SEORANG remaja bawah umur berusia 16 tahun antara empat individu ditahan dipercayai anggota ‘Geng Mawar’ yang aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) ditahan polis Rabu lalu.
Kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 37 tahun termasuk seorang wanita itu ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Bertam Perdana dan Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 3.40 pagi.
Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati kumpulan terbabit aktif memecah masuk rumah di beberapa taman perumahan antaranya di Bertam Perdana, Kubang Menerong dan Tasek Gelugor.
Ujar beliau, modus operandi kumpulan itu adalah dengan memerhatikan rumah yang tidak berlampu dalam tempoh sehari dua.
“Mereka kemudiannya akan memecah masuk rumah yang disasarkan pada hari ketiga melalui pintu belakang atau laluan yang terlindung daripada penglihatan umum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU hari ini.
Menurut Mohd. Radzi, dalam operasi sama pihaknya merampas pelbagai barangan antaranya kasut dan beg berjenama, telefon bimbit, komputer riba, pelbagai mata wang asing, barang kemas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM250,000.
Selain itu katanya, polis turut menyita sebuah Proton Wira yang digunakan kumpulan itu untuk menjalankan kegiatan terbabit.
Tambah beliau, kesemua suspek termasuk remaja yang masih bersekolah itu juga didapati memiliki pelbagai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
“Dengan tertumpasnya Geng Mawar ini, polis yakin berjaya menyelesaikan sebanyak 16 kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan curi.
PARTI DAP mula menguji pengaruhnya di Terengganu pada tahun 2008 setelah berjaya menubuhkan cawangan pertamanya di negeri yang sebelum ini terlalu kebal dengan imej ‘keMelayuannya’.
Ia bermula setelah Timbalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu ketika itu, Ng Chai Heng mengumumkan peletakan jawatannya pada 28 Ogos 2008 dan diberi mandat menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penaja DAP Cawangan Kampung Cina, Kuala Terengganu.
Bagi pemerhati politik, penubuhan cawangan tersebut diaggap sebagai langkah pertama untuk DAP bertapak di Terengganu.
Selain itu, ia juga dianggap sebagai momentum perubahan rakyat yang dikatakan sudah bermula di mana matlamat dan sasaran utamanya adalah untuk memastikan parti itu mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Begitulah, betapa licik dan ‘cerdiknya’ percaturan DAP sejak awal penubuhan dahulu.
Malah, penulis perhatikan di tengah-tengah senarai barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP Terengganu bagi sesi 2021-2024, terselit nama seorang Melayu, iaitu Mohd. Nasir Zainal sebagai Timbalan Pengerusi.
Barangkali ia adalah selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke Siew baru-baru ini yang mengatakan bahawa DAP akan mengentengahkan lebih ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam usaha memperkasakan kepelbagaian dalam kepimpinan parti berkenaan.
Ng Chai Heng
Kini, selepas 14 tahun wujud di Terengganu, DAP kelihatan semakin ‘bernafsu’ besar dalam menggerakkan agenda politiknya.
Buktinya, parti tersebut bercadang untuk menampilkan calon tunggal bertanding pada PRU15 melibatkan kerusi DUN Bandar.
Ketika mengatakan perkara tersebut baru-baru ini Chai Heng berkata, calon yang akan diketengahkan mempunyai latar belakang baik sekali gus memenuhi kriteria diinginkan pengundi di kawasan itu.
Malah beliau turut memberi bayangan calon yang diketengahkan juga merupakan individu anak tempatan, mempunyai latar belakang yang baik serta memahami senario politik serta kedudukan di kawasan itu.
Malah, beliau yakin berdasarkan perkembangan politik semasa, parti itu mempunyai kekuatan kerana ia merupakan sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Perkembangan ini sewajarnya diberikan perhatian oleh parti politik lain di negeri ini khususnya Perikatan Nasional (PN) dan BN.
Ketika mengulas hasrat DAP meletakkan calon di kerusi DUN Bandar pada PRU-15 nanti, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata partinya tidak gentar atau tergugat dengan perkara tersebut.
Malah, Ariffin menyifatkan kewujudan PH khususnya DAP di Terengganu tidak begitu relevan bagi politik negeri ini.
Ariffin Deraman
Bagi penulis, walaupun ada pihak menganggap kehadiran DAP sebagai tidak relevan dan bukan pengancam utama, namun ia perlu dilihat dari sudut lain iaitu ‘pangacau’ undi dan juga kedudukanya yang berada dalam parti komponen PH.
Ia perlu memandangkan agenda DAP ada kalanya melangkaui pemikiran kita, apatah lagi kejayaan parti itu dalam melakukan tsunami politik melibatkan masyarakat Cina sebelum ini selain ia mampu memecahkan undi Melayu.
