Category: Pendapat

  • Tidak wajar bakar jambatan kerjasama dan persaudaraan

    Tidak wajar bakar jambatan kerjasama dan persaudaraan

    Oleh DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

    PAS adalah parti politik Islam. Dasarnya ialah Islam. Rujukannya ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Untuk menghurai, menjelas dan mentafsir dasar Islam yang dipegang oleh PAS dan bagi memberi arahan dan perintah supaya dasar Islam sentiasa dipatuhi oleh PAS maka ditubuhkan Majlis Syura ‘Ulamak yang diketuai dan dipimpin oleh Mursyidul ‘Am. Inilah yang termaktub dalam Perlembagaan PAS pada Fasal 3, 7 dan 8.

    Ia bermaksud bahawa PAS dipimpin oleh dasar Islam yang diberi mandat untuk memeliharanya kepada himpunan alim ulamak yang membentuk kepimpinan para ulamak untuk memastikan PAS pada setiap masa berjalan dan seiring dengan dasar Islam. Inilah asas kepada kepimpinan para alim ulamak dalam PAS. Ia adalah kepimpinan jama’ei oleh para alim ulamak dalam PAS yang dipimpin oleh Mursyidul ‘Am untuk sentiasa memantau dan memberi arahan kepada parti. Hal ini selaras dengan firman Allah:

    وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ (146)

    “Dan betapa ramai para Nabi, berperang bersamanya “ribiyyun” (orang yang taat pada Tuhan) yang ramai. Maka mereka tidak lemah semangat terhadap apa yang menimpa mereka di jalan Allah dan mereka tidak lemah jasad dan mereka tidak tunduk hina (kepada musuh). Dan Allah sukakan orang-orang yang sabar”
    (Surah Ali Imran:146)

    “Ribiyyun” dalam ayat di atas ditafsirkan oleh Imam Ibnu Kathir nukilan daripada Hasan Basri sebagai merujuk kepada alim ulamak yang ramai, sabar, berkebajikan lagi bertaqwa. Para alim ulamak ini membantu para Nabi dalam perjuangan bagi membentuk saf kepimpinan jama’ei.

    Tujuan PAS telah digariskan dalam Perlembagaan parti Fasal 5 iaitu antaranya ‘memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’.

    Ia bermaksud bahawa perjuangan PAS ialah memastikan Islam tertegak dalam masyarakat. Ia memerlukan kerja dakwah yang berterusan. Surau dan masjid menjadi antara medan utama PAS menyampaikan dakwah. Dakwah dalam bentuk tulisan menjadi rencam para ahli dan pimpinan PAS. Pusat pendidikan daripada peringkat asas iaitu PASTI hingga ke Sekolah Rendah dan Menengah seterusnya Universiti menjadi medan pendidikan untuk PAS memacak paksi Islam dalam masyarakat. Diskusi kecil menerusi usrah, seterusnya latihan perkaderan menerusi tamrin dan mukhayyam menjadi asas tarbiyah kepada ahli dan pimpinan PAS. Aktiviti kebajikan diperluaskan dalam masyarakat bagi membawa Islam secara praktikal dalam masyarakat. Itulah kerja-kerja PAS.

    Fasal 5 juga bermaksud bahawa perjuangan PAS ialah perjuangan politik mendapatkan kekuasaan bagi memastikan tertegaknya Islam dalam pemerintahan. Untuk itu PAS melibatkan diri seawal pilihan raya pertama negara 1955 dan telah berjaya memerintah Terengganu dan Kelantan pada tahun 1959. Perjuangan politik PAS ada pasang dan surutnya dari sudut kemenangan memerintah Kerajaan Negeri dan Pusat namun paksinya satu sahaja iaitu Islam serta hukum-hakam Islam dalam pemerintahan.

    Terkini, PAS kembali dianugerahkan penglibatan dalam Kerajaan Persekutuan setelah dulunya dikeluarkan pada 1978. Ia hasil muafakat dan sepakat parti-parti yang mempunyai hala tuju bersama iaitu Islam. Meskipun kerajaan ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menyatukan pemikiran kepimpinannya namun Islam, ukhuwah dan persaudaraan sentiasa menjadi landasan penyatuan kepada semua.

    Dalam usaha perdamaian politik, PAS telah melakar dasar Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) pada April 2016. Ia mengajak semua pihak berpolitik secara damai dan saling bekerjasama untuk kepentingan negara dan rakyat. Dasar ini diperkasakan dalam kerjasama politik PAS dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Jika PAS tidak berjaya untuk memasuki pilihan raya menerusi satu landasan bersama dengan parti-parti politik Melayu Islam maka PAS mengambil politik damai dengan rakan-rakan kerjasama berkempen dalam pilihan raya secara harmoni. Rujukan kita ialah firman Allah:

    وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)

    “Dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah… “
    (Surah al-Maidah: 2)

    Inilah yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Dan ini juga mungkin akan berlaku dalam PRN Johor dan mungkin juga dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Politik matang memagari perbezaan politik malah mendorong untuk sentiasa bekerjasama dalam perkara melibatkan umat meskipun berbeza. Hal ini kerana kerjasama politik tetap diperlukan untuk kebaikan rakyat dan maslahat Islam sama ada sebelum atau selepas pilihan raya. Politik damai dan harmoni inilah yang menjadi dasar PAS dalam berpolitik sebagaimana digariskan oleh Islam.

    Atas dasar itulah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Hashim Jasin telah menegaskan hasil Muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 31hb Disember 2021 bahawa PAS terus memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional sebagai usaha menyatukan kuasa politik Islam. Mursyidul Am menyeru semua pihak menjadikan mesyuarat dan perundingan sebagai medan penyelesaian konflik antara parti Melayu Islam yang bekerjasama. Apa pun konflik yang timbul semua pihak perlu terus bekerjasama dalam konteks yang lebih luas demi kebaikan negara dan umat.

