Author: Wartawan WartaRakyat

  • Seorang hilang, enam selamat perahu karam di Sungai Song

    Seorang hilang, enam selamat perahu karam di Sungai Song

    SEORANG lelaki hilang manakala enam yang lain terselamat selepas perahu yang mereka naiki karam di muara Sungai Song, di Song, lewat malam tadi.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimanshah berkata, insiden membabitkan penduduk Rumah Ekeh Nanga Pan, di Song berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang selepas mengunjungi pekan Song.

    Pihaknya kata Henderi, menerima panggilan pukul 11.17 malam dan segera mengaktifkan jentera dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Song yang kebetulan sedang mengadakan rondaan Monsun Timur Laut ke lokasi.

    “Berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa yang terselamat sedang tersadai di muara sungai, yang terletak di seberang pekan termasuk dua yang tidak sedarkan diri, setelah diselamatkan rakan mereka.

    “Seorang daripada mangsa kemudian menghubungi saudaranya yang berada di pekan berkenaan, yang kemudian memanjangkan maklumat kepada pihak bomba.

    “Setibanya di jeti pekan Song, pasukan bomba kemudian mendapatkan bantuan pemilik perahu awam yang kebetulan berada di jeti berkenaan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya lagi, ketika itu pihaknya mendapat maklumat akan identiti mangsa hilang yang dikenal pasti sebagai Gawing Mancha, 47.

    Tambahnya, semua mangsa yang terselamat kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Song untuk rawatan lanjut.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang bagaimanapun akan dimulakan pada pagi ini memandangkan keadaan persekitaran yang gelap serta faktor keselamatan bagi pasukan penyelamat,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • Bukan Kabinet bayangan, ketua portfolio hanya ‘pantau’ – Hamzah

    Bukan Kabinet bayangan, ketua portfolio hanya ‘pantau’ – Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk  Seri Hamzah Zainudin menjelaskan senarai jawatankuasa portfolio Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan baru-baru ini bukan Kabinet bayangan gabungan itu sebagaimana dilaporkan.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung PN berkata, ketua portfolio yang dilantik itu adalah untuk meneliti, mengkaji dan menjuarai isu membabitkan kementerian berkaitan.

    “Ramai yang salah tafsir menganggap ketua-ketua portfolio ini sebagai Kabinet bayangan…sebenarnya bukan.

    “Pengkhususan portfolio ini dibuat bagi membolehkan PN bergerak sebagai sebuah pasukan yang kukuh dan ampuh dalam melakukan tugas semak dan imbang kepada kerajaan membabitkan setiap kementerian,” katanya di Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, dengan Ahli Parlimen PN ditugaskan dalam portfolio masing-masing, rakyat dapat melihat bagaimana mereka bertindak semasa perbahasan Parlimen dan memberikan kritikan membina terhadap kerajaan.

    “Pasukan ini akan melangkah secara sederap dan seirama dalam menegur, menyatakan pandangan serta tidak terkecuali memberi sokongan terhadap perkara-perkara yang baik bawah pentadbiran perdana menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Awal bulan ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai jawatankuasa portfolio itu yang dianggap ramai pihak sebagai Kabinet bayangan mereka.

    Bekas perdana menteri itu mengetuai jawatankuasa berkenaan dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinamakan sebagai timbalan ketua.

  • Mahkamah tolak petisyen BN, Che Alias kekal MP Kemaman

    Mahkamah tolak petisyen BN, Che Alias kekal MP Kemaman

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Che Alias Abd Hamid daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

    Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menolak petisyen yang difailkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said dan memerintahkannya membayar kos perundangan RM30,000 kepada Che Alias selaku responden.

    Setiausaha Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Pas Pusat, Ahmad Lutfi Awang berkata, hakim bersetuju fakta-fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

    “Ini kerana daripada tujuh program rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Bantuan i-Belia, i-Siswa dan Sumbangan kepada OKU dan Asnaf tidak mengandungi butiran rasuah atau sogokan.

    “Tiada butiran berkenaan ejen responden, tiada maklumat penerima, tiada fakta yang menunjukkan penerima adalah juga pengundi berdaftar, tiada butiran ucapan YB Exco yang boleh dianggap menyumbang kepada perlakuan rasuah atau sogokan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harakahdaily.

    Ahmad Lutfi menjelaskan, menurut mahkamah, memandangkan dakwaan sogokan atau rasuah adalah bersifat ‘quasi-criminal’ (separa jenayah), maka adalah penting bagi pempetisyen memplidkan butiran fakta yang lengkap, terperinci dan sempurna agar responden diberikan keadilan yang seluas-luasnya.