Kali terakhir DAP Terengganu menampilkan calon bertanding di DUN Bandar ialah pada tahun 2004 manakala kali pertama ialah pada 1990.
DUN Bandar mempunyai seramai 22,000 pengundi di mana 34 peratus daripadanya adalah pengundi Cina.
Dalam siri PRU sebelum ini kerusi kawasan ini merupakan antara kubu kuat MCA-BN, sebelum ia bertukar milik kepada parti Pas dalam PRU-14 lalu.
Dalam PRU-14, calon Pas Ahmad Shah menang dengan majoriti 2,091 undi.
Beliau yang memperoleh 7,133 undi berjaya menewaskan calon BN, Toh Seng Cheng yang mendapat 5,042 undi dan Azan Ismail (PH) yang mendapat 3,996 undi.
SEORANG lelaki didenda RM10,000 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini kerana melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan milik abang serta kakaknya, September lalu.
Hukuman diputuskan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas tertuduh, Norazizul Lizam Miskun, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan, lapor Harian Metro.
Dia yang tidak bekerja dituduh sengaja melakukan khianat iaitu dengan cara mengambil pasu bunga, lalu menghempas pada cermin kereta milik abangnya, Noor Hadi, 53, dan kakak, Nor Baiza, 49, sehingga menyebabkan cermin pecah serta mangsa kerugian RM25 atau lebih.
Kesalahan dilakukan di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di Shah Alam pada 4 petang, 25 September 2022 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Keseksaan.
Di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani, tertuduh turut mengaku bersalah memasukkan dadah jenis THC, Amphetamine, Methamphetamine ke dalam tubuh badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 26 September 2022.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk serahan laporan patologi sebelum hukuman dijatuhkan dan tertuduh dibenar diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, Norazizul juga berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap anggota polis, Mohd. Ridzuan Marsudi, 32, dengan menggunakan parang yang mungkin boleh menyebabkan kematian.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Rihaida Rafie di Mahkamah Sesyen di Shah Alam.
Mahkamah menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes itu dan tertuduh dibenar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perintah tambahan, dilarang mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi.
Terdahulu, semua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman, Saidah Fasihah Che Yusoff dan S. Reetha.
BEKAS Pengarah Bukan Eksekutif AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bahawa beliau menemui ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak di Kenny Hill, Bukit Tunku, pada 2011 lalu.
Cheah Tek Kuang, 75, berkata demikian semasa prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri, yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut saksi pendakwaan ke-39 itu, kedatangannya ke rumah pemimpin UMNO itu adalah bagi membincangkan urusan pembukaan akaun baharu.
“Setibanya di sana, saya nampak ada beberapa kereta, Jho Low juga ada dalam salah sebuah kenderaan itu.
“Saya tidak tegur dia, kami kemudiannya dibawa ke bilik berasingan,” katanya ketika soal balas daripada peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, lapor Sinar Harian.
Tek Kuang berkata, memandangkan Jho Low tidak terbabit dengan AmBank, beliau kurang mengenali ahli perniagaan itu secara peribadi malah mereka hanya bertemu beberapa kali.
Meskipun begitu, beliau berkata, Jho Low mempunyai satu tabiat tiba lambat dalam satu-satu majlis.
Muhammad Shafee: Selain rumah Najib, di mana anda bertemu dengan Jho Low.
Tek Kuang: Majlis sosial, mesyuarat mungkin juga minum petang.
Muhammad Shafee: Anda tahu, Jho Low ada tabiat beri hadiah. Adakah dia beri hadiah pada anda?
Tek Kuang: Tidak, tidak, saya tidak perlukan hadiah.
Muhammad Shafee: Bagaimana dengan telefon pintar, Blackberry?
Tek Kuang: Tidak, saya ada telefon sendiri, Nokia.
Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.
SEORANG lelaki dihukum kejam dengan kemaluannya digigit dan dibelasah teruk di hadapan orang ramai hanya kerana dituduh mencuri barangan bernilai kurang daripada RM5.
Video insiden itu tular selepas dikongsi di Twitter oleh Parti Marxist Nigeria, yang mendakwa kejadian itu berlaku di Semenanjung Bakassi, Nigeria.
Menurut dakwaan, lelaki itu dituduh mencuri barangan bernilai kurang satu dolar (RM4.65) sebelum hukuman itu dilakukan mengikut ‘jungle justice’.
Rakaman video memaparkan, seorang daripada kumpulan orang ramai itu tiba-tiba melutut di sebelah lelaki yang sudah dibogelkan itu sebelum menggigit kemaluannya.
Penderitaan lelaki itu tidak terhenti setakat itu apabila orang ramai merejamnya hingga menyebabkan dia tidak berdaya.
Sejurus selepas penyerang yang tidak berperasaan itu memperlakukan mangsa dengan aib dan kejam, segelintir daripada mereka menghempas batu besar terhadap lelaki tersebut.
Video itu membimbangkan netizen kerana tindakan penyerang itu keterlaluan, malah Parti Marxist Nigeria turut menggesa hukuman dikatakan ‘jungle justice’ diharamkan.
“Inilah sebabnya kita harus mengharamkan ‘jungle justice’. Hanya kerana mencuri sesuatu yang kurang daripada satu dolar, kemaluannya digigit,” katanya dalam Twitter, menurut Harian Metro memetik laporan Agensi.
“Tolonglah ini sangat jahat dan biadab. Pelakunya harus dihadapkan dengan hukum berat,” komen seorang netizen, Lugard Ekhator.
Seorang ahli politik Nigeria, Dakuku Peterside berkata negaranya sedang mengalami ‘wabak’ ‘jungle justice’ iaitu melakukan pembunuhan di luar undang-undang.
Katanya, seorang penjenayah yang didakwa dimalukan secara terbuka, dipukul dan kemudian dihukum bunuh oleh kumpulan orang ramai yang marah.
Ahad lalu, polis di Lagos State juga mengesahkan, kumpulan penunjuk perasaan menjalankan ‘jungle justice’ ke atas dua lelaki yang didakwa merompak seorang juruwang di kawasan Igando.
Orang ramai membakar mangsa sehingga tidak dapat dikenali.
SEORANG anggota Hizbut Tahrir Malaysia diarahkan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini untuk melantik peguam kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran itu.
Hakim, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin memberi tempoh itu kepada tertuduh, Jamaluddin Maidin Syed, 46, dari Seremban bagi membolehkan pendakwaan diteruskan terhadapnya.
Sepatutnya hari ini, prosiding terhadap tertuduh akan bermula mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
Jamaluddin berkata, dia akan melantik peguam namun membantah bon jaminan yang diberikan kepadanya sebelum ini.
Bagaimanapun Kamal Bashah meminta tertuduh menyatakan ketidakpuasan hati itu melalui peguamnya untuk disebut dalam prosiding akan datang.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 23 November pukul 9.30 pagi.
Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Suhaizad Saifuddin.
Terdahulu, Jamaluddin yang memakai baju kameja berpetak dan berkopiah tiba di pekarangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan pada pukul 9.20 pagi dengan ditemani beberapa pengikut ajaran Hizbut Tahrir.
Media pada Oktober tahun lalu melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan lelaki berkenaan di pejabat penguat kuasa jabatan itu pada 27 Oktober.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, Jamaluddin ditahan kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran Hizbut Tahrir mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
“Turut ditahan, isteri Jamaluddin yang berusia 46 tahun serta anak perempuan berusia 22 tahun di rumah mereka di Taman Bandar Seremban Selatan di Seremban.
“Mahkamah Syariah membenarkan jaminan setiap seorang RM2,500 dengan seorang penjamin,” katanya, lapor Sinar Harian.
DUA subkontraktor yang terbabit dalam projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) bertindak memfailkan saman terhadap Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Memetik laporan Berita Harian, dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, BHIC berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 September oleh syarikat 51 peratus miliknya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) dan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) .
Saman itu menamakan pengarah nominee BNS, BHIC, BHIC Defence Technologies Sdn Bhd (BHICDT) dan BHICDT, Salihin Abang dan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.
Di bawah writ saman dan pernyataan tuntutan (WCCS), CAD dan CED mendakwa bahawa keputusan BNS untuk menarik balik 12 surat anugerah (LoA) untuk projek LCS adalah tidak sah.
Syarikat berkenaan telah dipertanggungjawabkan untuk membeli peralatan daripada pengeluar peralatan asli (OEM) untuk frigat tentera laut.
LoA dilaporkan telah dibatalkan oleh BNS pada bulan lalu berikutan dakwaan salah laku dan urus niaga palsu.
CAD menuntut RM880,068.21, 39.87 juta euro, 3.78 juta pound British dan 55.94 juta kronor Sweden dalam dakwaan jumlah tertunggak daripada BNS, manakala CED menuntut RM216 juta.
BHIC menguasai 27.77 peratus kepentingan dalam BNS, kontraktor Kementerian Pertahanan, untuk membina enam frigat di bawah program LCS.
Penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendedahkan percanggahan dan kelewatan dalam projek pembinaan LCS bernilai RM9 bilion sejak 2017.
Kontrak itu telah diberikan kepada BNS melalui rundingan terus, dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, tetapi tidak satu pun LCS telah diserahkan setakat ini.
Menurut laporan yang didedahkan oleh jawatankuasa penyiasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan, kos untuk menyiapkan enam LCS mungkin meningkat kepada RM11.145 bilion.
