Author: Admin

  • Murid darjah satu didera bapa kandung

    Murid darjah satu didera bapa kandung

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera di badan, muka, siku, telinga serta bibirnya pecah disyaki akibat didera bapa kandungnya sejak dua bulan lalu di Taman Desa Jaya, Sungai Petani di sini.

    Perbuatan itu terbongkar setelah seorang guru di tempat kanak-kanak itu bersekolah curiga kerana anak muridnya memakai jaket dalam kelas sebelum mengetahui dia menjadi mangsa dera bapa sendiri.

    Mangsa dipercayai memakai jaket terbabit bagi menyembunyikan kesan luka dan kecederaan pada badannya akibat dipukul.

    Guru berkenaan yang pelik selepas melihat terdapat kesan merah di muka anak muridnya kira-kira pukul 8 pagi semalam memaklumkan perkara itu kepada guru lain yang kemudian membuat pemeriksaan terhadap mangsa.

    Susulan itu, bapa kanak-kanak terbabit yang berusia 29 tahun ditahan polis kira-kira pukul 8 malam tadi selepas dia mengaku memukul anaknya.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mendera anaknya dengan memukul menggunakan rotan, penyapu dan senduk plastik kerana mendakwa mangsa degil dan hiperaktif.

    “Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang juga anak tunggal tinggal bersama bapa kandung dan ibu tirinya sejak setahun lalu. Dia sebelum ini dijaga neneknya yang tinggal di Tanjung Dawai sejak kecil dan baru berpindah sekolah,” katanya di sini hari ini.

    Menurutnya, suspek yang juga pekerja kilang itu kini direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

    Zaidy berkata, mangsa dibawa guru penolong kanan sekolahnya ke balai polis selain turut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

    Menurutnya, dalam laporan perubatan awal, doktor yang merawat mendapati terdapat kesan lebam baru dan lama di kepala, leher serta badan yang didakwa berpunca daripada penderaan.

  • Siapa calon MB UMNO Kedah?

    Siapa calon MB UMNO Kedah?

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEDAH diakui sebagai ‘swing state’ dalam arena politik tanah air kerana pimpinan kerajaan negerinya boleh dikatakan sentiasa bertukar mengikut citarasa rakyatnya atau lebih tepat para pengundi.

    Bukan sekadar bertukar antara satu parti ke parti yang lain, namun dalam parti yang sama juga Menteri Besar yang dilantik mereka jarang dapat bertahan lama sehingga berpenggal-penggal di puncak pemerintahan.

    Walaupun perkara itu ada sudut positifnya, namun terdapat beberapa urusan tidak sempat dilaksanakan kerana seperti sedia maklum tukar seseorang Menteri Besar, maka tukarlah polisi dan corak pentadbirannya. Justeru, menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang belum ada bayangan tarikh sebenar, semua parti yang bertanding di Kedah boleh berangan-angan untuk memilih calon mereka menjadi Menteri Besar walaupun di atas kertas peluang Pas lebih cerah.

    Jadi bagi Barisan Nasional (BN) Kedah khususnya UMNO, tidak ada salahnya mereka juga berangan perkara yang sama, cuma ramai yang sangsi dan sering bertanya siapa calon mereka untuk menjadi Menteri Besar andai kata berupaya bentuk kerajaan.

    Ramai yang kata, setakat ini mereka tidak nampak pemimpin UMNO mana yang ada kaliber untuk mengemudi pentadbiran Kerajaan Kedah yang kini sedang mencatat pelaburan berbilon-bilion ringgit seperti dilakukan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada Pas.

    Untuk rekod, BN dan UMNO Kedah kini diketuai Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum beliau kalah pada PRU-14 lalu di Parlimen Jerai.

    Timbalan beliau, Datuk Othman Aziz yang pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kewangan dahulu pun kalah di Parlimen Jerlun kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Seorang lagi bekas Menteri Besar daripada UMNO, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah juga kalah ketika cuba mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti pada pilihan raya itu. Maka, siapa lagi calon berpotensi yang UMNO miliki untuk dinamakan sebagai Menteri Besar seandainya mereka menang.

    Meskipun Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Naib Presiden UMNO ketika ini, namun Menteri Pembangunan Luar Bandar itu dilihat lebih selesa sebagai ‘federal man’ walaupun beliau turut pernah menjadi Menteri Besar pada 2005 hingga 2008.

    Tidak tahulah kalau BN Kedah juga mahu ikut langkah Johor apabila melantik Menteri Besar bukan dalam kalangan orang yang ada jawatan tinggi dalam parti dan lebih muda. Tetapi tetap persoalannya, siapa?

    Atau mungkin juga BN merasakan Kedah bukan lagi negeri sasaran mereka selepas melihat pencapaian demi pencapaian dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah diketuai Pas ketika ini, maka mereka tidak kisah sangat untuk ‘polish’ calon Menteri Besar.