    “Kecacatan petisyen pempetisyen dalam membekalkan fakta-fakta berkenaan, tidak boleh dikompromikan dan memastikan keadilan dalam perbicaraan. Justeru petisyen tidak wajar dibenarkan melalui proses perbicaraan dalam keadaan pempetisyen sendiri samar dengan dakwaan sogokon atau rasuah pilihan raya.

    “Atas asas itu mahkamah memutuskan bahawa petisyen ini adalah cacat, defektif dan tidak sah.

    “Sehubungan dengan itu mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi mengistiharkan bahawa pemilihan responden selaku Ahli Parlimen bagi P.040 Kemaman adalah sah,” kata Ahmad Lutfi.

    Walau bagaimanapun, pempetisyen mempunyai peluang dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan itu untuk merayu terus ke Mahkamah Persekutuan.

    Che Alias Abd Hamid selaku responden diwakili peguam Saifuddin Othman, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Nasir Embong.

    Untuk rekod, pada PRU-15 lalu, Che Alias yang bertanding atas tiket Pas, menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.

    Che Alias mendapat undi sebanyak 65,714 menewaskan Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535, dua lagi calon yang bertanding di parlimen berkenaan, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi. 

  • Harap kerajaan Pusat lulus peruntukan projek skala besar Perlis – Mohd Shukri

    Harap kerajaan Pusat lulus peruntukan projek skala besar Perlis – Mohd Shukri

    KERAJAAN negeri Perlis berharap kerajaan pusat dapat meluluskan peruntukan sebanyak RM3 bilion dalam melaksanakan 80 projek berskala tinggi di negeri itu selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diterapkan ke seluruh negara pada masa kini.

    Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) ada memohon peruntukan berkenaan untuk pelaksanaan projek itu

    “Peruntukan itu adalah bertujuan bagi memastikan segala pelaksanaan pembinaan prasarana dapat dilaksanakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

    “Malah kita berharap permohonan itu dapat diluluskan selepas ini selaras dengan konsep kerajaan Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau menyatakannya ketika ditemui selepas menghadiri Program Rehlah Keluarga Syarikat Air Perlis (RAKERSAP) di Tangki Air SAP Anak Chelong, Bukit Ayer, di Kangar, hari ini.

    Mohd Shukri dalam pada itu turut mengulas berhubung masalah bekalan air di Perlis yang sering menjadi permasalahan utama rakyat.

    Menurut beliau, pihaknya berharap masalah bekalan air itu akan dapat diselesaikan selepas ini menerusi beberapa langkah dan usaha dilaksanakan oleh SAP.

    “Bayaran tunggakan bil air penduduk di negeri ini juga mampu membantu melancarkan operasi SAP dalam memastikan orang ramai dapat menikmati bekalan air bersih mencukupi.

    “Saya menyeru supaya semua pihak dapat selesaikan bayaran tunggakan mereka dengan segera dan pastikan tiada tunggakan bil yang begitu banyak.

    “Selain itu juga, kita dan SAP sedang memantau rapat masalah air tidak berhasil (NRW) selain beberapa punca sudah dapat dikenal pasti menyebabkan berlakunya isu itu.

    “Sekiranya semua masyarakat dapat melaporkan segera kejadian paip pecah, ia dapat membantu dalam menyelesaikan isu NRW ini dengan seberapa segera,” katanya.

  • Bekas pegawai polis didenda RM7,000 akibat suapan RM500

    Bekas pegawai polis didenda RM7,000 akibat suapan RM500

    Oleh BADLISHAH MAT

    BEKAS pegawai polis berpangkat inspektor didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar akibat menerima suapan wang tunai RM500, lapan tahun lalu.

    Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Hilmi Abd. Hamid, 39, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan terhadapnya.

    Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

    Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, dia sebagai iInspektor polis ketika kejadian didakwa menerima wang tunai RM500 daripada seorang lelaki berusia 39 tahun dengan tiada balasan, namun mengetahui ia sebagai dorongan berhubung tugas rasminya.

    Kesalahan dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic berhadapan sebuah kedai makan di Kampung Ceruk Bemban di Kupang, Baling kira-kira 3.45 petang, 17 April 2015.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan sementara tertuduh diwakili peguam, S. Parameswaran.

    Parameswaran dalam rayuannya memohon hukuman denda kerana tertuduh perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta dua anak berusia 10 dan 13 tahun.

    Katanya, tertuduh telah diberhentikan kerja sejak November 2017 dan kini merupakan pencari nafkah tunggal di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang.

    “Selain itu, kita memohon mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh dengan jumlah wang yang terlibat iaitu RM500,” katanya.

    Mohamad Fauzee bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana perbuatan rasuah adalah satu kesalahan serius.

  • DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) dijangka dilakukan sebelum 1 Julai nanti.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana pihaknya berpendapat pentadbiran DUN Terengganu perlu dikekalkan sehingga tempoh penggal berakhir pada 30 Jun.

