Category: Jenayah

  • Bulatkan tarikh lahir di kalender sebelum maut

    Bulatkan tarikh lahir di kalender sebelum maut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEKERJA yang maut tersepit pada jentera ‘spin chiller’ di sebuah kilang memproses produk ayam sejuk beku di Jalan Ayer Hitam, Kluang Sabtu lalu seakan tidak sabar menantikan hari kelahirannya pada 24 Oktober ini.

    Menurut kakak mangsa, Rafidah Astopa, 51, adiknya, Arwah Hairizam, 40, amat teruja hingga membulatkan tarikh hari lahirnya di kalendar.

    “Kejadian ini berlaku dua minggu sebelum kemalangan yang meragut nyawanya itu. Begitu juga perubahan sikap arwah dapat dilihat, kelakuan adik berubah, dia menjadi lebih pemurah berbelanja pelbagai barangan makanan hingga saya rasa tak sedap hati.

    “Adik juga membelikan abah makanan setiap kali pulang dari kerja walaupun tak diminta dan mungkin itulah petanda dia mahu pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengah Renggam, Kluang, hari ini.

    Rafidah berkata, kelakuan adiknya itu turut ditegur bapa mereka, Astopa Md. Nasis, 85, yang berkata arwah seolah-olah membeli bekalan stok ayam mentah seperti mahu membuat kenduri tiga hari sebelum kemalangan berkenaan.

    Dia amat terasa dengan kehilangan adik keenam daripada lapan beradik itu yang disifatkan seorang yang lurus tetapi mudah disenangi orang lain kerana suka tersenyum.

    “Rakan-rakannya pun memanggilnya senyum sebab arwah memang suka tersenyum dan tidak banyak bercakap malah dia juga menanggung nafkah abah yang sudah uzur dengan memberinya wang belanja setiap bulan,” katanya.

    Arwah maut akibat tersepit pada jentera ‘spin chiller’ di sebuah kilang memproses produk ayam sejuk beku di Jalan Ayer Hitam, Kluang, Sabtu lalu

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, arwah mengalami kecederaan parah di dada kanan dan leher hingga maut serta merta di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, allahyarham sebelum itu sedang membersihkan mesin berkenaan sebelum tergelincir ke dalamnya dan cuba diselamatkan rakan sekerja namun tidak berjaya.

    “Pada 10.40 pagi Sabtu lalu anggota polis dari Balai Polis Simpang Renggam telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan kematian disahkan oleh penolong pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir ke tempat kejadian,” katanya.

    Punca kejadian ujarnya, disebabkan mangsa tergelincir ke dalam mesin semasa mencuci mesin tersebut dan disedari oleh rakan sekerja yang lain selepas mendengar jeritan mangsa.

    “Rakan-rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kluang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

  • Warga Jepun tidak perlu gusar, tiada ancaman pengganas

    Warga Jepun tidak perlu gusar, tiada ancaman pengganas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Pulau Pinang memberi jaminan kepada warga Jepun di negeri itu bahawa tiada ancaman pengganas di negara ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka tidak perlu gusar berhubung amaran kerajaan Jepun kepada rakyatnya di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

    “Bagaimanapun Polis Pulau Pinang telah meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan rapi di syarikat, premis dan lokasi yang ada hubung kait dengan kepentingan luar negara terutama Jepun di negeri ini.

    “Sebenarnya keadaan terkawal dan tahap ancaman tidak wujud pun berhubung perkara tersebut, namun kami ambil langkah tingkatkan pemantuan rapi. Warga Jepun di sini tak perlu bimbang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Semalam, media melaporkan Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur mengesahkan telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

    Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

    Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.

    Terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

  • WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    SEORANG ejen broker perniagaan kejuruteraan kerugian RM37,330 akibat menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi media sosial, sejak pertengahan Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata wanita dari Felda Gugusan Raja Alias itu mendakwa berkenalan dengan pemilik akaun ‘LinkedIn’ bernama ‘Ali Rahman’ sejak 13 Feb lepas dan mereka sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp. 

    “Wanita itu kerap berhubung dengan lelaki tersebut bagi berkongsi pengalaman hidup dan hal berkaitan kejuruteraan memandangkan mereka berada dalam bidang yang sama. 

    “Bagaimanapun pada April lepas, lelaki berkenaan memberitahu wanita itu bahawa dirinya menerima bayaran baki akhir bagi kerja kontrak daripada sebuah syarikat dan menamakan mangsa sebagai penerima manfaat daripada bayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata bayaran itu didakwa dilakukan menerusi Unisys Security Agency Company (UK) dan lelaki tersebut meminta mangsa menghubungi ejen-ejen daripada syarikat tersebut bagi menuntut baki bayaran kontrak berkenaan.

