Category: Semasa

  • Sewa kondo mewah untuk berjudi elak dihidu polis

    Sewa kondo mewah untuk berjudi elak dihidu polis

    SERAMAI 13 individu terdiri daripada empat lelaki dan sembilan wanita berusia antara 31 hingga 69 tahun ditahan polis ketika dipercayai sedang leka berjudi di sebuah kondominium mewah Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.

    Kesemua mereka dipercayai penganjur dan pemain itu ditahan dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang menerusi Ops Dadu pukul 3.45 petang.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM13,200 serta beberapa peralatan bermain judi seperti sejumlah cip pelbagai warna, monitor komputer, daun terup, meja dan kerusi plastik.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, sindiket itu dipercayai menyewa kondominium mewah tersebut untuk dijadikan mini kasino sejak pertengahan bulan ini.

    Tambahnya, mereka dipercayai menjalankan kegiatan perjudian sekitar pukul 12 tengah hari sehingga 8 malam setiap hari.

    “Mereka juga dipercayai menawarkan aktiviti perjudian hanya kepada kenalan rapat bagi mengelak aktiviti dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau menambah, siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai meraih keuntungan sehingga RM100,000 sepanjang tempoh beroperasi kira-kira dua minggu.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

  • Kes Covid-19 Malaysia meningkat, 12,735 hari ini

    Kes Covid-19 Malaysia meningkat, 12,735 hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA mencatatkan kes baharu positif Covid-19 meningkat sedikit dengan 12,735 kes dilaporkan hari ini berbanding 12,434 kes semalam.

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini ialah sebanyak 2,245,695 kes.

    Berikut adalah jumlah kes Covid-19 dan pecahan setiap negeri yang dilaporkan hari ini dan secara kumulatif:

    Selangor – 1,940 (677,662)
    Sarawak – 2,487 (209,624)
    Sabah – 993 (197,973)
    Johor – 1,241 (195,845)
    Kuala Lumpur – 258 (186,060)
    Kedah – 1,033 (134,835)
    Pulau Pinang – 763 (130,209)
    Kelantan – 1,232 (115,308)
    Perak – 913 (102,229)
    Negeri Sembilan – 132 (97,244)
    Pahang – 697 (64,717)
    Melaka – 194 (58,345)
    Terengganu – 726 (55,645)
    Labuan – 1 (9,963)
    Putrajaya – 28 (6,144)
    Perlis – 97 (3,892)

  • Tun M sindir ahli Parlimen ada kes mahkamah berucap lama di Dewan Rakyat

    Tun M sindir ahli Parlimen ada kes mahkamah berucap lama di Dewan Rakyat

    TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir beberapa Ahli Parlimen yang berdepan tuduhan mahkamah kerana masih boleh berucap lama di Dewan Rakyat.

    Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kumpulan itu lebih mementingkan ucapan di Dewan Rakyat berbanding menghadiri penghakiman di mahkamah.

    “Di Malaysia ini kita dapati keadaan rule of law sudah berbeza. Sekarang ini kita dapati banyak orang didapati bersalah tetapi masih lagi terus menjadi wakil rakyat. Umpamanya, menasihati kerajaan bagaimana membelanjakan belanjawan kita (negara) dan tiada tindakan yang diambil terhadap orang ini walaupun mereka boleh hadir dalam dewan dan membuat ucapan panjang-panjang.

    “Tetapi tak ada masa untuk menghadapi hakim di mahkamah. Jadi, keadaan ini perlulah ambil ingatan bahawa yang diutamakan ialah ucapan di dewan, bukan hukuman terhadap kesalahan,” kata beliau ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat,lapor Astro Awani.