SURUHANJAYA Tenaga (ST) memandang serius berkaitan dengan kemalangan elektrik yang meragut dua nyawa di Kampung Teras Jernang, Kajang, baru-baru ini.
Berikutan insiden itu, ST sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
ST dalam kenyataan berkata, jika didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.
“Sehubungan itu, ST menasihati orang ramai supaya cakna dengan risiko renjatan elektrik daripada kebocoran arus yang mungkin berlaku di sekitar kediaman.
“Orang ramai perlu memerhatikan persekitaran kediaman dan melaporkan dengan segera kepada pihak utiliti bekalan elektrik sekiranya terdapat kejanggalan pada pepasangan elektrik seperti wayar servis elektrik terjuntai atau menyentuh bumbung rumah,” katanya, lapor Harian Metro.
ST berkata, sekiranya ingin melakukan pengubahsuaian atau penyenggaraan rumah, beberapa langkah hendaklah dititikberatkan.
“Jangan usik atau mengalihkan mana-mana pepasangan utiliti. Hubungi pihak utiliti bekalan elektrik.
“Lantik kontraktor yang berdaftar dengan ST untuk menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik.
“Lantik orang kompeten yang berdaftar dengan ST untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian elektrik secara berkala dan membuat penggantian sekiranya perlu. Orang ramai boleh meminta Kad Pendaftaran Orang Kompeten (Competent Person Identification Card) daripada orang kompeten untuk mendapatkan maklumat terus berkaitan status kekompetenan,” katanya.
Menurutnya, jika terdapat sebarang kemusykilan atau aduan mengenai perkara ini, hubungi ST melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected].
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak mengamalkan perkauman dalam menyediakan bank soalan bagi murid sekolah rendah yang menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik.
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penyediaan bank soalan itu adalah berdasarkan subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik.
“Mengenai subjek di sekolah rendah, (bank soalan) itu adalah (untuk) subjek teras, tidak kira subjek apa atau bahasa apa, kalau itu adalah subjek teras, itu (bank soalan) yang kita sediakan untuk murid sekolah rendah. Ini bukan soal perkauman.
“Kita tidak mahu nanti akan ada satu tekanan besar kepada murid untuk melihat bahawa ujian akhir tahun ini sebagai satu ujian yang besar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang mempersoalkan tindakan KPM tidak menyediakan bank soalan secara menyeluruh terutama bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina atau Tamil.
Laporan itu juga memetik Radzi sebagai berkata, bagi sekolah menengah pula, penyediaan bank soalan dibuat untuk keseluruhan subjek.
Mengulas mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Radzi berkata, ia bukan sesuatu yang baharu kerana sudah diperkenalkan pada 2011 untuk sekolah rendah dan sekolah menengah pada 2012.
“Perkara ini sebenarnya sudah dilaksanakan 10 tahun lalu, bukan sesuatu yang baharu dan jika kita bercakap soal kekangan dalam konteks memerlukan setiap kelas kurang 25 orang dan sebagainya, ini menyebabkan kita tidak dapat melaksanakan satu perubahan besar kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas.
“Sebab itu mana-mana pembuatan dasar di dunia, setiap dasar ada kekangan masing-masing dan kita membuat keputusan berdasarkan kekangan yang ada,” katanya.
Justeru, katanya, KPM sedang berusaha melatih guru bagi meningkatkan kreativiti, inovasi dan kecekapan khususnya bagi memastikan PdP dalam kelas dapat dilaksanakan dengan berkesan.
PAS menafikan satu kenyataan media yang kononnya dikeluarkan Setiausaha Agung Parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa parti itu menamakan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pas menerusi kenyataan dalam akaun Facebook rasmi parti itu menegaskan, kenyataan tular bertajuk ‘Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama’ tersebut bukan dikeluarkan pihaknya.
“Pas menafikan kenyataan media yang kononnya dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS dengan tajuk ‘Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama’.
“Ditegaskan bahawa Pas tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan melahirkan rasa kesal atas tindakan tidak bertanggungjawab itu,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan tular bertarikh 2 Oktober itu antaranya menyatakan kesyukuran parti itu di atas keputusan UMNO membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15 tahun ini selain memaklumkan kesediaan PN menghadapi pilihan raya berkenaan.
Selain itu, ia turut menyatakan Pas bersama PN sentiasa memberikan komitmen dengan meletakkan calon yang terbaik membawa agenda Melayu Islam untuk menerajui kepimpinan negara.
Sehubungan itu Pas mencadangkan Abdul Hadi sebagai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan itu juga didakwa menyeru rakyat Malaysia untuk berdiri teguh mengangkat dan mempertahan kepimpinan ulama untuk menerajui negara serta menolak Pakata Harapan pada PRU-15.