Muhyiddin minta penjelasan Pas malam ini soal kerjasama dengan UMNO,

TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan dan tindakan Pas mahu meneruskan kerjasama serta mengadakan ‘rundingan tidak rasmi’ dengan UMNO menimbulkan persoalan mengenai musuh yang bakal ditentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN itu berkata, ia memandangkan  UMNO sudah memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

“Kita sudah tubuh PN. Pas bersama kita, jadi kita nak dapat penjelasan Pas macam mana kita nak menghadapi PRU? Adakah akan tentang BN? Bagi saya memang begitu kerana kita tak mahu kleptrokrasi terus berkuasa dan berleluasa, dikaitkan dengan pimpinan BN.

“Apa pun nanti saya akan dapat penjelasan, selepas itu PN akan buat pendirian jelas supaya tak ada keraguan mana hala tuju kita ke depan,” katanya pada majlis pelancaran buku The Doctor Will See You Now – My Life With Ampikaipakan Kandiah di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendedahkan ada rundingan tidak rasmi antara parti itu dan pemimpin UMNO tertentu bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU-15.

Selain itu, Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-68 turut meluluskan usul, meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan situasi satu lawan satu pada PRU-15.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau akan meminta penjelasan daripada pimpinan Pas dalam mesyuarat PN malam ini berhubung keputusan dan tindakan parti itu.

Beliau berkata, tindakan pimpinan Pas menjalankan rundingan dengan UMNO mengenai kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tidak dimaklumkan kepada PN.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat PN malam ini. Saya akan minta Presiden atau Setiausaha Agung Pas untuk beri sedikit penjelasan, kalau ya ada perundingan atau perbincangan (dengan UMNO).

“Apakah benar-benar serius dan sejauh mana perkara itu akan berlaku. Perkara ini saya akan bangkitkan, kerana sekarang ini saya tak boleh nak komen kerana hanya dengar dari media sahaja,” katanya.

Muhyiddin seterusnya menegaskan, parti dalam PN sewajarnya berbincang terlebih dahulu dengan rakan komponen supaya tidak dilihat berbeza pendirian, yang berisiko menjejaskan masa depan PN.

“Bila saya mengadakan rundingan dengan mana pemimpin politik seperti yang pernah saya buat dulu, saya akan maklum (pada parti komponen PN) dan saya dapatkan pandangan sama ada wajar atau tidak.

“Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebagai parti yang mempunyai pelbagai pendirian. Tentulah tak baik bagi masa depan PN dan kita nak jelas perkara ini kepada rakyat dan masyarakat umum apa sebenarnya pendirian PN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here