JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas sebanyak 27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dari China yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.

Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, produk yang dimuatkan dalam sebuah kontena itu ditahan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Selasa lalu.

Menurutnya, tulang ikan tuna sejuk beku seberat 27,000 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM362,630 itu ditahan kerana komoditi yang dibawa masuk adalah berbeza dengan komoditi yang diisytihar pada Permit Import yang dikeluarkan Maqis.

“Penahanan telah dibuat bagi tujuan siasatan lanjut,” demikian menurut kenyataan itu.

Tulang ikan tuna sejuk beku seberat 27,000 kg itu dianggarkan bernilai RM362,630

Tambah kenyataan tersebut, pengikraran maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Di bawah akta itu, mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, Maqis sentiasa komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti serta selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here