Category: Jenayah

  • Cemar sungai, lesen kilang sawit digantung serta merta

    Cemar sungai, lesen kilang sawit digantung serta merta

    LESEN sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit digantung serta merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), sementara kelengkapan operasinya turut disita selepas mendapati mencemarkan Sungai Bahai di Kluang.

    JAS, dalam satu kenyataan rasmi mendapati siasatan lanjut menunjukkan punca pencemaran sungai tersebut adalah daripada ‘Empty Fruit Bunches’ (EFB) sebuah kilang sawit apabila air larutan resapan (lecet) yang terhasil mengalir ke kawasan alur air Sungai Bahai, lapor Berita Harian, hari ini.

    “Susulan aduan awam yang diterima, JAS Kluang menjalankan siasatan ke lokasi diadukan pada kelmarin dan semalam untuk mengenal pasti punca pencemaran.

    “Pihak kilang juga didapati menggunakan kaedah pelupusan di atas ‘staked fronds’ dengan menyembur ke lorong pelepah dan tidak terus ke atas tanah bagi efluen yang diolah untuk pelupusan atas tanah seperti ditetapkan dalam syarat lesen,” katanya.

    Sehubungan itu, pihak kilang tersebut dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan dan lesen kilang sawit digantung serta merta.

    Kenyataan itu juga mengingatkan pihak industri, termasuk kilang sawit untuk memathui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan syarat lesen yang ditetapkan JAS.

    “Tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan lesen akan diambil JAS jika berlaku sebarang pelanggaran akta yang mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan bekalan air minuman atau kesihatan orang awam,” katanya.

    Katanya, orang ramai boleh melaporkan kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1800882727 atau melalui [email protected].

  • Bayi baru lahir dibuang tepi gerai dekat UiTM

    Bayi baru lahir dibuang tepi gerai dekat UiTM

    SEORANG bayi penemuan yang masih hidup ditinggalkan di sebuah gerai makan berhampiran pintu masuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Perlis, Taman Seri Wang, di Arau, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu sekitar pukul 9.10 pagi.

    “Siasatan awal mendapati, sebelum itu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis ada menerima panggilan telefon sekitar 8.20 pagi daripada seorang perempuan memaklumkan dia meninggalkan bayi berdekatan dengan UiTM Kampus Perlis.

    “JKM yang tiba di tempat kejadian sekitar 8.40 pagi kemudian menemukan bayi perempuan masih bertali pusat dalam plastik berwarna hitam diletakkan di kawasan gerai itu seperti didakwa pemanggil perempuan sebelum itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada petugas kesihatan yang kemudian tiba sekitar 9.50 pagi.

    “Bayi itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk rawatan susulan dan bayi itu kini dalam keadaan stabil.

    “Buat masa ini kita sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang dipercayai membuang bayi itu,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

  • Mayat lelaki terapung dalam longkang

    Mayat lelaki terapung dalam longkang

    SATU mayat lelaki tempatan ditemukan orang awam terapung dalam longkang Jalan Papan, Pandamaran, Klang, pukul 8 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihkanya menerima panggilan kecemasan pukul 8.16 pagi.

    “Susulan itu sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Setelah membuat ‘size up’ di lokasi satu mayat lelaki tempatan berusia 44 tahun ditemui dalam sebuah longkang besar.

    “Anggota bomba telah mengangkat mayat tersebut menggunakan pengusung dan tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, mayat terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Polis tahan penganggur warga asing pecah rumah

    Polis tahan penganggur warga asing pecah rumah

    POLIS menahan seorang penganggur warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Cheras Indah, kelmarin.

    Suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang di Taman Lembah Maju, Ampang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, penahanan suspek itu merupakan susulan laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai juruelektrik mendakwa seorang lelaki memecah masuk rumahnya.

    “Suspek dikatakan masuk melalui tingkap bilik pada 24 Mei lalu.

    “Susulan itu pihak polis merampas 12 utas jam pelbagai jenama, tiga buah kamera serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

    “Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes dadah.

    Pihaknya masih mengesan rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

    “Penangkapan suspek itu, kita percaya telah berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Ampang.

    “Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pengguna penstriman haram terdedah kepada risiko kebocoran data peribadi

    Pengguna penstriman haram terdedah kepada risiko kebocoran data peribadi

    INDUSTRI penyiaran negara mengalami kerugian lebih RM3 bilion setahun akibat aktiviti penstriman haram dan cetak rompak.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, orang ramai juga sebenarnya tidak sedar bahawa mereka terdedah kepada kebocoran data peribadi menerusi penggunaan penstriman haram.

    “Mereka yang dapatkan daripada kotak-kotak (penstriman haram) kualitinya amat kurang kalau kita bandingkan daripada yang sebenar dan jauh berbeza.

    “Mereka ini juga terdedah kepada (kebocoran) maklumat dan mereka mungkin akan digunakan untuk scam (penipuan) yang lain. Jadi mereka kena fahamlah tentang perkara itu,” jelasnya ketika hadir merasmikan Seminar Penguatkuasaan Penstriman dan Cetak Rompak Terhadap Industri Penyiaran di Dewan Ketua Polis Negara, Maktab PDRM di Kuala Lumpur, hari ini.

    Seminar yang anjurkan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Katanya lagi, JSJK sewaktu ini sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan operasi yang dilakukan bagi membendung aktiviti berkenaan daripada terus menular.

    Namun jelasnya apa yang penting adalah untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya atau risiko yang dihadapi mereka menerusi aktiviti tersebut.

    Malah JSJK juga telah memperhebatkan kempen pencegahan bagi mendidik dan mendedahkan informasi dari semasa ke semasa malah pada skala yang lebih besar pada bulan ini dan bulan depan.

    Usaha itu penting katanya, memandangkan jenayah komesial yang berlaku sangat terkait dengan sikap orang ramai itu sendiri.

    “Untuk bulan ini dan bulan depan kita akan buat pada skala yang lebih besar dimana pelancarannya kita akan buat di Johor pada hujung bulan Jun ini.

    “Kita nak beri maklumat yang secukupnya kepada masyarakat tentang scam dan juga termasuklah aktiviti-aktiviti jenayah komersial yang lain supaya masyarakat boleh memperkasakan diri mereka,” katanya, lapor Astro Awani.

    Pada masa yang sama, beliau menyifatkan seminar yang diadakan hari ini bertepatan pada masanya untuk pihak JSJK dan juga warga industri seperti Astro untuk berkongsi maklumat dan pandangan bagi turut sama membenteras aktiviti penstriman haram di negara ini.

    Seminar sebegini dilihat sebagai satu jalinan kerjasama yang diperlukan dalam konteks membendung isu jenayah komersial dengan lebih efektif.

  • Mayat bayi perempuan ditemukan dalam bagasi di tepi laut

    Mayat bayi perempuan ditemukan dalam bagasi di tepi laut

    SATU mayat bayi perempuan ditemukan dalam sebuah bagasi yang terapung di tepi laut berhampiran jeti Tanjung Batu Logpond di Tawau pukul 4.30 petang semalam.

    Mayat bayi tersebut ditemukan masih bertali pusat dan ditemui orang awam yang kebetulan berada di lokasi berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat itu polis segera ke lokasi kejadian dan mendapati bayi yang masih bertali pusat itu telah meninggal dunia.

    “Mayat bayi berkenaan kemudiannya dibawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya.

    “Hasil siasatan juga mendapati bagasi itu turut berisi batu dipercayai supaya ia tenggelam di laut.

    “Hasil pemeriksaan awal doktor mengesahkan mayat bayi yang ditemui itu seberat kira-kira satu kilogram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jasmin berkata, kes disiasat Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

  • Enam PATI warganegara India kantoi menyamar kelindan lori

    Enam PATI warganegara India kantoi menyamar kelindan lori

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara India yang menyamar sebagai kelindan lori bagi memasuki negara ini secara haram melalui sempadan Malaysia Thailand, gagal apabila mereka ‘terkantoi’ selepas langsung gagal memahami bahasa Melayu sebaik ditanya oleh pihak berkuasa negara ini.

    Keadaan itu menyebabkan kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 59 tahun ditahan anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta yang bertugas mengawal sempadan negara di Kilometer 1.1, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat Kubang Pasu Selasa lalu.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Hulu Kinta, Superitendan Shamsul Baharin Aman, kesemua mereka ditahan dalam empat buah treler berasingan antara 11.40 malam hingga 11.55 malam, Selasa lalu.

    “Mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita itu diberkas dalam empat treler berbeza yang membawa muatan sayur, barangan runcit dan buah-buahan. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kesemua mereka berlagak seolah-olah kelindan kepada pemandu lori berkenaan.

    “Sehubungan itu, kami turut menahan empat pemandu treler tersebut yang merupakan warga tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun. Kesemua mereka dipercayai menerima upah sebanyak RM500 setiap seorang bagi membawa PATI tersebut dari Pekan Danok, Thailand ke Changlun yang jaraknya hanya sejauh kira-kira lapan kilometer,” katanya.

    Difahamkan kesemua PATI tersebut berada di tempat duduk penumpang treler tersebut sewaktu ditahan. 