  • Hujung tahun banjir tapi kenapa BN mahu PRU jugak?

    Hujung tahun banjir tapi kenapa BN mahu PRU jugak?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan pada penghujung tahun ini walaupun negara dilanda landa banjir? Itulah isu panas dan heboh diperkatakan banyak pihak dalam sehari dua ini.

    Ia mula tercetus apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat, sekiranya PRU-15 diadakan tahun ini.

    Ini kerana kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.

    Katanya, ia berdasarkan laungan ‘Bubar’ oleh lebih 10,000 pemuda BN yang bergema dalam Stadium Titiwangsa pada Sabtu lalu. Oleh itu beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat menetapkan tarikh pembubaran Parlimen.

    Dalam pada itu, beliau tidak tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, parti itu sanggup redah banjir untuk bertanding.

    Kenyataan itu dibidas banyak pihak kerana ia dianggap mementingkan diri dan tidak masuk akal untuk mengadakan PRU ketika bencana banjir mengancam.

    Ssetiap hujung tahun khususnya di Pantai Timur, Kelantan, Pahang, Terengganu dan sebahagian Johor sentiasa dilanda banjir besar yang menyebabkan sistem perhubungan terputus di samping ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

    Ekoran itu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bercadang mengadakan pungutan suara
    bagi menunjukkan rakyat tidak bersetuju desakan UMNO dan BN mengadakan PRU-15 pada tahun ini.

    Presiden Amanah Mohamad Sabu pula menyifatkan pelaksanaan PRU-15 ketika negara dijangka berdepan musim tengkujuh dan banjir sebagai tindakan terburu-buru dan menyusahkan rakyat.

    Beliau berkata, dalam setiap PRU, keselesaan kepada rakyat mestilah sentiasa diberi keutamaan.

    Bagi Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kenyataan Ahmad Zahid dianggap sebagai orang yang pentingkan kuasa politik sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat.

    Naib presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tindakan mengadakan PRU15 pada musim banjir sebagai kerja gila.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berpandangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 perlu mengambil kira keselesaan rakyat yang akan pergi mengundi.

    Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan pertengahan November, kemungkinan banjir besar berlaku kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

    Pesoalannya kenapakah Ahmad Zahid bersama UMNO dan BN terlalu beriya-iya untuk mengadakan PRU-15? Apakah muslihat di sebalik desakan tersebut sehingga amaran dikeluarkan MetMalaysia berhubung banjir besar tidak dipedulikan?

  • Antara cermin Muhyiddin dan cermin Ismail Sabri

    Antara cermin Muhyiddin dan cermin Ismail Sabri

    Oleh: DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    APABILA Tan Sri Muhyiddin mengatakan Perdana Menteri telah gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan, meminta Tan Sri Muhyiddin supaya cermin diri sendiri.

    Baiklah, mari saya tunjukkan cerminnya.

    Ada dua cermin. Satu untuk Tan Sri Muhyiddin dan satu lagi untuk Perdana Menteri.

    Cerminnya ialah approval rating atau tahap kepuasan hati rakyat terhadap kedua-dua pemimpin ini yang didapati melalui kajian sentimen rakyat yang dijalankan secara saintifik. Approval rating ini ibarat ‘markah’ yang diperolehi oleh kedua-dua pemimpin yang menentukan sama ada mereka lulus atau gagal sebagai Perdana Menteri.

    Mari kita lihat approval rating Tan Sri Muhyiddin.

    Menurut kajian Merdeka Centre for Opinion Research, 72% rakyat berpuashati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin pada bulan Mei 2020, 74% (Julai 2020), 73% (September 2020), 67% (November 2020), 63% (Januari 2021) 68% (April 2021) dan 57% (Jun 2021). Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan pada bulan Ogos 2021.

    ‘Markah’ purata Tan Sri Muhyiddin sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri ialah 67%. Ini adalah markah lulus dengan baik.Tan Sri Muhyiddin lulus dengan baik sebagai Perdana Menteri walaupun pada ketika itu beliau memimpin negara mengharungi krisis kesihatan yang paling buruk dalam sejarah negara dan dunia, iaitu Covid-19.

    Beliau juga diasak dengan begitu teruk oleh musuh di luar dan di dalam selimut yang menyerang hendap beliau siang dan malam dengan tuduhan pengkhianat, kerajaan gagal, kempen bendera putih dan lain-lain lagi.

    Antara yang paling kuat menyerang hendap Tan Sri Muhyiddin ialah orang-orang dari parti UMNO iaitu parti Shahril Hamdan sendiri. Turut bersekongkol ialah para pendendam daripada parti Pakatan Harapan.

    Tetapi di sebalik semua tekanan, cercaan dan cacian orang-orang ini, Tan Sri Muhyiddin mendapat ‘markah’ lulus yang baik daripada rakyat. Alhamdulillah.

