Author: Admin

  • Tekong 17 tahun ditahan bawa pemancing tanpa lesen sah

    Tekong 17 tahun ditahan bawa pemancing tanpa lesen sah

    SEORANG tekong bot berusia 17 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas dikesan membawa penumpang tanpa lesen yang sah petang semalam.

    Pengarahnya, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, tekong itu ditahan bersama sembilan penumpang termasuk kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga 64 tahun.

    Menurut beliau, kesemua mereka ditahan di kedudukan 0.3 kilometer dari timur Batu Uban kira-kira pukul 5.40 petang semalam.

    “Tekong bot itu didapati membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan pemeriksaan juga mendapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Abd. Razak, tekong tersebut dalam perjalanan membawa penumpang untuk aktiviti memancing, namun gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang semasa pemeriksaan dilakukan.

    Katanya, bot dan semua yang ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan dirujuk ke ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

    Jelasnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen bot yang sah dan jika didapati bersalah boleh didenda maksimun RM10,000.

    Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada semua pemilik dan tekong bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

    “Penumpang juga harus peka sekiranya ingin menggunakan pengangkutan laut dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa supaya tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

    Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 042626146 atau talian kecemasan MERS 999.

  • Anggota bomba tidak boleh cuti jika banjir kritikal

    Anggota bomba tidak boleh cuti jika banjir kritikal

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 12,500 orang anggota bomba di 324 balai seluruh negara perlu bekerja dan tidak boleh mengambil cuti sepanjang musim tengkujuh tahun ini sekiranya situasi banjir menjadi kritikal.

    Namun, jika keadaan tidak begitu mendesak, kira-kira 20 peratus keanggotaan dibenarkan untuk bercuti dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mendapatkan khidmat anggota di negeri lain untuk membantu.

    Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, langkah itu bergantung kepada tahap kritikal yang akan dilalui di kawasan yang berisiko banjir seperti di beberapa buah negeri termasuk di Pantai Timur.

    “Kalau keadaan terkawal hanya 20 peratus sahaja dibenarkan untuk bercuti selain kita akan mengatur gerak bantuan JBPM negeri yang tidak terjejas banjir seperti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan untuk membantu.

    “Kita akan lihat indikator keadaan banjir pada ketika itu. Jika keadaannya terlalu teruk, kita terpaksa bekukan cuti keseluruhan anggota di kawasan yang terjejas malah yang sedang bercuti akan dipanggil bekerja.

    “Negeri yang tidak terkesan akan membantu di kawasan berisiko tinggi supaya tenaga kerja dan logistik mencukupi. Kita juga akan mendapatkan khidmat bantuan Bomba Komuniti dan Sukarela bagi turut sama membantu,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2020 di sebuah hotel di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

    Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, bomba turut bersedia untuk memindahkan pesakit serta keperluan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital di kawasan berisiko tinggi.

    Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan operasi menyelamat dan menempatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

    “Keadaan yang dihadapi ketika ini sangat mencabar kerana berdepan bencana dalam bencana (pandemik Covid-19). Kita kena pastikan mangsa banjir diasingkan sekiranya didapati positif Covid-19.

    “SOP dalam penugasan dioptimakan apabila anggota akan dibekalkan dengan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE). Kita tidak mahu wujud kluster baharu disebabkan penugasan operasi yang dijalankan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, JBPM akan memastikan balu kepada Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh yang meninggal dunia ketika operasi menyelamat di Sungai Putat, Melaka mendapat pembelaan sewajarnya atas sumbangan kepada agensi penyelamat itu.

    Kata Mohammad Hamdan, pihaknya telah menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memohon pertimbangan kenaikan pangkat kepada Mohd. Diya yang dirasakan wajar untuk meringankan beban keluarga mangsa memandangkan Allahyarham meninggalkan empat orang anak.

    Selain itu, katanya, kenaikan pangkat juga perlu bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham yang mati lemas dibawa arus deras dalam kejadian pada 20 Oktober lalu itu.

