Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tidak wajibkan pemakaian pelitup muka petanda baik, kata Muhyiddin

    Tidak wajibkan pemakaian pelitup muka petanda baik, kata Muhyiddin

    KEPUTUSAN Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup adalah satu perkembangan yang baik, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat MPN yang lepas walaupun ketika itu KKM belum memberikan sebarang keputusan.

    “Apapun keputusan yang dibuat mestilah berasaskan kepada data, pada kajian saintifik dari sudut kesihatan awam dan sebagainya. Sebab itu apapun keputusan yang telah dibuat oleh Menteri Kesihatan saya fikir kita terima.

    “Tapi dia kata optional (pilihan) maknanya kalau kita rasa tak selesa, nak pakai pakailah. Kalau rasa tak selamat itu terserah,” katanya ketika ditemui media selepas hadir 2melancarkan Buku Autobiografi Tan Sri Ampi di Bangsar hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, keadaan semasa ketika ini menunjukkan perkembangan positif dengan banyak negara turut melonggarkan syarat tersebut dan memberi kebebasan kepada rakyat untuk menentukan pemakaian pelitup muka.

    Hari ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.

    Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM).

    Pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan sendiri, katanya.

  • Ibu nekad lawan harimau demi selamatkan bayinya

    Ibu nekad lawan harimau demi selamatkan bayinya

    SEORANG wanita di India nekad melawan seekor harimau tanpa menggunakan sebarang senjata demi untuk menyelamatkan anaknya daripada dibaham haiwan tersebut.

    Archana Choudhary bersama bayi lelakinya berusia 15 bulan keluar dari rumah mereka di Madhya Pradesh sebelum mamalia sesat itu menerkam mereka ketika insiden pada Ahad lalu.

    Pegawai tempatan, Sanjeev Shrivastava berkata, berlaku pergelutan antara harimau itu dan wanita berkenaan setelah cuba membaham anaknya.

    “Haiwan itu juga cuba untuk melarikan bayi tersebut, namun jeritan ibunya telah didengari penduduk kampung yang kemudiannya bertindak membantu mereka,” ujarnya menurut Sinar Harian yang memetik laporan AFP.

    Harimau itu akhirnya menyelinap ke dalam hutan berhampiran.

    Difahamkan, Choudhary yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital dan keadaan wanita itu bersama bayi lelakinya dilaporkan semakin baik.

    Sementara itu, The Times of India melaporkan operasi menjejaki haiwan itu telah dilancarkan malah penduduk kampung sekitar turut dinasihatkan supaya tidak keluar rumah pada waktu malam sebagai langkah berjaga-jaga.

    Konflik manusia-haiwan dikatakan semakin meningkat di seluruh Asia Selatan akibat aktiviti penebangan hutan secara berleluasa untuk projek pembangunan bandar.

    Data kerajaan menunjukkan hampir 225 terkorban di New Delhi akibat diserang harimau antara 2014 dan 2019.

  • Selagi rezeki halal, Faizal AF4 tidak kisah jadi penjual Coway

    Selagi rezeki halal, Faizal AF4 tidak kisah jadi penjual Coway

    LAMA rasanya tak dengar khabar berita tentang penyanyi Faizal Ramly. Namun, baru-baru ini tular video mengenai penyanyi itu yang juga merupakan juara Akademi Fantasia musim keempat.

    Video itu juga turut memaparkan perkembangan terbaru Faizal yang memaklumkan baru saja memulakan pekerjaan baru bersama syarikat penyedia kelengkapan rumah, Coway (M) Sdn. Bhd. Menerusi video itu, Faizal berharap agar orang ramai dapat memberikan sokongan pada perniagaan mereka.

    “Assalamualaikum semua, ini adalah hari pertama saya melibatkan diri bersama Coway. Ini adalah sahabat-sahabat seperjuangan saya. Sokonglah saya dan kawan-kawan yang lain. Amin,”  katanya menurut Satu Berita yang memetik laporan Rotikaya.

    Sementara itu,dalam satu video lain Faizal berkata dia masih lagi aktif menyanyi meskipun sudah membabitkan diri dalam bidang baru sebagai usaha untuk mencari rezeki.

    Jelasnya lagi, tiada masalah untuk melakukan dua pekerjaan kerana apa yang penting memperoleh rezeki yang halal.

