TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegur Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar yang mendedahkan sasaran kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Perkara ini sepatutnya dibincangkan secara tertutup dan bukan didedahkan kepada umum dan kena bincang tertutup. Nanti bising (kecoh) lagi,” katanya dalam satu status yang dimuat naik dalam Twitter miliknya, hari ini.

Beliau turut berkongsi laporan media kenyataan Tarmizi yang menyatakan Muda dan DAP Negeri Sembilan menjalin kerjasama bagi memperkasa gerak kerja bersama di negeri itu.

Tarmizi dilapor berkata, MUDA menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Pilah selain meneliti beberapa kerusi berpotensi lain.

Rafizi menasihatkan semua parti di semua peringkat agar mengelak dedahkan mengenai kerusi yang akan dipertandingkan, sebaliknya memberi fokus kepada usaha melawan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Nasihat saya kepada semua parti di semua peringkat, elakkan umum kerusi mana yang nak ditandingi dan lain-lain.

“Tidak membantu. Fokus lawan BN dan PN, tunjukkan kenapa rakyat tidak wajar undi mereka,” tambahnya menurut laporan Astro Awani.

Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu sebulat suara bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun dilapor berkata, gabungan itu masih belum membincangkan penyertaan Muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here