    “JBPM berharap kerajaan dapat pertimbangkan dan meluluskan kenaikan pangkat ini. Kita juga akan salurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga dan empat orang anak Allahyarham,” katanya.

    Ujar beliau, nama Allahyarham juga telah diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Kuala Kubu, Selangor, pada Selasa lalu.

  • ‘Datuk Seri Panglima’ palsu didakwa tiga pertuduhan

    ‘Datuk Seri Panglima’ palsu didakwa tiga pertuduhan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA pertuduhan menyamar dengan gelaran Datuk Seri Panglima dan satu pertuduhan menipu dikenakan terhadap seorang lelaki di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas perbuatannya pada tahun lalu dan Januari tahun ini.

    Tertuduh, Feroz Musa, 47, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas tiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

    Ketika di Mahkamah Sesyen, lelaki yang bekerja sendiri itu berdepan dua pertuduhan mengakui diri sebagai pemegang sah anugerah Datuk Seri Panglima masing-masing pada pukul 3.12 petang, 23 Jun 2020 di Larkin Perdana dan pada pukul 3.20 pagi, 8 Januari lalu di Jalan Padi Ria 2, Bandar Baru Uda.

    Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Fasal 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tiga atau kedua-duanya.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Feroz didakwa menggunakan gelaran berkenaan untuk memperdaya seorang wanita berusia 45 tahun sehingga memasukkan RM11,600 ke dalam akaun tertuduh antara 24 Disember 2020 hingga 5 Januari tahun ini di Maybank Bandar Baru Uda.

    Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad dan Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq.

    Tertuduh yang pernah berkhidmat sebagai Pengaturcara Sistem Pertahanan Udara itu ketika merayu pengurangan jumlah jaminan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menanggung ibu bapa dan tiga anak.

    Feroz juga mendakwa dia merupakan individu yang mempunyai penyakit kecelaruan personaliti.

    “Saya mempunyai ‘split personality disorder’ yang disahkan Bahagian Perubatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Saya terkena radiasi daripada radar ketika bertugas. Perkara lain adalah rahsia kerajaan yang saya tidak boleh dedahkan,” katanya.

    Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan di Mahkamah Sesyen, manakala Zuhainie menetapkan jaminan RM3,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret.

    Kedua-dua mahkamah itu turut menetapkan tarikh 14 November ini untuk sebutan semula kes.

  • Siapa calon Ketua Menteri Melaka jika UMNO menang?

    Siapa calon Ketua Menteri Melaka jika UMNO menang?

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka sudah ditetapkan pada 20 November ini dengan seramai 495,196 orang layak mengundi berdasarkan senarai pengundi yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu.

    Pelbagai teka-teki dan pertanyaan orang ramai juga telah terjawab terutama soal kerjasama dua parti utama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN) dan UMNO yang terus bernaung dengan Barisan Nasional (BN).

    Kenyataan beberapa pemimpin utama sudah tentu memperlihatkan pertandingan dua penjuru menentang Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin akan berlaku dalam sesi pengundian kali ke-15 rakyat Melaka kelak walaupun mereka sebenarnya harap perkara itu direalisasikan.

    Bukan tiga, malah boleh jadi sampai ke empat, lima penjuru akan berlaku dalam PRN nanti termasuk kemungkinan calon-calon bebas yang akan menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat di negeri paling kecil dalam bahagian Selatan tanah air.

    Maka, sudah tentu kini tumpuan kepada siapa calon di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mahu dipertaruhkan PN, BN dan PH serta parti-parti lain yang mengesahkan untuk bertanding.

    Di sebalik isu calon yang dikatakan sedang dimuktamadkan kesemua parti sebelum proses penamaan diadakan kurang dua minggu dari sekarang, rakyat negeri ini tertanya-tanya siapa pula yang akan jadi Ketua Menteri Melaka selepas ini.

