Category: Belanjawan 2022

  • Mereka tidak akan berhenti kenakan saya, kata Hamzah

    Mereka tidak akan berhenti kenakan saya, kata Hamzah

    KETUA Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa ada pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak akan berhenti berusaha ‘mengenakan’ beliau untuk diheret ke mahkamah.

    Menurut Ahli Parlimen Larut itu, ini sebagaimana dialami pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain dan anaknya sendiri.

    Bercakap kepada Sinar Harian, Setiausaha Agung PN itu berkata, beliau mungkin bukan pemimpin seterusnya dalam PN selepas Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah setakat ini.

    “Saya menyedari kelompok tertentu itu sedang sibuk ‘menggunakan’ agensi kerajaan untuk menyelongkar sekiranya ada kesalahan saya sewaktu berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan bagi dijadikan sebagai modal ‘membunuh karakter’ politik saya,” katanya.

    Pada 5 April lalu, anak bekas Hamzah didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

    Tertuduh Muhammad Faisal Hamzah, 39, yang ketika kejadian merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

  • Wujudkan mekanisme khas struktur semula bantuan kebajikan

    Wujudkan mekanisme khas struktur semula bantuan kebajikan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) mencadangkan agar satu mekanisme diwujudkan untuk menstruktur semula semua jenis bantuan termasuk bagi menangani kesan krisis pandemik COVID-19 daripada pelbagai pihak.

    Bekas Perdana Menteri itu mengakui bahawa rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah dan COVID-19 menyerlahkan lagi nilai murni tersebut apabila ramai individu yang tampil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

    Dalam pada itu, katanya, agensi-agensi yang berkaitan seperti Pusat Zakat, Baitulmal, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) turut tampil membantu.

    Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diwujudkan sistem pengurusan bantuan yang bersifat end-to-end process dan automatik yang mana bantuan boleh terus dimasukkan ke akaun penerima bantuan dalam kadar segera sekiranya berlaku bencana, musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin/miskin tegar.

    “Mewujudkan dasar graduasi bantuan atau Exit Policy bagi membolehkan penerima dibantu dalam jangka masa tertentu sehingga mereka mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan dalam tempoh yang agak lama,” katanya lagi ketika membahaskan Bajet 2022 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Berhubung transformasi kesihatan awam, Muhyiddin berkata, selepas melalui episod getir pandemik COVID-19 lebih setahun lamanya, tidak boleh dinafikan pentingnya untuk menambah baik sistem kesihatan dan penjagaan kesihatan di negara ini.

    Semasa menjadi Perdana Menteri, beliau telah mencadangkan Pelan Induk Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia (National Healthcare System Reform Blueprint) dibangunkan.

    “Ini merupakan iktibar daripada apa yang telah kita lalui yang memperlihatkan kelemahan sistem kesihatan kebangsaan, dari segi logistik, fasiliti malah tahap kesiapsiagaan para profesional dan petugas kesihatan.

    “Sistem kesihatan kita hampir lumpuh impak daripada pandemik yang di luar dugaan kita,” jelasnya.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju bahawa sejumlah peruntukan yang besar perlu untuk menambah baik fasiliti kesihatan dan menjaga kebajikan para petugas kesihatan di dalam negara.

    Namun pada masa yang sama, katanya, kita juga perlu agresif meneroka potensi industri farmaseutikal untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan ubat-ubatan berasaskan kekayaan sumber asli tempatan termasuk herba.

    “Langkah ini akan dapat mengurangkan kebergantungan ubat-ubatan import dan meningkatkan akses ubat-ubatan untuk semua,” katanya.

    Muhyiddin menambah, galakan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang melibatkan institusi tempatan seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga perlu dipertingkatkan.

    “Kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah dana yang mencukupi bagi membiayai intervensi kesihatan terhadap penyakit jarang jumpa (rare diseases) termasuk pembiayaan ubat-ubatan orphan medicines,” ujarnya.

