MAYAT seorang wanita mengandung ditemui dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Kampung Repek, di Pasir Mas, petang semalam.

Berita Harian melaporkan, mangsa berusia 26 tahun yang mengandung tujuh bulan ditemui jam 4 petang oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa yang bekerja sebagai peniaga ditemui terbaring di tempat duduk pemandu.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan tembakan pada perut kiri mangsa dan ibu mangsa memaklumkan wanita itu mengandung tujuh bulan. Hasil temubual saksi juga mendapati kenderaan jenis Nissan Cefiro itu diletakkan di tepi jalan sejak petang kelmarin.

“Terdapat satu kelongsong peluru ditemui di bahagian kaki tempat duduk penumpang belakang sebelah pemandu. Semakan awal mendapati, kenderaan itu didaftarkan atas nama mangsa sendiri. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, susulan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun jam 11.30 malam tadi.

“Suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan di Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here