    Antara Ahli Parlimen yang sedang menghadapi prosiding perbicaraan ialah Datuk Seri Najib Razak melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).Selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Manakala, Ahli Parlimen pembangkang yang ketika ini sedang menjalani prosiding perbicaraan antaranya, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng membabitkan tuduhan rasuah melibatkan tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

  • Terengganu rekod 35 kes kematian Covid-19 di luar hospital

    Terengganu rekod 35 kes kematian Covid-19 di luar hospital

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK 35 kes kematian di luar hospital dan institusi kesihatan (BID) atau sebelum menerima bantuan perubatan secara khusus akibat Covid-19 direkodkan di Terengganu sehingga ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, kebanyakan kes kematian di luar hospital berlaku disebabkan ada dalam kalangan masyarakat agak terlewat untuk menerima rawatan .

    Malah katanya, ada kalangan pesakit apabila sudah terkesan teruk akibat virus tersebut sehingga keadaan menjadi tenat, baru mereka ingin ke hospital.

    Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya bersikap seperti itu kerana Covid-19 adalah penyakit baharu di mana simptomnya boleh muncul secara tiba-tiba seperti sesak nafas akibat saluran penafasan diserang virus.

    “Kebanyakan golongan yang kehilangan nyawa akibat Covid-19 adalah mereka belum menerima suntikan vaksin disamping mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi,”katanya kepada pemberita di Setiu, hari ini.

    Sehubungan itu Dr Alias menasihati agar masyarakat di negeri ini tidak mengambil mudah mengenai simptom Covid-19 dan hendaklah bersegera ke hospital untuk mendapat ujian saringan.

    Menurutnya, jika seseorang itu mengalami tanda-tanda atau gejala, langkah awal mestilah lakukan ujian saringan terlebih dahulu kerana sekiranya didapati positif, maka rawatan segera boleh diambil.

    “Ia penting kerana setiap kelewatan sseorang itu akan berpotensi menjadi pesakit kritikal Covid-19 tahap 4 dan 5, tetapi jika pesakit itu telah menerima suntikan lengkap dua dos vaksin, kemungkinan untuk diselamatkan adalah tinggi,”jelas beliau.

  • KKM mungkin keluarkan perintah urus pandemik tanpa vaksinasi

    KKM mungkin keluarkan perintah urus pandemik tanpa vaksinasi

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) kemungkinan akan mengeluarkan perintah atau cadangan bagi menguruskan pandemik Covid-19 tanpa vaksinasi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr. Adham Baba.

    Beliau berkata, perintah itu dikeluarkan sekiranya terdapat individu yang masih enggan divaksinasi.

    “Setakat ini dianggarkan sebanyak 5.7 peratus penduduk dewasa yang masih belum mendaftar untuk menerima vaksin.

    “Daripada peratusan tersebut, antara faktor yang dikenalpasti termasuk komorbiditi dan dalam kalangan anti-vaksin.

    “Pada mereka ini kita masih ada program advokasi supaya mereka terus mendaftar dalam MySejahtera supaya kita boleh memvaksin mereka.

    “Sekiranya mereka enggan atau tidak mahu divaksin, bermakna nanti satu ketika KKM akan mengeluarkan perintah ataupun cadangan, bagaimana kita boleh terus menguruskan pandemik tanpa vaksinasi,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Adham berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang meminta penjelasan kementerian berhubung sijil khas bagi segelintir individu yang tidak boleh menerima vaksin.

    Sebelum ini, bekas Menteri Mosti, Khairy Jamaluddin memaklumkan kerajaan akan mempertimbangkan sijil pengecualian kepada mana-mana individu yang tidak boleh menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi menggantikan pasport vaksin.

    Katanya, individu berkenaan termasuk mereka yang berdepan alahan atau kurang daya tahan jangkitan.

  • Sultan Ibrahim titah JPS, PBT kaji kawasan kerap banjir kilat

    Sultan Ibrahim titah JPS, PBT kaji kawasan kerap banjir kilat

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kedua-dua pihak berkenaan perlu segera mempersembahkan laporan kajian berkenaan kepada Baginda.

    Titah Sultan Ibrahim, gangguan terhadap sistem saliran di longkang atau parit antara punca utama berlakunya banjir kilat ketika musim hujan.

    “JPS Johor dan PBT dengan segera jalankan kajian dan segerakan laporan kepada saya, agar dapat dikenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini.