    “Setakat ini tiada keperluan untuk kita adakan PRN dalam tempoh terdekat, jadi kita tunggu dululah, kalau perlu sehingga habis penggal,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Tahun 2022 & Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Taman Tamadun Islam (TTI) pada Ahad.

    Mengulas mengenai keputusan mengadakan PRN serentak melibatkan enam negeri yang belum membubarkan DUN, beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan bagi memudahkan semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurut Ahmad Samsuri, beliau sudah bertemu dengan salah seorang menteri besar di Kuala Lumpur pada Sabtu dan bersetuju supaya pemimpin enam negeri iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal itu.

    “Kebetulan kami semua ada di Kuala Lumpur sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja yang akan bermula Isnin hingga Khamis, jadi kami akan cuba celah mana-mana waktu sesuai.

    “Pembubaran daripada negeri-negeri boleh jadi berbagai tarikh tapi yang penting ialah mesyuarat SPR untuk menentukan tarikh yang paling sesuai PRN,” katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memaklumkan perbincangan mengenai agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari lalu terpaksa ditangguhkan.

    Bagaimanapun katanya, beliau telah bertemu dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbincang tentang prinsip dan dasar rundingan agihan kerusi.

    “Team Perikatan Nasional akan berjumpa dalam tempoh terdekat, kita jangka kira-kira dua minggu akan datang,” tambahnya, , lapor BeritaBersatu.

  • Ustaz Wadi Annuar mohon maaf terbuka kepada masyarakat India

    Ustaz Wadi Annuar mohon maaf terbuka kepada masyarakat India

    PENCERAMAH bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat India beragama Hindu susulan kenyataannya mengenai ‘sembah syaitan’ membabitkan perayaan Thaipusam baru-baru ini.

    Perkembangan itu berikutan kenyataan ‘sembah syaitan’ yang disebutnya pada satu ceramah di Masjid Al-Azim, Masjid Negeri Melaka pada 10 Februari lalu.

    “Dalam ceramah itu, saya menyebut mengenai perarakan Thaipusam yang di dalamnya ada sekumpulan orang Melayu Islam menyertainya dan saya menyatakan ajaran agama Islam tidak membenarkan penganutnya menyertai perayaan berbentuk agama itu.

    “Namun saya terlepas pandang dengan menyebut perkataan ‘sembah syaitan’ dan ia adalah kesilapan daripada mulut saya.

    “Maka hari ini, saya memohon maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan itu. Saya mohon maaf kepada semua penganut agama Hindu dan masyarakat India di Malaysia khususnya, dengan seikhlas hati atas kekhilafan yang berlaku,” katanya dalam video permohonan maaf berkenaan, hari ini.

    Permohonan maaf itu dibuat selepas selesai menyampaikan kuliah dhuha di sebuah masjid pagi tadi dipercayai di Sendayan, Negeri Sembilan, yang disiarkan secara langsung secara dalam talian di laman Facebooknya.

    Kenyataan rasminya berhubung permohonan maaf itu juga kemudian dimuat naik di laman Facebook sama.

    Mohamad Wadi berkata, beliau tidak berniat menghina agama lain atau menyinggung perasaan penganut bukan Islam.

    “Saya tidak berniat menghina agama lain dan saya tidak berniat menyinggung perasaan penganut agama lain.

    “Mana-mana yang ada muat naik potongan ceramah itu, diminta memadamkannya kerana ia boleh mengundang salah faham daripada penganut agama lain,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Bung Moktar diketepikan daripada ketuai UMNO, BN berunding dengan GRS

    Bung Moktar diketepikan daripada ketuai UMNO, BN berunding dengan GRS

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin diketepikan daripada mengetuai parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam rundingan dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Nor.

    Sebaliknya, BN melantik Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan untuk mewakili parti itu dalam rundingan berkenaan.

    Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN juga mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah.

    “Pendirian ini sejajar dengan ketetapan parti pada peringkat Persekutuan yang sudah membentuk Kerajaan Perpaduan. Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya.

    “Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan sekretariat sama pada peringkat negeri termasuk Sabah,” katanya dalam kenyataan, semalam, lapor Berita Harian.

    Bung Moktar sebelum ini memaklumkan belum ada sebarang keputusan dibuat bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah, sebaliknya perbincangan masih dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin parti politik di negeri ini.

    Kemelut politik di Sabah tercetus kembali bulan lalu selepas Bung Mokhtar mengumumkan UMNO Sabah menarik sokongan kepada Hajiji, yang diikuti beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN lain.

    Hanya lima ADUN UMNO dan BN tidak mengikuti langkah Bung Mokhtar dan terus menyokong kepimpinan Hajiji.

    Tindakan itu mengakibatkan rombakan semula Kabinet Sabah dibuat Hajiji yang menyaksikan Bung Mokhtar akhirnya digugurkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya Sabah.

    Zambry berkata, BN Sabah juga dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan, sekali gus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.

    Hujung bulan lalu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), memaklumkan bakal mengetuai parti politik baharu dikenali Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat, platform untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan dan bernaung di bawah GRS.

    Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, Hajiji adalah Pengerusi Bersatu merangkap Pengerui Perikatan Nasional (PN) Sabah, namun semua calon Bersatu di Sabah bertanding pilihan raya di bawah tiket GRS.

    Pada 9 Disember, Hajiji dan semua pemimpin Bersatu Sabah, termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu selepas menimbang landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

    Keputusan itu diambil kerajaan negeri yang ditunjangi GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas turut mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • Bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada PM, Nurul Izzah kini…

    Bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada PM, Nurul Izzah kini…

    NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini memaklumkan bahawa beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Jelasnya, beliau akan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.

    “Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

    “Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, lapor UtusanTV.

    Mengulas lanjut Nurul Izzah berkata, beliau amat menghargai peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik.

    “Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

    “Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.

    “Saya berharap khidmat membantu Tan Sri Mohd Hassan berserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” katanya.

    Nurul Izzah sebelum ini dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2023.

    Anwar memberitahu anaknya tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah sebagai penasihat.

    Terdahulu, Hassan dalam kenyataan memaklumkan, Nurul Izzah dijemput mengetuai secara bersama sekretariat untuk menyokong operasi Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan.

    Sekretariat berkenaan terletak di Menara Berkembar PETRONAS dan berfungsi membantu jawatankuasa penasihat yang melapor terus kepada Menteri Kewangan dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung pada keperluan.

    Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan telah mengadakan mesyuarat sulungnya pada 10 Februari 2023.

    Ia akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus, berkaitan subsidi, termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada, selain penyediaan perlindungan sosial lebih holistik.

    Pembentukan sekretariat itu diumumkan Anwar pada 7 Februari lalu dan setiap anggotanya tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.

  • Pemuda PN dakwa wujud pilih kasih isu pemain hoki dan TKM P. Pinang

    Pemuda PN dakwa wujud pilih kasih isu pemain hoki dan TKM P. Pinang

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mendakwa wujud amalan pilih kasih dalam pentadbiran negara sekarang ini apabila seorang pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn dihukum gara-gara didakwa mengeluarkan komen bersifat perkauman.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas bagaimanapun berkata, kenyataan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang mendesak dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam negara dipecahkan tidak pula dikenakan tindakan.

    Menurutnya Hanis Nadiah memberikan komen secara bergurau, malah telah memohon maaf dan memadam ulasannya dalam media sosial, dicop sebagai rasis dan telah digantung daripada menyertai skuad kebangsaan dalam semua acara antarabangsa.

    “Double standard dalam negara! Seorang atlet memberikan komen secara bergurau, dicop rasis dan digantung.

    “Seorang lagi pula, Timbalan Ketua Menteri, mengeluarkan kenyataan menggambarkan orang Melayu ‘terlalu dominan’ dalam perkhidmatan awam, sehingga hari ini masih berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri.

    “Jangan butakan mata kita untuk membuat penilaian!,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Agenda Daily.

    Hanis Nadiah adalah antara pemain yang dianggap terbaik oleh Jurulatih Hoki Negeri Sembilan, K Rajan yang turut membayangkan penyerang kebangsaan itu bukan seorang yang rasis.

    “Saya seorang India, saya akan merasakannya lebih awal jika dia seorang yang bersifat perkauman,” kata Rajan.

    Terdahulu, Hanis Nadiah, 27, pemain kebangsaan didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung konsert AR Rahman di Stadium Nasional yang membayangkan tempat itu pasti berbau.

    Keputusan menggantung pemain negara itu mendapat sokongan pula Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui oleh seorang Menteri DAP.

    Tindakan tersebut diambil dengan pantas tanpa menghiraukan alasan diberikan Hanis Nadiah yang tidak mempunyai niat untuk menguris perasaan mana-mana individu dan kumpulan kaum dalam negara.

    Kelmarin, Ramasamy dalam satu kenyataan semalam, menggesa kerajaan Anwar, melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

    Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

    Ramasamy berkata, dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika kerajaan sekarang berada di tampuk kuasa.

    Susulan itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) – parti gabungan bersama DAP dalam Pakatan Harapan (PH) – menyindir Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, kerana cuba menjadi hero kaum India dengan mengeluarkan kenyataan dan mencari publisiti murahan.

    Sementara hari ini pula, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Ramasamy, kerana itu adalah suara hati DAP yang amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu.