Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penjawat awam maut dilanggar pemandu mabuk

    Penjawat awam maut dilanggar pemandu mabuk

    SEORANG penjawat awam maut dilanggar pemandu disyaki mabuk dalam nahas di Kilometer 1, Jalan Kuala Dipang- Malim Nawar di Kampar, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa, Mohd Nazri Sham Aring, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, laporan awal kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa dan Honda Civic yang dinaiki dua lelaki.

     Menurutnya, isteri mangsa berusia 33 tahun cedera ringan manakala anak lelakinya berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala.

    “Hasil siasatan mendapati Honda Civic telah memasuki laluan kenderaan mangsa menyebabkan berlaku pertembungan. Akibat kemalangan itu, mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Kampar maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.

    Mohamad Nazri berkata, pemandu Honda Civic berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk semasa kejadian.

    “Suspek direman lima hari bagi membantu siasatan. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat. Punca kejadian masih dalam siasatan dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Guru pengsan di masjid sebelum disahkan meninggal dunia

    Guru pengsan di masjid sebelum disahkan meninggal dunia

    SEORANG guru yang bercuti Negeri Sembilan bersama keluarga mentua pengsan sebelum disahkan meninggal dunia di Benta di Lipis, semalam.

    Astro AWANI melaporkan, difahamkan mangsa, Nik Zulkiflee Nik Yusof, 48, bersama ahli keluarganya dalam perjalanan ke Negeri Sembilan lalu singgah di Masjid Baharu Benta untuk berehat dan solat.

    Bagaimanapun mangsa tiba-tiba pengsan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Benta untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.05 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan seorang mangsa lelaki pengsan di Masjid Baharu Benta.

    “Mangsa dibawa ke klinik kesihatan berdekatan oleh orang ramai yang berada di masjid untuk menerima rawatan. Ketika menerima rawatan, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas di klinik kesihatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, guru tersebut beralamat di Kampung Demit Darat, Jalan Sultanah Zainab 2, Kota Bharu.

    “Arwah yang bertugas di Sekolah Rendah Agama Amalin Puteri, Kota Bharu telah bersama keluarganya dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

  • Dua maut dalam kemalangan libat tiga kenderaan

    Dua maut dalam kemalangan libat tiga kenderaan

    DUA maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Besar Simpang Renggam- Machap, Kluang, dalam kejadian kira-kira 8 malam tadi.

    Salah seorang mangsa dikenali sebagai Mohamad Afiq Karim, 25, manakala seorang lagi, seorang penumpang lelaki dewasa, masih belum dikenal pasti, menurut Komander Pasukan Keluaran Operasi Affendi Mustafar.

    Katanya, mangsa yang tersepit dalam Proton Satria dinaiki terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

    “Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lapor Harian Metro.

    Sementara itu, katanya, pemandu lori dikenali sebagai Muhammad Hishamuddin Hussin, 23 tahun cedera manakala empat penumpangnya selamat.

    Katanya, pemandu sebuah lagi kenderaan terbabit, sebuah Perodua Kembara, dikenali sebagai Mohd Talib Ramli, 56, turut mengalami kecederaan.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan lanjut,” katanya yang memaklumkan operasi tamat pada 9.08 malam.

  • ADUN Kukusan pula tinggalkan parti Warisan

    ADUN Kukusan pula tinggalkan parti Warisan

    PARTI Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal ‘semakin rapuh’ apabila seorang lagi ADUNnya keluar parti hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 70 Kukusan, Rina Jainal merupakan wakil rakyat terbaru berbuat demikian dan menyatakan hasrat untuk menyokong pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

    Pada sidang media khas yang diadakan di Kota Kinabalu , beliau yang juga Naib Wirawati Warisan bagaimanapun menyatakan, tindakan keluar parti tersebut adalah berdasarkan kerelaannya sendiri dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak.

     “Saya mengambil tindakan keluar parti dan berhasrat untuk menyokong kepimpinan GRS/BN yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji. Bagaimanapun, saya tetap berterima kasih dengan semua pimpinan, akar umbi Warisan yang menjadikan saya seorang ahli politik dan wakil rakyat, namun perjuangan demi rakyat saya tetap teruskan biar berlainan platform.

     “Saya juga ingin menyampaikan, bahawa tindakan saya ini tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan tiada perselisihan antara saya dan pimpinan Warisan sebelum ini. Cuma tindakan ini saya kira atas faktor rakyat di kawasan saya wakili, dengan hanya GRS sahaja dapat membangunkan ekonomi setempat setakat ini,” katanya lapor Astro AWANI.

    Untuk rekod, Rina merupakan wakil rakyat keenam selepas beberapa lagi ADUN dari Warisan seperti Hassan Awg Ghani Pg Amir, Datuk Yusuf Yacob, Datuk Mohamadin Ketapi, Datuk Peter Anthony dan Datuk Juil Nuantim bertindak keluar parti itu pada tahun lalu.

    Terdahulu, dalam sidang media yang diadakan bersama pihak Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah itu turut mendedahkan, parti itu menyokong kepimpinan GRS.

