Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kemelut politik empat tahun boleh dielak, titah Agong

    Kemelut politik empat tahun boleh dielak, titah Agong

    KEMELUT politik yang membelenggu negara sejak empat tahun lepas boleh dielakkan, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ke-7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) tidak berlaku, rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) juga akan dapat dielakkan.

    “Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika Ahli Parlimen dan ahli politik mengenepikan perbezaan dan bersatu-padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara,” titah Baginda dalam istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.

    Menerusi titaH Baginda, Al-Sultan Abdullah menceritakan peristiwa yang berlaku sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, termasuk menyaksikan tiga perdana menteri  mengangkat sumpah.

    “Beta berharap perdana menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum berangkat pulang ke Pahang Darul Makmur,” titahnya.

    Al-Sultan Abdullah juga bertitah, baginda hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti yang telah dilafaz dan diikrarkan.

    “Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air,” titah Baginda, lapor Free Malaysia Today.

    Sultan Abdullah menekankan kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara.

    Baginda menggesa semua ahli politik untuk menghormati dan menerima keputusan PRU15 dengan “hati terbuka”, dan memberi tumpuan dalam mengutamakan pemulihan ekonomi dan kepentingan rakyat.

    Dewan Rakyat akan bersidang selama 29 hari sehingga 30 Mac ini.

  • Zalim sekat peruntukan negeri, ahli Parlimen – Hadi

    Zalim sekat peruntukan negeri, ahli Parlimen – Hadi

    TINDAKAN menyekat peruntukan yang diwajibkan kepada negeri dan ahli Parlimen serta menyusahkan pegawai-pegawai kerajaan yang dikira tidak menyokong kerajaan disifatkan sebagai zalim.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, itu langkah yang tidak bertamadun, tidak bermoral agama dan tidak berkonsepkan demokrasi yang sebenar, menjadikannya cara salah bagi mengekalkan kuasa.

    Menurutnya, mengambil alih kerajaan sepatutnya bukan sekadar mengambil tempat bagi merebut jawatan dengan keistimewaannya.

    “Kewajipan yang sepatutnya ialah menunaikan amanah Allah SWT bagi melakukan tashih (pembetulan) terhadap kerosakan yang berlaku, bukan berebut jawatan dan mengekalkan kerosakan atau menambah keburukannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah Abdul Hadi, Pakatan Harapan (PH) yang memimpin kerajaan campuran sekarang, ahli Parlimen mereka didominasi oleh bukan Islam, iaitu seramai 50 orang bukan Muslim dan 31 orang Muslim.

    Katanya, mereka tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti untuk mendominasi penduduk negara ini sebagai majoriti berkonsepkan asas yang disebutkan dalam hadis sebelum ini.

    Kerajaan campuran yang dibentuk juga jelasnya, dinamakan dengan Kerajaan Perpaduan walaupun penubuhannya menipu rakyat dan seluruh dunia.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, meletakkan jenama ‘Kerajaan Perpaduan’ adalah menyalahi istilah ilmu politik iaitu kerajaan yang tiada pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil laksana nyamuk.

    “Selain itu, kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan serta kalangan oportunis.

    “Malah, mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.

    “Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan,” ujar beliau lapor, Sinar Harian.

  • ‘Malaysia Madani’ Anwar jauh daripada ditunjukkan Rasulullah, kata Hadi

    ‘Malaysia Madani’ Anwar jauh daripada ditunjukkan Rasulullah, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan adalah percubaan menipu rakyat dan seluruh dunia.

    Jelas Ahli Parlimen Marang itu, ini kerana pendekatannya terlalu jauh daripada makna sebenar yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

    Menerusi catatan dalam Facebook miliknya, Hadi berkata, penubuhan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempunyai kelemahan ketara, terutama dalam kalangan pemimpin yang didominasi oleh wakil rakyat bukan Islam.

    “Kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan oportunis.

    “Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.

    “Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Hadi berkata, Anwar hanya melantik kepimpinan negara daripada kalangan mereka yang menang tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan sokongan bukan Islam dan bukannya masyarakat Islam yang mendominasi penduduk negara.

    Malah, dakwanya, ketirisan dalam kerajaan hari ini semakin ketara susulan pelbagai pendedahan membabitkan salah laku.

    “Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka.

    “Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka,” katanya.

    Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Hadi dipercayai merujuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

  • Dua maut dalam kemalangan tiga kenderaan

    Dua maut dalam kemalangan tiga kenderaan

    DUA wanita meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Kampung Sri Mawar, Serkam, di Jasin, pukul 7.40 pagi tadi.

