Category: Jenayah

  • 2 penghantar makanan dibelasah di pusat hiburan:1 ditahan, 7 lagi diburu

    2 penghantar makanan dibelasah di pusat hiburan:1 ditahan, 7 lagi diburu

    SEORANG lelaki ditahan manakala tujuh lagi sedang diburu polis selepas terbabit dalam kes merusuh di sebuah pusat hiburan di Cyber City, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kejadian itu berlaku pukul 3 pagi, 20 Oktober lalu apabila dua lelaki berusia 19 tahun dibelasah lapan lelaki yang dikatakan dalam keadaan mabuk.

    “Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan dibelasah termasuk menggunakan topi keledar dan kepala tali pinggang.

    “Pergaduhan dipercayai berpunca daripada keadaan kedua-dua pihak yang mabuk dan saling pandang memandang ketika berada dalam pusat hiburan berkenaan.

    “Bagaimanapun, pergaduhan hanya berlaku di luar premis hiburan apabila lapan suspek bertindak menarik seorang mangsa dan terus membelasahnya.

    “Kejadian disedari rakan mangsa yang kemudiannya cuba membantu, namun dia turut dibelasah kumpulan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beberapa hari lalu, tular video berdurasi 31 saat berkaitan insiden pergaduhan yang memaparkan dua individu dibelasah oleh sekumpulan lelaki dipercayai berlaku di luar premis sebuah pusat hiburan di Cyber City.

    Mohd. Zaidi berkata, pergaduhan itu berjaya dileraikan apabila kedua-dua mangsa dibantu orang awam yang turut berada di lokasi kejadian.

    Semua suspek katanya, bertindak melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga warna kelabu, namun mangsa gagal mengingati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

    Kedua-dua mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) dan dirawat sebagai pesakit luar selepas tiada kecederaan serius dialami mereka, katanya.

    Katanya, susulan daripada laporan diterima, pihaknya berjaya mengesan seorang suspek kelmarin manakala selebihnya masih diburu.

    Siasatan ujarnya, diteruskan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi mengetahui punca sebenar kejadian serta usaha untuk mengenal pasti semua suspek.

  • Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui tepi jalan

    Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui tepi jalan

    SEORANG lelaki yang dipercayai dibunuh ditemukan mayatnya di tepi Jalan Sungai Tua-Ulu Yam, Gombak, hari ini.

    Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi pihak polis pada pukul 8.30 pagi sebelum sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bergegas ke lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

    “Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan dipercayai dibunuh.

    “Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan, buat masa ini pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi.

    “Kita masih belum mengetahui sama ada dibunuh di kawasan lain atau sebaliknya, siasatan masih berjalan,” katanya dalam kenyataan.

    Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

  • Polis trafik dilanggar tidak buat laporan atas dasar simpati

    Polis trafik dilanggar tidak buat laporan atas dasar simpati

    ANGGOTA polis trafik yang dilanggar sebuah motor di susur Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke Persiaran Kewajipan tidak membuat sebarang laporan polis terhadap penunggangnya.

    Kejadian tersebut tular dalam media sosial semalam selepas video yang tular berdurasi 28 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan seorang anggota trafik dilanggar oleh penunggang sebuah motosikal.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, dalam kejadian pada jam 7.20 pagi itu, seorang anggota trafik sedang menjalankan tugas di lokasi telah dilanggar oleh penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang hendak memasuki susur tersebut.

    “Kedua-dua individu itu tidak mengalami kecederaan dan tiada kerosakan pada kenderaan.

    “Atas dasar simpati kepada penunggang motosikal tersebut dalam situasi yang dihadapi, maka anggota trafik terbabit tidak membuat sebarang laporan polis terhadap kemalangan yang berlaku sebaliknya meneruskan tugas di lokasi kejadian,” katanya melalui kenyataan.

    Abd. Khalid juga berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat terhadap kejadian yang menimpa anggota polis terlibat.

    “Semoga hubungan ini mencerminkan silaturahim yang erat antara polis dan masyarakat, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat,” katanya.

  • 27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dari China dirampas

    27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dari China dirampas

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas sebanyak 27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dari China yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.

    Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, produk yang dimuatkan dalam sebuah kontena itu ditahan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Selasa lalu.

    Menurutnya, tulang ikan tuna sejuk beku seberat 27,000 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM362,630 itu ditahan kerana komoditi yang dibawa masuk adalah berbeza dengan komoditi yang diisytihar pada Permit Import yang dikeluarkan Maqis.

