SEKUMPULAN pemimpin dan ahli PKR Melaka dijangka letak jawatan sekiranya nama mereka tidak dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Memetik laporan FMT, Pengerusi PKR Melaka, Halim Bachik berkata, pihaknya bersedia menunggu perkara itu berlaku.

Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PKR terbabit juga dikatakan mempunyai kaitan dengan ‘kartel’ bekas pemimpin parti tersebut.

Walau bagaimanapun, Halim tidak menjelaskan dengan lebih lanjut siapakah bekas pemimpin PKR terbabit.

Sebahagian ahli-ahli PKR Melaka pula mungkin meletak jawatan apabila pemimpin yang mereka sokong tidak dinamakan sebagai calon.

Jumlah mereka yang dijangka berbuat demikian tidak diketahui namun seperti yang diramalkan oleh Halim, bilangan mereka tidak ramai.

Jangkaan Halim itu tidak mengejutkan kerana PH bakal berdepan PRN Melaka dalam keadaan kucar-kacir.

Sehingga kini, pimpinan PH masih berbelah bahagi berhubung isu membenarkan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang berpaling tadah iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee untuk bertanding mewakili gabungan pembangkang itu.

DAP bertegas menolak pencalonan mereka manakala PKR dan PAN pula dilihat mengambil pendirian yang lebih terbuka dan bersedia mempertimbangkan kemungkinan itu.

Sekiranya empat bekas ADUN terbabit bertanding atas tiket PH, sudah tentu mereka akan diletakkan di kerusi-kerusi yang disandang iaitu Sungai Udang, Pengkalan Kundor, Pengkalan Batu dan Telok Mas.

Langkah tersebut seterusnya akan menidakkan peluang pemimpin atau ahli PKR dan PAN untuk bertanding sebagai calon PH di empat kerusi panas yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang ramai.

Selain itu, kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi oleh calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjadi rebutan antara PKR dan PAN.

Hasrat parti Muda untuk bertanding mewakili PH juga bakal menjejaskan peluang calon-calon muda dari PKR, PAN dan DAP untuk diketengahkan sebagai muka-muka baharu.

Semua situasi berkenaan menyumbangkan kepada suasana tidak harmoni melibatkan PH di Melaka sekali gus bakal menyebabkan mereka tumbang pada PRN yang berlangsung 20 November ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here