    Dalam Piagam Muafakat Nasional dinobatkan satu peruntukan iaitu “asas rujukan persefahaman ini dan sebarang keraguan mengenainya adalah merujuk kepada sumber-sumber hukum berdasarkan al-Quran, al-Hadith, Ijmak dan Qias”.

    Ia mengambil roh peruntukan dalam Piagam Madinah yang menyebut:

    وأنكم مهما اختلفتم فيه من شئ فإن مرده إلى الله وإلى محمد
    “Dan sesungguhnya kamu apa sahaja perselisihan kamu dalam sesuatu perkara maka tempat rujuknya ialah Allah dan Muhammad”

    Hal ini menjadi asas muafakat antara PAS dan UMNO. Maka sebarang konflik hendaklah diselesaikan dengan merujuk kepada Islam dan empat sumber hukum dalam Islam.

    Peperangan politik jahiliah serang-menyerang antara ahli parti Melayu Islam tidak selaras dengan dasar Islam. Semangat pertembungan jahiliah bukan lagi pendekatan yang relevan dalam situasi muafakat dan sepakat umat. Hal ini sesuai dengan teguran Nabi Muhammad SAW kepada golongan Ansar saat tercetus kembali pergaduhan selepas mereka disatukan oleh Nabi SAW:

    يا معشرَ المُسلِمينَ اللهَ اللهَ أبِدَعْوَى الجاهليةِ وأنا بينَ أظهُرِكُم بعدَ إذْ هدَاكُم ُاللهُ إلى الإسلامِ وأكرمَكُمْ بِهِ وقطَعَ بِهِ عنكُم أمرَ الجاهليةِ واستنقذَكُم به من الكفرِ وألَّفَ به بينَكم

    “Wahai sekalian umat Islam. (Takutlah kepada) Allah! (Takutlah kepada) Allah! Adakah seruan jahiliah (diseru) sedangkan aku masih berada di kalangan kamu setelah mana Allah kurniakan hidayah kepada kamu menerima Islam dan Dia memuliakan kamu dengannya? Dia memutuskan kamu daripada perlakuan jahiliah, menyelamatkan kamu daripada kekufuran dan menjinakkan hati-hati kamu”.
    (rujuk Fathul Qadir, Imam Syaukani)

    Tidak wajar membakar jambatan kerjasama dan persaudaraan kerana salah faham yang boleh diluruskan menerusi mesyuarat dan perundingan. Inilah roh peringatan daripada Mursyidul Am PAS.

    PAS terus istiqamah memimpin umat dan politik negara berasaskan Islam dengan merujuk kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Ahli PAS tentunya terus istiqamah membawa dakwah dan politik damai dalam Islam.

    Terus Istiqamah dengan Perjuangan!

    Penulis ialah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS

  • PAS, UMNO tak nak gaduh dah, malu kokram!

    PAS, UMNO tak nak gaduh dah, malu kokram!

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    HIRUK pikuk apakah ini? Sungguh ia sangat menyedihkan. Menjatuhkan maruah kita sesama umat Islam. Bercakaran di khalayak, saling tuding menuding dan membalas “tembakan”.

    Apakah kita umat Islam tidak ada kitab panduan? Tidak ada rasul bimbingan? Jika ada, kenapa kita masih bersengketa sesama sendiri hanya kerana kuasa politik? Berebut kerusi dan wilayah penguasaan?

    Sampai bila umat ini akan tenang? Sampai bila umat ini akan damai? Sampai bila umat ini akan bersatu?

    Kenapa tidak dihayati dan praktis kata wahyu dalam al-Quran: “dan taatlah olehmu akan Allah dan RasulNya, janganlah kamu bertelingkah antara satu sama lain, kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan, bersabarlah. Sungguh Allah bersama orang yang sabar.” ~ Al Anfaal: 46

    ‎وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

    Ke mana pergi azimat warisan yang soleh berbunyi “BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH”?

    Izinkan saya bertanya lagi … sama ada PAS atau pun UMNO, (yang mewakili parti besar umat Islam di negara ini), bukankah kita semua adalah muslim yang beriman kepada Allah SWT?

    Ya, kita muslim ! Justeru itu .. tenanglah saudaraku. TAMATKAN LAH PERSENGKETAAN ini. Malu pada masyarakat yang menyaksikan kita sesama agama bergaduh tak sudah. Asal ada pilihan raya kita bergaduh. Asal kita bergaduh, ada pilihan raya.

    Saya tahu, semuanya ada alasan.

    “Dia kata aku dulu, maka aku jawablah !”

    “Orang kata kat kita, mana boleh tak jawab, ini maruah kita!”

    “Dia fitnah kita! Mesti balas balik!”

    …. dan 1001 satu alasan lagi yang “kukuh” dan “jitu”.

    Persoalannya ….

    Sampai bila kita akan terus bergelut dan bertelingkah begini? Kemana hilangnya ketenangan dan kesabaran jiwa sebagai seorang muslim?

    Ke mana perginya kematangan kita berpolitik?

    Sahabat-sahabatku pimpinan PAS dan UMNO,

    Saya melihat kita banyak HABISKAN MASA bergaduh dalam perkara yang tidak perlu. Hanya kerana mencari “kepuasan hati”. Melayani kerenah pihak yang antiperpaduan. Terpedaya dengan provokasi licik ejen perpecahan.

    Dalam masa yang sama, kita bercakap bahawa kita mahukan perpaduan.

    Malangnya kita cepat hilang sabar. Panas baran, cepat melatah, terlalu sensitif, CEPAT KOYAK dan mudah terpedaya dengan provokasi yang datang dari segenap arah termasuk menerusi warlord di belakang media.

    Kita bergaduh di tengah laman. Semua orang tengok aksi dan sikap kita. Membosankan. SIKIT-SIKIT GADUH. Kebanyakannya kerana “react” dari kenyataan media.