    “Taburan hujan yang tinggi akan menyebabkan berlaku banjir kilat seterusnya mengakibatkan kemusnahan harta benda serta memberi kesan kepada penduduk,” titah Baginda hari ini.

    Sultan Johor turut menasihatkan penduduk khususnya mereka yang menetap di kawasan berisiko supaya mengambil langkah berjaga-jaga disebabkan faktor cuaca tidak menentu pada masa sekarang.

    “Purata hujan yang tinggi berisiko menyebabkan berlakunya banjir kilat atau banjir di sesuatu kawasan. Oleh demikian penduduk perlu sentiasa berhati-hati.

    “Pada masa sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, PBT dan agensi keselamatan perlu sentiasa bersedia untuk melaksanakan persediaan awal jika berlaku banjir,” titah Baginda.

    Hari ini, lebih 1,600 penduduk di beberapa kawasan terjejas ekoran banjir kilat yang berlaku setelah hujan lebat selama dua jam sejak pukul 6 pagi ini.

    Bagaimanapun, tiada mangsa yang diarahkan berpindah setelah air yang masuk ke kediaman mereka telah surut tidak lama kemudian.

  • Tiada lagi AKSEM, PGA ambil alih tugas di sempadan secara rasmi

    Tiada lagi AKSEM, PGA ambil alih tugas di sempadan secara rasmi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini secara rasmi mengambil alih sepenuhnya tugas-tugas dijalankan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di seluruh negara.

    Menyifatkannya sebagai sesuatu yang bersejarah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu diyakini mampu meningkatkan fokus terhadap usaha mengawal sempadan tanah air.

    Dalam masa sama katanya, pelaksanaan operasi dari pihak atasan kepada anggota yang berada di bawah juga dapat dilaksanakan secara lebih berstruktur.

    “Kawalan sempadan tanah air juga selepas ini akan lebih berfokus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani turut menyatakan bahawa terdapat perancangan rapi dalam melaksanakan kawalan di sempadan.

    “Beberapa pasukan PGA akan diletakkan di negeri-negeri terlibat antaranya Perlis dan Kelantan. Di Sabah dan Sarawak juga, kita akan tengok batalion tertentu untuk dipastikan memiliki fokus terhadap masalah dihadapi di sempadan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan tugas dan Fungsi AKSEM kepada PDRM di Padang Kawad di Kompleks AKSEM di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

    AKSEM ditubuhkan pada 29 Disember 2017 dengan pewartaan Akta 799 melalui gabungan keanggotaan tiga agensi induk iaitu PDRM, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    Bermula 1 Januari 2018, AKSEM berfungsi sebagai agensi kerajaan persekutuan dengan kekuatan 900 perjawatan dan beroperasi di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

    Mengulas lanjut katanya, kesemua aset termasuk bangunan milik AKSEM akan diserahkan kepada PGA.

    “Semua pegawai dan anggota AKSEM selepas ini akan kembali ke agensi masing-masing. Sesetengahnya akan ditanya sama ada mahu terus bertugas bersama PGA atau tidak.

    “Selepas ini anggota polis yang belum pernah melakukan tugasan di bawah bidang kuasa AKSEM akan diberi pengetahuan baharu. Mungkin latihan dalam PGA akan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam sidang akhbar sama, Hamzah turut menafikan bahawa kementeriannya memberikan sebarang kerja penyimpanan data dan maklumat peribadi rakyat negara ini kepada pihak swasta.

    Katanya, dakwaan sedemikian yang ditimbulkan pihak tertentu hanyalah bersifat andaian semata-mata.

    Beliau turut menjelaskan, pembukaan pintu sempadan negara bagi membenarkan kemasukan pelancong asing ke negara ini hanya akan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik Covid-19.

    ”Pada masa ini negara masih berada dalam fasa pandemik wabak itu dan kesediaan untuk peralihan ke fasa endemik akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

    Apabila sudah bersedia katanya, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan, sekarang ini masih dalam isu fasa pandemik, kalau kita sudah bersedia boleh masuk ke fasa endemik.

    “Sebenarnya, (agensi penguatkuasaan yang mengawal pintu masuk sempadan) Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah bersedia, kami sudah bersedia (untuk pintu sempadan negara dibuka),” katanya.

    Hamzah berkata, kebenaran rentas pintu sempadan negara oleh rakyat negara ini atau warga asing itu juga nanti akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan kemudian.

  • Remaja 16,17 tahun di Pulau Pinang boleh ‘walk in’ ambil vaksin bermula hari ini

    Remaja 16,17 tahun di Pulau Pinang boleh ‘walk in’ ambil vaksin bermula hari ini

    SEMUA remaja termasuk pelajar berusia 16 hingga 17 tahun di Pulau Pinang kini dibenarkan untuk ‘walk-in’ ke Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri itu bermula hari ini bagi mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sesi walk-in harian adalah bermula pukul 2 petang di setiap PPV.

    Menurut beliau, bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun janji temu adalah menerusi aplikasi MySejahtera dan mereka dinasihatkan untuk tidak ‘walk-in’ ke mana-mana PPV bagi mengelakkan kesesakan.

    “Berkongsi data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), sehingga semalam, daripada 37,875 jumlah remaja berusia 16 hingga 17 tahun yang didaftar melalui portal Vaksin Anakku, seramai 32,876 orang atau 86.8 peratus telah menerima suntikan vaksin.

    “Bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun pula, daripada jumlah keseluruhan 80,698 orang yang berdaftar menerusi portal sama, seramai 8,312 orang atau 10.3 peratus telah disuntik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah Kon Yeow, bagi mempercepatkan kadar vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) peringkat Pulau Pinang, pengoperasian dua PPV iaitu SPICE Convention Centre (SPICE CC) dan PPV SP Arena telah dilanjutkan sehingga pukul 9 malam kini.

    “Dalam pada itu, perancangan tambahan juga bakal melibatkan PPV ‘outreach’ ke sekolah-sekolah atau kawasan-kawasan luar bandar di seluruh negeri ini,” katanya.

  • “Kita mula melihat cahaya di hujung terowong’’ – kata Muhyiddin

    “Kita mula melihat cahaya di hujung terowong’’ – kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin berkata, hasil ketahanan, kesabaran dan semangat kebersamaan Malaysia Prihatin serta sokongan petugas barisan hadapan dan segenap lapisan rakyat ketika negara menangani pandemik Covid-19 telah membolehkan kita mula melihat cahaya di hujung terowong.

    Beliau yang mengambil alih tampuk kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri mulai 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos lalu berhadapan dengan cabaran getir berikutan serangan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

    Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin berkata, Malaysia juga terjejas apabila sehingga kini lebih 2 juta kes positif disahkan, dengan lebih 25,000 kematian.

    ‘’Kenyataan ini agak pahit untuk kita telan. Mereka yang terkorban akibat virus ganas itu ada antaranya adalah ibu, bapa, anak, saudara lelaki dan perempuan, sahabat dan kenalan rapat kita,’’ katanya.

    Muhyiddin mengimbas kembali, bagaimana dalam masa-masa sukar sebelum ini, kerajaan pimpinan beliau telah bertindak tegas untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan memelihara ekonomi daripada terjejas lebih teruk.

    ‘’Kita mengambil langkah drastik menutup sempadan negara dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang belum pernah dibuat sebelum ini,’’ katanya.

    Selain itu kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai lebih RM530 bilion turut diumumkan untuk rakyat, memberikan bantuan tepat pada masanya dan sangat diperlukan.

    ‘’Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK merupakan kejayaan terbesar negara yang menyaksikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam liputan vaksinasi populasi dewasa.

    ‘’Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 28 September, sejumlah 19,912,566 individu atau 85.1 peratus sudah lengkap divaksinasi manakala 21,993,709 individu atau 94 peratus telah menerima sekurang- kurangnya satu dos vaksin,’’ katanya.

    Mengenai RMK-12, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata,  ia adalah rancangan jangka sederhana untuk Malaysia mencapai matlamat muncul kembali sebagai gergasi ekonomi Asia yang tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.

    Untuk mencapai objektif itu, kata beliau peranan MPN menjayakan pelan pemulihan negara menjadi amat signifikan sebagai pembuka jalan dan pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam proses reformasi dan transformasi yang dirancang.

    ‘’Satu cara untuk RMK-12 mencapai sasarannya menjadikan Malaysia sebuah negara yang Makmur, Inklusif dan Mampan, adalah dengan semua pihak mengetepikan perbezaan yang ada dan bersatu di bawah payung Keluarga Malaysia, berusaha sedaya- upaya meningkatkan produktiviti dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing.

    ‘’Sekarang adalah masanya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bersatulah atas nama anak Malaysia dengan semangat wira seumpama berperang melawan musuh durjana. Kita sudah hampir menang melawan musuh halimunan, COVID-19, sasaran kita kini adalah untuk mendokong usaha Kerajaan memulihkan negara yang kita cintai ini dan membawa Malaysia kembali ke puncak kegemilangan dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,’’ katanya.

  • Muhyiddin cadangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi disambung ke Bangkok

    Muhyiddin cadangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi disambung ke Bangkok

    TAN SRI Muhyiddin Yasssin berkata, pelaksanaan projek Kereta Api Berkelanjuan Tinggi (HSR) ke Johor Bharu perlu juga dilaksanakan ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, impak projek seperti itu akan memberi kesan berganda dalam membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu serta pembangunan wilayah dan pengwujudan bandar-bandar baharu sepanjang laluan HSR.

    ‘’Ini sudah tentunya akan menghasilkan nilai berganda berbilion ringgit dan mendatangkan manfaat besar kepada rakyat termasuk masyarakat Bumiputera,’’ katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, perkembangan masa depan Malaysia, mesti mengandungi program dan projek penting atau utama yang boleh melonjakkan atau spearhead pertumbuhan pengeluaran negara, peluang pekerjaan dan pendapatan dalam jangka pendek dan sederhana.

    ‘’Namun dalam peralihan untuk menjadi Negara Berpendapatan Tinggi, realiti kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik lebih setahun lalu perlu diberi penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya di samping kepentingan masyarakat Bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak untuk mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi,’’ katanya.

    Muhyiddin menegaskan, jika sebelum ini, rakyat Malaysia dikategorikan dalam kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 – realitinya kini sudah berlaku rombakan ketara apabila ramai dalam kalangan M40 yang tergelincir ke dalam kumpulan B40 kerana kehilangan mata pencarian atau terjejas sumber pendapatan sepanjang pandemik.

    ‘’ Ini menunjukkan rapuhnya pembangunan ekonomi yang lalu. Oleh itu, inisiatif dan strategi yang digariskan di bawah RMK- 12 perlu bersifat cakna dan prihatin kepada isu agihan agar kekayaan, pertumbuhan dan peluang dapat disebarkan merentasi semua golongan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat pedalaman, bumiputera dan Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak.

    ‘’Kuncinya adalah pembangunan inklusif atau keterangkuman supaya tidak ada yang akan ketinggalan – No one will be left behind,’’ katanya.

    Beliau berkata, RMK-12 perlu meneruskan tindakan menyuntik reformasi mendasar yang benar-benar akan mengubah pendekatan ke arah lebih inklusif untuk semua, yang dibangunkan atas asas kekuatan ekonomi dan keutuhan rakyat, serta tidak mengabaikan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan teknologi hijau.

    ‘’ RMK-12 juga perlu memastikan segala perancangan ekonomi dan kewangan adalah tegas dan berani untuk menuju Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2025, dengan Pendapatan Negara Kasar per kapita meningkat dari RM42,755 kepada RM54,843. Dengan adanya dasar dan instrumen yang tepat dan pelaksanaan Game Changer yang agresif dalam RMK-12, sasaran ini tidak mustahil dicapai,’’ katanya.