    Ini ‘cermin’ Tan Sri Muhyiddin.

    Sekarang mari kita lihat ‘cermin’ Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pula.

    Beliau bermula dengan tahap kepuasan hati rakyat sebanyak 50% pada bulan Oktober 2021, 48% (Disember 2021), 49% (Mac 2022), 48% (April 2022), 40% (Jun 2022) dan 35% (Ogos 2022). ‘Markah’ atau approval rating Perdana Menteri telah menurun secara konsisten dengan purata 45%. Tanpa niat untuk menjatuhkan air muka Perdana Menteri, markah di bawah paras 50% ini adalah markah gagal. Beliau mendapat markah gagal secara konsisten sejak awal tahun ini.

    Berdasarkan data inilah Tan Sri Muhyiddin mengatakan Perdana Menteri gagal. Ini adalah penilaian oleh rakyat yang diperolehi menerusi kajian saintifik, bukan tuduhan melulu.

    Tetapi Perdana Menteri berkata “kalau saya gagal sebagai Perdana Menteri, awak pun gagal sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara”.

    Ini tidak betul. Majlis Pemulihan Negara tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara. Ia adalah sebuah majlis yang bersifat advisory. Kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara terletak pada kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

    Perdana Menteri mendapat markah gagal dalam keadaan beliau senang-lenang. Kes-kes Covid-19 tidak menggila seperti dulu, kehidupan rakyat kembali normal seperti biasa, ekonomi telah dibuka, sempadan negara telah dibuka dan politik pun stabil, kecuali gangguan suara-suara sumbang sekali-sekala dari Kluster Mahkamah dalam parti UMNO yang mahukan pilihanraya diadakan segera.

    Parti BERSATU tidak pernah menghentam Perdana Menteri, apalagi menjalankan kempen Kerajaan Gagal sepertimana yang dibuat oleh parti UMNO terhadap Tan Sri Muhyiddin dahulu.

    Parti DAP, PKR dan Amanah pun amat lunak hubungannya dengan Perdana Menteri. Mereka terlebih dahulu bangkit mempertahankan Perdana Menteri apabila diserang oleh Kluster Mahkamah. Dalam perkataan lain, Dato’ Sri Ismail Sabri can sit pretty as a Prime Minister. Kenapa dalam keadaan senang-lenang ini pun ‘markah’ Perdana Menteri amat buruk? Saya tiada jawapan kepada soalan ini.

    Namun, kesimpulan yang boleh dibuat ialah, semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, kempen kerajaan gagal digerakkan dengan hebat oleh musuh-musuh politik beliau tetapi beliau dinilai lulus dengan baik oleh rakyat.

    Sebaliknya, sepanjang Dato’ Sri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, tiada kempen kerajaan gagal digerakkan oleh sesiapapun tetapi beliau dinilai gagal oleh rakyat.

    Inilah cermin yang patut dilihat oleh Shahril Hamdan.

    *Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8.

  • BN janganlah hanya pandai mendesak

    BN janganlah hanya pandai mendesak

    Oleh DATO’ JASRI JAMALUDIN

    SEHARI dua ini tekanan makin kuat untuk Perdana Menteri membubarkan Parlimen oleh Barisan Nasional (BN) terutama pemimpin yang berdepan kes mahkamah.

    Presidennya tanpa berfikiran rasional sanggup mengadakan pilihan raya pada musim banjir tanpa mempedulikan kesusahan rakyat. Apatah lagi pusat-pusat mengundi di sekolah-sekolah terutama di Pahang itulah juga dijadikan tempat pemindahan sementara banjir.

    Rakyat yang saban tahun mengharungi banjir akan tahu bagaimana susah dan peritnya apabilah rumah-rumah mereka ditenggelami air.

    Dato’ Jasri Jamaludin

    Nampaknya Ismail Sabri juga sudah tidak dapat untuk fokus dalam mentadbir negara akibat daripada tekanan ini. Banyak isu-isu rakyat yang tidak dapat ditangani. Masalah kehidupan rakyat yang kekurangan pendapatan, kenaikan harga barangan harian, rakyat yang masih belum mendapat pekerjaan akibat pandemik covid-19 dan berbagai lagi masaalah untuk rakyat meneruskan kehidupan.

    Itu kita belum berbicara bab ekonomi. Kenaikan OPR bank negara, tanggungan pinjaman meningkat, tukaran mata wang ringgit yang menjadi sangat lemah, saya diberitahu sehingga Ringgit Malaysia sudah tidak bernilai di Thailand.

    Saya harap Barisan Nasional bermuhasabahlah dan membantu Dato’ Sri Ismail Sabri untuk mentadbir dengan baik. Bukan hanya pandai mendesak sehinggakan pentadbiran negara menjadi huru hara. Jika keadaan ini berterusan saya percaya negara kita akan berdepan dengan cabaran yang bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi juga kemelesetan ekonomi berpanjangan.