    Lebih duka jika ada dalam kalangan pemimpin umat Islam dari kedua-dua parti umat Islam ini dah jadi macam kaki gaduh. Asal dia bercakap, cari gaduh. Asal dia menulis di media sosial, cari pasal untuk berbalah. Mencerca dan mengherdik antara satu sama lain.

    Sahabat-sahabatku semua ….

    Anda dan kita semua pemimpin negara, negeri mahupun bahagian dan cawangan. Buktikan kewibawaan kepimpinan anda dan sememangnya negara serta rakyat ini perlukan pemimpin yang berwibawa.

    Serlahkan kehebatan anda memimpin dengan pemikiran yang membawa gagasan besar menyatukan ummah untuk bina kecemerlangan negara dan rakyat.

    Jahitlah luka dan rawatlah kecederaan dengan baik. Jangan dituang minyak pada bara. Bercakaplah dengan ayat yang menyatukan. Menulislah dengan kalimah yang menenangkan.

    Kita berjiwa besar nak menyatukan umat Islam di Palestin supaya ambil semula Al-Quds. Kita punya idea hebat untuk umat Islam di Syria, Yaman, Afghanistan dan lain supaya bersatu. Usah lagi berperang sebaliknya satukan umat dan majukan negara.

    Kenapa tiba-tiba kita berjiwa kecil bila berdepan dengan konflik dalaman negara kita sendiri? Hanya sekadar untuk menyatukan PAS dan UMNO jer pun … kita tak jumpa bilik mesyuarat, kita kehilangan meja rundingan.

    Sahabat-sahabatku …. PAS dan UMNO.

    Tamatkanlah persengketaan ini. Jom kita damaikan hati dan diri kita sendiri.

    Tak nak gaduh dah. Malu kokram!

    Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

  • UMNO dirasuk sifat tamak kuasa, rakus kerusi

    UMNO dirasuk sifat tamak kuasa, rakus kerusi

    Oleh MOKHTAR SENIK

    SAYA tidak tujukan status ini kepada sesiapa yang mencintai Muafakat Nasional (MN) sama ada dari PAS mahupun dari ahli-ahli UMNO.

    Melihat kepada perkembangan terkini UMNO, kelihatan UMNO sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian tanpa PAS dan tanpa Bersatu.

    Erti kata lain, ingin mengembalikan kuasa Barisan Nasional (BN) dengan UMNO sekali lagi menjadi tulang belakangnya.

    Keghairahan itu semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri dari Bersatu kepada UMNO. Kemudian diekori dengan kemenangan besar UMNO di Melaka dan terkini cubaan menguasai Johor pula.

    Suara UMNO Kelantan dan Johor menolak kerjasama dengan PAS mula bergema. Sebelum ini gema tersebut telah disuarakan oleh UMNO Terengganu.

    Kelihatan yang masih agak sayang kepada MN hanya UMNO Selangor, Perlis dan Pahang. Negeri lain saya tidak pasti (sedang memerhati perkembangannya).

    UMNO sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi. UMNO sudah lupa sama sekali dengan kemenangan-kemenangan yangg mereka perolehi dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan PAS.

    Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain sebuah kekalahan.

    UMNObantuan PAS terasa hati
    MOKHTAR SENIK

    Sebelum ini saya menyebut kalau benar-benar ikhlas perjuangan ini demi agama, bangsa dan negara, maka UMNO, PAS dan Bersatu duduk laa baik-baik.

    Jangan ada siapa nak jadi ABANG LONG kepada siapa. Kerana gabungan ketiga-tiga parti gergasi orang melayu ini sudah cukup untuk menyekat Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

    Saya sebut “jangan ada siapa yang nak jadi ABANG LONG kepada siapa” itu dengan maksud jangan ada mana-mana parti terasa mahu mendominasi gabungan itu.

    Kerana dari pengamatan saya, jika mana-mana parti merasa dia lebih besar dari parti-parti lain dalam gabungan itu maka gabungan itu akan pecah.

    Tidak salah jika memberikan UMNO lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli UMNO lebih ramai dari keahlian PAS dan Bersatu. Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai UMNO mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan Bersatu.

    Pada saya, UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi TERLALU KUAT kerana bila merasa terlalu kuat, UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya.

    Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar. Itulah yang sedang berlaku kepada UMNO sekarang. UMNO dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. UMNO dah rasa sangat kuat.

    Perlu disedari bahawa latar belakang politik Malaysia ini mana-mana parti tidak akan berjaya menjadi kerajaan tanpa gabungan dengan parti-parti lain. Penguasaan UMNO selama ini sebagai kerajaan pun kerana bergabung dengan belasan parti lain dalam BN.

    Sejarah juga membuktikan apabila PH dibentuk hasil gabungan DAP, PKR dan PAN serta penyertaan Tun Mahathir mereka berjaya mengalahkan BN dan UMNO. Sebuah kekalahan yang mengejutkan.

    Oleh itu, UMNO perlu sedar bahawa UMNO sekarang sudah tidak sama dengan UMNO dahulu. BN sekarang dah tak sama dengan BN dahulu.

    UMNO dahulu adalah UMNO yang perkasa. Ahli UMNO zaman Tun Razak, zaman Tun Hussein, zaman Tun Mahathir, zaman Datuk Seri Najib adalah ahlI yang DENGAR KATA kepada Presiden.

    Tetapi sekarang UMNO zaman Datuk Zahid. Zaman ahli dah tak dengar kata Presiden. Zaman UMNO dah bermazhab-mazhab. Zaman UMNO dah banyak kluster-klusternya.

    Hakikatnya UMNO belum sihat dari tumbukan TKO PRU-14 yang lalu. Pendarahan dalaman masih parah bahkan semakin parah. UMNO tidak mampu pergi jauh secara sendirian ketengah gelanggang musuh.

    Yang kedua BN juga sudah tidak sama dengan BN sebelum PRU014. BN yang ada sekarang adalah BN yang sudah rapuh. Kesetiaan parti-parti komponen BN kepada parti tulang belakangnya telah longgar dan kendur.