    Kedua-dua mangsa yang menaiki Nissan Almera dikatakan baru pulang dari bekerja di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam.

    Komander Operasi dari Balai Bomba Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.45 pagi sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Nissan Almera, Toyota Altin dan motosikal jenis Yamaha Y15.

    “Terdapat empat mangsa yang mana dua mangsa wanita dari kenderaan Nissan Almera meninggal dunia di tempat kejadian, seorang mangsa lelaki yang menaiki Toyota Altis pula tersepit manakala penunggang motosikal cedera ringan.

    “Semua mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal oleh unit EMRS manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

  • Semua parti digesa hormati Perlembagaan, perjanjian kaum-Pas Perak

    Semua parti digesa hormati Perlembagaan, perjanjian kaum-Pas Perak

    PAS Perak meminta semua parti politik menjunjung Perlembagaan negara dan menghormati asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, semua hak yang termaktub dalam perlembagaan itu adalah satu persefahaman dibina untuk pembentukan negara.

    “Sebarang usaha menyentuh perkara berkaitan hanya akan menggugat keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.

    “Semua hak yang telah termaktub hendaklah dipatuhi dan dihormati, mempertikaikan hak orang Islam dan sensitiviti orang Melayu mestilah dielakkan.

    “Mengkritik amalan agama Islam, mempertikaikan tulisan jawi, keistimewaan orang Melayu seperti dalam perkhidmatan awam, peruntukan Islam sebagai agama negara serta kedaulatan institusi raja Melayu adalah perkara boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan menggugat keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, Pas sebagai parti berteraskan politik Islam yang menekankan keadilan, keharmonian dan kestabilan negara sangat mengambil berat terhadap sebarang usaha yang menggugat kedaulatan dan hak yang termaktub dalam perlembagaan.

    “Pihak berkuasa diharap dapat menggunakan setiap ruang undang-undang yang wujud bagi mencegah budaya negatif yang menggugat keselamatan negara,” katanya..

    Pas tegas beliau,memantau secara dekat perkembangan politik negara khasnya di Perak selain juga mengikuti secara serius budaya politik yang di bawa DAP.

    “Oleh itu, Pas sentiasa bersedia memberi dokongan kepada pihak berkuasa bagi menjamin keamanan negara serta keharmonian kaum di negara ini terpelihara,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Smart keluarkan 7 mayat mangsa gempa Turki

    Smart keluarkan 7 mayat mangsa gempa Turki

    MISI Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) berjaya mengeluarkan tujuh mayat mangsa gempa bumi di bandar Nurdagi, wilayah Gaziantep,Turki semalam.

    Menerusi perkongsian dalam Facebook, mayat-mayat itu berjaya dikeluarkan pasukan Smart yang terdiri daripada Charlie 01 dan Delta 01 pada pukul 5.55 petang waktu tempatan.

    “Pasukan Charlie 01 & Delta 01 (MAS-10) berjaya mengeluarkan tujuh mangsa gempa bumi dan kesemuanya meninggal dunia.

    “Atas faktor keselamatan pasukan, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 7.50 petang (waktu tempatan), berikutan cuaca semakin sejuk,” menurut hantaran media sosial Smart, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Dilaporkan semalam Smart berjaya mengeluarkan lima mangsa, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita, yang terperangkap bawah runtuhan sebuah apartment enam tingkat.

    Lima mangsa berkenaan adalah kumpulan mangsa yang pertama ditemukan selamat oleh pasukan SAR negara sejak ditempatkan di negara tersebut.

    Setakat ini, pasukan penyelamat negara sudah membawa keluar 25 mayat dan lima mangsa hidup.

    Gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter melanda beberapa kawasan di Turki dan Syria pada Isnin lepas, meragut puluhan ribu nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Minggu lepas, 75 anggota Smart digerakkan ke Turki untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat susulan bencana tersebut.

  • Kenyataan Ramasamy malang buat DAP

    Kenyataan Ramasamy malang buat DAP

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan yang tidak rasional mengenai penjawat awam di negara ini adalah sesuatu yang malang buat DAP.

    Menurut Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, kenyataan dikeluarkan pemimpin DAP itu jelas tidak benar dan hanya berteraskan persepsinya semata-mata.

    Katanya, Ramasamy selaku pemimpin DAP perlu bersikap adil, bertanggungjawab dan menghormati konsep kerjasama politik demi memelihara status solidariti kerajaan Perpaduan ketika ini.

    “Merujuk kenyataan dikeluarkan beliau itu, ingin ditegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak benar dan hanya berteraskan persepsi semata-mata.

