Oleh MOKHTAR SENIK

SAYA tidak tujukan status ini kepada sesiapa yang mencintai Muafakat Nasional (MN) sama ada dari PAS mahupun dari ahli-ahli UMNO.

Melihat kepada perkembangan terkini UMNO, kelihatan UMNO sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian tanpa PAS dan tanpa Bersatu.

Erti kata lain, ingin mengembalikan kuasa Barisan Nasional (BN) dengan UMNO sekali lagi menjadi tulang belakangnya.

Keghairahan itu semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri dari Bersatu kepada UMNO. Kemudian diekori dengan kemenangan besar UMNO di Melaka dan terkini cubaan menguasai Johor pula.

Suara UMNO Kelantan dan Johor menolak kerjasama dengan PAS mula bergema. Sebelum ini gema tersebut telah disuarakan oleh UMNO Terengganu.

Kelihatan yang masih agak sayang kepada MN hanya UMNO Selangor, Perlis dan Pahang. Negeri lain saya tidak pasti (sedang memerhati perkembangannya).

UMNO sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi. UMNO sudah lupa sama sekali dengan kemenangan-kemenangan yangg mereka perolehi dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan PAS.

Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain sebuah kekalahan.

UMNObantuan PAS terasa hati
MOKHTAR SENIK

Sebelum ini saya menyebut kalau benar-benar ikhlas perjuangan ini demi agama, bangsa dan negara, maka UMNO, PAS dan Bersatu duduk laa baik-baik.

Jangan ada siapa nak jadi ABANG LONG kepada siapa. Kerana gabungan ketiga-tiga parti gergasi orang melayu ini sudah cukup untuk menyekat Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

Saya sebut “jangan ada siapa yang nak jadi ABANG LONG kepada siapa” itu dengan maksud jangan ada mana-mana parti terasa mahu mendominasi gabungan itu.

Kerana dari pengamatan saya, jika mana-mana parti merasa dia lebih besar dari parti-parti lain dalam gabungan itu maka gabungan itu akan pecah.

Tidak salah jika memberikan UMNO lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli UMNO lebih ramai dari keahlian PAS dan Bersatu. Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai UMNO mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan Bersatu.

Pada saya, UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi TERLALU KUAT kerana bila merasa terlalu kuat, UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya.

Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar. Itulah yang sedang berlaku kepada UMNO sekarang. UMNO dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. UMNO dah rasa sangat kuat.

Perlu disedari bahawa latar belakang politik Malaysia ini mana-mana parti tidak akan berjaya menjadi kerajaan tanpa gabungan dengan parti-parti lain. Penguasaan UMNO selama ini sebagai kerajaan pun kerana bergabung dengan belasan parti lain dalam BN.

Sejarah juga membuktikan apabila PH dibentuk hasil gabungan DAP, PKR dan PAN serta penyertaan Tun Mahathir mereka berjaya mengalahkan BN dan UMNO. Sebuah kekalahan yang mengejutkan.

Oleh itu, UMNO perlu sedar bahawa UMNO sekarang sudah tidak sama dengan UMNO dahulu. BN sekarang dah tak sama dengan BN dahulu.

UMNO dahulu adalah UMNO yang perkasa. Ahli UMNO zaman Tun Razak, zaman Tun Hussein, zaman Tun Mahathir, zaman Datuk Seri Najib adalah ahlI yang DENGAR KATA kepada Presiden.

Tetapi sekarang UMNO zaman Datuk Zahid. Zaman ahli dah tak dengar kata Presiden. Zaman UMNO dah bermazhab-mazhab. Zaman UMNO dah banyak kluster-klusternya.

Hakikatnya UMNO belum sihat dari tumbukan TKO PRU-14 yang lalu. Pendarahan dalaman masih parah bahkan semakin parah. UMNO tidak mampu pergi jauh secara sendirian ketengah gelanggang musuh.

Yang kedua BN juga sudah tidak sama dengan BN sebelum PRU014. BN yang ada sekarang adalah BN yang sudah rapuh. Kesetiaan parti-parti komponen BN kepada parti tulang belakangnya telah longgar dan kendur.

Penyakit osteoporosis yang dihidap oleh BN menjadikan BN sangat lemah untuk menghadapi gabungan PH yang masih kuat.

Tiada pilihan bagi UMNO selain menguatkan barisan UMNO + PAS + Bersatu. Tapi dengan syarat jangan nak jadi ABANG LONG. Setakat jadi ABANG NGAH tu boleh.

Belajar tawaduk dan setiakawan. Insya-Allah gabungan ini akan kuat demi agama, bangsa dan negara.

Penulis ialah Ahli Jawankuasa Kerja Dewan Ulama PAS. Tulisan ini dipetik dari laman Facebook beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here