Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

Nampaknya Rafizi Ramli sangat angkuh apabila mengatakan Pas dan Bersatu akan bersama UMNO terkubur dalam masa 5 hingga 7 tahun lagi.

Kalau pun mahu meraih sokongan penyokong, cakap biarlah bersandarkan kepada fakta dan bukannya kenyataan semberono.

Sebelum mengeluarkan kenyataan itu, Rafizi sepatutnya cermin diri melihat prestasi partinya sendiri yang makin merosot.

Lihat sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada tahun lalu apabila parti yang Rafizi dakwa kuat itu lingkup semua 28 kerusi yang ditandingi.

Tidak pandai menari salahkan lantai, itulah reaksi pemimpin PKR pada waktu itu menyalahkan orang lain disebabkan kekalahan mereka.

Jika di Sarawak tidak berlaku keadilan seperti didakwa PKR, apa jawapan mereka dengan keputusan semasa PRN negeri Melaka pada November tahun 2021?

Di negeri itu, PKR sekali lagi ‘bungkus’ apabila tewas semua kerusi yang ditandingi di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Strategi menghalalkan katak politik mereka juga memakan diri apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang bertanding atas tiket PKR juga tewas.

Begitu juga dengan PRN Johor, PKR hanya mampu menang satu kerusi menunjukkan rakyat sememangnya muak dengan parti berkenaan.

Mengaitkan Pas dan Bersatu dengan UMNO yang kini terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa juga adalah amat tidak wajar sekali.

Ini kerana UMNO sedang berdepan dengan krisis sokongan rakyat disebabkan pendekatan parti yang masih mempertahankan Najib Razak yang disabitkan bersalah kes rasuah dan salah guna kuasa.

UMNO juga masih dipimpin Zahid Hamidi yang berdepan kes mahkamah serta beberapa pemimpin UMNO lain sedang menunggu kes mereka dibicarakan.

Pas dan Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) ketika ini pula terbukti memperoleh peningkatan sokongan rakyat melalui beberapa PRN sebelum ini disebabkan pendekatan yang diambil Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Keputusan-keputusan yang menyenangkan rakyat semasa Muhyiddin memerintah dan ketika mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN masih diperkatakan keberkesanannya.

Begitu juga dengan Pas, parti itu mempunyai akar umbi yang kuat dan mustahil untuk mereka terkubur dengan mudah.

Kedua-dua parti ini juga terbukti dari segi memperjuangkan prinsip integriti di mana pemimpin bersih daripada kes penyelewengan dan salah guna kuasa.

Daripada sibuk dengan hal parti lain, Rafizi sepatutnya lihat isu yang berlegar membabitkan partinya sendiri.

Rafizi yang baru kembali ke arena politik setelah merajuk dengan kepimpinan parti itu mungkin tidak sedar, selain keputusan di peti undi pada PRN lalu, sokongan ahli sendiri terhadap PKR juga menunjukkan fakta jelas.

Lihat sahaja semasa pemilihan PKR ketika Rafizi memenangi jawatan Timbalan Presiden, jumlah ahli yang keluar mengundi juga merosot.

Di samping itu, rakyat melihat PKR bukanlah parti yang mampu untuk membawa Malaysia ke arah lebih baik jika diberi peluang memerintah.

Ketika menjadi parti dominan sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah juga menunjukkan yang parti itu gagal melaksanakan segala janji dicanangkan kepada rakyat sebelum ini.

Mereka dilihat lebih mudah mengeluarkan formula-formula tidak berasas berbanding penyelesaian komprehensif dalam sesuatu isu.

Ketika ini, semasa menjadi pembangkang pula, dalam keadaan rakyat sedang terhimpit dengan pelbagai cabaran ekonomi dan kejatuhan ringgit, PKR gagal untuk membawa penyelesaian bijak bagi memulihkan ekonomi Malaysia.

Maka, lebih baik Rafizi muhasabah kedudukan partinya sendiri berapa lama ia mampu bertahan selepas ini. Tak mustahil, rekod kegagalan PKR beberapa PRN sebelum ini diteruskan pula pada PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here