    Jelas Yun Fah, Rina sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan pihaknya selain menyatakan hasrat untuk menyertai Harapan Rakyat.

    “YB Rina ada bertemu dengan kami dan dalam masa sama juga berhasrat menyertai parti Harapan Rakyat Sabah.

    “Untuk makluman, parti ini telah lama berada di dalam senario politik Sabah dan ia merupakan satu platform yang baik tepat untuk memperjuangkan agenda negeri dan nasional,” katanya.

  • ‘’Tuduhan saya beritahu ada sokongan majoriti tidak benar’’ – Muhyiddin

    ‘’Tuduhan saya beritahu ada sokongan majoriti tidak benar’’ – Muhyiddin

    *Hanya bincang rintis formula satu lawan satu menentang BN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan, beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

    Dalam kenyataan hari ini, Presiden Bersatu itu berkata, dakwaan berhubung perkara itu tidak benar dan apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan beliau dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    ‘’Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti-parti pembangkang yang menemui saya selepas pilihan raya negeri Johor. Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN.

    ‘’Ini kerana kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata- mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah. BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah,’’ katanya.

    Susulan itu, kata Muhyiddin, beliau mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti-parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu.

    ‘’Inisiatif ini saya ambil setelah mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Saya tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti,’’ katanya.

    Beliau menegaskan, formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik.

    ‘’Tujuan persefahaman ini adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN sepertimana yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, Electoral pact ini mesti diasaskan kepada satu agenda bersama (common agenda) untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai oleh kumpulan kleptokrat yang pada masa ini menguasai parti BN.

    ‘’Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.

    ‘’Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti-parti politik selain BN, saya mengambil maklum tentang pendirian setiap parti berhubung cadangan ini. Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini,’’ katanya.

    Justeru katanya, beliau   mengambil sikap yang terbuka kerana ia sebahagian daripada proses perundingan antara parti yang berlangsung secara tidak rasmi.

    ‘’Pintu rundingan Bersatu sentiasa terbuka kepada parti-parti selain BN untuk mencapai kata sepakat mengenai formula yang terbaik bagi menghadapi PRU-15,’’ katanya.

  • Jemaah haji Malaysia ziarah makam Rasulullah SAW

    Jemaah haji Malaysia ziarah makam Rasulullah SAW

    SERAMAI 295 jemaah haji Malaysia selesai menziarahi makam Baginda Rasulullah SAW di Madinah hari ini.

    Mereka kemudiannya dibawa ke Perkuburan Baqi’, tempat bersemadinya ahli keluarga baginda beserta para sahabat.

    Mereka yang merupakan kumpulan pertama, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz kira-kira pukul 9.30 malam tadi waktu Malaysia.

    Ketibaan mereka di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick yang terletak bersebelahan dengan perkarangan Masjid An Nabawi disambut oleh Konsul Haji Mohammad Saimi Mat Som, Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia Farah Syafina Bahari dan Muhammad Hafiz Bahar Ketua Canseri, Konsulat Malaysia di Jeddah.

    Mohammad Saimi berkata Lembaga Tabung Haji (TH) amat bersyukur atas ketibaan itu dan ia memecah kerinduan pada senario musim haji selepas dua tahun tertangguh akibat penularan wabak Covid-19.

    “Kami mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Arab Saudi terutama penjaga dua kota suci Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohamad Salman, di atas keputusan membuka ibadat haji kepada negara luar.

    “Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Kementerian luar, Syarikat Adila dan pihak berkuasa tempatan serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, yang sentiasa membantu memudahkan apa juga peraturan-peraturan dan syarat syarat yang perlu dipatuhi dalam semua urusan jemaah haji Malaysia,” katanya lapor BERNAMA

    Tambah beliau dengan ketibaan jemaah tersebut bermulalah operasi haji di Tanah Suci dan pihaknya akan terus memastikan kemudahan dapat diuruskan dengan baik dan teratur.

    “Semua jemaah haji Malaysia perlu menjaga kesihatan dan kebersihan diri agar sentiasa berada pada tahap terbaik.

    Mereka juga perlu mengikuti segala nasihat dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh petugas dari semasa ke semasa. Cuaca di Madinah agak panas yang mencecah 50 darjah celcius dan elakkan terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari” katanya.

    Seramai 14,306 orang jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu pada tahun ini dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.

    *Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

    Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

    KUMPULAN pertama jemah haji Malaysia seramai 295 orang  tiba dengan pesawat Saudia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz di Madinah pada 4.55 petang (waktu Arab Saudi) malam tadi.

    Pelbagai program ibadat dan ziarah telah diatur TH selama enam hari lima malam untuk para jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah bagi melaksanakan ibadat umrah pada 10 Jun.

    Sementara itu, BERNAMA melaporkan dalam kerancakan melakukan pelbagai persiapan menyambut kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang akan tiba di sini, kira-kira 100 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) tetap mengambil peluang melakukan solat hajat secara berjemaah.