    Pilihan raya akan tetap diadakan dan tempoh masanya sehingga 2023. Eloklah kita mengutamakan bantuan kepada rakyat dan penyelesaian masalah-masalah negara yang kita hadapi. Jangan sampai kumpulan B40 menjadi kumpulan B80 akibat desakan yang tidak memberi manafaat kepada rakyat.

    *Dato’ Jasri Jamaludin adalah  Ketua Bahagian Bersatu Maran

  • Apabila Muhyiddin ‘meledak’…

    Apabila Muhyiddin ‘meledak’…

    JARANG sekali kita melihat Muhyiddin Yassin secara terbuka menggelarkan seseorang itu sebagai gagal. Sebelum ini, dia hanya melemparkan label itu kepada Najib Razak susulan skandal 1MDB.

    Namun, semalam Muhyiddin meledak apabila secara berterus-terang menyifatkan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang gagal menguruskan ekonomi dan negara.

    Semua orang bersetuju dengan pandangan Muhyiddin itu. Memang betul ekonomi negara dalam keadaan kronik, harga barang melambung dan nilai ringgit pada masa yang sama menjunam teruk tetapi Ismail Sabri tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah ini.

    Hakikatnya, Muhyiddin memperkatakan sesuatu yang realiti. Tetapi apa yang menarik untuk dikupas ialah kenapa beliau memilih waktu sekarang untuk meledak?

    Sebenarnya Muhyiddin sedang mempersiapkan partinya untuk bertempur, beliau mahu memberikan mood perang kepada partinya. Ini kerana beliau tahu bahawa Kluster Mahkamah yang mengawal UMNO sedang menekan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen. Beliau juga tahu, Ismail Sabri tidak akan mampu bertahan lama dengan tekanan tersebut.

    Ertinya, pilihan raya umum sudah terlalu dekat, tak kisahlah sama ada akhir tahun ini atau tahun depan.

    Jadi, suka tak suka, beliau perlu berdepan dengan Ismail Sabri dan UMNO dalam pilihan raya umum sebagai lawan.

    Pada masa yang sama, Muhyiddin sedar bahawa penerimaan rakyat terhadap Ismail Sabri amat buruk. Jika benar hanya 35 peratus sahaja rakyat Malaysia yang berpuas hati dengan prestasi Ismail Sabri sebagaimana didedahkan Muhyiddin semalam – maka, BN perlu menimbangkan semula kewajaran menjadikan Naib Presiden UMNO itu sebagai poster boy untuk PRU-15.

    Malah, jika dibuat perbandingan, rating Najib pada April 2018 iaitu sebulan sebelum PRU-14 lebih tinggi daripada Ismail Sabri iaitu 38 peratus – tetapi akhirnya BN tetap tersungkur.

    Dalam hal ini, apabila beliau memilih untuk meledak semalam – Muhyiddin sebenarnya ingin memberi mesej yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa dia tiada kena mengena dengan kegagalan Ismail Sabri atau dengan kata lain – Muhyiddin tidak mahu dikaitkan dengan Ismail Sabri, baik dalam aspek pengurusan negara mahupun dalam soal kegagalan penggantinya itu menepati janji.

    Tapi, Ismail Sabri tampil membalas dengan berkata jika dia gagal sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin juga turut sama gagal sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Salah!!! Itu salah sama sekali. Ismail Sabri tidak boleh menggunakan logik sebegitu untuk menghina pemikiran rakyat Malaysia.

    Hakikatnya, sebagai Pengerusi MPN, Muhyiddin tidak mempunyai kuasa eksekutif. MPN hanya membuat cadangan kepada Jemaah Menteri yang dipengerusikan Ismail Sabri dan sebagaimana ditegaskan Muhyiddin semalam, Ismail Sabri tidak ambil peduli pun kepada banyak cadangan yang dibuat MPN.

    Selain itu, langkah Muhyiddin mengkritik Perdana Menteri secara terbuka semalam juga bertujuan untuk memaklumkan kepada para menteri BERSATU yang adalah dalam Kabinet dan juga rakan gabungan dalam Perikatan Nasional bahawa inilah masanya untuk menyisih daripada Ismail Sabri jika mahu menang PRU-15.

    Tentunya sangat janggal untuk mereka terus menyokong Ismail Sabri tetapi kemudian mengkritik dalam kempen pilihan raya. Jelas, Muhyiddin sedang mempersiapkan partinya untuk bertempur.