    “Tak semestinya menjadi seorang penyanyi tak boleh menjadi peniaga. Saya bersama Coway dan masih lagi menyanyi. Jadi, rasanya takde masalah selagi saya mencari rezeki halal. Saya sayang anda semua.. senyum sokmo!”  katanya.

    Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang teruja melihat penyanyi itu serta mendoakan agar Faizal terus berjaya dalam apa jua bidang diceburi.

    Dalam pada itu, ada yang meluahkan rasa rindu untuk melihat penyanyi itu kembali beraksi serta tertanya-tanya mengapa tidak menyertai Gegar Vaganza.

  • Rafizi tegur Muda dedah sasaran kerusi PRU-15

    Rafizi tegur Muda dedah sasaran kerusi PRU-15

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegur Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar yang mendedahkan sasaran kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Perkara ini sepatutnya dibincangkan secara tertutup dan bukan didedahkan kepada umum dan kena bincang tertutup. Nanti bising (kecoh) lagi,” katanya dalam satu status yang dimuat naik dalam Twitter miliknya, hari ini.

    Beliau turut berkongsi laporan media kenyataan Tarmizi yang menyatakan Muda dan DAP Negeri Sembilan menjalin kerjasama bagi memperkasa gerak kerja bersama di negeri itu.

    Tarmizi dilapor berkata, MUDA menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Pilah selain meneliti beberapa kerusi berpotensi lain.

    Rafizi menasihatkan semua parti di semua peringkat agar mengelak dedahkan mengenai kerusi yang akan dipertandingkan, sebaliknya memberi fokus kepada usaha melawan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    “Nasihat saya kepada semua parti di semua peringkat, elakkan umum kerusi mana yang nak ditandingi dan lain-lain.

    “Tidak membantu. Fokus lawan BN dan PN, tunjukkan kenapa rakyat tidak wajar undi mereka,” tambahnya menurut laporan Astro Awani.

    Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu sebulat suara bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun dilapor berkata, gabungan itu masih belum membincangkan penyertaan Muda.

  • Polis tahan bapa pelakon remaja didakwa lakukan gangguan seksual

    Polis tahan bapa pelakon remaja didakwa lakukan gangguan seksual

    POLIS telah menahan bapa kepada seorang pelakon remaja perempuan yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap anaknya, pada Rabu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, permohonan reman telah diperoleh daripada mahkamah sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

    “Polis membuat tangkapan pada 2.25 petang dan turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisa.

     “Saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro AWANI.

    Semalam, polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikan mangsa.

    Dalam satu kenyataan terdahulu, Wan Azlan berkata, mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapa kandungnya.

    Kejadian itu dipercayai berlaku sejak 2013 sehingga 2017.

    Tambah Wan Azlan, mangsa turut menyatakan kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia enam tahun dan ketika itu mereka tinggal di kawasan Subang Jaya.

    Baru-baru ini, pelakon berusia 15 tahun menerusi satu temu bual di YouTube ‘Bros Gang TV’ membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temu bual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Lelaki itu juga didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelakon remaja itu termasuk melakukan onani di hadapannya.

    Malah dia dikatakan mengajak anak perempuannya itu menonton video lucah bersama-sama.

    Bapa mangsa juga difahamkan turut telah membuat laporan polis bagi menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan oleh anaknya itu.

  • Tindakan Pas timbul persoalan siapa musuh bakal ditentang PN dalam PRU-15

    Tindakan Pas timbul persoalan siapa musuh bakal ditentang PN dalam PRU-15

    Muhyiddin minta penjelasan Pas malam ini soal kerjasama dengan UMNO,

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan dan tindakan Pas mahu meneruskan kerjasama serta mengadakan ‘rundingan tidak rasmi’ dengan UMNO menimbulkan persoalan mengenai musuh yang bakal ditentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN itu berkata, ia memandangkan  UMNO sudah memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

    “Kita sudah tubuh PN. Pas bersama kita, jadi kita nak dapat penjelasan Pas macam mana kita nak menghadapi PRU? Adakah akan tentang BN? Bagi saya memang begitu kerana kita tak mahu kleptrokrasi terus berkuasa dan berleluasa, dikaitkan dengan pimpinan BN.

    “Apa pun nanti saya akan dapat penjelasan, selepas itu PN akan buat pendirian jelas supaya tak ada keraguan mana hala tuju kita ke depan,” katanya pada majlis pelancaran buku The Doctor Will See You Now – My Life With Ampikaipakan Kandiah di sini, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendedahkan ada rundingan tidak rasmi antara parti itu dan pemimpin UMNO tertentu bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU-15.

