Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEMENTERIAN Pertahanan akan mengutamakan aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dengan peruntukan yang diumumkan pada Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, daripada peruntukan yang diterima, RM388 juta dikhususkan untuk membina baharu dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedia ada di seluruh negara.

Jelasnya, ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyediakan kediaman lebih selesa kepada anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan selain menambah baik infrastruktur sekolah dalam kem ATM.

“Anggota kita merupakan petugas barisan hadapan dan kita perlu pastikan moral mereka di tahap tinggi.

“Saya telah nyatakan kalau ada kekangan atau keperluan, mereka boleh hubungi Pejabat Menteri Pertahanan secara langsung,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Lawatan Kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd. Zain.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Kementerian Pertahanan akan diperuntukan dana berjumlah RM16 bilion dalam pembentangan Bajet 2022.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebanyak RM11.10 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan pengurusan manakala RM5.04 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Bagi agenda kesiagaan, RM4.5 bilion akan dikhususkan untuk perbelanjaan berkaitan aset bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Selain perolehan aset baharu, ia akan turut melibatkan penyelenggaraan aset-aset sedia ada.

“Sejumlah RM40.7 juta juga akan diperuntuk untuk pembangunan penyelidikan sains dan teknologi pertahanan yang akan dilaksanakan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride),” ujarnya.

Hishammuddin menambah, peruntukan diterima kementerian menerusi Bajet 2022 adalah yang tertinggi sejak Rancangan Malaysia Ke-9 membuktikan kerajaan komited memantapkan sektor pertahanan dan keselamatan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here