SEORANG lelaki ditahan manakala tujuh lagi sedang diburu polis selepas terbabit dalam kes merusuh di sebuah pusat hiburan di Cyber City, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kejadian itu berlaku pukul 3 pagi, 20 Oktober lalu apabila dua lelaki berusia 19 tahun dibelasah lapan lelaki yang dikatakan dalam keadaan mabuk.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan dibelasah termasuk menggunakan topi keledar dan kepala tali pinggang.

“Pergaduhan dipercayai berpunca daripada keadaan kedua-dua pihak yang mabuk dan saling pandang memandang ketika berada dalam pusat hiburan berkenaan.

“Bagaimanapun, pergaduhan hanya berlaku di luar premis hiburan apabila lapan suspek bertindak menarik seorang mangsa dan terus membelasahnya.

“Kejadian disedari rakan mangsa yang kemudiannya cuba membantu, namun dia turut dibelasah kumpulan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa hari lalu, tular video berdurasi 31 saat berkaitan insiden pergaduhan yang memaparkan dua individu dibelasah oleh sekumpulan lelaki dipercayai berlaku di luar premis sebuah pusat hiburan di Cyber City.

Mohd. Zaidi berkata, pergaduhan itu berjaya dileraikan apabila kedua-dua mangsa dibantu orang awam yang turut berada di lokasi kejadian.

Semua suspek katanya, bertindak melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga warna kelabu, namun mangsa gagal mengingati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

Kedua-dua mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) dan dirawat sebagai pesakit luar selepas tiada kecederaan serius dialami mereka, katanya.

Katanya, susulan daripada laporan diterima, pihaknya berjaya mengesan seorang suspek kelmarin manakala selebihnya masih diburu.

Siasatan ujarnya, diteruskan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi mengetahui punca sebenar kejadian serta usaha untuk mengenal pasti semua suspek.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here