Category: Kemalangan / Bencana

  • Faisal lempar pinggan, koyak kad hari jadi

    Faisal lempar pinggan, koyak kad hari jadi

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bahawa ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin memukul bekas isterinya, Emilia Hanafi selama empat tahun dari 2011 secara berterusan.

    Saksi pendakwaan keenam, Elisa Nani Hanafi, 38, berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Emilia yang juga kakaknya, namun meminta perkara itu dirahsiakan daripada orang lain.

    Pada masa sama, Elisa Nani juga mengesahkan ada menerima gambar menerusi aplikasi WhatsApp daripada Emilia yang menunjukkan bukti dipukul oleh ahli perniagaan itu pada 20 Oktober 2015.

    “Selepas menghantar gambar kesan lebam di paha dan tangan bersama kad hari jadi yang diberikan oleh Emilia kepada Faisal pada 8 malam, saya bertanya kepada kakak apa yang berlaku.

    “Emilia memberitahu Faisal tiba dari luar negara antara 2 hingga 3 petang. Kakaknya serta Fawwaz (anak mereka) pergi ke lapangan terbang untuk menjemput Faisal sebagai kejutan.

    “Setibanya di rumah, Emilia masak makanan sihat iaitu salmon dengan sos lemon, avocado, buah zaitun dan bayam kerana tahu Faisal sedang berdiet.

    “Apabila makanan dihidangkan, Faisal melempar pinggan ke arah Emilia dan ia berkecai.

    “Faisal juga campak Emilia ke lantai beberapa kali, selain mengoyakkan kad hari jadi dan mengunci bilik tidur mereka yang terletak di tingkat tiga, supaya Emilia tidak boleh masuk,” katanya ketika membaca pernyataan saksi.

    SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di Kuala Lumpur, antara 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun yang sama serta boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Elisa Nani berkata, talian telefon bimbit disekat menyebabkan Emilia hanya bergantung kepada WiFi untuk menggunakan Internet pada 2015.

    SM Faisal juga didakwa melarang Emilia meninggalkan rumah, menyebabkan dua beradik itu hanya berkomunikasi melalui WhatsApp.

    “Beberapa kisah menyenangkan dikongsikan adalah Emilia dan Faisal keluar melakukan aktiviti sebagai keluarga dan membuat projek sekolah anak, selain mengenai menu harian memandangkan kakaknya suka memasak yang menjadi antara hobi dia.

    “Cerita yang tidak menyenangkan ketika Faisal berada di rumah. Sebagai contoh, Emilia terpaksa mematikan telefon atau meletakkannya dalam mod senyap serta menyembunyikannya.

    “Emilia memberitahu jika Faisal melihatnya menggunakan telefon, ia akan dirampas dan dicampak atau dipecahkan di atas lantai seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung 5 Januari hadapan.

  • Seorang maut, lori muatan diesel jatuh gaung di Lebuhraya PLUS

    Seorang maut, lori muatan diesel jatuh gaung di Lebuhraya PLUS

    SEORANG lelaki maut apabila lori muatan diesel yang dinaikinya terjatuh ke dalam gaung dan terbakar di Kilometer 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.52 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru dengan bantuan BBP Ipoh digegaskan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori terjatuh ke dalam gaung dan terbakar.

    “Operasi pemadaman dan penyelamatan sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Lelaki lemas ketika periksa pukat

    Lelaki lemas ketika periksa pukat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki mati lemas ketika memeriksa pukat ikan berhampiran kawasan Loji Sultan Iskandar, Pasir Gudang, pukul 2 pagi semalam.

    Warta Rakyat difahamkan, sebelum kejadian Betron Anak Tela@Telong yang berusia 39 tahun itu sedang memukat ikan di kawasan berkenaan.

    Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 12.55 tengah hari semalam sebelum 22 anggota dari Balai Bomba dan

    Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, BBP Johor Jaya, BBP Skudai dan BBP Kempas dikejarkan ke lokasi.

    Ketua BBP Johor Jaya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata, pasukan tersebut turut dibantu 11 jentera dan dua bot.

    “Pencarian di air menggunakan teknik ‘surface searching’ dengan membuat selaman dengan menggunakan satu bot aluminium dan bot orang awam manakala pencarian di darat dipecahkan kepada dua kumpulan melibatkan seramai lapan anggota bomba.

    “Mangsa berjaya ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada kedalaman tiga meter dan jarak sejauh tiga meter dari lokasi dia dipercayai hilang,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

    Saifulbahri berkata, ketika kejadian, mangsa dilaporkan memukat ikan di kawasan berkenaan bersama 14 rakannya.

    Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menunggu ketibaan rakan yang lain di tebing tasik berkenaan sebelum turun ke tasik bagi memeriksa pukat berkenaan.

    Beliau yang juga Komander Operasi berkata, mangsa yang tidak pandai berenang itu kemudiannya dilaporkan hilang.

    “Jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis pada pukul 6.35 petang semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Pelajar maut motosikal dilanggar pikap ketika buat pusingan U

    Pelajar maut motosikal dilanggar pikap ketika buat pusingan U

    SEORANG pelajar berusia 16 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah pikap di lampu isyarat Jalan Datuk Amar Wee Bong Ping dekat Kuching, malam tadi.

    Kejadian pukul 12.45 tengah malam itu melibatkan remaja lelaki dikenali Ronaldy Robster ak Michael yang kemudiannya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan berlaku ketika pikap dipandu seorang juruteknik berusia 30 tahun dari arah Batu 4 menuju ke Batu Kawa.

    “Apabila sampai di lampu isyarat Datuk Amar Wee Bong Ping, semasa bergerak lurus tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang mangsa yang datang dari arah Batu Kawa membuat pusingan U di lampu isyarat tersebut.

    “Motosikal terbabit masuk ke laluan pemanduan pikap mengakibatkan pemandu melanggar penunggang motosikal dari belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abang Zainal Abidin berkata, akibat dari pelanggaran itu mangsa yang cedera di bahagian kepala dan anggota badan dibawa oleh ambulans ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

    “Kenderaan terbabit dibawa ke Balai Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia,” katanya, lapor Harian Metro.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Landasan kereta api Hatyai-Padang Besar dibom

    Landasan kereta api Hatyai-Padang Besar dibom

    PERKHIDMATAN kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Padang Besar, Malaysia tergendala selepas landasan dibom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngek, di Sadao, Thailand, pukul 2 petang tadi.

    Sumber berkata, kejadian berlaku ketika sebuah kereta api kargo dari Haytai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan yang dilalui dipercayai diletakkan bom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngae.

    Letupan menyebabkan gerabak kereta api berkenaan terbabas dan melumpuhkan perkhidmatan kereta api dari sektor berkenaan ke Padang Besar.

    Stesen Kereta Api Khlong Ngae, Sadao terletak 23.3 kilometer dari Stesen Kereta Api Padang Besar, Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand, lapor Harian Metro

    Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian berkenaan dan setakat ini perkhidmatan kereta api SRT masih dihentikan buat sementara waktu.

    Sementara itu Bangkok Post melaporkan pihak berkuasa akan menyiasat kejadian tersebut sama ada landasan tersebut di bom atau kejadian kemalangan.

    Sumber memaklumkan landasan itu perlu ditutup beberapa hari bagi membolehkan kerja-kerja membaiki dilakukan.

    Kereta api berkenaan mempunyai 20 gerabak dengan 11 daripadanya tergelincir daripada landasan dan rosak teruk.

    Empat pekerja iaitu termasuk dua pemandu dan seorang juruteknik tidak mengalami sebarang kecederaan.

  • Banjir kilat landa 7 kampung di Kupang

    Banjir kilat landa 7 kampung di Kupang

    Oleh BADLISHAH MAT

    KIRA-kira 50 buah kediaman di tujuh kampung di Mukim Kupang, Baling dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam di kawasan itu petang tadi.

    Antara kampung terjejas adalah Kampung Bok Bak, Kampung Bukit Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Dusun, Kampung Charok Kapas, Kampung Hangus dan Kampung Pak Bong.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

    Katanya, keadaan banjir juga beransur surut selepas hujan mulai berhenti tidak lama kemudian.

    “Hasil pemantauan mendapati kebanyakan rumah terjejas berada berhampiran sungai dan banjir kilat berlaku berikutan air sungai naik mendadak sebelum masuk ke rumah penduduk sekitar,” katanya.

    Tambah beliau, seramai lapan anggota dihantar ke lokasi sejurus pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6 petang ini.

    Pada 4 Julai lalu, sebanyak 802 rumah dilaporkan terkesan dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku di sekitar Kupang termasuk meragut tiga nyawa penduduk.

    Kejadian turut mengakibatkan 17 rumah yang terletak berhampiran Sungai Kupang lenyap akibat tragedi itu.