    Apa pun, mesej yang paling jelas yang mahu disampaikan Muhyiddin adalah kepada Ismail Sabri sendiri. Beliau mahu Ismail Sabri tahu bahawa BERSATU tidak akan memberi talian hayat kepadanya untuk keluar daripada tekanan Kluster Mahkamah. Bagi Muhyiddin, jika Kluster Mahkamah mahukan pilihan raya umum diadakan tahun ini – dia dan 29 Ahli Parlimen BERSATU akan berbuat hal yang sama. Muhyiddin tahu dia perlu bertindak pada waktu yang tepat.

    Buktinya walaupun Muhyiddin telah mengkritik Ismail Sabri secara terbuka, tiada seorang pun pemimpin UMNO yang tampil mempertahankan Ismail Sabri dalam tempoh 24 jam.

    Facebook Najib juga diam. Sebelum ini, ia akan menyerang balas Muhyiddin hanya berselang beberapa minit selepas Muhyiddin berkata sesuatu. Tetapi kini, Facebook Najib yang diisytiharkan sebagai suara UMNO oleh Zahid cuma kaku, diam membisu.

    Tapi jangan salah faham. Orang UMNO masih kekal benci Muhyiddin tetapi mereka kini lebih bencikan Ismail Sabri.

    Syahril Ghazali

  • BN terdesak mahu PRU15, rakyat pula jadi mangsa

    BN terdesak mahu PRU15, rakyat pula jadi mangsa

    Ucapan Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan Pemuda BN di Kuala Lumpur Sabtu lalu, yang berkata BN sanggup meredah banjir untuk berkempen jika PRU15 diadakan pada musim tengkujuh juga dikecam netizen di laman sosial.

    Rata-ratanya kecewa dengan BN dan UMNO diketuai Zahid apabila asyik memikirkan kepentingan politik sendiri berbanding dengan cabaran yang lebih besar iaitu isu ekonomi ketika ini dan musibah cuaca yang dijangka pada bulan November.

    Selain itu, menggunakan alasan akar umbi mahukan PRU15 diadakan segera juga adalah tidak benar kerana keutamaan rakyat bawahan bukanlah kepada pilihan raya.

    Rakyat bukannya mendapat manfaat jika pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat ini kerana mereka tiada kepentingan peribadi.

    Jika difikirkan secara logik akal, adalah tidak munasabah untuk mengadakan pilihan raya pada waktu banjir kerana sekolah yang dijadikan pusat mengundi akan digunakan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir.

    Membubarkan Parlimen dalam keadaan negara akan menghadapi musibah cuaca juga menyukarkan proses pengagihan bantuan dan operasi menyelamat mangsa banjir.

    Jika disenaraikan segala keperluan bagi memenuhi tuntutan Zahid itu, banyak masalah yang akan timbul tetapi Zahid seolah-olah tidak peduli semua itu asalkan matlamat politik akan tercapai.

    Sepatutnya isu nilai ringgit yang makin merosot saban hari dan dijangka jatuh lagi ke paras terendah menjadi keutamaan BN ketika ini.

    Tindak-tanduk Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang makin aktif untuk menjadi pemimpin politik BN berbanding menyelesaikan isu kejatuhan ringgit juga amat mengecewakan.

    Kenyataan beliau sebelum ini yang berkata kerajaan tidak terlalu menumpukan kepada nilai ringgit berbanding pertumbuhan ekonomi juga adalah kenyataan yang boleh dipertikaikan.

    Bagaimana seorang tokoh kewangan yang berpengalaman luas boleh memberikan pandangan sedemikian sedangkan semua sedia maklum bahawa nilai ringgit amat besar kesannya kepada ekonomi.

    Tidakkah sesuatu yang merisaukan apabila ringgit makin merosot di mana ia akan menyebabkan harga makanan dan produk lain melambung kerana Malaysia amat bergantung kepada import barangan dari luar.

    Ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika adalah isu besar kerana boleh dikatakan semua jual beli antarabangsa kita menggunakan mata wang itu sebagai perantara.

    Kalau pun Tengku Zafrul dan pimpinan BN mahu menunjukkan imej baik mengenai ekonomi negara, ia perlulah dibuat dengan mengetengahkan beberapa langkah strategik bagi mengelakkan ringgit terus jatuh.

    Ini kerana, kadar dasar semalaman (OPR) yang dinaikkan beberapa kali – yang tujuannya untuk mengukuhkan ringgit tidak menjadi seperti disasarkan kerana pelabur luar masih tidak berminat dengan ringgit Malaysia.

    Yang menjadi mangsa ialah rakyat apabila OPR dinaikkan menyebabkan pinjaman bank terus meningkat apabila bank-bank meningkatkan kadar pinjaman asas (BLR) masing-masing.

    Dalam keadaan getir seperti ini, walaupun kerajaan Ismail Sabri diibaratkan pada hujung-hujung pentadbiran, mereka sewajarnya berganding bahu dengan parti politik seperti BN menguruskan ekonomi supaya dapat menahan impak semasa.