    Di bawah pelan induk kesihatan itu, kata beliau, program khusus pembangunan vaksin melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia mesti diwujudkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan kesihatan awam negara dalam menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa akan datang.

    Muhyiddin memberitahu, sistem penjagaan kesihatan juga perlu memberi tumpuan kepada aspek penjagaan kesihatan mental untuk mewujudkan sistem sokongan yang kukuh kepada rakyat terutamanya kumpulan yang menghadapi masalah tekanan kerja yang serius seperti frontliners iaitu petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan serta guru.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan agar Program Khas (Catch up) peringkat nasional diperkenalkan khusus bagi membantu pelajar di sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang tercicir sepanjang tempoh pandemik sama ada secara hybrid atau bersemuka mengikut kesesuaian pihak sekolah, universiti, guru dan pelajar.

    “Di bawah Catch-up Programme, pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar yang tertinggal untuk diberi tumpuan mengikuti kelas intensif bagi menggilap semula pembelajaran mereka dan memupuk semangat untuk mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.

    “Untuk menjayakan program ini, pihak guru dan sekolah perlu diberikan sokongan seperti penyediaan kemudahan peranti, gajet dan internet serta sokongan moral yang kukuh untuk menangani masalah pelajar yang ketinggalan,” katanya.

    Berhubung jaminan peluang pekerjaan, Muhyiddin berharap kerajaan dapat memberi penekanan terhadap bidang-bidang kemahiran baharu dalam usaha melahirkan pekerja berkemahiran tinggi terutama yang berteraskan transformasi digital.

    Dalam hal ini, katanya, penglibatan agensi seperti HRD Corp dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) perlu ditingkatkan selain penyediaan latihan reskilling dan upskilling yang komprehensif.

    “Inisiatif ini perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen agar ia dapat memberi impak positif terutamanya bagi kumpulan yang paling terkesan seperti belia, siswazah menganggur dan pekerja yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik. Mereka ini mesti dibantu,” jelasnya.

    Bagi merancakkan semula ekonomi negara pasca pandemik COVID-19, beliau berkata, kerajaan hendaklah memberi fokus untuk menarik lebih banyak pelaburan baharu berteknologi tinggi dan teknologi hijau untuk jangka masa pendek dan panjang.

    “Untuk itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama-sama kementerian lain yang berkaitan perlu menggiatkan misi pelaburan ke luar negara di samping meningkatkan kerjasama perdagangan serantau dan global,” jelasnya.

  • Bajet 2022 utamakan kebajikan rakyat – Ismail Sabri

    Bajet 2022 utamakan kebajikan rakyat – Ismail Sabri

    BAJET 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas mengutamakan kebajikan rakyat yang teruk terjejas berikutan pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, keputusan kerajaan membentangkan bajet berjumlah RM332.1 bilion itu dilakukan selepas mengambil kira semua keadaan termasuk kedudukan kewangan negara.

    “Saya telah beritahu sewaktu pra-bajet bahawa bajet ini mengambil kira semua dan kebajikan rakyat adalah amat penting, rakyat telah susah selama setahun dua ini akibat pandemik, ada yang kehabisan wang simpanan.

    “Oleh itu, kita beri bantuan tunai kepada rakyat untuk bantu mereka teruskan kehidupan, bantuan turut diberi kepada syarikat-syarikat mikro yang terjejas teruk kerana tidak boleh menjalankan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Bukit Jalil, di sini.

    Ismail Sabri mengakui bahawa Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas menelan belanja yang besar.

    “Memang benar kita berbelanja besar, kerana kita perlu jaga kebajikan rakyat, saya yakin Kementerian Kewangan akan menguruskan perbelanjaan ini dengan baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam di Dewan Rakyat bahawa Bajet 2022 terlalu besar dan memberi kesan buruk terhadap kewangan negara.

