RAKAMAN video menunjukkan sekumpulan murid sedang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dalam keadaan banjir sehingga tular berlaku di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Balak di Kajang petang semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, hasil pemantauan dijalankan mendapati banjir kilat berlaku ekoran hujan lebat yg berterusan melebihi sejam di kawasan Kajang.

Beliau berkata, banjir kilat tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang dan mencapai ketinggian 0.6 meter.

“Ketika kejadian seramai 64 murid berumur 11 tahun sedang menduduki peperiksaan UPKK yang dipantau penjaga peperiksaan melibatkan lapan orang guru.

“Keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, air kemudian surut sepenuhnya kira-kira jam 7 petang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Norazam memberitahu, kawasan sekolah yang terlibat dalam banjir kilat itu merupakan kawasan rendah.

“Siasatan mendapati kawasan tersebut sering berlaku banjir kilat.

“Selain itu, kejadian banjir kilat berkenaan hanya melibatkan kawasan sekolah” katanya.

Hari ini tular video di media sosial merakamkan sekumpulan pelajar sekolah sedang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) semasa banjir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here