    Tindakan mengutamakan pilihan raya dan mengetepikan cabaran besar ekonomi dan musibah cuaca yang akan ditempuhi hanya menambahkan sengsara kepada rakyat.

    Oleh itu, masih belum terlambat buat kerajaan dan parti politik untuk mengetengahkan langkah-langkah sesuai dalam menguruskan isu ekonomi ketika ini berbanding membincangkan soal pilihan raya.

    Bentuk segera jawatankuasa yang terdiri daripada pakar ekonomi untuk melihat keperluan dalam mengukuhkan ringgit dan pada masa sama mengurangkan kesan kewangan kepada rakyat.

    *Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • PRU musim banjir bukti UMNO terdesak, cuba melepaskan kluster mahkamah

    PRU musim banjir bukti UMNO terdesak, cuba melepaskan kluster mahkamah

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengumumkan tahap kesiapsiagaan negara bagi menghadapi musim banjir dalam masa terdekat.

    Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, perkara itu lebih penting berbanding isu tarikh pembubaran Parlimen.

    Selain itu berkata, desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) semasa musim banjir juga dilihat sesuatu tindakan di luar kewarasan.

    “Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya sedang sibuk membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar dengan melengkapkan data sumber negara diperlukan untuk menggerakkan kerja menyelamat dan pemindahan bagi mengurangkan kesan banjir kepada rakyat.

    “Di samping itu kerja membersihkan saliran parit dan longkang juga sepatutnya digiatkan oleh pihak kerajaan tempatan bagi mengelakkan banjir kilat semasa hujan lebat,” ujar Ketua Wanita Gerakan Tanah Air (GTA) itu.

    “Semua aktiviti kerja tanah dari projek pembangunan perlu dipantau dengan lebih kerap dan tegas. Pemantauan dan pemeriksaan ke kawasan-kawasan cerun dan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar perlu dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Che Asmah berkata, rakyat Malaysia sepatutnya dapat menilai sikap rakus, terdesak serta gila kuasa UMNO dan BN yang ingin merampas semula kuasa pentadbiran tanpa memikirkan tanggungjawab terhadap nasib rakyat dan kemusnahan negara.

    Jelas beliau, tindakan UMNO yang mendesak PRU ketika ini sekali gus memaparkan sikap sebenar parti itu dalam menentukan percaturan kuasa di dalam negara dan langsung tidak memikirkan kesusahan rakyat.

    “Yang penting mereka ingin mendapatkan semula kuasa memerintah negara untuk melepaskan tengkok kluster mahkamah di kalangan pimpinan UMNO yang bukannya seorang tetapi berjemaah dari kepala sehingga ke ekor,” ujarnya.

  • Imej baru KPLB dalam berhadapan Covid-19 dan inflasi dunia

    Imej baru KPLB dalam berhadapan Covid-19 dan inflasi dunia

    Oleh DATUK SAIFUL BAHAR

    SAYA amat tertarik membaca penulisan Zulkiflee Bakar bertajuk, Ramuan Pengalaman Mahdzir ubah kmej Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

    Penulisan tersebut membicarakan bagaimana Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berjaya menukar imej serta wajah kementerian tersebut kepada sebuah Kementerian yang mencapai sasaran melaksanakan projek-projek pembangunan yang telah dirancang untuk tahun 2022.

    Projek-projek melibatkan infrastruktur termasuk jalan perhubungan desa, jalan kampung, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik dan kemudahan sosial untuk Luar Bandar.

    Mahdzir adalah seorang menteri yang saya ikuti perkembangan politiknya semenjak tahun 1999, apabila saya berada di Jabatan Perdana Menteri bersama Tan Sri Noh Omar yang ketika itu Setiausaha Parlimen Di JPM. Pada masa itu Mahdzir  adalah Setiausaha Politik kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Timbalan Perdana Menteri.

    Baca juga Ramuan pengalaman Mahdzir ubah imej KPLB

    Agak menarik membicarakan turun-naik politik Mahdzir, daripada menjawat jawatan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff hinggalah beliau sendiri menjadi Menteri Besar Kedah pada tahun 2006. Daripada seorang Guru dan Guru Besar di SMK Beaufort, Sabah pada tahun 1989 kepada Menteri Pendidikan pada tahun 2015 – 2018. Daripada menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau kepada menjadi Pengerusi TNB. Daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah, kemudiannya menjadi Menteri Besar Kedah, kepada menjadi Ketua Pembangkang DUN Kedah pada tahun 2008-2013.

    Daripada menjadi Menteri Pendidikan kepada menjadi Ketua Whip Barisan Nasional di Blok Pembangkang. Daripada pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Kedah dengan memegang portfolio Pertanian, Pembangunan Luar Bandar & Pembangunan Koperasi Negeri dan Pengerusi KADA di Kedah kepada menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar pada tahun 2021 sehingga kini.