    “Malah istilah dominasi tidak sepatutnya digunakan Ramasamy bagi menggambarkan amalan pengambilan penjawat awam kerana sstem digunakan adalah berdasarkan kelayakan merit dan bukannya bersandarkan kaum, agama atau warna kulit,” katanya.

    Sebelum ini, Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

    Kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang dengan Anwar juga menegaskan bahawa kerajaannya sama sekali tidak akan mengikut saranan dibuat Ramasamy itu.

    Mengulas lanjut Shaiful Hazizy berkata, masih banyak lagi ruang untuk Ramasamy menuarakan cadangan berdasarkan sikap kepimpinan negara yang lebih terbuka.

    “Ramasamy sepatutnya menjadikan kelebihan Kerajaan Perpaduan itu untuk menyuarakan pandangan lebih baik bagi memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat dan bukan memecah-belahkan.

    “Justeru itu, saya menyeru kepadanya agar berlapang dada dan ayuh kita gunakan kelebihan kerajaan Perpaduan untuk membina Malaysia Madani yang lebih dinamik,” katanya.

  • Potong perbelanjaan kerajaan tak selesai masalah rakyat – Pakar ekonomi

    Potong perbelanjaan kerajaan tak selesai masalah rakyat – Pakar ekonomi

    PAKAR ekonomi menggesa kerajaan mencari pendekatan baharu selain daripada mengurangkan perbelanjaan bagi menghadapi sebarang cabaran ekonomi yang mendatang.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata, akan memberi tumpuan untuk memulihkan keyakinan pelabur bagi meningkatkan ekonomi, sambil menambah negara tidak dapat bertahan dengan defisit yang tinggi.

    Pakar ekonomi, Adilah Zafirah Mohd Suberi berkata, mengurangkan perbelanjaan kerajaan adalah satu keputusan yang sukar kerana sebahagian besar daripada perbelanjaan itu disalurkan kepada emolumen selain untuk menampung hutang.

    “Tidak banyak yang tinggal untuk pembangunan. Tumpu kepada usaha untuk tingkatkan pendapatan yang dapat membantu mengurangkan defisit kita,” kata penyelidik di badan pemikir Institut IRIS itu.

    Menurutnya, meluaskan asas cukai dengan melaksanakan cukai kekayaan dan karbon juga dapat membantu.

    “Langkah mereformasikan cukai antarabangsa untuk syarikat multinasional itu bagus dan semoga dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

    Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam temu bual bersama agensi berita Bloomberg baru-baru ini turut berkata, kerajaannya tidak tergesa-gesa untuk mengembalikan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana akan menjejaskan golongan miskin.

    Beliau akan mengutamakan pengurangan hutang secara beransur-ansur, tambahnya.

    Hutang dan liabiliti Malaysia berjumlah RM1.5 trilion, atau 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    Had siling hutang negara dinaikkan kepada 65 peratus daripada KDNK pada 2021, dengan Menteri Kewangan ketika itu Tengku Zafrul Aziz berkata, ia akan membiayai defisit belanjawan kerajaan untuk jangka panjang.

    Penganalisis Adriana Asmaa, mengingatkan kerajaan supaya tidak mengurangkan perbelanjaan dengan mengorbankan kehidupan seharian rakyat.

    “Jika kerajaan kurangkan perbelanjaan apabila ekonomi sedang teruk, kita akan mengalami kejatuhan ketara dalam KDNK sebenar.

    “Tetapi jika kerajaan kurangkan perbelanjaan ketika ekonomi sedang berkembang pesat, pemotongan perbelanjaan ini membantu mengurangkan inflasi, menyebabkan hanya kejatuhan kecil dalam KDNK sebenar,” katanya lapor MalaysiaNow.

    Sebahagian besar penganalisis dan peramal dari Bank Dunia sehingga Tabung Kewangan Antarabangsa bersetuju bahawa Malaysia tidak mungkin mengalami kemelesetan.

    Sebaliknya, mereka berkata, negara mungkin akan mengalami pertumbuhan sederhana.

    Adriana, dari Institut Masa Depan Malaysia, bersetuju bahawa Malaysia akan mendapat manfaat daripada perbelanjaan yang lebih mampan.

    Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan juga perlu menjana pendapatan baru.

    Sementara itu Adilah berkata, tiada apa yang akan berubah selagi negara kekal dalam kerangka ekonomi yang sama.

    “Buat benda sama dengan cara yang sama cuma mendatangkan hasil yang sama.

    “Ianya seringkali tentang meningkatkan pelaburan dan slogan untuk mengurangkan ketidaksaksamaan yang memberi faedah kepada kumpulan-kumpulan tertentu sahaja,” ujar beliau.

  • Memartabatkan rakyat; jangan hanya retorik!