    Katanya mangsa diminta melakukan pembayaran ke enam akaun berbeza yang melibatkan lapan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM37,330 bagi kelancaran urusan tuntutan bayaran berkenaan.

    Hoo berkata mangsa menyedari ditipu selepas sekali lagi diminta untuk melakukan pembayaran berkenaan dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Dalam kes lain, Hoo berkata seorang pemandu pengorek-kaut dari Bahau turut kerugian RM20,000 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jumaat lepas.

    Beliau berkata lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa dihubungi oleh seorang wakil LHDN pada 3.39 petang dan kemudian memaklumkan namanya tersenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM176,000.

    “Panggilan itu kemudiannya disambung ke pihak lain yang memaklumkan mangsa mempunyai rekod dalam penglibatan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram selain akan dikenakan tindakan berkenaan hal tersebut.

    “Akibat percaya, lelaki itu mengikut arahan yang diminta termasuk memberi maklumat ‘nama pengguna’ dan ‘kata laluan’ sistem perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan semakan,” katanya sambil menambah pengadu menyedari ditipu selepas mendapati berlaku dua kali transaksi perpindahan wang berjumlah RM20,000 apabila membuat semakan dengan bank dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • Warga emas disangka tidur, rupanya meninggal dunia di ruang menunggu kaunter JPJ

    Warga emas disangka tidur, rupanya meninggal dunia di ruang menunggu kaunter JPJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia di kerusi ruang menunggu kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Bangi, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, Selangor, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan pada pukul 10.21 pagi berkenaan seorang lelaki tempatan tidak sedarkan diri di kerusi tempat menunggu jabatan berkenaan.

    “Susulan itu, sebuah ambulans bersama petugas perubatan bergegas ke tempat kejadian untuk memeriksa keadaan mangsa.

    “Bagaimanapun, mangsa yang berusia 76 tahun disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.

    “Buat masa ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya lagi, orang orang yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Ariffin ditalian03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Gadis maut, adik melecur dalam kebakaran di Rawang

    Gadis maut, adik melecur dalam kebakaran di Rawang

    SEORANG gadis maut manakala adik lelakinya melecur teruk dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian, mangsa B.Thiva, 19, dan adiknya B. Vishnu, tiga tahun telah dibawa keluar oleh orang awam.

    Beliau berkata berdasarkan saksi, kedua-dua mereka ditemukan di kawasan dapur dan Thiva telah meninggal dunia ketika dibawa keluar dari rumah.

    “Seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dan Sungai Buloh digegaskan ke tempat kejadian. 

    “Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah setingkat itu pada 11.10 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Norazam berkata rumah itu terbakar 90 peratus dan kedua-duanya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan rawatan.

    Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja.- BERNAMA

  • 39kg syabu bernilai hampir RM2j tidak sempat diseludup keluar

    39kg syabu bernilai hampir RM2j tidak sempat diseludup keluar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah ke negara jiran, Indonesia.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi hari ini, bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran itu berada pada kedudukan 1.6 batu nautika tenggara Sungai Kesang di perairan Muar, Johor.

    Sebahagian syabu yang dirampas membabitkan nilai RM1.95 juta

    Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pemeriksaan terhadap bot tersebut selepas itu berjaya menemukan 39 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu membabitkan nilai rampasan bernilai RM1.95 juta.

    “Maritim Malaysia pada mulanya berjaya mengesan kehadiran sebuah bot fiber yang disyaki menuju ke arah Bengkalis, Indonesia dinaiki dua suspek, mereka yang menyedari kehadiran bot ronda terus memecut laju ke arah hutan bakau berhampiran sebelum nekad terjun untuk melarikan diri.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan kemudiannya menemukan dua bagasi berwarna hitam mengandungi paket bungkusan teh Cina berwarna hijau,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

    Maritim menunjukan bot membawa syabu yang dirampas pada kedudukan 1.6 batu nautika tenggara Sungai Kesang di perairan Muar

    Bot berserta enjin Yamaha 30 kuasa kuda bernilai kira-kira RM20,000 turut dirampas yang menjadikan keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah kira-kira RM1.97 juta.

    Nurul Hizam berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek kini giat dijalankan termasuk melakukan padanan cap jari oleh jabatan forensik bagi menjejaki dalang terlibat.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Ah long beri pinjaman wang kepada rakyat Malaysia di Singapura dicekup

    Ah long beri pinjaman wang kepada rakyat Malaysia di Singapura dicekup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS menumpaskan sindiket ah long yang memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada warga tempatan yang bekerja di Singapura dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bukit Pasir dan Taman Banang, di Batu Pahat, Isnin lalu.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang itu, empat lelaki berusia lingkungan 23 hingga 36 tahun ditahan yang dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak 2019.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek turut melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah terhadap mangsa dan keluarga mereka yang melakukan pinjaman itu.