    Tambahnya, selain kesemua individu terbabit, polis turut menahan seorang tekong darat berusia 40 tahun yang dipercayai menjadi dalang bagi mengatur kemasukan PATI tersebut.

    Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 manakala kesemua treler bersama sayuran, buah-buahan dan barangan runcit bernilai RM962,000 turut dirampas.

  • 2 wanita antara ditahan sertai 5 geng curi motosikal di Pulau Pinang

    2 wanita antara ditahan sertai 5 geng curi motosikal di Pulau Pinang

    SEBANYAK lima kumpulan sindiket yang aktif mencuri motosikal di dalam Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang berjaya ditumpas polis dalam beberapa serbuan sejak April lalu.

    Lima kumpulan terbabit dikenali sebagai Geng Kupang;Geng Humairah; Geng Chot; Geng Pondok dan Geng Junjong.

    Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, turut ditahan dalam operasi itu ialah seramai 21 ahli kumpulan terbabit termasuk dua wanita bagi membantu siasatan.

    Menurut beliau, pihaknya juga berjaya merampas sebanyak 12 buah motosikal, tiga casis dan sebuah enjin motosikal susulan operasi tersebut.

    “Siasatan mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan pelbagai kes jenayah seperti curi motosikal, pecah rumah dan dadah.

    “Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita percaya beberapa kes kecurian motosikal di sekitar Pulau Pinang yang dilaporkan sebelum ini berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Shafee, sebanyak 37 buah motosikal telah dilaporkan hilang di dalam daerah SPT antara April hingga Mei lalu.

    Susulan itu tambah beliau, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas di bawah Bahagian Siasatan Jenayah untuk menyiasat kes berkenaan.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dari satu tahun atau tidak lebih daripada tujuh tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya.

  • Suami isteri tipu tempahan rumah inap ditahan

    Suami isteri tipu tempahan rumah inap ditahan

    POLIS Terengganu menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes penipuan tempahan rumah inap yang dilaporkan berlaku di negeri itu, baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Supt M. Zambri Mahmud berkata, pasangan suami isteri yang berumur 27 dan 26 tahun itu ditangkap hasil serbuan di sebuah rumah di Dungun, semalam.

    “Dalam serbuan tersebut, turut dirampas masing-masing satu unit kad ATM, telefon bimbit, SD Microkad dan simkad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan reman empat hari sehingga Ahad setelah mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

    Dilaporkan baru-baru ini, hasrat beberapa pelancong untuk bercuti ke Terengganu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap yang ditempah mereka sebenarnya tidak wujud.

    Mangsa dilaporkan cuba menghubungi ‘pemilik’ rumah inap itu namun gagal dan penduduk yang tinggal berdekatan lokasi berkenaan memaklumkan bahawa rumah inap tersebut tidak wujud.

    M. Zambri berkata, setakat ini pihaknya menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang menerima pesanan ringkas daripada satu nombor telefon bimbit yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang, di sini.

    Katanya pada hari yang sama juga mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian sebanyak RM221.50 ke satu akaun dan telah pergi ke ‘rumah inap’ berkenaan namun mendapati ia sebenarnya tidak wujud.

    Sementara itu, kerajaan Terengganu menasihatkan orang ramai yang ingin bercuti ke negeri itu supaya mendapatkan khidmat pelancongan daripada ejen berlesen bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Sulaiman Sulong berkata, Terengganu sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama pada musim cuti sekali gus menyebabkan ada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan cara menipu.

    “Panduan mengenai destinasi pelancongan dan maklumat berkaitan boleh diperoleh menerusi Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

    “Selain itu, senarai ejen pelancongan berlesen dan sah juga boleh disemak melalui laman sesawang https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • PGA rampas rokok, kretek RM505,600

    PGA rampas rokok, kretek RM505,600

    PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Miri merampas 70 kotak rokok putih dan kretek yang disimpan dalam lori ketika Op Kontraban di Jalan Miri-Bintulu, Miri pada pukul 10.30 pagi semalam.

    Menurut Komander PPMW5 Sarawak, Komander Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali, ketika pemeriksaan di laluan terbabit, pasukan Unit Risikan Marin (URM) mengesan lori model dalam keadaan mencurigakan lalu menjalankan pemeriksaan.

    “Pasukan URM menjalankan pemeriksaan ke atas lori terbabit dan mendapati ianya membawa 60 kotak rokok putih dan 10 kotak kretek yang dianggarkan bernilai RM505,600.

    “Hasil semakan mendapati kesemua rokok putih dan kretek terbabit tidak bercukai sekaligus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Pemandu lori berusia 50 tahun turut ditahan,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, suspek beserta barangan rampasan kemudiannya dibawa ke PPMT Miri dan akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk siasatan lanjut.