    Penyakit osteoporosis yang dihidap oleh BN menjadikan BN sangat lemah untuk menghadapi gabungan PH yang masih kuat.

    Tiada pilihan bagi UMNO selain menguatkan barisan UMNO + PAS + Bersatu. Tapi dengan syarat jangan nak jadi ABANG LONG. Setakat jadi ABANG NGAH tu boleh.

    Belajar tawaduk dan setiakawan. Insya-Allah gabungan ini akan kuat demi agama, bangsa dan negara.

    Penulis ialah Ahli Jawankuasa Kerja Dewan Ulama PAS. Tulisan ini dipetik dari laman Facebook beliau.

  • UMNO mesti rehatkan pemimpin terlibat rasuah – Tun Hamid

    UMNO mesti rehatkan pemimpin terlibat rasuah – Tun Hamid

    Oleh TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

    DALAM ucapan dan rencana saya semenjak tahun 2012, iaitu dua tahun sebelum PRU-14, saya secara konsisten berkata bahawa UMNO berada di atas landasan yang betul, tetapi masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya.

    Untuk pulih semula UMNO perlu membersihkan dirinya daripada pemimpin-pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka hendaklah berundur atau disingkir. Terus terang saya telah menyebut nama DS (Datuk Seri) Najib dan DS Zahid.

    Penyokong-penyokong mereka, terutama sekali orang-orang DS Zahid, sangat marah kepada saya dan mengutuk saya, khususnya keadaan fizikal saya yang uzur itu.  Saya tidak kisah.

    Saya memuji DS Najib kerana melepaskan jawatan Presiden UMNO. Saya juga memuji DS Zahid kerana bercuti apabila beliau dituduh di mahkamah.

    Kebetulan dalam tempoh beberapa bulan itu, apabila DSU (Datuk Seri Utama) Mohamad Hassan memangku jawatan Presiden UMNO dari 20 Disember 2018 ke 30 Jun 2019,  BN, tegasnya UMNO, memenangi tiga pilihan raya kecil secara berterusan.

    Tiga pilihan raya kecil tersebut adalah PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands, Pahang, pada 26 Januari,  PRK DUN N.24 Semenyih, Selangor, pada 2 Mac PRK DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan, pada 13 April.

    *Untuk UMNO berubah, Zahid perlu berundur atau disingkirkan

    Saya merasa lega dan mengharapkan bahawa itu tanda UMNO sudah mula pulih. Tetapi, melihat perkembangan itu DS Zahid kembali semula memegang teraju UMNO. DS Najib pula dibawa balik sebagai Penasihat UMNO. Saya melihat ini sebagai tanda UMNO tidak akan berubah. Apa yang berlaku semenjak itu hingga sekarang menunjuk ke arah itu.

    DS Najib dan DS Zahid nampak seperti mula menggunakan UMNO untuk membebaskan diri mereka daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap mereka, manakala ahli-ahli MKT menurut perancangan mereka. Dalam keadaan itu saya tidak fikir UMNO akan berubah.

    Keputusan PRN Melaka yang di luar dugaan itu menyebabkan saya menulis, antara lain:

    “Pengajaran paling penting kepada UMNO ialah ia mesti sedar bahawa orang Melayu memberinya peluang sekali lagi. UMNO bukan indispensable. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser yang merebak dari dalam.

    ‘’Pemimpin-pemimpin UMNO juga hendaklah berhenti daripada terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-dua faktor inilah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO dalam PRU 14.

    Perlu diingati bahawa kemenangan UMNO/BN di PRN Melaka bukanlah kemenangan bagi DS Zahid. Ia adalah in spite of him. Ini kerana PRN itu bukanlah untuk membolehkannya menjadi Ketua Menteri Melaka atau Perdana Menteri Malaysia.

    Orang Melayu mengundi UMNO/BN kerana sumbangan UMNO kepada mereka dan negara semenjak Merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.

    Dalam kata-kata lain, orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah.

    Untuk berubah, DS Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden UMNO. Demikian juga dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi liability kepada UMNO. Hanya dengan cara itu UMNO akan dapat menarik semula pengundi-pengundi yang lari daripadanya dalam PRU 14.

    Mereka boleh membantu kempen UMNO dari belakang tabir. Elok juga mereka memberi balik apa yang mereka perolehi daripada UMNO selama ini. Kepada ahli-ahli UMNO, ingin saya peringatkan bahawa memekik “Hidup Bossku” sebagai merayakan kemenangan PRN Melaka itu bukan satu cara yang betul. Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi.”

    Seorang bekas Ahli MKT UMNO menyeru ahli-ahli UMNO supaya tidak mempedulikan saya kerana saya sudah bedridden. “Apa yang dia tulis ni aku pun tak pasti ini Tun Hamid tulis ker atau macai mana yang tulis, kan? Dia bedridden, bila masa dia tulis? Dari dia punya otak dia tu, tak tau nak cakap apalah. Dia memang pro, nampak gaya memang pro kepada Muhyiddin. Dan dia tak boleh fikir bahawa Dato Seri Zahid dituduh di mahkamah kerana apa, kerana dia tak nak membubarkan UMNO, kalau dia membubarkan UMNO dia tak didakwa sampai 80 lebih pertuduhan.”

    Tidak mengapa, saya tidak mahu menjawabnya. Saya tidak akan turun ke tingkat itu. Biarlah pembaca berfikir sendiri. Saya cuma hendak mengemukakan satu soalan kepada pemimpin UMNO tersebut: Jika itulah sebabnya DS Zahid dituduh, mengapa dari awal lagi DS Zahid tidak menggunakan alasan itu untuk membuat permohonan mengenepikan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya atau membangkitkan isu itu dalam  soal balas saksi-saksi pendakwaan untuk membolehkannya membangkitkan alasan itu dalam pembelaannya jika dan apabila beliau dipanggil membela diri?