    Sementara itu, Ismail Sabri turut menafikan Bajet 2022 bersifat perkauman seperti didakwa oleh Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

    Ismail Sabri berkata, dalam bajet yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terdapat peruntukan yang disalurkan kepada kaum Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

    “Saya rasa dia tidak faham mungkin dia tidak baca bajet berkenaan, apa-apa pun menteri kewangan akan jawab dengan lebih lanjut di Dewan Rakyat nanti,” katanya.

    Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. – BERNAMA

  • Kementerian Pertahanan tumpu kebajikan warga ATM-Hishammuddin

    Kementerian Pertahanan tumpu kebajikan warga ATM-Hishammuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pertahanan akan mengutamakan aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dengan peruntukan yang diumumkan pada Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen semalam.

    Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, daripada peruntukan yang diterima, RM388 juta dikhususkan untuk membina baharu dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedia ada di seluruh negara.

    Jelasnya, ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyediakan kediaman lebih selesa kepada anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan selain menambah baik infrastruktur sekolah dalam kem ATM.

    “Anggota kita merupakan petugas barisan hadapan dan kita perlu pastikan moral mereka di tahap tinggi.

    “Saya telah nyatakan kalau ada kekangan atau keperluan, mereka boleh hubungi Pejabat Menteri Pertahanan secara langsung,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Lawatan Kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang, hari ini.

    Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd. Zain.

    Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Kementerian Pertahanan akan diperuntukan dana berjumlah RM16 bilion dalam pembentangan Bajet 2022.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebanyak RM11.10 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan pengurusan manakala RM5.04 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

    “Bagi agenda kesiagaan, RM4.5 bilion akan dikhususkan untuk perbelanjaan berkaitan aset bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Selain perolehan aset baharu, ia akan turut melibatkan penyelenggaraan aset-aset sedia ada.

    “Sejumlah RM40.7 juta juga akan diperuntuk untuk pembangunan penyelidikan sains dan teknologi pertahanan yang akan dilaksanakan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride),” ujarnya.

    Hishammuddin menambah, peruntukan diterima kementerian menerusi Bajet 2022 adalah yang tertinggi sejak Rancangan Malaysia Ke-9 membuktikan kerajaan komited memantapkan sektor pertahanan dan keselamatan negara.

  • Kedah hargai sumbangan peruntukan khas untuk negeri kurang maju

    Kedah hargai sumbangan peruntukan khas untuk negeri kurang maju

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Langkah kerajaan Persekutuan memberi peruntukan khas berjumlah RM20 juta, khusus untuk negeri-negeri kurang maju termasuk Kedah, amat dihargai.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan pimpinannya dalam masa sama turut berterima kasih terhadap peruntukan projek mencegah hakisan di Pantai Merdeka serta projek eksplorasi pelancongan sejarah di Kompleks Arkeologi Sungai Batu.

    Katanya, perhatian diberikan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)terhadap aset warisan sejarah yang amat bernilai di Sungai Batu, diyakini akan menjadi tarikan baharu buat peminat dan komuniti penyelidik dari seluruh dunia.

    “Selain itu, peruntukan yang tidak secara langsung disalurkan terutamanya untuk projek menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar seperti jalan kampung dan kemudahan telekomunikasi di bawah program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), turut memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.

    “Demikian juga bantuan pemulihan ekonomi yang disalurkan kepada komuniti usahawan kecil, pekebun kecil, penoreh getah dan lain-lain kumpulan berpendapatan rendah. Langkah itu diharap akan dapat membantu mereka yang terlibat untuk segera keluar dari belenggu kemelesetan pasca pandemik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Selain itu, Muhammad Sanusi turut menzahirkan penghargaan terhadap langkah kerajaan Persekutuan untuk memberi peruntukan ‘one off’ kepada guru takmir dan pegawai-pegawai masjid.

