TAN Sri Annuar Musa bagaikan memulangkan paku buah keras kepada pemimpin UMNO yang ‘menyerang’ beliau berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Ketereh itu yang menjadi wakil kerajaan menandatangani MoU tersebut bertindak memaparkan tiada ‘tarikh luput’ berhubung perjanjian berkenaan.

Tarikh luput MoU itu mencetus perbalahan antara pemimpin UMNO, apabila ada antara mereka mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan selepas 31 Julai ini dengan tanggapan ia tempoh MoU itu berakhir.

Bagaimanapun Annuar menegaskan, MoU itu tidak mempunyai tarikh luput dan tarikh 31 Julai yang menjadi persoalan itu sebenarnya berkaitan pembubaran Parlimen sahaja.

“Bagi yang suka menulis tapi malas membaca atau menyelidik,atau yang mungkin sengaja mahu mengelirukan fakta, saya ‘post’ di sini dokumen rasmi/salinan MoU antara kerajaan dan PH,” katanya dalam catat melalui Facebooknya, hari ini.

Dalam MoU itu, Perkara 2 menyatakan perjanjian berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen, manakala Perkara 3 menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai ini.

“Sila teliti perkara 2 dan perkara 3 MoU berkenaan. Saya adalah salah seorang yang mewakili kerajaan menandatangani MoU berkenaan.”

Sehubungan itu  Annuar menegaskan, kritikan perlu dibuat berdasarkan fakta dan bukan atas dasar kebencian.

“…atau sememangnya kita berbuat sesuatu nak tunjuk kelebihan kita, tapi sebenarnya kita hanya memperagakan kelemahan kita sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here