    Memartabatkan rakyat; jangan hanya retorik!

    BERULANGKALI Perdana Menteri menyatakan kepentingan untuk memartabatkan rakyat dan negara. Kesejahteraan kehidupan rakyat dan reputasi Malaysia di arena global mesti diperkukuhkan.

    Saya mencadangkan Progam Madani B40 sebagai satu initiatif bersepadu dan komprehensif sebagai petanda komitmen bahawa kerajaan bertekad untuk menangani kesenjangan kehidupan rakyat berpendapatan rendah.

    Sehingga kini tindakan masih bersifat adhoc, tiada kerangka dan tiada penyelarasan antara kementerian. Pelbagai inisiatif kos sara hidup, pendapatan, pendidikan, kemahiran, kesihatan, perumahan, peluang pekerjaan dan keusahawanan ditangani secara berasingan, lapor Utusan TV.

    Lima langkah berikut untuk membangunkan Madani B40:

    Pangkalan Data Madani B40: Bersihkan pangkalan data B40-perkelaskan kriteria, permudahkan pendaftaran dan perkukuhkan pengenalpastian.

    Data Raya Madani B40:
    Perincikan kefahaman ke atas status sosioekonomi, cabaran dan punca permasalahan B40. Analitik mikro dan penelitian yang sistematik perlu bagi menangani dengan berkesan.

    Majlis Madani B40:
    Perkukuhkan institusi dan tadbir urus kerajaan menangani cabaran B40. Wujudkan sekretariat yang berdedikasi menyusul tindakan, pemantauan dan pelaporan kepada kerajaan dan masyarakat.

    Jaringan Madani B40:
    Gerakkan inisiatif Madani B40 melalui jaringan-awam-swasta-NGO-komuniti, semarakkan ‘whole of nation’. Gemblengkan semua pemegang taruh. Libatkan semua untuk bersama terlibat. Galakkan ‘local problem-local solution’ dan inovasi sosial.

    Global Madani Council (fikirkan jenama yang sesuai): Tingkatkan martabat negara dengan mewujudkan pelantar antarabangsa untuk menangani permasalahan sosial dunia ini-kumpulan berpendapatan rendah dan kemiskinan.

    Malaysia menerajui gerakkan ini dan menjadi rujukan antarabangsa. Libatkan kepakaran dan tokoh antarabangsa. Jalinkan kerjasama dengan institusi antarabangsa yang tersohor dalam menangani cabaran sosial dunia ini.

    Amanat Perdana Menteri MESTI direalisasikan. Jangan hanya retorik untuk didengar. Mesti ada gagasan tindakan. Yakinkan rakyat-kerajaan bertindak.

    Semoga martabat rakyat dan negara diperkukuhkan.

  • PN Perak sifatkan teguran terbuka Kor Ming terhadap YDP MPTI dalam media sosial tidak wajar

    PN Perak sifatkan teguran terbuka Kor Ming terhadap YDP MPTI dalam media sosial tidak wajar

    TINDAKAN Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegur secara terbuka terhadap Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) melalui Twitter miliknya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

    Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, tindakan Kor Ming itu jelas menunjukkan serangan terbuka terhadap penjawat awam negeri.

    “Jika benar penjawat awam itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya, beliau seharusnya dipanggil untuk beri penjelasan.

    “Anda seorang menteri maka jadilah seperti seorang menteri dan bukan bertindak seperti anda seorang ‘content creator’ menggunakan media sosial menyatakan kekesalan anda,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Terdahulu Kor Ming dalam ciapannya kelmarin menyatakan kekecewaan beliau terhadap YDP MPTI yang didakwa gagal menangani masalah pengurusan sampah hingga mendakwa membangkitkan kemarahan orang ramai.

    Zainol Fadzi berkata, tindakan itu juga menunjukkan Kor Ming gagal mengamalkan apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 18 Januari yang mahukan segala teguran mengikut saluran betul.

    “Apakah beliau terlepas pandang Anwar sebelum ini menyentuh jika kakitangan bawahan mahu menegur menteri atau pegawai atasan perlulah guna mekanisme seperti pertemuan setiap hari termasuk mesyuarat bulanan.

    “Pihak bawahan mahu tegur menteri kena ikut saluran namun jika menteri mahu menegur boleh guna apa jua cara termasuk media sosial, bagi saya ini satu bentuk penganiayaan terhadap penjawat awam negeri,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Katanya, perkara tersebut tidak seharusnya disuarakan secara terbuka tanpa proses pendengaran keadilan terhadap individu yang menuduh dan dituduh ketika wujud saluran komunikasi lain yang lebih berhemah.