Oleh DATUK DR MARZUKI MOHAMAD

YANG Berhormat Datuk Seri Azalina Othman Said, Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dalam hantaran di Facebook bertanya sama ada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan telah membuat semakan latar belakang Yang Berbahagia Tan Sri Azam Baki sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk pengetahuan umum, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah dibuat di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta SPRM 2009. Di bawah seksyen ini, KP SPRM dilantik oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Perdana Menteri pula sepertimana dalam pelantikan mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang lain, biasanya menerima syor daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

rakyat PH azam baki
MARZUKI MOHAMAD

Syor ini diangkat kepada Perdana Menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai yang mana di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan.

Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ini termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan yang dibuat oleh pelbagai agensi dari masa ke semasa.

Bagi pegawai yang sedang berkhidmat pula, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta.

Ada borang tertentu yang perlu diisi dan kaedah tertentu yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytiharkan harta masing-masing.

Yang Berbahagia Tan Sri Azam Baki adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya.

Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat.

Jadi tidak timbul soal sama ada Perdana Menteri Kelapan membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat. Proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan.

Sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Penulis ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here