    “Penahanan telah dibuat bagi tujuan siasatan lanjut,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tulang ikan tuna sejuk beku seberat 27,000 kg itu dianggarkan bernilai RM362,630

    Tambah kenyataan tersebut, pengikraran maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    Di bawah akta itu, mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

    “Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambahnya, Maqis sentiasa komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti serta selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

  • Kes Mitra:SPRM, KPN tubuh pasukan khas siasat

    Kes Mitra:SPRM, KPN tubuh pasukan khas siasat

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menubuhkan pasukan khas siasatan berkenaan penyelewengan peruntukan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

    Pasukan khas tersebut berperanan membuat semakan terhadap kira-kira 310 syarikat yang dikatakan menerima peruntukan di bawah RM1 juta yang akan melibatkan dua fasa siasatan.

    Menurut Harian Metro, fasa pertama yang memberi tumpuan kepada 27 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

    “Fasa kedua pula, SPRM akan bekerjasama dengan KPN untuk memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang menerima peruntukan di bawah RM1 juta.

    “Pasukan penyiasat sudah mengenal pasti 337 syarikat, persatuan dan NGO yang sudah diluluskan geran peruntukan Mitra sejak 2019 hingga tahun ini dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta,” katanya.

    Beliau berkata, pasukan siasatan kini sedang meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra sepanjang tempoh berkenaan.

    “Peruntukan paling tinggi yang diluluskan oleh Mitra ialah pada 2019 iaitu melebihi RM90 juta.

    “Ia diluluskan kepada kira-kira 205 syarikat, persatuan dan NGO. Daripada jumlah itu, terdapat syarikat memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta,” katanya.

    Katanya, pendekatan siasatan memberikan fokus kepada peruntukan melebihi RM1 juta berikutan kekangan bagi menyiasat kesemua 337 program yang disalurkan dalam peruntukan berkenaan.

    Menurutnya, pasukan siasatan sudah mengenal pasti syarikat penerima geran peruntukan di bawah RM1 juta dan akan memanggil mereka untuk siasatan lanjut termasuk mengemukakan bukti bahawa semua geran diterima itu dibelanjakan.

    “Setakat hari ini, seramai 18 pengarah syarikat sudah ditahan untuk membantu siasatan dalam kes berkenaan.

    “Daripada 10 syarikat yang disiasat setakat ini, 80 peratus daripadanya menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi,” katanya.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, siasatan akan diteruskan dengan maklumat baharu.

    Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa lagi pihak akan dipanggil termasuk mereka yang terbabit secara langsung dalam pemberian dana Mitra.

  • 56 pelanggan, 2 pemilik premis hiburan dikompaun RM130,000

    56 pelanggan, 2 pemilik premis hiburan dikompaun RM130,000

    SERAMAI 56 pelanggan dan dua pemilik premis hiburan berusia antara 23 hingga 51 tahun dikompaun sebanyak RM130,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar.

    Dua premis yang beroperasi di Taman Miharja dan Jalan Loke Yew , di sini diserbu Selasa lepas masing-masing pada pukul 10 dan 11.30 malam, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

    Katanya, pelbagai peralatan hiburan dan 441 botol arak pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di dua premis terbabit.

    Beliau berkata, pemilik premis ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976. – BERNAMA

  • Tekong 17 tahun ditahan bawa pemancing tanpa lesen sah

    Tekong 17 tahun ditahan bawa pemancing tanpa lesen sah

    SEORANG tekong bot berusia 17 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas dikesan membawa penumpang tanpa lesen yang sah petang semalam.

    Pengarahnya, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, tekong itu ditahan bersama sembilan penumpang termasuk kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga 64 tahun.

    Menurut beliau, kesemua mereka ditahan di kedudukan 0.3 kilometer dari timur Batu Uban kira-kira pukul 5.40 petang semalam.

    “Tekong bot itu didapati membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan pemeriksaan juga mendapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Abd. Razak, tekong tersebut dalam perjalanan membawa penumpang untuk aktiviti memancing, namun gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang semasa pemeriksaan dilakukan.

    Katanya, bot dan semua yang ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan dirujuk ke ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

    Jelasnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen bot yang sah dan jika didapati bersalah boleh didenda maksimun RM10,000.

    Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada semua pemilik dan tekong bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

    “Penumpang juga harus peka sekiranya ingin menggunakan pengangkutan laut dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa supaya tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

    Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 042626146 atau talian kecemasan MERS 999.

  • Tiada pendakwaan OCS, 3 anggota kantoi berhibur dalam balai

    Tiada pendakwaan OCS, 3 anggota kantoi berhibur dalam balai

    SEORANG ketua balai polis (OCS) di Selangor dan tiga anggotanya dikenakan tindakan tatatertib atas kesalahan berhibur di sebuah balai polis di sekitar Kajang, Julai lalu.

    Memetik laporan BH, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tindakan itu diambil setelah siasatan dijalankan oleh Bukit Aman.

    Walau bagaimanapun, katanya, tiada pendakwaan dikenakan terhadap OCS dan tiga anggota polis terbabit.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, keputusan tidak mendakwa atas pertuduhan jenayah itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.

    “Saya dimaklumkan ujian air kencing kali kedua yang dijalankan untuk pengesahan pakar patologi mendapati pegawai terbabit negatif penyalahgunaan dadah.

    “Mereka juga sudah dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard COVID-19,” jelasnya.

    Beliau menambah empat anggota polis itu masih tertakluk kepada siasatan tatatertib yang sedang dijalankan, yang mana mereka menghadapi pertuduhan mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    “Mereka diarah mengemukakan surat representasi kepada semua pertuduhan berhubung kesalahan mereka sebelum keputusan lanjut dibuat,” katanya.

    Pada 21 Julai lalu, media melaporkan seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan selepas menjadikan bilik di sebuah balai polis di daerah Kajang sebagai lokasi berhibur.

    Serbuan kira-kira pukul 6 petang itu dibuat JIPS Bukit Aman susulan maklumat awam.

    Suspek ditahan ketika sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam bilik di tingkat dua balai berkenaan.

  • Ingkar larangan berhimpun, parti MUDA kena kompaun

    Ingkar larangan berhimpun, parti MUDA kena kompaun

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana mengingkari larangan berhimpun dengan mengadakan sidang akhbar di Melaka.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dalam kenyataan malam ini berkata tindakan itu diambil berikutan perhimpunan berkenaan menyukarkan penjarakan fizikal dilakukan.

    “Kompaun tersebut dikeluarkan kepada penganjur program itu yang juga Pegawai Media MUDA Melaka.

    “Ia selari dengan larangan berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dikeluarkan bermula Isnin lalu,” katanya.

    Berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342, aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

    Afzanizar berkata polis juga sebelum itu telah menasihati penganjur agar memberhentikan sidang akhbar tersebut berdasarkan larangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuat kuasa Isnin lepas sehingga 27 Nov depan, namun diingkari.

    Beliau berkata polis telah memanggil penganjur sidang media berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan telah memaklumkannya melakukan kesalahan di bawah peruntukan 10 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 sebelum kompaun dikeluarkan.

    Setiausaha Agung Penaja MUDA, Amira Aisya Abd Aziz menerusi akaun Twitternya dilapor berkata parti telah dikompaun RM4,000 selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di hadapan Bangunan Stadhuys, Banda Hilir tengah hari tadi. – BERNAMA

  • RM69,030 lesap ditipu beli kucing melalui Facebook

    RM69,030 lesap ditipu beli kucing melalui Facebook

    SEORANG guru tadika mendakwa kerugian RM69,030 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM900 menerusi media sosial, Sabtu lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 25 tahun itu berminat untuk membeli kucing jenis ‘scottish’ dari Indonesia yang diiklankan menerusi Facebook pada 23 Okt lepas.

    “Kemudian wanita berkenaan berbincang menerusi telefon dengan persetujuan harga sebanyak RM900. Mangsa hanya perlu membayar separuh harga dan selebihnya akan dibayar setelah mendapat kucing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Aibee berkata pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM450 ke dalam akaun atas nama Tansiaupenga Siagian melalui pemindahan wang dan kemudian dimaklumkan bahawa kucing tersebut telah ‘dipos’ kepada mangsa.

    Menurut beliau wanita berkenaan telah diminta membuat beberapa bayaran sebagai prosedur sepanjang proses pengeposan kucing tersebut.

    “Justeru, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke dua akaun berbeza berjumlah RM69,030 sejak 23 hingga 24 Okt lepas,” katanya.

    Aibee berkata mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu selain bimbang dokumen seperti gambar kad pengenalan dan alamat rumah disalahgunakan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA