SEORANG kanak-kanak lelaki berusia setahun dibaham buaya ketika mendayung sampan bersama bapanya di perairan Pangkalan Marin, Lahad Datu, pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10.05 pagi itu turut mengakibatkan bapa mangsa cedera di beberapa bahagian badan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.25 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Terdapat dua mangsa yang terlibat iaitu seorang lelaki Palauh dan kanak-kanak lelaki dipercayai diserang buaya ketika mendayung sampan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro Awani, hari ini.

Sumsoa memberitahu, lelaki terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala anaknya pula masih hilang dipercayai dibaham buaya.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu menaiki ambulan untuk menerima rawatan susulan.

“Pasukan bomba masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi lain di sekitar perairan lokasi kejadian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here