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, walaupun peruntukan khas diberi kepada Kedah jauh lebih kurang berbanding jumlah yang dimohon, kerajaan negeri yakin pintu rundingan akan terus dibuka oleh kerajaan Persekutuan untuk Kedah mendapat peruntukan khas lebih tinggi.

    “Ini bukan semata-mata kerana Kedah sebuah negeri miskin tetapi turut bersabit dengan pengorbanan dilakukan negeri ini demi kepentingan negara.

    “Sebagai penyumbang utama keperluan beras negara dengan jumlah 43 peratus, kami terpaksa mengekalkan tanah sawah di Kedah yang jika ditukar kepada status komersial dan industri, akan memberi pulangan berlipat kali ganda kepada kerajaan negeri,” katanya.

    Selain itu katanya, Kedah dalam masa sama terpaksa mengekalkan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar yang sebahagian besarnya berada di Ulu Muda kerana kerana lokasi itu menjadi kawasan tadahan sumber air tidak hanya untuk kegunaan rakyat Kedah, malah rakyat Pulau Pinang.

    “Atas pengorbanan itu, saya berharap untuk dapat terus berunding dengan kerajaan Persekutuan dari masa ke masa walaupun tidak dinyatakan jumlah peruntukan khas itu tidak dinyatakan dalam belanjawan kali ini,” katanya.

  • Bajet 2022 tumpu pemulihan negara pascapandemik – Menteri

    Bajet 2022 tumpu pemulihan negara pascapandemik – Menteri

    BAJET 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dilihat menitikberatkan agenda sosial, pendidikan dan keselamatan rakyat dalam usaha pemulihan negara melibatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia pascapandemik.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2022 iaitu sebanyak RM52.6 bilion dan akan memanfaatkannya demi memastikan ekosistem pendidikan negara terus diperkasa.

    “Terima kasih YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan kerajaan secara keseluruhannya di atas keprihatinan kepada pembangunan generasi pewaris negara. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kementerian berkenaan diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan berimbang untuk dimanfaatkan Keluarga Malaysia.

    “Pasukan KPKT akan meneruskan komitmen untuk menyampai kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

    Bajet 2022 dibentangkan Tengku Zafrul yang menekankan tiga fokus utama iaitu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

  • Penjawat awam terima Bantuan Khas Kewangan RM700, pesara RM350

    Penjawat awam terima Bantuan Khas Kewangan RM700, pesara RM350

    SERAMAI 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata manakala seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

    “… (kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Perkara itu adalah antara yang cadangan di bawah strategi keempat iaitu “Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam” Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

    Beliau berkata kerajaan turut akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dengan mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak mereka.

    Katanya, kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antara lain memperuntukkan RM365 juta untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

    Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara, selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

    Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental. – BERNAMA

  • Bajet 2022 memacu kesejahteraan Keluarga Malaysia

    Bajet 2022 memacu kesejahteraan Keluarga Malaysia

    KERAJAAN membentangkan Bajet 2022 hari ini dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM332.1 bilion untuk menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata bajet mengembang itu mengambil aspirasi konsep Keluarga Malaysia dan turut dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19.

    “Bajet 2022 diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini, juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah bajet yang inklusif, mampan dan seimbang,” katanya ketika membentangkan bajet bertema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

    Bajet 2022 itu meneruskan pemberian bantuan wang tunai langsung secara bersasar kepada rakyat, memperkasakan aspek pendidikan dan kesihatan dengan menyediakan peruntukan terbesar kepada kedua-dua sektor berkenaan dan menjana peluang pekerjaan.

    Tengku Zafrul dalam Bajet 2022 itu mengumumkan pemberian inisiatif tunai langsung Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun hadapan dengan peruntukan RM8.2 bilion untuk disalurkan kepada 9.6 juta penerima.

    Memandangkan peperangan terhadap pandemik COVID-19 belum berakhir, peruntukan RM4 bilion disediakan khusus untuk agenda menangani COVID-19 bagi membiayai program vaksinasi dan meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam.