    Kata mereka mampukah penyandang sekarang, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang menang dengan majoriti 627 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di DUN Lendu akan sekali lagi mengangkat sumpah jawatan itu atau ‘terpaksa’ beri laluan.

    Beri laluan di sini ada tiga tafsiran iaitu pertamanya beliau tidak dapat pertahankan kerusi dimenanginya dahulu atau faktor kedua kerana parti diwakilinya tidak mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan negeri seperti terjadi dalam PRU-14.

    Tetapi andai kata kedua-dua tafsiran tersebut berjaya dilepasi tanpa masalah, terdapat satu lagi tafsiran yang menarik perhatian ramai sebenarnya ketika ini iaitu perlukah beliau beri laluan kepada pemimpin yang lebih tinggi hierarkinya dalam parti jika mereka bertanding dan menang.

    Harus diingat, Sulaiman ketika mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-12 ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka, ‘rezeki terpijak’ itu memandangkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi bukan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika UMNO merampas kembali tampuk pemerintahan daripada PH tahun lepas. Ketika ini Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka ialah Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh manakala Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

    Amalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjadi Ketua Menteri atau Menteri Besar sudah berdekad dipraktikan parti itu sebelum ini, melainkan UMNO Melaka tiada masalah untuk meneruskan anjakan paradigma itu selepas ini.

    Tetapi bolehkah perkara itu diteruskan sekiranya UMNO memperoleh majoriti untuk mentadbir Melaka selepas 20 November ini atau pun mengapa tidak Sulaiman diangkat menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang baru memandangkan beliau pun sudah berpengalaman memimpin sebuah kerajaan negeri.

    Tidak ada salahnya pemimpin berkorban demi rakyat seperti dilaung-laungkan sebelum takut-takut mereka pula yang terkorban di tangan pengundi nanti kalau tersilap langkah kerana ‘dipangkah’.

  • Telaga dilimpahi air laut tidak pernah rasa masin

    Telaga dilimpahi air laut tidak pernah rasa masin

    SUDAH agak lama penulis tidak mejejakkan kaki di kampung kelahiran dan tempat bermain ketika zaman kanak-kanak dahulu, iaitu Kampung Pantai Pengkalan Penarik atau dikenali juga dengan nama Kampung Pantai Tukang Perahu.

    Ya, satu kampung dua nama terletak berdekatan Hujung Kuala, Seberang Marang.

    Menurut cerita orang dulu-dulu, nama Pengkalan Penarek berdasarkan aktiviti nelayan pukat tangkul ketika itu yang menjadikan pantai di situ sebagai tempat atau pengkalan untuk mendaratkan ikan dan juga perahu.

    Manakala namaTukang Perahu pula terhasil disebabkan terdapat empat hingga lima keluarga yang tinggal di pesisir pantai ini bekerja sebagai tukang membuat perahu tradisional.

    Bagaimanapun, aktiviti menangkap ikan dengan pukat tangkul dan membuat perahu sudah lama tiada, hanya nama kampung sahaja masih kekal.

    Sebenarnya terlalu banyak kenangan suka dan duka yang penulis lalui sepanjang menetap di kampung ini bersama keluarga.

    Ketika itu hanya terdapat antara 50 hingga 70 keluarga menetap di kampung ini termasuk dua keluarga Cina.

    Rata-rata penduduk merupakan orang Melayu yang bekerja sebagai nelayan tradisional manakala keluarga Cina pula berniaga kedai runcit.

    Bagi kebanyakan golongan wanita kampung, mereka melakukan kerja-kerja menyiang ikan di bangsal milik tauke Cina untuk dijadikan ikan kering.

    Apa yang menarik, keindahan kampung ini bukan sahaja disebabkan panorama alam semulajadinya seperti laut, pantai, pulau serta lambaian pepohon kelapa semata-mata, sebaliknya keunikan air telaganya yang tidak pernah rasa masin walaupun dilimpahi air laut semasa musim tengkujuh.

