PERKHIDMATAN kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Padang Besar, Malaysia tergendala selepas landasan dibom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngek, di Sadao, Thailand, pukul 2 petang tadi.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika sebuah kereta api kargo dari Haytai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan yang dilalui dipercayai diletakkan bom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngae.

Letupan menyebabkan gerabak kereta api berkenaan terbabas dan melumpuhkan perkhidmatan kereta api dari sektor berkenaan ke Padang Besar.

Stesen Kereta Api Khlong Ngae, Sadao terletak 23.3 kilometer dari Stesen Kereta Api Padang Besar, Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand, lapor Harian Metro

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian berkenaan dan setakat ini perkhidmatan kereta api SRT masih dihentikan buat sementara waktu.

Sementara itu Bangkok Post melaporkan pihak berkuasa akan menyiasat kejadian tersebut sama ada landasan tersebut di bom atau kejadian kemalangan.

Sumber memaklumkan landasan itu perlu ditutup beberapa hari bagi membolehkan kerja-kerja membaiki dilakukan.

Kereta api berkenaan mempunyai 20 gerabak dengan 11 daripadanya tergelincir daripada landasan dan rosak teruk.

Empat pekerja iaitu termasuk dua pemandu dan seorang juruteknik tidak mengalami sebarang kecederaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here