    “Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati mereka mengaku telibat dalam sindiket ah long dan menawarkan pinjaman atara SGD300 hingga SGD1,000 (RM900 hingga RM3,000) dengan bayaran bunga dikenakan sebanyak 20 peratus kepada peminjam.

    “Mereka juga melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah terhadap mangsa-mangsa dan keluarga mangsa yang melakukan pinjaman itu apabila gagal membuat bayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas lima unit komputer riba, 21 unit telefon bimbit, 18 keping kad bank, tiga buku catatan mengandungi nombor telefon peminjam serta enam keping kertas yang terpapar gambar peminjam.

    Turut dirampas 56 keping simkad, seutas jam tangan berjenama mewah, enam unit pendrive, dua unit modem dan wang tunai RM9,700.

    Ayob Khan berkata, kesemua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama sembilan hari sehingga esok bagi membantu siasatan dijalankan.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api ke atas kediaman dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 akibat menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat pinjaman atau berurusan dengan ah long kerana kadar bunga yang tinggi, syarat pinjaman yang tidak jelas dan terdedah kepada ancaman ugutan, bencana dan kerosakan harta benda,” ujarnya.

    Sejak Januari hingga kini, sebanyak 168 kertas siasatan telah dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor melibatkan perlakuan khianat oleh kumpulan ah long dengan 123 kes khianat simbah cat dan 45 lagi kes baling molotov cocktail.

  • Tetak bapa saudara kerana caj mahal baiki motosikal

    Tetak bapa saudara kerana caj mahal baiki motosikal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki menetak bapa saudaranya menggunakan pisau pemotong daging, gara-gara tidak berpuas hati dengan caj terlalu mahal yang dikenakan di kedai membaiki motosikal milik mangsa di Jalan Jemaluang, Mersing Kecil, Sabtu lalu.

    Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, tindakan ganas tersebut menyebabkan mangsa yang berusia 61 tahun mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri dan paha kanan.

    Difahamkan, ia berpunca akibat suspek tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan ketika berurusan di kedai terbabit.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing, berkata suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu bertindak melarikan diri selepas menetak mangsa.

    Seorang warga emas cedera ditetak anak saudaranya hingga cedera tapak tangan dan paha kanan

    “Suspek adalah anak saudara kepada mangsa dan dia telah melarikan diri sejurus kejadian. Akibat kejadian ini, mangsa mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri dan paha kanan.

    “Mangsa telah dirawat di Hospital Mersing dan kita menerima laporan kejadian pada pukul 6.42 petang,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

    Bagaimanapun, Cyril berkata, polis yang menerima maklumat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing akhirnya berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Taman Intan Mersing pada hari yang sama.

  • Pekerja binaan maut dihempap besi perancah

    Pekerja binaan maut dihempap besi perancah

    SEORANG pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas dihempap besi perancah di tapak projek pelupusan sampah di Tanah Merah, Port Dickson, semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian jam 2 petang itu mangsa Shonamoni Ghosh, 38, yang tidak sedarkan diri dibawa ke Klinik Kesihatan Lukut untuk pemeriksaan lanjut, namun disahkan meninggal dunia semasa di klinik berkenaan.

    “Siasatan awal di aras lapan di tapak projek tersebut mendapati lelaki itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihempap besi ‘scaffolding’ yang mempunyai muatan ‘metal deck’. Hasil ‘swab test’ pertama dijalankan ke atas lelaki berkenaan adalah negatif,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Jelasnya, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan luaran dan tiada unsur jenayah selain kejadian terbabit dilaporkan sebagai kemalangan di tempat kerja.

    Aidi Sham berkata berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA

  • Wanita maut dilanggar motosikal anggota polis

    Wanita maut dilanggar motosikal anggota polis

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pejalan kaki wanita maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di Kilometer 6 Jalan Kluang-Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa, Ang Hui Yin, 46, melintas dari kanan ke kiri jalan pada pukul 7.45 pagi.

    “Sebuah motorsikal yang ditunggang seorang lelaki berumur 53 tahun yang merupakan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat yang dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Parit Raja ke Batu Pahat.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian manakala penunggang motorsikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semasa kemalangan katanya, cuaca hujan renyai-renyai dan siasatan dijalankan di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu, patuhi undang-undang dan peraturan jalanraya di samping peka kepada lalu lintas.

    Pejalan kaki katanya, dinasihatkan agar berhati-hati semasa melintas jalan.