    Beberapa kejadian banjir turut berlaku di kawasan sama selepas itu, namun tidak seteruk insiden pertama pada awal Julai berkenaan termasuk bencana pada hari ini.

  • Tular murid duduki peperiksaan UPKK dalam banjir

    Tular murid duduki peperiksaan UPKK dalam banjir

    RAKAMAN video menunjukkan sekumpulan murid sedang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dalam keadaan banjir sehingga tular berlaku di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Balak di Kajang petang semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, hasil pemantauan dijalankan mendapati banjir kilat berlaku ekoran hujan lebat yg berterusan melebihi sejam di kawasan Kajang.

    Beliau berkata, banjir kilat tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang dan mencapai ketinggian 0.6 meter.

    “Ketika kejadian seramai 64 murid berumur 11 tahun sedang menduduki peperiksaan UPKK yang dipantau penjaga peperiksaan melibatkan lapan orang guru.

    “Keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, air kemudian surut sepenuhnya kira-kira jam 7 petang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Norazam memberitahu, kawasan sekolah yang terlibat dalam banjir kilat itu merupakan kawasan rendah.

    “Siasatan mendapati kawasan tersebut sering berlaku banjir kilat.

    “Selain itu, kejadian banjir kilat berkenaan hanya melibatkan kawasan sekolah” katanya.

    Hari ini tular video di media sosial merakamkan sekumpulan pelajar sekolah sedang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) semasa banjir.

  • Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai

    Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai

    SEORANG wanita warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terjatuh dari jambatan ke dalam sungai di Kampung Bukit Perpat, Wakaf Tapai dekat Marang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.19 pagi dan mangsa Zaiton Omar, 64, yang tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari kenderaan jenis Toyota Hilux itu oleh orang kampung.

    “Mangsa yang memandu seorang diri telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Pengkalan Berangan yang sampai ke lokasi kejadian,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

    Sementara itu, anak angkat mangsa, Wan Rafiyuddin Wan Mohd, 33, berkata sudah menjadi kebiasaan Zaiton memandu ke kampung berkenaan untuk mendapatkan bekalan pisang dan ubi untuk berniaga di gerai pisang gorengnya di Gong Beris.

    “Arwah (Zaiton) baru ambil pisang di rumah saya di Kampung Bukit Perpat…kemudian saya dapat panggilan masuk daripada nombor telefon dia dalam pukul 11.05 pagi, tapi orang lain yang cakap beritahu kereta Hilux jatuh ke dalam sungai.

    “Masa saya sampai di tempat kejadian, orang dah bawa keluar mayat mangsa. Rutin dia setiap hari beli pisang, ubi, cendawan seorang diri tanpa ditemani suaminya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Wan Rafiyuddin berkata ibu angkatnya yang berasal dari Kampung Lubuk Pandan dekat sini, mempunyai seorang anak perempuan yang bertugas di sebuah hospital di Negeri Sembilan. – BERNAMA

  • Kanak-kanak hilang dibaham buaya, bapa cedera

    Kanak-kanak hilang dibaham buaya, bapa cedera

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia setahun dibaham buaya ketika mendayung sampan bersama bapanya di perairan Pangkalan Marin, Lahad Datu, pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 10.05 pagi itu turut mengakibatkan bapa mangsa cedera di beberapa bahagian badan.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.25 pagi.

    Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

    “Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Terdapat dua mangsa yang terlibat iaitu seorang lelaki Palauh dan kanak-kanak lelaki dipercayai diserang buaya ketika mendayung sampan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro Awani, hari ini.

    Sumsoa memberitahu, lelaki terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala anaknya pula masih hilang dipercayai dibaham buaya.

    “Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu menaiki ambulan untuk menerima rawatan susulan.

    “Pasukan bomba masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi lain di sekitar perairan lokasi kejadian,” katanya.

  • Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    SEORANG mekanik maut selepas van jenazah yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi tujuh meter di Kilometer 16, Jalan Jemaluang-Mersing dekat Mersing, pagi tadi. 

    Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata dalam kejadian pada kira-kira 9.15 pagi di hadapan Institut Latihan Perindustrian Mersing itu, mangsa dikenal pasti sebagai Wan Mohd Nasyarudin Wan Ismaon, 38.

    “Van yang dipandu Mohd Nasyarudin dipercayai dari arah Johor Bahru-Mersing, telah terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan di laluan bertentangan sebelum van berkenaan terjatuh dalam gaung,”  katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Cyril Edward berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pakar perubatan dan jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat da kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA