SEBANYAK lima kumpulan sindiket yang aktif mencuri motosikal di dalam Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang berjaya ditumpas polis dalam beberapa serbuan sejak April lalu.

Lima kumpulan terbabit dikenali sebagai Geng Kupang;Geng Humairah; Geng Chot; Geng Pondok dan Geng Junjong.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, turut ditahan dalam operasi itu ialah seramai 21 ahli kumpulan terbabit termasuk dua wanita bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, pihaknya juga berjaya merampas sebanyak 12 buah motosikal, tiga casis dan sebuah enjin motosikal susulan operasi tersebut.

“Siasatan mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan pelbagai kes jenayah seperti curi motosikal, pecah rumah dan dadah.

“Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita percaya beberapa kes kecurian motosikal di sekitar Pulau Pinang yang dilaporkan sebelum ini berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shafee, sebanyak 37 buah motosikal telah dilaporkan hilang di dalam daerah SPT antara April hingga Mei lalu.

Susulan itu tambah beliau, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas di bawah Bahagian Siasatan Jenayah untuk menyiasat kes berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dari satu tahun atau tidak lebih daripada tujuh tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here