BAJET 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dilihat menitikberatkan agenda sosial, pendidikan dan keselamatan rakyat dalam usaha pemulihan negara melibatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia pascapandemik.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2022 iaitu sebanyak RM52.6 bilion dan akan memanfaatkannya demi memastikan ekosistem pendidikan negara terus diperkasa.

“Terima kasih YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan kerajaan secara keseluruhannya di atas keprihatinan kepada pembangunan generasi pewaris negara. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kementerian berkenaan diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan berimbang untuk dimanfaatkan Keluarga Malaysia.

“Pasukan KPKT akan meneruskan komitmen untuk menyampai kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Bajet 2022 dibentangkan Tengku Zafrul yang menekankan tiga fokus utama iaitu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here