    Biar apa pun, DS Zahid telah dipanggil membela diri dalam 47 pertuduhan, iaitu 12 pertududuhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah), lapan pertuduhan di bawah seksyen 16 (a)(B)   Akta SPRM (rasuah) dan 27 pertuduhan money-laundering. Ertinya, berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Maka, terserahlah kepada beliau untuk membela dirinya.

    *PRN Johor

    Pada masa yang sama, DUN Johor telah dibubarkan dan kemungkinan PRU 15 diadakan dalam masa yang terdekat semakin kuat. Pas tidak boleh diharap untuk berganding bahu dalam menghadapi PRN Johor dan PRU 15. Sebab-sebabnya saya telah beri dalam “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU 15” (22 11 2021). Maka, UMNO perlu menghadapinya sendirian.

    UMNO boleh merasa lega dengan keputusan PRN Melaka itu dan mengharapkan ia akan berulang di Johor. Tetapi, ada faktor-faktor lain yang mungkin menjadi penghalang. Pertama, Johor adalah negeri TS Muhyiddin. Pengaruhnya tentu masih ada, cuma kita tidak tahu setakat mana kuatnya.

    Kedua, ini kali pertama pengundi-pengundi 18 tahun hingga 21 tahun akan mengundi. Kita boleh meneka dengan yakin pengundi-pengundi muda keturunan Cina akan bersepadu mengundi calon DAP dan PH. Tetapi, perkara seperti itu tidak mungkin berlaku kepada pengundi-pengundi muda Melayu: undi mereka akan berpecah, paling kurang kepada empat kumpulan, mungkin lebih.

    Pertama, ada yang idealistik yang merasa mereka lebih pandai daripada semua penjawat awam dan hendak mengubah dunia. Mereka mungkin tertarik dengan parti MUDA yang juga berpusat di Johor.

    Kedua, ada sekumpulan yang menggelar diri mereka liberal, yang tidak mahu dikenali sebagai Melayu lagi dan telah lupa daratan walaupun hanya baru keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi. Mereka ini tentu akan mengundi PH “untuk menentang politik rasis, merobohkan sistem feudal yang lapuk dan mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih adil (fair) kepada semua orang tanpa mengira kaum.”

    Ketiga, ada satu kumpulan yang taksub dengan jenama Islam, sedangkan isinya tiada apa beza dengan yang lainnya. Mereka akan mengundi Pas dan PAN.

    Keempat ialah kumpulan yang merasa terhutang budi kepada BN, khususnya UMNO  yang telah mengubah nasib datuk dan ibu bapa mereka hingga membolehkan keluarga dan diri mereka berada di mana mereka berada sekarang. Mereka tahu UMNO tidak sempurna tetapi, sekurang-kurangnya, ia mempunyai track record yang boleh menjadi asas ukuran. Mereka ini akan mengundi UMNO/BN.

    Perpecahan akan lebih buruk jika Pejuang, Perkasa dan Warisan juga turut serta. Walaupun tidak berapa banyak undi yang mereka akan perolehi, tetapi dalam pertandingan banyak penjuru, ia cukup untuk memberi kemenangan kepada PH. Malays never learn.

    Faktor yang akan amat sangat mempengaruhi golongan muda ini adalah perkataan  “rasuah”, “penyalahgunaan kuasa” dan “integriti”.

    PH akan menggunakan perkataan-perkataan itu sebagai senjata paling tajam mereka terhadap UMNO dan golongan muda  akan termakan dengannya. Sekarang pun PH telah memulakan perang urat saraf itu, dengan membesar-besarkan tuduhan tehadap TS Azam Baki.

    Bagi saya, inilah faktor utama yang, jika tidak ditangani dengan tegas, akan menyebabkan kekalahan UMNO/BN dan memungkinkan berulangnya pemerintahan PH.

    Maka, UMNO tidak ada pilihan. Ia mesti buang imej rasuah yang ada padanya. Ia mesti rehatkan pemimpin-pemimpinnya yang terlibat atau terpalit dengan rasuah. DS Najib dan DS Zahid mestilah berundur atau direhatkan. Diharapkan Majlis Tertinggi UMNO dan/atau Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan pada 16 hingga 19 Mac 2022 ini akan dapat menyelesaikan isu ini sebelum PRN-Johor dan PRU-15. Menunggu Perhimpunan Agung UMNO 2022 mungkin terlalu lewat.

    • Tun Abdul Hamid Mohamad adalah bekas Ketua Hakim Negara.
    • Artikel ini dipetik daripada https://tunabdulhamid.me  bertajuk : UMNO perlu buang imej rasuah sebelum PRN Johor dan PRU 15
    • Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • DAP panik, sentimen anti Lim Guan Eng semakin kuat

    DAP panik, sentimen anti Lim Guan Eng semakin kuat

    Oleh BADRUL HISHAM SHAHARIN

    DAP semakin panik, krisis pertembungan pasukan Lim Guan Eng lawan pasukan bukan pro dinasti Lim semakin kuat.

    Walaupun yang pro Lim ini nama nama besar tetapi yang dikatakan melawan bukanlah kecil seperti Dr Boo Cheng Hau (Johor), Datuk Teng Chang Kim dan ramai lagi orang lama yang berpengaruh dan setia dalam DAP.

    Sebenarnya ramai termasuk yang muda-muda tetapi mungkin kurang sabar maka itu yang ramai pemimpin muda yang berpotensi keluar.

    Tawaran untuk Lim Guan Eng berundur sebagau Setiausaha Agung DAP dalam Pemilihan Agung DAP 20 Mac ini nampaknya seperti tidak mampu meredakan.

    badrul hisham shaharin hidup antivaksin
    BADRUL HISHAM SHAHARIN (Gambar: The Sun)

    Terbaharu dua Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Sabah dan seorang bekas Senator keluar parti.

    Alasan mereka adalah DAP hilang arah dan semakin sombong tidak mahu mendengar akar umbi.

