DIGITAL Nasional Berhad atau DNB merupakan inisiatif kerajaan untuk melancarkan teknologi 5G dengan lebih cepat dan murah berbanding kaedah lain.

Secara asasnya, DNB akan membangunkan infrastruktur 5G dan menyewakannya secara pukal kepada syarikat telekomunikasi (telco).

Telco tidak perlu membangunkan infrastruktur 5G, tetapi hanya menyewa infra tersebut daripada kerajaan.

Disebabkan faktor ini, semua telco boleh berkongsi jaringan yang sama, yang akhirnya menjadikan kos operasi lebih murah. Membangunkan infrastruktur 5G sendiri menelan kos yang tinggi, dan disebabkan faktor ini, harga perkhidmatan akan menjadi mahal kerana kos tersebut dialihkan kepada pengguna.

*Capaian ke seluruh negara lebih cepat, kos 50 peratus lebih murah kepada pengguna

Model DNB ini dijangka memberi manfaat kos 50 peratus lebih murah kepada pengguna berbanding pemberian spektrum berasingan kepada telco.

Apabila DNB yang membangunkan infrastruktur, maka kaedah ini juga akan menjadikan capaian 5G ke semua kawasan seluruh negara lebih cepat.

Jika telco sendiri yang membangunkannya, mereka akan membangunkannya mengikut pulangan keuntungan dan ini akan menyebabkan kawasan pedalaman menerima capaian 5G lebih lewat.

Semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka telah meminta telco untuk memberi pelan pembangunan 5G masing-masing. Semua telco telah membentangkan pelan mereka, dan kesemuanya mengambil masa sehingga 9 tahun untuk melengkapkan capaian 5G ke seluruh negara. Menerusi DNB, seluruh negara akan menerima capaian 5G dalam tempoh 2 tahun sahaja.

  • Tiada monopoli, tidak ‘mengayakan’ mana-mana ahli politik

Muncul beberapa isu kebelakangan ini mengenai DNB, yang dikatakan memonopoli dan ada juga yang mendakwa  ia ada projek untuk ‘mengayakan’ sesetengah ahli politik.

DNB bukan monopoli. Jika dilihat kewujudan DNB, ia boleh disamakan dengan kewujudan TNB. Bolehkah kita mengatakan TNB monopoli elektrik? Bolehkah tiba-tiba kerajaan keluarkan lesen untuk mana-mana syarikat atau individu bekalkan elektrik?

Sama juga jika kita ingin lihat dari segi infrastruktur TNB. Janakuasa, Pencawang hingga ke tiang elektrik, kita ingin swastakan kepada banyak syarikat?

Jika ini berlaku, kawasan-kawasan pedalaman akan menerima elektrik lebih lambat, kerana syarikat yang berasaskan keuntungan semata-mata tidak akan membangunkan infrastruktur di tempat yang kurang keuntungannya.

Begitu juga dengan Telekom Malaysia yang membangunkan gentian optik di Malaysia. Semua syarikat lain menyewa daripada mereka, dan tidak membangunkan infrastruktur gentian sendiri.

  • Kerajaan tidak tanggung liabiliti

Mengenai kos pembangunan infrastruktur 5G oleh DNB. Kos keseluruhan pembangunan 5G ini adalah inisiati pelaburan swasta. Kerajaan tidak menanggung apa jua gerenti dan liabiliti dalam pembangunan ini.

Daripada RM7.5 bilion perbelanjaan modal, RM4 bilion adalah untuk peralatan vendor dan pelancaran capaian di bawah Ericsson.

Selebihnya (RM3.5 bilion) adalah untuk sewaan gentian optik di bawah Telekom Malaysia, sewaan tapak daripada pelbagai telco dan pelbagai kos rangkaian dan tenaga (TNB dan Sabah Electricity Board).

  • Boleh tahu ke mana wang DNB dibelanja

Jadi, jika ada yang ingin samakan DNB dengan skandal 1MDB, kita perlu ingat bahawa, 1MDB tiada dana, segala kutipan dana melalui “government guarantee”, berniaga bukan setakat tidak untung malah perniagaan lingkup, dan duit dialihkan ke sana ke sini dan digunakan untuk barangan mewah seperti beli jet, kapal mewah, hartanah dan macam-macam lagi.

DNB pula kita tahu ke mana wang dibelanjakan. Kepada Ericsson  yang bangunkan infra bagi pihak kerajaan, kepada Telekom Malaysia, kepada TNB dan kepada pelbagai telco dalam negara yang mempunyai rekod baik. Bukan ke akaun “offshore”.

Sekarang ini, Telekom Malaysia dan YES telahpun menjadi pelanggan kepada DNB.

Jadi agak pelik, bila ada yang bersungguh-sungguh tidak sukakan kaedah ini, malah mahu 5G ini dibuat dalam model pemberian spektrum 5G secara terus kepada telco yang akhirnya akan menyebabkan rakyat dan pengguna menanggung kos lebih mahal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here