    Telaga ini terletak di tepi pantai, iaitu 80 meter dari laut manakala di sebelah kiri pula merupakan anak sungai yang menjadi kolam dan boleh menghubungkan hingga ke muara. Setiap kali air pasang kolam ini akan dilimpahi air sehingga hampir 20 meter ke telaga.

    Apabila air surut pada sebelah petang pula, kolam akan bertukar menjadi ‘Stadium Wembley’ tempat remaja kampung bermain bola.

    Seingat penulis, telaga ini menjadi tarikan utama orang ramai ketika itu memandangkan airnya sentiasa jernih dan tidak pernah berasa masin walaupun diminum tanpa dimasak.

    Malah, beberapa kampung lain khususnya dari Kampung Tanjung dan Bukit Conggo (kini Bukit Gasing) kebanyakan datang mengambil air dengan menggunakan perahu jalur panjang yang turut membawa pelbagai bekas termasuk tempayan.

    Memandangkan ketika itu belum ada bekalan air paip dan masyarakat hanya menggunakan air telaga termasuk bagi tujuan memasak dan membasuh, maka setiap hari telaga ini menjadi tumpuan ramai.

    Namun, setelah bertahun berlalu, minggu lalu penulis cuba megintip semula kenangan di kampung kelahiran ini.

    Alangkah terkejutnya penulis apabila melihat suasananya sudah banyak berubah, walaupun telaga tempat penulis mandi manda, minum dan membasuh suatu ketika dahulu masih ada, tetapi ia tidak sejernih dahulu, persekitaran kolam dan anak sungai pula tertimbus dan ditumbuhi semak samun ekoran projek pembinaan benteng pemecah ombak di hujung kuala dan muara sungai Marang beberapa tahun lalu.

  • Operasi cegah merokok di tempat awam ditingkatkan– Khairy

    Operasi cegah merokok di tempat awam ditingkatkan– Khairy

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaludin memohon orang ramai agar mematuhi larangan merokok di tempat awam, terutama di restoran-restoran yang jumlahnya dilihat semakin meningkat.

    Katanya, berikutan arahan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap larangan merokok di tempat awam, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dipatuhi orang ramai.

    “Sejak Januari lalu sehingga 24 Oktober 2021, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan melibatkan perokok dan pemilik premis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.

    Dalam hantaran menerusi Facebook miliknya bertajuk ‘Tolong patuhi arahan larangan merokok di tempat awam’, beliau turut berkongsi gambar-gambar operasi aktiviti penguatkuasaan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kepong di Wilayah Persekutuan pada 23 Oktober lalu dan PKD Johor Bahru di Johor, semalam.

    Beliau berkata, KKM memberi jaminan bahawa lebih banyak operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan selepas ini di seluruh negara agar pematuhan terhadap undang-undang merokok di tempat awam sentiasa dipatuhi.

    Katanya, untuk operasi di sekitar Kepong Sabtu lalu, sebanyak 20 notis kesalahan dikeluarkan membabitkan 15 kesalahan merokok di tempat makan dan lima ke atas pemilik kedai yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

    “Bagi operasi di Johor Bahru semalam pula, sebanyak 30 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B melibatkan 23 kesalahan merokok di tempat makan dan tiga kesalahan dikenakan ke atas pemilik,” katanya.

    Khairy berkata, selain itu, sebanyak empat notis kesalahan juga telah dikeluarkan bagi kesalahan merokok di tempat lain.

    “Saya menyeru orang ramai supaya mematuhi arahan larangan merokok di tempat awam bukan sahaja demi keselesaan bersama, tetapi lebih penting demi kesejahteraan dan kesihatan semua pihak,” katanya.