    Namun kawan-kawan DAP di Pulau Pinang mengatakan di sebalik keluarnya 1,000 ahli di Johor dengan bubar 13 cawangan, keluarnya beberapa pimpinan berpengaruh di Pulau Pinang dan terbaharu di Sabah adalah kerana ada ‘pancingan’ dari Warisan sebagai strategi selepas Warisan umum melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia untuk menjadi parti nasional.

    Sejauh mana kebenaran cuma masa menentukan namun akhbar berbahasa Cina berpengaruh iaitu 光华日报 Kwong Wah Yit Poh menerbitkan tulisan ada kemungkinan dua nama besar DAP iaitu Ng Wei Aik dan Jeff Ooi sendiri berkemungkinan akan keluar parti dalam masa terdekat dan tindakan itu turut dikaitkan parti Warisan.

    Penulis ialah Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor. Artikel ini dipetik daripada laman Facebook beliau.

  • Fokus kepentingan rakyat bukan bubar DUN Johor – Pas Kluang

    Fokus kepentingan rakyat bukan bubar DUN Johor – Pas Kluang

    Oleh KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL

    SECARA tiba-tiba tumpuan politik difokuskan ke negeri Johor, kononnya akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat. Kenyataan Dato’ Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor yang menggambarkan bahawa PRN perlu diadakan kerana ketidakstabilan kerajaan yang kini hanya mempunyai majoriti Satu kerusi sahaja masih belum lagi dapat dipastikan lagi sejauh mana keseriusannya.

    Ia bermula dengan berita kematian Dato’ Osman Sapian pada 21 Disember lalu yang menyebabkan kerajaan pimpinan Dato’ Hasni Mohammad semakin berkurang majoritinya sehingga menyebabkan ada ura-ura perlunya diadakan PRN bagi menstabilkan kedudukan kerajaan negeri Johor.

    Walaupun tidak ada kenyataan daripada mana-mana ADUN kerajaan khususnya daripada Pas dan Bersatu  yang mahukan DUN dibubarkan ataupun mahu manarik diri dari menyokong kerajaan namun ia cuba diheret ke arah persepsi bahawa DUN perlu dibubarkan.

    Khairul Faizi Ahmad Kamil

    *Kos PRN Melaka RM46 juta, berapa pula kos PRN Johor?

    Saya masih ingat lagi satu kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebut bahawa kos untuk mengendalikan PRN Melaka baru-baru ini mencecah RM46 juta, bukan satu jumlah yang sedikit. Bukan sedikit jumlah wang yang telah dihabiskan untuk menghadapi PRN Melaka ini. Itu belum lagi kos yang telah dikeluarkan oleh parti-parti yang bertanding semasa PRN Melaka yang lalu.

    Agaknya berapakah jumlah yang perlu diperuntukkan untuk mengadakan PRN di Johor? Sebagai perbandingan, negeri Melaka mempunyai 28 DUN berbanding Johor yang mempunyai 56 DUN dan jumlah pengundi di Johor sudah tentulah jauh lebih tinggi dari Melaka.

    Menteri Besar Johor perlulah mempertimbangkan perkara ini dengan sebaiknya, perlu memikirkan apa yang perlu diutamakan ketika ini. Adakah berbaloi kerajaan menghabiskan wang untuk menghadapi PRN yang sebenarnya boleh ditangguhkan ketika ini.

    Saya berpandangan, dalam soal ini, kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta proses untuk memulihkan ekonomi perlu lebih diutamakan setelah negara dan rakyat menghadapi bencana COVID19 yang masih lagi belum pulih sepenuhnya.

    Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Johor ketika ini tidak melihat bahawa pembubaran DUN adalah sebagai langkah yang perlu diutamakan.

    Justeru perkara yang paling penting kita perlu fokuskan ketika ini adalah kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat negeri Johor. Saya percaya ia juga menjadi pertimbangan Dato’ Hasni untuk membuat keputusan yang penting ini.

    • Khairul Faizi Ahmad Kamil adalah Yang Dipertua Pas Kawasan Kluang

  • Lantikan Azam semasa era PM8 dibuat secara teratur

    Lantikan Azam semasa era PM8 dibuat secara teratur

    Oleh DATUK DR MARZUKI MOHAMAD

    YANG Berhormat Datuk Seri Azalina Othman Said, Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dalam hantaran di Facebook bertanya sama ada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan telah membuat semakan latar belakang Yang Berbahagia Tan Sri Azam Baki sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Untuk pengetahuan umum, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah dibuat di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta SPRM 2009. Di bawah seksyen ini, KP SPRM dilantik oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

    Perdana Menteri pula sepertimana dalam pelantikan mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang lain, biasanya menerima syor daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

    rakyat PH azam baki
    MARZUKI MOHAMAD

    Syor ini diangkat kepada Perdana Menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai yang mana di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan.

    Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ini termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan yang dibuat oleh pelbagai agensi dari masa ke semasa.

    Bagi pegawai yang sedang berkhidmat pula, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta.

    Ada borang tertentu yang perlu diisi dan kaedah tertentu yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytiharkan harta masing-masing.

    Yang Berbahagia Tan Sri Azam Baki adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya.

    Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat.

    Jadi tidak timbul soal sama ada Perdana Menteri Kelapan membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat. Proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan.

    Sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

    Penulis ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri.

  • 2021 – Parlimen terus utuh di sebalik gelora politik,cabaran kesihatan

    2021 – Parlimen terus utuh di sebalik gelora politik,cabaran kesihatan

    BERDEPAN cabaran kesihatan dan politik, Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara, terus berdiri utuh menggubal undang-undang dan menjadi forum membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat.

    Melabuhkan tirainya pada  20 Dis lepas, sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke-14 yang bersidang selama 32 hari antaranya meluluskan Bajet 2022 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara, dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik COVID-19.