    Mahdzir Khalid ketika menhadiri majlis penyampaian Watikag Jawtankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.

    Apabila Mahdzir Khalid diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaacob menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar pada bulan Ogos 2021- ia  merupakan satu jawatan dan tanggungjawab yang amat diminati Mahdzir.

    Jiwa Mahdzir amat dekat dengan keinginan membantu rakyat luar bandar, memulihkan ekonomi orang-orang kampung serta meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Melayu luar bandar.

    Sesungguhnya keutamaan Mahdzir kelihatan terbahagi kepada 7 perkara penting iaitu ;

    (i).  Sosio ekononimi penduduk luar bandar  

    Memulihkan kelangsungan hidup rakyat luar bandar post pandemik Covik 19. Termasuk memulihkan punca mereka mencari rezeki.

    (ii).  Infrastruktur

    Memulih dan memperbaiki infrastruktur penduduk-penduduk luar bandar dari segi membina, memperbaiki jalan kampung, jalan perhubungan desa, bekalan elektrik, bekalan air dan kemudahan sosial.

    Kemudahan infra untuk memudahkan pekebun kecil dan peniaga mengeluarkan hasil pertanian mereka untuk dihantar ke bandar, untuk jualan dan sebagainya.

    Untuk tahun 2022, bagi Projek Jalan Luar Bandar, KPLB telah membelanjakan RM437.347 juta, memberi manafaat kepada 45,000 orang rakyat jelata. Manakala untuk Projek Jalan Perhubungan Desa,  KPLB telah membelanjakan RM98.772 juta, memberi manafaat kepada 192,000 orang.

    Untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar, KPLB telah membelanjakan RM100.872 juta dengan memberi manafaat kepada 10,725 orang. projek Bekalan Air Luar Bandar RM128.194 juta, memberi manfaat kepada 24,000 orang rakyat dan projek lampu jalan kampung RM2 juta, dengan memberi manafaat kepada 175,000 orang.

    Mahdzir Khalid ketika melawat pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara.

    (iii) Pendidikan

    Pencapaian akademik yang lebih baik untuk anak-anak Melayu luar bandar dan bandar.

    Ini dilakukan dengan memastikan anak-anak Melayu luar bandar dimasukkan ke Sekolah-Sekolah Bersrama Penuh MRSM melalui MARA.

    Meneruskan dasar menghantar pelajar-pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang-bidang kritikal di universiti terbaik dunia.

    Meluaskan pendidikan TVET di MARA dan agensi-agensi untuk pelajar-pelajar Melayu luar bandar kerana pendidikan TVET membuka peluang pekerjaan lebih luas.

    Elaun pelajar-pelajar tajaan MARA di dalam dan di luar negara dinaikan, seperti yang di umumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, setelah diluluskan oleh Kabinet.

    (iv).  Perumahan

    Bantuan untuk pembinaan Projek Perumahan Keluarga Malaysia (dulu dikenali sebagai Projek Perumahan PPRT), dipertingkatan dari RM56,000  kepada RM66,000 setiap unit untuk Semenanjung Malaysia dan dari RM68,000 kepada RM79,000  untuk Sabah dan Sarawak.

    Untuk bantuan memperbaiki rumah yang rosak dipertingkatkan kepada RM15,000  di Semenanjung Malaysia dan RM17,000 kadar maksimum di Sabah dan Sarawak.

    (v).  Pekerja mahir

    KPLB di bawah kepimpinan Mahdzir  juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan melahirkan pekerja-pekerja mahir dalam bidang Teknologi  TVET dan lain-lain.

    Ia terbukti dengan usaha KPLB memperhebatkan kursus-kursus TVET dan Program-program Kemahiran yang dikendalikan GiatMARA.

    Selain itu, Mahdzir juga menyeru usahawan luar bandar melengkapkan diri dengan kemahiran digital bagi menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif ketika ini. Mereka digalakan menghadiri kursus-kursus kemahiran digital agar produk mereka dapat dipasarkan dengan lebih meluas dan menarik.

    (vi).  Memperkasakan Digital Access

    Mahdzir juga mengutamakan memperkasakan Digital Access, untuk Sekolah-Sekolah KEMAS (tabika) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Projek ini akan melibatkan 11,000 sekolah KEMAS (tabika).

    Ini adalah bagi memastikan Tabika KEMAS Early Childhood Education Digital Transformation Plan berjalan dengan sempurna dan baik.

    Ia bertujuan memastikan penduduk luar bandar mendapat ‘access internet’ dengan lebih baik dan laju bagi memudahkan anak-anak mereka belajar kerana dunia digital sudah semakin menjadi satu keperluan penting untuk masyarakat dalam dan luar bandar.