    Selain itu, Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-68 turut meluluskan usul, meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan situasi satu lawan satu pada PRU-15.

    Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau akan meminta penjelasan daripada pimpinan Pas dalam mesyuarat PN malam ini berhubung keputusan dan tindakan parti itu.

    Beliau berkata, tindakan pimpinan Pas menjalankan rundingan dengan UMNO mengenai kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tidak dimaklumkan kepada PN.

    “Kita akan bincang dalam mesyuarat PN malam ini. Saya akan minta Presiden atau Setiausaha Agung Pas untuk beri sedikit penjelasan, kalau ya ada perundingan atau perbincangan (dengan UMNO).

    “Apakah benar-benar serius dan sejauh mana perkara itu akan berlaku. Perkara ini saya akan bangkitkan, kerana sekarang ini saya tak boleh nak komen kerana hanya dengar dari media sahaja,” katanya.

    Muhyiddin seterusnya menegaskan, parti dalam PN sewajarnya berbincang terlebih dahulu dengan rakan komponen supaya tidak dilihat berbeza pendirian, yang berisiko menjejaskan masa depan PN.

    “Bila saya mengadakan rundingan dengan mana pemimpin politik seperti yang pernah saya buat dulu, saya akan maklum (pada parti komponen PN) dan saya dapatkan pandangan sama ada wajar atau tidak.

    “Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebagai parti yang mempunyai pelbagai pendirian. Tentulah tak baik bagi masa depan PN dan kita nak jelas perkara ini kepada rakyat dan masyarakat umum apa sebenarnya pendirian PN,” katanya.

  • Selepas kalah kepada Dinamo, Chelsea pecat Tuchel

    Selepas kalah kepada Dinamo, Chelsea pecat Tuchel

    CHELSEA memecat Thomas Tuchel susulan kekalahan mengejut 1-0 di tangan Dinamo Zagreb dalam saingan Liga Juara-Juara pagi tadi.

    Pemilik baharu, Todd Boehly tidak membuang masa untuk menyingkirkan jurulatih dari Jerman itu hanya selepas tujuh perlawanan musim ini, dan 100 hari dalam tempoh pentadbirannya menggantikan Roman Abramovich.

    Chelsea berada di tangga keenam dalam Liga Perdana dan berdepan permulaan yang menyedihkan bagi kempen Liga Juara-Juara, dengan Tuchel disingkirkan beberapa jam selepas kekalahan 1-0 mereka di Croatia, perlawanan ke-100 dia sebagai pengurus.

    Dalam satu kenyataan Chelsea menulis: “Bagi pihak semua orang di Chelsea FC, kelab ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Thomas dan kakitangannya atas segala usaha mereka sepanjang bersama Kelab.

    “Thomas sepatutnya mendapat tempat dalam sejarah Chelsea selepas memenangi Liga Juara-Juara, Piala Super dan Piala Dunia Kelab pada zamannya di sini.

    “Memandangkan kumpulan pemilikan baharu mencecah 100 hari sejak mengambil alih kelab, dan sambil meneruskan kerja keras untuk membawa kelab ke hadapan, pemilik baharu percaya ia adalah masa yang sesuai untuk melakukan peralihan ini.”

    Sportsmail difahamkan bos Brighton, Graham Potter adalah sasaran utama, manakala Mauricio Pochettino yang tidak terikat dengan mana-mana jawatan juga sedang dalam pertimbangan Chelsea. – AGENSI

  • Tular wali usia 14 tahun sebak nikahkan kakak

    Tular wali usia 14 tahun sebak nikahkan kakak

    TIADA siapa menyangka seorang remaja berumur 14 tahun sanggup menggalas tanggungjawab menjadi seorang wali kepada kakak sulungnya yang selamat dinikahkan Ahad lalu.

    Peristiwa tersebut dirakam dan dimuat naik oleh ibunya dengan nama @azzaasha di aplikasi TikTok, hari ini.

    Rakaman itu memaparkan remaja lelaki terbabit kelihatan gementar ketika membaca lafaz ijab kepada pasangan kakaknya.

    Namun selepas lafaz nikah dibacakan oleh abang iparnya, remaja itu tidak dapat menahan sebak.

