek mempunyai sijil kelayakan dan mendapat bekalan ubat-ubatan daripada pusat rawatan kecantikan tersebut.

    “Dalam tempoh sama, mangsa telah membuat beberapa bayaran kepada suspek berjumlah RM95,000 bagi mendapatkan dua jenis rawatan iaitu ‘face jab’ dan ‘dripping’”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shafien berkata pada Mac lepas, mangsa mula mengalami masalah kulit yang teruk dan setelah mendapatkan rawatan di pusat perubatan, wanita itu dipercayai telah menerima rawatan kulit yang salah dan kini menghadapi risiko penyakit buah pinggang.

    “Mangsa yang tidak berpuas hati menghubungi pusat rawatan kecantikan tersebut dan dimaklumkan bahawa suspek bukan kakitangan di pusat kecantikan berkenaan, serta mereka juga tidak pernah memberi kebenaran untuk rawatan kecantikan dijalankan di luar premis.

    “Mangsa telah membuat laporan polis di daerah Tumpat kerana mengesyaki telah ditipu suspek,” katanya sambil menambah kes itu dalam siasatan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

    “Pihak polis ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan sentiasa membuat semakan dengan pihak sewajarnya, sebelum mendapatkan sebarang jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai walaupun dakwaan daripada individu dikenali,” tambahnya. – BERNAMA

  • AGC terima kertas siasatan kehilangan wang AS$6.94 juta

    AGC terima kertas siasatan kehilangan wang AS$6.94 juta

    JABATAN Peguam Negara (AGC) telah menerima kertas siasatan berhubung kes berkaitan kehilangan wang AS$6.94 juta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara telah menerima kertas siasatan berkaitan kes berkenaan semalam.

    “Bahagian pendakwaan akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh kertas siasatan tersebut sebelum membuat keputusan sama ada untuk membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Pada 23 Sept lepas, Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid. – BERNAMA