    Sejarah turut tercipta pada 14 Dis apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen.

    Mesyuarat kedua yang bermula pada 25 Okt itu berlangsung dalam semangat politik baharu dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos dan Pakatan Harapan (PH).

    Detik bersejarah MoU itu disempurnakan Ismail Sabri dan ketua-ketua parti dalam PH, kira-kira 5 petang pada 13 Sept di bangunan Parlimen bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

    Sementara itu, mesyuarat Dewan Rakyat yang kebiasaannya berlangsung tiga kali bagi setiap penggal hanya berlangsung dua kali pada 2021 susulan wabak COVID-19 yang masih mencengkam negara sehingga kini, sejak ia mula dilaporkan di Malaysia pada awal 2020.

    Mesyuarat pertama bagi penggal ini berlangsung selama 17 hari bermula 13 Sept hingga 12 Okt,  dengan fokus utama adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 oleh kerajaan melibatkan peruntukan RM400 bilion.

    Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun setelah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Jan lepas memberi perkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

    Kira-kira sebulan kemudian Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Susulan itu, pemimpin-pemimpin politik dari blok pembangkang dan kerajaan mula menyuarakan pandangan supaya Parlimen mengadakan persidangan khususnya bagi membincangkan kes penularan COVID-19 sebelum Seri Paduka berkenan menerima menghadap pemimpin politik pada 9 Jun.

    Pada 16 Jun, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan perkara itu turut disokong Raja-Raja Melayu.

    Pada 5 Julai, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.

    Mesyuarat khas pada hari keempat yang sepatutnya membincangkan isu sosial ekonomi rakyat bertukar topik selepas tumpuan beralih kepada isu darurat susulan kenyataan Istana Negara yang menyebut Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum diperkenan Baginda.

    Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyerahkan usul bahawa Dewan Rakyat hilang kepercayaan kepada Muhyiddin dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera.

    Mesyuarat pada hari itu ditangguh lima kali bermula 12.30 tengah hari, sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada 5.15 petang mengumumkan penangguhan mesyuarat pada 10 pagi Isnin, 2 Ogos.

    Bagaimanapun, mesyuarat pada Isnin itu tidak berlangsung selepas notis dikeluarkan Dewan Rakyat menyatakan penangguhan persidangan ke suatu tarikh susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen.

    Rentetan itu, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan penangguhan itu.

    Pada 3 Ogos, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan surat akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin telah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Akhirnya, Muhyiddin pada 16 Ogos mengumumkan meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. – BERNAMA

  • Kenapa DNB tidak sama dengan 1MDB…ini hujahnya

    Kenapa DNB tidak sama dengan 1MDB…ini hujahnya

    DIGITAL Nasional Berhad atau DNB merupakan inisiatif kerajaan untuk melancarkan teknologi 5G dengan lebih cepat dan murah berbanding kaedah lain.

    Secara asasnya, DNB akan membangunkan infrastruktur 5G dan menyewakannya secara pukal kepada syarikat telekomunikasi (telco).

    Telco tidak perlu membangunkan infrastruktur 5G, tetapi hanya menyewa infra tersebut daripada kerajaan.

    Disebabkan faktor ini, semua telco boleh berkongsi jaringan yang sama, yang akhirnya menjadikan kos operasi lebih murah. Membangunkan infrastruktur 5G sendiri menelan kos yang tinggi, dan disebabkan faktor ini, harga perkhidmatan akan menjadi mahal kerana kos tersebut dialihkan kepada pengguna.

    *Capaian ke seluruh negara lebih cepat, kos 50 peratus lebih murah kepada pengguna

    Model DNB ini dijangka memberi manfaat kos 50 peratus lebih murah kepada pengguna berbanding pemberian spektrum berasingan kepada telco.

    Apabila DNB yang membangunkan infrastruktur, maka kaedah ini juga akan menjadikan capaian 5G ke semua kawasan seluruh negara lebih cepat.

    Jika telco sendiri yang membangunkannya, mereka akan membangunkannya mengikut pulangan keuntungan dan ini akan menyebabkan kawasan pedalaman menerima capaian 5G lebih lewat.

    Semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka telah meminta telco untuk memberi pelan pembangunan 5G masing-masing. Semua telco telah membentangkan pelan mereka, dan kesemuanya mengambil masa sehingga 9 tahun untuk melengkapkan capaian 5G ke seluruh negara. Menerusi DNB, seluruh negara akan menerima capaian 5G dalam tempoh 2 tahun sahaja.

    • Tiada monopoli, tidak ‘mengayakan’ mana-mana ahli politik

    Muncul beberapa isu kebelakangan ini mengenai DNB, yang dikatakan memonopoli dan ada juga yang mendakwa  ia ada projek untuk ‘mengayakan’ sesetengah ahli politik.

    DNB bukan monopoli. Jika dilihat kewujudan DNB, ia boleh disamakan dengan kewujudan TNB. Bolehkah kita mengatakan TNB monopoli elektrik? Bolehkah tiba-tiba kerajaan keluarkan lesen untuk mana-mana syarikat atau individu bekalkan elektrik?

    Sama juga jika kita ingin lihat dari segi infrastruktur TNB. Janakuasa, Pencawang hingga ke tiang elektrik, kita ingin swastakan kepada banyak syarikat?

    Jika ini berlaku, kawasan-kawasan pedalaman akan menerima elektrik lebih lambat, kerana syarikat yang berasaskan keuntungan semata-mata tidak akan membangunkan infrastruktur di tempat yang kurang keuntungannya.

    Begitu juga dengan Telekom Malaysia yang membangunkan gentian optik di Malaysia. Semua syarikat lain menyewa daripada mereka, dan tidak membangunkan infrastruktur gentian sendiri.

    • Kerajaan tidak tanggung liabiliti

    Mengenai kos pembangunan infrastruktur 5G oleh DNB. Kos keseluruhan pembangunan 5G ini adalah inisiati pelaburan swasta. Kerajaan tidak menanggung apa jua gerenti dan liabiliti dalam pembangunan ini.