    “Alhamdulillah selesai pernikahan anakanda sulung, dinikahkan oleh adiknya,” katanya dalam video tersebut, hari ini.

    Sementara itu, video tular berdurasi seminit 24 saat itu turut mendapat perhatian warganet yang rata-rata terharu dengan remaja berkenaan yang sanggup menggalas tanggungjawab seberat itu pada usia muda.

    “Siapa nangis, kita ‘gang’.”

    “Menitis air mata, sama umur dengan anak kedua saya,” kata warganet yang memberikan komen pada video tersebut, lapor Sinar Harian.

  • Pengurus kedai tersepit, ah long buru bekas pekerja

    Pengurus kedai tersepit, ah long buru bekas pekerja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    “AH long mengugut supaya mengesan bekas pekerja kami atau melangsaikan hutangnya dengan kadar segera.”

    Itu kata dua yang diterima pengurus sebuah kedai cermin kereta di Taman Johor Jaya, Johor Bahru kerana bekas pekerjanya, Cheah Wei Keong menghilangkan diri selepas meminjam wang ah long.

    Menurut Tay Poi Kiang, 53, ugutan tersebut turut disusuli dengan tindakan apabila kedai cermin kereta tersebut disimbah cat merah.

    “Kejadian ini disedari sekumpulan pekerja kami pada jam 5.45 petang Isnin lalu apabila mendapati premis dicemari dengan cat merah.

    “Malah terdapat nota ditinggalkan di hadapan premis perniagaan berkenaan bertujuan menuntut hutang dan juga tercatat nama salah seorang bekas pekerja dan nombor kad pengenalan lelaki itu,” katanya.

    Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadu masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di premis perniagaan berkenaan, pada Rabu.

    Poi Kiang berkata, susulan itu pihaknya bertindak menghubungi nombor telefon tersebut menerusi WhatsApp bagi mendapatkan penjelasan.

    Menerusi perbualan itu pihaknya dimaklumkan bahawa ah long tersebut sebenarnya memburu Wei Kiong kerana tidak melunaskan hutang.

    “Kami dimaklum dia meminjam SGD800 (RM2,554) dan memiliki rekod pinjaman lain namun mereka enggan beritahu tarikh pinjaman itu dilakukan.

    “Mereka juga menyatakan memiliki maklumat beberapa ahli keluarga Wei Kiong yang berasal dari Pulau Pinang termasuk nombor pendaftaran kereta, nombor telefon dan alamat,” katanya.

    Poi Kiang berkata, walaupun pihaknya menjelaskan bekas pekerja mereka sudah lama berhenti kerja lapan tahun lalu pada 2014 dan tidak memiliki sebarang maklumat berkaitan lelaki berkenaan, ah long tidak mempedulikannya.

    Susulan itu dia membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 5 September lalu selain mengadu masalah itu kepada Cai Tung.

    “Kejadian seumpama ini adalah serius dan perlu diambil tindakan kerana terdapat banyak kes ceti haram bebas melakukan apa saja bagi menuntut hutang,” katanya.

    Tambahan pula kata Poi Kiang, mereka turut mengancam individu yang tidak membuat pinjaman dan seolah-olah menunjukkan mereka berkuasa melakukan apa sahaja bagi menuntut hutang.

    “Ketika bekerja di premis perniagaan ini, Wei Kiong yang berusia 30 tahun ketika itu tinggal di tingkat atas bangunan rumah kedai ini dan mungkin membuat pinjaman dengan menjadikan alamat kami sebagai rujukan,” katanya.

  • Lelaki warga asing cedera ditikam

    Lelaki warga asing cedera ditikam

    SEORANG lelaki warga asing cedera ditikam dalam pergaduhan di Jalan Radin Bagus 8, Sri Petaling, di Kuala Lumpur, pukul 3.49 pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Balai Polis Sri Petaling menjumpai mangsa berusia 30an terbaring di tepi jalan itu.

    Menurut beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, terdapat kesan tikaman pada pinggang sebelah kiri mangsa.

    “Mangsa merupakan warganegara asing dipercayai dalam keadaan mabuk telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Mukriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Basri berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bersama Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

    “Pihak polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan semasa kejadian, namun hasil rakaman kamera litar tertutup, kami berjaya menahan lima lelaki berusia 20an hingga 30an disyaki terlibat dalam pergaduhan terbabit.

    “Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di muka dua daripada semua suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.