  • Barang rampasan bernilai RM51.91 juta dilupuskan KPDNHEP

    Barang rampasan bernilai RM51.91 juta dilupuskan KPDNHEP

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melupuskan pelbagai barang rampasan bernilai RM51.91 juta hasil operasi yang dilakukan di seluruh negara.

    Barang berkenaan merupakan hasil rampasan dilakukan pihak KPDNHEP sepanjang tahun ini melibatkan pemeriksaan di 632,242 premis bagi tempoh Januari sehingga September ini.

    Menurut Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam, sebanyak 8,782 tindakan kes telah diambil melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM29.96 juta.

    “Barang rampasan ini melibatkan tindakan kes di bawah pelbagai kesalahan antaranya Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1999, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 membabitkan barang rampasan berkaitan cetak rompak, barang tiruan dan standard keselamatan

    “Secara keseluruhan, sebanyak RM2.19 juta hasil kutipan sementara yang sedang diuruskan kerajaan, RM935,477 adalah hasil jualan lelong, sebut harga, tender dan jualan terus dan RM734,594 lucut hak kewangan perintah mahkamah.

    “Selain itu sebanyak RM4.11 juta kompaun telah dikeluarkan KPDNHEP melibatkan 7,830 kes di seluruh negara tahun ini,” katanya.

    Azman memusnahkan beg tiruan dirampas dan dilupuskan hari ini yang merupakan hasil rampasan dilakukan KPDNHEP sepanjang tahun ini bagi tempoh Januari sehingga September ini. Foto Facebook KPDNHEP

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Ekshibit Mega di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP, Arab Malaysian Industrial Park, Nilai, hari ini.

    Katanya, daripada jumlah itu, 97 kes melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM798,292.

    Menurutnya, berdasarkan kepada tindakan kes pengkompaunan dan pendakwaan tersebut, sebanyak 1,868 kes yang melibatkan barang sitaan telah dilupuskan tahun ini.

    “Sebanyak 22,274 aduan atas pelbagai kesalahan diterima pihaknya dari 1 Januari sehingga 25 Oktober tahun ini,” katanya.

    Jelasnya, berdasarkan statistik, aduan penipuan pembelian transaksi dalam talian paling tinggi diterima iaitu 9,324 aduan.

    “Kita akan sentiasa mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada supaya dapat mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif dan adil,” katanya.

  • Muhyiddin zahirkan kesedihan, ucap takziah kepada keluarga mendiang Koh Hoi

    Muhyiddin zahirkan kesedihan, ucap takziah kepada keluarga mendiang Koh Hoi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan kesedihan dan mengucapkan takziah atas kematian Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi.

    Koh Hoi, 67 yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi PN meninggal dunia pada pukul 4.50 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur akibat jangkitan Covid-19.

    Menurut Muhyiddin, mendiang yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) itu adalah salah seorang tokoh pengasas semasa penubuhan parti PN.

    Tambah beliau, mendiang yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu telah banyak memberikan sumbangan dan bakti kepada negara dan parti.

    “Selaku Setiausaha Agung parti STAR Sabah, beliau cukup dikenali dengan sifat rendah diri dan usaha gigihnya membina Perikatan Nasional tidak hanya di peringkat negeri Sabah tetapi juga di peringkat nasional. Pemergian Koh Hoi merupakan kehilangan besar bagi Perikatan Nasional di seluruh negara khususnya negeri Sabah.

    “Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang dan semoga tabah bagi menghadapi suasana pilu ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

  • Nelayan dikhuatiri lemas selepas jatuh bot

    Nelayan dikhuatiri lemas selepas jatuh bot

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di perairan Kuala Kurau, Parit Buntar, hari ini.

    Ong Boon Lai, 40, disedari hilang pada pukul 6.30 pagi itu sebelum rakan mangsa melaporkan kepada majikan mereka.

    Menurut Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali, operasi cari lamat yang digerakkan pada pukul 9.45 pagi itu masih belum menemui sebarang petunjuk.

