Oleh RIZQI ZABIDI

Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara India yang menyamar sebagai kelindan lori bagi memasuki negara ini secara haram melalui sempadan Malaysia Thailand, gagal apabila mereka ‘terkantoi’ selepas langsung gagal memahami bahasa Melayu sebaik ditanya oleh pihak berkuasa negara ini.

Keadaan itu menyebabkan kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 59 tahun ditahan anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta yang bertugas mengawal sempadan negara di Kilometer 1.1, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat Kubang Pasu Selasa lalu.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Hulu Kinta, Superitendan Shamsul Baharin Aman, kesemua mereka ditahan dalam empat buah treler berasingan antara 11.40 malam hingga 11.55 malam, Selasa lalu.

“Mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita itu diberkas dalam empat treler berbeza yang membawa muatan sayur, barangan runcit dan buah-buahan. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kesemua mereka berlagak seolah-olah kelindan kepada pemandu lori berkenaan.

“Sehubungan itu, kami turut menahan empat pemandu treler tersebut yang merupakan warga tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun. Kesemua mereka dipercayai menerima upah sebanyak RM500 setiap seorang bagi membawa PATI tersebut dari Pekan Danok, Thailand ke Changlun yang jaraknya hanya sejauh kira-kira lapan kilometer,” katanya.

Difahamkan kesemua PATI tersebut berada di tempat duduk penumpang treler tersebut sewaktu ditahan. 

Tambahnya, selain kesemua individu terbabit, polis turut menahan seorang tekong darat berusia 40 tahun yang dipercayai menjadi dalang bagi mengatur kemasukan PATI tersebut.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 manakala kesemua treler bersama sayuran, buah-buahan dan barangan runcit bernilai RM962,000 turut dirampas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here