    (vii).  Memperkasakan agensi di bawah KPLB

    Strategi Mahdzir  juga jelas dalam  memperkasakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu ;

    MARA. Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) RISDA, FELCRA BERHAD, Lembaga Kemajuan Wliayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR),Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

    Ini jelas memperlihatkan tulisan Zulkiflee Bakar  betul dan tepat bahawa Ramuan Pengalaman Mahdzir Khalid telah berjaya mengubah imej Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dengan meletakkan kementerian ini di landasan yang tepat untuk terus-menerus membantu rakyat di bandar dan luar bandar.

    Sesungguhnya keutamaan serta kepentingan rakyat terus menjadi agenda utama Mahdzir.

    *Penulis adalah bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2008-2009) dan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2009-2013)

  • Rafizi jangan angkuh sangat

    Rafizi jangan angkuh sangat

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Nampaknya Rafizi Ramli sangat angkuh apabila mengatakan Pas dan Bersatu akan bersama UMNO terkubur dalam masa 5 hingga 7 tahun lagi.

    Kalau pun mahu meraih sokongan penyokong, cakap biarlah bersandarkan kepada fakta dan bukannya kenyataan semberono.

    Sebelum mengeluarkan kenyataan itu, Rafizi sepatutnya cermin diri melihat prestasi partinya sendiri yang makin merosot.

    Lihat sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada tahun lalu apabila parti yang Rafizi dakwa kuat itu lingkup semua 28 kerusi yang ditandingi.

    Tidak pandai menari salahkan lantai, itulah reaksi pemimpin PKR pada waktu itu menyalahkan orang lain disebabkan kekalahan mereka.

    Jika di Sarawak tidak berlaku keadilan seperti didakwa PKR, apa jawapan mereka dengan keputusan semasa PRN negeri Melaka pada November tahun 2021?

    Di negeri itu, PKR sekali lagi ‘bungkus’ apabila tewas semua kerusi yang ditandingi di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Strategi menghalalkan katak politik mereka juga memakan diri apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang bertanding atas tiket PKR juga tewas.

    Begitu juga dengan PRN Johor, PKR hanya mampu menang satu kerusi menunjukkan rakyat sememangnya muak dengan parti berkenaan.

    Mengaitkan Pas dan Bersatu dengan UMNO yang kini terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa juga adalah amat tidak wajar sekali.

    Ini kerana UMNO sedang berdepan dengan krisis sokongan rakyat disebabkan pendekatan parti yang masih mempertahankan Najib Razak yang disabitkan bersalah kes rasuah dan salah guna kuasa.

    UMNO juga masih dipimpin Zahid Hamidi yang berdepan kes mahkamah serta beberapa pemimpin UMNO lain sedang menunggu kes mereka dibicarakan.

    Pas dan Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) ketika ini pula terbukti memperoleh peningkatan sokongan rakyat melalui beberapa PRN sebelum ini disebabkan pendekatan yang diambil Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

    Keputusan-keputusan yang menyenangkan rakyat semasa Muhyiddin memerintah dan ketika mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN masih diperkatakan keberkesanannya.

    Begitu juga dengan Pas, parti itu mempunyai akar umbi yang kuat dan mustahil untuk mereka terkubur dengan mudah.

    Kedua-dua parti ini juga terbukti dari segi memperjuangkan prinsip integriti di mana pemimpin bersih daripada kes penyelewengan dan salah guna kuasa.

    Daripada sibuk dengan hal parti lain, Rafizi sepatutnya lihat isu yang berlegar membabitkan partinya sendiri.

    Rafizi yang baru kembali ke arena politik setelah merajuk dengan kepimpinan parti itu mungkin tidak sedar, selain keputusan di peti undi pada PRN lalu, sokongan ahli sendiri terhadap PKR juga menunjukkan fakta jelas.

    Lihat sahaja semasa pemilihan PKR ketika Rafizi memenangi jawatan Timbalan Presiden, jumlah ahli yang keluar mengundi juga merosot.

    Di samping itu, rakyat melihat PKR bukanlah parti yang mampu untuk membawa Malaysia ke arah lebih baik jika diberi peluang memerintah.

    Ketika menjadi parti dominan sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah juga menunjukkan yang parti itu gagal melaksanakan segala janji dicanangkan kepada rakyat sebelum ini.

    Mereka dilihat lebih mudah mengeluarkan formula-formula tidak berasas berbanding penyelesaian komprehensif dalam sesuatu isu.

    Ketika ini, semasa menjadi pembangkang pula, dalam keadaan rakyat sedang terhimpit dengan pelbagai cabaran ekonomi dan kejatuhan ringgit, PKR gagal untuk membawa penyelesaian bijak bagi memulihkan ekonomi Malaysia.

    Maka, lebih baik Rafizi muhasabah kedudukan partinya sendiri berapa lama ia mampu bertahan selepas ini. Tak mustahil, rekod kegagalan PKR beberapa PRN sebelum ini diteruskan pula pada PRU15.