    Dalam mengutamakan aspek kesihatan awam bagi membina daya tahan negara sebagai persediaan ke fasa endemik COVID-19, Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 menyediakan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

    Menyedari krisis pandemik telah memburukkan kehidupan sosial sehingga mencetuskan kesempitan hidup, keganasan rumah tangga dan kemurungan, Bajet 2022 memperuntukkan RM70 juta bagi memastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan.

    Seperti kelaziman belanjawan negara yang memberi tumpuan kepada sektor pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara, Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 menyediakan peruntukan RM52.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan manakala RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

    Kerajaan juga akan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 setiap pelajar untuk tiga juta murid yang layak sebagai persediaan ke sekolah, berbanding RM100 sebelum ini.

    Sebagai menghargai jasa guru melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) terutamanya semasa pandemik COVID-19, Bajet 2022 menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar RM100 secara sekali bayar kepada lebih 400,000 guru.

    Menteri Kewangan itu berkata penggunaan peranti telekomunikasi kini menjadi semakin penting khususnya bagi golongan pelajar institusi pengajian tinggi, justeru kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar golongan B40 di bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

    Ekoran krisis kesihatan akibat COVID-19 yang melanda negara sejak 2020 telah menjejaskan sektor pekerjaan dan mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran, Bajet 2022 merangka untuk mewujudkan 600,00 jaminan peluang pekerjaan pada tahun hadapan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau JaminKerja dengan peruntukan RM4.8 bilion.

    “Diharapkan melalui pelaksanaan inisiatif JaminKerja serta langkah pemulihan ekonomi, ia dapat menurunkan kadar pengangguran negara kepada empat peratus dan mencapai tahap guna tenaga penuh,” katanya.

    Belanjawan itu turut mencadangkan insentif bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tertentu seperti Orang Kurang Upaya, Orang Asli, banduan dan mengalakkan wanita kembali bekerja, selain memberi pelepasan cukai bagi menghadiri latihan dan meningkatkan kemahiran.

    Menyentuh tentang jaringan keselamatan sosial, Tengku Zafrul dalam pembentangannya mencadangkan pengukuhan sistem perlindungan sosial termasuk meningkatkan kadar pencen ilat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), meluaskan pelepasan cukai untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja dalam sektor gig.

    Tengku Zafrul berkata pelbagai inisiatif menyeluruh diambil kerajaan dalam Bajet 2022 untuk melaksanakan strategi membangun sebuah Keluarga Malaysia meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina dan wilayah.

    Antaranya ia meliputi agenda pemerkasaan Bumiputera yang menyaksikan peruntukan RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera, pengimarahan syiar Islam (RM1.5 bilion), pembangunan kaum Cina dan India (RM345 juta), anak-anak Sabah dan Sarawak bagi mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan (RM10 juta) dan Orang Asli (RM274 juta).

    Bajet 2022 itu turut memberi perhatian kepada kaum hawa termasuk menyediakan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan mereka dalam sektor ekonomi selain menitikberatkan aspek kesihatan termasuk menyediakan peruntukan bagi subsidi ujian subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks.

    Tengku Zafrul berkata bagi menjaga keselamatan kanak-kanak, kerajaan akan mensubsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40.

    Selain menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU, Bajet 2022 mencadangkan kuota khas satu peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU serta kerajaan untuk menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU.

    Dalam usaha membina kehidupan yang kondusif, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan lebih RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif dalam Bajet 2022 bagi meminimum kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harga barang dan perkhidmatan.

    Menyedari kesukaran akses pengangkutan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, kerajaan akan terus memberikan subsidi RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat.

    Kerajaan juga akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah dengan menyediakan peruntukan lebih RM2.5 bilion bagi infrastruktur luar bandar termasuk pembinaan jalan raya, air dan bekalan elektrik.

    Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara tidak dikompromi, Bajet 2022 memperuntukkan masing-masing RM16 bilion dan RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi memulihkan sektor-sektor tumpuan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti pelancongan, kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi melaksanakan tujuh inisiatif antaranya seperti Program Subsidi Upah bersasar kepada pemain industri pelancongan dan pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan.

    Sejumlah RM188 juta disediakan untuk merancakkan aktiviti industri kreatif seperti inisiatif Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, program Perkasa Modal Insan dan perlindungan PERKESO kepada golongan artis.

    Dalam menyediakan kemudahan jalur lebar terkini kepada Keluarga Malaysia, pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan RM700 juta untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 buah sekolah terutamanya di luar bandar.

    Belanjawan itu turut meneruskan pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.5 bilion.

    Dalam ucapan pembentangan selama dua jam itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah, dan RM350 bagi kira-kira sejuta pesara kerajaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

    Beliau turut mengumumkan gantian cuti rehat maksimum 150 hari dinaikkan kepada 160 hari bagi mengiktiraf pengorbanan penjawat awam ketika menangani krisis COVID-19.

    “Dalam menangani krisis COVID-19, ramai penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasannya dan antaranya tidak berpeluang bercuti,” katanya.

    Tengku Zafrul berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan jawatankuasa pemantauan yang diselaras oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan semua inisiatif Bajet 2022 berjaya mencapai objektif yang disasarkan.

    Bajet 2022 adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept. – BERNAMA

  • Kaum Cina, India, Orang Asli terima manfaat Bajet 2022

    Kaum Cina, India, Orang Asli terima manfaat Bajet 2022

    INISIATIF menyeluruh buat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina dan wilayah dilaksana melalui Strategi Membangun Sebuah Keluarga Malaysia dalam Bajet 2022.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejumlah RM200 juta disediakan khusus untuk kaum Cina antaranya untuk melaksana program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan skim pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

    Bagi kaum India pula, beliau berkata RM145 juta disediakan antaranya untuk melaksana program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN Nasional.

    Katanya kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan serta pelaksanaan aktiviti-aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.

    “Dalam menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan, RM10 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

    Tengku Zafrul berkata RM274 juta pula diperuntukkan bagi melaksana program peningkatan taraf hidup komuniti Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 Orang Asli.

    Katanya bagi tahun hadapan, kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah komuniti berkenaan kepada RM4 sehari.

    Bagi mendokong agenda perpaduan dan budaya sukarela di peringkat komuniti, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM50 juta bagi geran RM6,000 untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang akan memanfaatkan lebih 8,000 KRT. – BERNAMA

  • Bajet 2020: Belia terima kredit e-dompet RM150 melalui e-Start

    Bajet 2020: Belia terima kredit e-dompet RM150 melalui e-Start

    BELIA berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi bakal menerima kredit RM150 secara sekali beri dalam akaun e-dompet masing-masing menerusi program e-Start, sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program itu akan memanfaatkan lebih 2 juta belia dengan peruntukan bernilai RM300 juta.

    “… (diharap) belia yang menerima manfaat daripada program ini dapat menggunakan sebaiknya melalui pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata Bajet 2022 turut menyediakan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara selain memperuntuk RM10 juta kepada Majlis Sukan Negara khusus untuk meningkatkan program latihan atlet orang kurang upaya (OKU) dan melaksanakan Liga Sukan OKU.

    Katanya bagi memastikan rakyat kembali aktif selaras pemulihan pasca COVID-19, sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara.

    “Bagi merancakkan pertumbuhan e-Sukan pula, RM20 juta disediakan bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

    “Kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-Sukan yang layak,” katanya.

    Tengku Zafrul turut menyeru pihak swasta untuk memberikan elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat mereka memandangkan kerajaan telah mula membayar jumlah elaun yang sama kepada pelatih industri sejak 2019.

    Beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan, yang menyaksikan peningkatan berbanding RM800 sebelum ini.

    “Kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2,” katanya. – BERNAMA