Oleh DATUK SAIFUL BAHAR

SAYA amat tertarik membaca penulisan Zulkiflee Bakar bertajuk, Ramuan Pengalaman Mahdzir ubah kmej Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Penulisan tersebut membicarakan bagaimana Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berjaya menukar imej serta wajah kementerian tersebut kepada sebuah Kementerian yang mencapai sasaran melaksanakan projek-projek pembangunan yang telah dirancang untuk tahun 2022.

Projek-projek melibatkan infrastruktur termasuk jalan perhubungan desa, jalan kampung, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik dan kemudahan sosial untuk Luar Bandar.

Mahdzir adalah seorang menteri yang saya ikuti perkembangan politiknya semenjak tahun 1999, apabila saya berada di Jabatan Perdana Menteri bersama Tan Sri Noh Omar yang ketika itu Setiausaha Parlimen Di JPM. Pada masa itu Mahdzir  adalah Setiausaha Politik kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Baca juga Ramuan pengalaman Mahdzir ubah imej KPLB

Agak menarik membicarakan turun-naik politik Mahdzir, daripada menjawat jawatan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff hinggalah beliau sendiri menjadi Menteri Besar Kedah pada tahun 2006. Daripada seorang Guru dan Guru Besar di SMK Beaufort, Sabah pada tahun 1989 kepada Menteri Pendidikan pada tahun 2015 – 2018. Daripada menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau kepada menjadi Pengerusi TNB. Daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah, kemudiannya menjadi Menteri Besar Kedah, kepada menjadi Ketua Pembangkang DUN Kedah pada tahun 2008-2013.

Daripada menjadi Menteri Pendidikan kepada menjadi Ketua Whip Barisan Nasional di Blok Pembangkang. Daripada pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Kedah dengan memegang portfolio Pertanian, Pembangunan Luar Bandar & Pembangunan Koperasi Negeri dan Pengerusi KADA di Kedah kepada menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar pada tahun 2021 sehingga kini.

Mahdzir Khalid ketika menhadiri majlis penyampaian Watikag Jawtankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.

Apabila Mahdzir Khalid diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaacob menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar pada bulan Ogos 2021- ia  merupakan satu jawatan dan tanggungjawab yang amat diminati Mahdzir.

Jiwa Mahdzir amat dekat dengan keinginan membantu rakyat luar bandar, memulihkan ekonomi orang-orang kampung serta meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Melayu luar bandar.

Sesungguhnya keutamaan Mahdzir kelihatan terbahagi kepada 7 perkara penting iaitu ;

(i).  Sosio ekononimi penduduk luar bandar  

Memulihkan kelangsungan hidup rakyat luar bandar post pandemik Covik 19. Termasuk memulihkan punca mereka mencari rezeki.

(ii).  Infrastruktur

Memulih dan memperbaiki infrastruktur penduduk-penduduk luar bandar dari segi membina, memperbaiki jalan kampung, jalan perhubungan desa, bekalan elektrik, bekalan air dan kemudahan sosial.

Kemudahan infra untuk memudahkan pekebun kecil dan peniaga mengeluarkan hasil pertanian mereka untuk dihantar ke bandar, untuk jualan dan sebagainya.

Untuk tahun 2022, bagi Projek Jalan Luar Bandar, KPLB telah membelanjakan RM437.347 juta, memberi manafaat kepada 45,000 orang rakyat jelata. Manakala untuk Projek Jalan Perhubungan Desa,  KPLB telah membelanjakan RM98.772 juta, memberi manafaat kepada 192,000 orang.

Untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar, KPLB telah membelanjakan RM100.872 juta dengan memberi manafaat kepada 10,725 orang. projek Bekalan Air Luar Bandar RM128.194 juta, memberi manfaat kepada 24,000 orang rakyat dan projek lampu jalan kampung RM2 juta, dengan memberi manafaat kepada 175,000 orang.

Mahdzir Khalid ketika melawat pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara.

(iii) Pendidikan

Pencapaian akademik yang lebih baik untuk anak-anak Melayu luar bandar dan bandar.

Ini dilakukan dengan memastikan anak-anak Melayu luar bandar dimasukkan ke Sekolah-Sekolah Bersrama Penuh MRSM melalui MARA.

Meneruskan dasar menghantar pelajar-pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang-bidang kritikal di universiti terbaik dunia.

Meluaskan pendidikan TVET di MARA dan agensi-agensi untuk pelajar-pelajar Melayu luar bandar kerana pendidikan TVET membuka peluang pekerjaan lebih luas.

Elaun pelajar-pelajar tajaan MARA di dalam dan di luar negara dinaikan, seperti yang di umumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, setelah diluluskan oleh Kabinet.

(iv).  Perumahan

Bantuan untuk pembinaan Projek Perumahan Keluarga Malaysia (dulu dikenali sebagai Projek Perumahan PPRT), dipertingkatan dari RM56,000  kepada RM66,000 setiap unit untuk Semenanjung Malaysia dan dari RM68,000 kepada RM79,000  untuk Sabah dan Sarawak.

Untuk bantuan memperbaiki rumah yang rosak dipertingkatkan kepada RM15,000  di Semenanjung Malaysia dan RM17,000 kadar maksimum di Sabah dan Sarawak.

(v).  Pekerja mahir

KPLB di bawah kepimpinan Mahdzir  juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan melahirkan pekerja-pekerja mahir dalam bidang Teknologi  TVET dan lain-lain.

Ia terbukti dengan usaha KPLB memperhebatkan kursus-kursus TVET dan Program-program Kemahiran yang dikendalikan GiatMARA.

Selain itu, Mahdzir juga menyeru usahawan luar bandar melengkapkan diri dengan kemahiran digital bagi menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif ketika ini. Mereka digalakan menghadiri kursus-kursus kemahiran digital agar produk mereka dapat dipasarkan dengan lebih meluas dan menarik.

(vi).  Memperkasakan Digital Access

Mahdzir juga mengutamakan memperkasakan Digital Access, untuk Sekolah-Sekolah KEMAS (tabika) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Projek ini akan melibatkan 11,000 sekolah KEMAS (tabika).

Ini adalah bagi memastikan Tabika KEMAS Early Childhood Education Digital Transformation Plan berjalan dengan sempurna dan baik.

Ia bertujuan memastikan penduduk luar bandar mendapat ‘access internet’ dengan lebih baik dan laju bagi memudahkan anak-anak mereka belajar kerana dunia digital sudah semakin menjadi satu keperluan penting untuk masyarakat dalam dan luar bandar.

(vii).  Memperkasakan agensi di bawah KPLB

Strategi Mahdzir  juga jelas dalam  memperkasakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu ;

MARA. Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) RISDA, FELCRA BERHAD, Lembaga Kemajuan Wliayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR),Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Ini jelas memperlihatkan tulisan Zulkiflee Bakar  betul dan tepat bahawa Ramuan Pengalaman Mahdzir Khalid telah berjaya mengubah imej Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dengan meletakkan kementerian ini di landasan yang tepat untuk terus-menerus membantu rakyat di bandar dan luar bandar.

Sesungguhnya keutamaan serta kepentingan rakyat terus menjadi agenda utama Mahdzir.

*Penulis adalah bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2008-2009) dan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2009-2013)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here