    Malam kelmarin, mereka turut mengadakan bacaan yasin dan tahlil serta memanjatkan doa agar operasi pengurusan berlangsung dengan teratur.

    Majlis tersebut diadakan di surau Ibu Pejabat TH di bangunan Roha Madinah selepas waktu maghrib, dipimpin oleh Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci Ustaz Mohd Hishammuddin Mansor.

    Sementara itu, Pengarah Operasi Madinah Mohamed Heikal Mohamed Yusuff berharap urusan operasi haji musim 1443H/2022M berjalan lancar dan semua jemaah serta petugas diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci.

    “Dalam masa yang sama, majlis ini juga adalah satu ruang untuk para petugas haji baharu dan lama menjalin ukhwah dalam usaha kita membina satu pasukan bagi menyantuni dhufurrahman (tetamu Allah),” katanya.

    *Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut

    Wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut

    MAYAT seorang wanita mengandung ditemui dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Kampung Repek, di Pasir Mas, petang semalam.

    Berita Harian melaporkan, mangsa berusia 26 tahun yang mengandung tujuh bulan ditemui jam 4 petang oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada polis.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa yang bekerja sebagai peniaga ditemui terbaring di tempat duduk pemandu.

    “Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan tembakan pada perut kiri mangsa dan ibu mangsa memaklumkan wanita itu mengandung tujuh bulan. Hasil temubual saksi juga mendapati kenderaan jenis Nissan Cefiro itu diletakkan di tepi jalan sejak petang kelmarin.

    “Terdapat satu kelongsong peluru ditemui di bahagian kaki tempat duduk penumpang belakang sebelah pemandu. Semakan awal mendapati, kenderaan itu didaftarkan atas nama mangsa sendiri. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, susulan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun jam 11.30 malam tadi.

    “Suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan di Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Annuar kemuka bukti MoU Kerajaan-PH tiada tarikh luput

    Annuar kemuka bukti MoU Kerajaan-PH tiada tarikh luput

    TAN Sri Annuar Musa bagaikan memulangkan paku buah keras kepada pemimpin UMNO yang ‘menyerang’ beliau berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).

    Ahli Parlimen Ketereh itu yang menjadi wakil kerajaan menandatangani MoU tersebut bertindak memaparkan tiada ‘tarikh luput’ berhubung perjanjian berkenaan.

    Tarikh luput MoU itu mencetus perbalahan antara pemimpin UMNO, apabila ada antara mereka mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan selepas 31 Julai ini dengan tanggapan ia tempoh MoU itu berakhir.

    Bagaimanapun Annuar menegaskan, MoU itu tidak mempunyai tarikh luput dan tarikh 31 Julai yang menjadi persoalan itu sebenarnya berkaitan pembubaran Parlimen sahaja.

    “Bagi yang suka menulis tapi malas membaca atau menyelidik,atau yang mungkin sengaja mahu mengelirukan fakta, saya ‘post’ di sini dokumen rasmi/salinan MoU antara kerajaan dan PH,” katanya dalam catat melalui Facebooknya, hari ini.

    Dalam MoU itu, Perkara 2 menyatakan perjanjian berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen, manakala Perkara 3 menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai ini.

    “Sila teliti perkara 2 dan perkara 3 MoU berkenaan. Saya adalah salah seorang yang mewakili kerajaan menandatangani MoU berkenaan.”

    Sehubungan itu  Annuar menegaskan, kritikan perlu dibuat berdasarkan fakta dan bukan atas dasar kebencian.

    “…atau sememangnya kita berbuat sesuatu nak tunjuk kelebihan kita, tapi sebenarnya kita hanya memperagakan kelemahan kita sendiri,” katanya.

  • Jemaah umrah meninggal dunia di pintu pesawat sebaik tiba di KLIA

    Jemaah umrah meninggal dunia di pintu pesawat sebaik tiba di KLIA

    SEORANG jemaah umrah wanita yang baru pulang dari Makkah menghembuskan nafas terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di Sepang hari ini.

    Melalui hantaran dalam Facebook, Mutawif kumpulan jemaah berkenaan, Zakariya Abd Rasip berkata wanita berkenaan difahamkan rebah dan pengsan sebaik sahaja keluar daripada pintu pesawat.

    Katanya, mangsa  dibantu oleh kru pesawat dan pasukan perubatan namun disahkan meninggal dunia.

    “Alhamdulillah jenazah Allahyarhamah jemaah umrah kumpulan dua dari Kota Tinggi, Johor telah kembali ke Rahmatullah selepas keluar pintu pesawat. Jenazah juga telah selamat diuruskan dengan kerjasama baik dari kru Malaysia Airlines (MAS), kakitangan dan polis KLIA,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, laporan juga sudah dibuat di pejabat Imigresen dan Balai Polis KLIA serta jenazah dihantar ke Hospital Serdang untuk urusan selanjutnya.

    “Semoga Allah memuliakan Almarhumah husnul khatimah dan takziah buat seluruh keluarga,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Imran Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.