    Daripada RM7.5 bilion perbelanjaan modal, RM4 bilion adalah untuk peralatan vendor dan pelancaran capaian di bawah Ericsson.

    Selebihnya (RM3.5 bilion) adalah untuk sewaan gentian optik di bawah Telekom Malaysia, sewaan tapak daripada pelbagai telco dan pelbagai kos rangkaian dan tenaga (TNB dan Sabah Electricity Board).

    • Boleh tahu ke mana wang DNB dibelanja

    Jadi, jika ada yang ingin samakan DNB dengan skandal 1MDB, kita perlu ingat bahawa, 1MDB tiada dana, segala kutipan dana melalui “government guarantee”, berniaga bukan setakat tidak untung malah perniagaan lingkup, dan duit dialihkan ke sana ke sini dan digunakan untuk barangan mewah seperti beli jet, kapal mewah, hartanah dan macam-macam lagi.

    DNB pula kita tahu ke mana wang dibelanjakan. Kepada Ericsson  yang bangunkan infra bagi pihak kerajaan, kepada Telekom Malaysia, kepada TNB dan kepada pelbagai telco dalam negara yang mempunyai rekod baik. Bukan ke akaun “offshore”.

    Sekarang ini, Telekom Malaysia dan YES telahpun menjadi pelanggan kepada DNB.

    Jadi agak pelik, bila ada yang bersungguh-sungguh tidak sukakan kaedah ini, malah mahu 5G ini dibuat dalam model pemberian spektrum 5G secara terus kepada telco yang akhirnya akan menyebabkan rakyat dan pengguna menanggung kos lebih mahal.

  • Tumbangnya Kerajaan Sudan perampas aset Petronas

    Tumbangnya Kerajaan Sudan perampas aset Petronas

    Oleh : ABDUL MUEIN ABADI

    TERKINI nasib 42 rakyat Malaysia di Sudan dan aset Petronas yang dirampas rejim Abdalla Hamdok pro-Israel hari ini menjadi tumpuan dunia apabila tentera di bawah Jeneral Abdel Fattah al-Burhan bertindak merampas kuasa.

    Sebelum ini, kerajaan Sudan pro-Israel pimpinan Abdalla Hamdok bertindak melampau apabila bukan sahaja merampas aset Petronas pada 5 Oktober, bahkan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengurus Petronas di Sudan pada 12 Oktober.

    Malah, Abdalla Hamdok yang sebelum ini merupakan ahli ekonomi mesra Barat di PBB turut bertindak merampas aset milik Turki, Pakistan, Qatar, dan China, negara-negara yang kurang mesra agenda geopolitik Barat.

    Abdalla Hamdok juga bertanggungjawab mewujudkan hubungan diplomatik Sudan-Israel pada tahun 2020 selepas tumbangnya Jeneral Omar al-Bashir yang bertanggungjawab bekerjasama dengan Petronas dalam membangunkan industri petroleum Sudan.

    Rampasan kuasa Jeneral Abdel Fattah al-Burhan hari ini menyaksikan Abdalla Hamdok yang pro-Israel serta beberapa menteri lagi telah ditahan, manakala lapangan terbang Sudan dilaporkan telah ditutup dan penerbangan antarabangsa dilaporkan telah digantung.

    Seperti diduga, kuasa Barat seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dengan serta-merta mendesak supaya Abdalla Hamdok dibebaskan segera dan mengugut akan menghentikan segala bantuan dan kerjasama antarabangsa dengan Sudan.

    Duta Amerika ke Afrika Jeffrey Feltman menegaskan bahawa rampasan kuasa ke atas rejim Sudan pro-Israel ini ‘tidak boleh diterima sama sekali’.

    Sebelum ini, Duta Jeffrey Feltman itu sendiri menegaskan pentingnya Sudan untuk menuruti pelan peralihan kuasa secara demokrasi yang disokong Amerika di mana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan negatif kepada hubungan bilateral Sudan-Amerika, termasuklah bantuan ketenteraan dan kewangan: “failure to meet key benchmarks will place at risk Sudan’s bilateral relationship with the United States, including significant U.S. assistance, as well as the prospect of security cooperation to modernize the Sudanese armed forces and U.S. support in the International Financial Institutions and for debt relief”.

    Meski pun Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dianggap sebagai ‘Jeneral yang paling bersih daripada rasuah’ berbanding jeneral-jeneral Sudan yang lain, tindakan beliau menjatuhkan kerajaan Sudan pro-Israel hari ini pasti akan mengundang tindak balas dahsyat daripada kuasa-kuasa Barat yang sudah pun melaungkan amaran; bahkan gema bantahan kepada rampasan kuasa tentera ini juga sudah meletus di Khartoum yang menuntut supaya janji pilihan raya diadakan dipenuhi.

    Tumbangnya rejim Abdalla Hamdok ini membuka ruang kepada kemungkinan semakan semula kepada tindakan kerajaan Sudan sebelum ini yang merampas Kompleks Petronas di Khartoum kononnya atas tudahan rasuah. Untuk rekod, langkah Petronas merujuk kes rampasan Sudan sebelum ini ke International Centre for Settlement of Dispute (ICSID) hanya diambil selepas jalan diplomatik melalui Kementerian Luar Negeri tidak membuahkan sebarang hasil.

    Apa yang pasti, nasib 42 rakyat Malaysia di Sudan termasuk 27 pelajar yang berdaftar di sana serta aset Petronas yang dirampas masih memerlukan doa sokongan kita semua rakyat Malaysia. Sama-sama kita doakan semoga Allah peliharakan rakyat Malaysia di sana serta menstabilkan politik Sudan bebas daripada campur tangan kuasa asing yang jelas berkepentingan.

    • Penulis adalah Penyelidik PhD Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda. Artikel ini dipetik daripada HARAKAHDAILY