    “Operasi pencarian dilakukan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi bersama bot Kilat 9 dengan dibantu Bot Kerambit Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan nelayan setempat.

    “Mangsa dikatakan keluar ke laut menaiki sebuah bot nelayan bersama tiga lagi pekerjanya.

    “Daripada laporan awal diterima, mangsa disyaki terjatuh ke dalam laut di kedudukan 0.6 barat daya muara Kuala Kurau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor merangkumi keluasan 11 batu nautika persegi.

    Katanya, setakat pukul 3.30 petang, mangsa masih belum ditemui.

    “Maritim mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut merujuk ramalan kaji cuaca dan mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk memastikan bot dalam keadaan baik,” katanya.

  • Ah long beri pinjaman secara paksa, ugut bunuh mangsa

    Ah long beri pinjaman secara paksa, ugut bunuh mangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH keluarga di Taman Desa Jaya, Johor Bahru, kini hidup dalam trauma dan ketakutan selepas mendakwa dimalukan serta diugut ah long.

    Seorang lelaki yang dikenali sebagai Ng, 37, berkata, ah long itu turut menyimbah cat merah ke kereta adiknya di rumah ibu bapanya di taman tersebut selain menghantar mesej ugutan kepadanya menerusi aplikasi Whatsapp, pada 8 Oktober lalu.

    Ng memberitahu, kejadian bermula apabila adiknya yang bekerja di sebuah kilang di Singapura itu terdesak untuk menggunakan duit dengan melayari aplikasi pinjaman wang dalam media sosial pada awal September lalu.

    Katanya, walaupun adiknya berubah fikiran untuk membuat pinjaman, namun individu yang menguruskan pinjaman itu tetap meneruskan urusan terbabit dengan memindahkan wang berjumlah SGD1,000.

    “Adik saya tidak bersetuju dengan pinjaman tersebut, namun tetap membuat bayaran penuh beserta bunga. Tidak lama selepas itu mereka memindahkan lagi SGD2,000 kepada adik saya tanpa persetujuannya.

    “Setelah tak tahan berkali-kali diganggu ah long itu, adik bertindak menyekat nombor telefon berkenaan. Kini, kami ahli keluarganya di Johor menjadi sasaran mereka pula,” katanya dalam sidang akhbar di Tebrau, Johor Bahru, hari ini.

    Anak sulung kepada tiga beradik itu berkata, seorang pemilik akaun Facebook bernama Richard Lou telah memuat naik gambarnya bersama-sama keluarga dengan keterangan mendakwa mereka tidak membayar pinjaman yang dibuat.

    Peniaga akuarium itu berkata, dia turut menerima mesej berunsur ugutan menerusi WhatsApp dari nombor telefon berdaftar di Singapura yang mengugut untuk membakar rumah dan keretanya selain menyimbah cat merah.

    “Saya turut menerima mesej WhatsApp daripada nombor telefon tempatan yang menghantar gambar pistol selain memberi amaran berhati-hati ketika keluar dari rumah.

    “Untuk makluman, saya dan isteri tidak pernah membuat pinjaman daripada siapa-siapa pun. Disebabkan bimbang akan keselamatan kami, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Setia Indah, Johor bahru pada 8 Oktober lalu,” katanya.

    Tambahnya, lima hari selepas laporan polis itu dibuat iaitu pada 13 Oktober, dia dihubungi ibunya pada pukul 11.30 malam memberitahu kereta adik bongsunya di rumah Taman Desa Jaya disimbah cat merah.

    Katanya, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan seorang wanita bertindak menyimbah cat merah manakala seorang lelaki menampal notis di pagar rumah yang bertulis ‘ini amaran pertama’.

    “Saya tidak mempunyai musuh dan tak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak. Saya berharap perkara ini berakhir segera kerana tak tahan lagi hidup dalam ketakutan seperti ini,” katanya yang membuat laporan polis kedua di balai sama pada 14 Oktober lalu.