Author: Wartawan WartaRakyat

  • Semua agensi bersiap siaga hadapi musim tengkujuh

    Semua agensi bersiap siaga hadapi musim tengkujuh

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MUSIM tengkujuh kini semakin menghampiri untuk membadai di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

    Malah, bermula akhir Oktober hingga Mac, sistem pengangkutan darat membabitkan tiga negeri ini pada kebiasaannya sedikit lumpuh apabila terdapat laluan utama terpaksa ditutup ekoran ditenggelami air akibat banjir.

    Di Terengganu, antara kawasan yang seringkali terjejas teruk setiap kali banjir melanda adalah daerah Hulu Terengganu.

    Justeru, sebagai persiapan awal, semua agensi yang terbabit dengan operasi banjir di daerah tersebut kini telah berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi musim tengkujuh, khususnya melibatkan kawasan berisiko tinggi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, antara persiapan itu adalah melibatkan amaran awal, mencari dan menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan dan urusan pasca banjir.

    Menurut beliau, sebanyak 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah itu disediakan bagi menampung mangsa banjir yang dijangka melanda pada pertengahan bulan November depan.

    Mohd Adli Mat Daud
    Mohd Adli Mat Daud

    Katanya, dalam suasana pandemik Covid-19 ini banyak persiapan terpaksa dilakukan dengan penuh mencabar kerana ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bagi mengelak berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

    “Namun, Kita sudah memiliki pengalaman sama sewaktu melaksanakan operasi banjir pada tahun lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penutup program Latih Amal Operasi Pengurusan Bencana Banjir peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dataran Sungai Dusun, Hulu Terengganu, hari ini.

    Seramai 30 anggota mewakili pelbagai agensi menyertai program tersebut.

    Selain itu kata Mohd Adli, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga kini sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir akibat peralihan Monsun Timur Laut.

    “JKM sedang menghantar bekalan makanan kering dan peralatan bagi kegunaan mangsa-mangsa banjir di 50 pangkalan hadapan di seluruh daerah ini yang dijangka selesai sepenuhnya pada hujung bulan ini,”ujarnya.

    Tambah beliau, sebanyak tiga lokasi berisiko tinggi iaitu di Kuala Telemong, Ajil dan Kuala Berang yang sering dilanda banjir hampir setiap tahun akan diberikan tumpuan.

    Ujarnya, semua penduduk di kawasan terbabit akan dipindahkan lebih awal ke PPS sebaik bacaan air sungai berhampiran menghampiri paras bahaya.

  • Dengan Bersatu… Zahid kata ‘No Way’, di Melaka UMNO ‘minta ehsan’ DAP

    Dengan Bersatu… Zahid kata ‘No Way’, di Melaka UMNO ‘minta ehsan’ DAP

    KETIKA ditanya oleh portal Malaysiakini adakah UMNO akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika diadakan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi melalui pesanan teks menjawab…’’Saya minta maaf..No Way’’.

    Jawapan tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana UMNO sudahpun memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetapi apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab.Rauf Yusoh mendedahkan parti itu cuba menyelamatkan Kerajaan Negeri Melaka dengan meminta pertolongan DAP, ia mengejutkan banyak pihak.

    Dan kenyataan Ab.Rauf itu mewujudkan persoalannya adakah ini bermakna UMNO sudah bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan termasuk DAP asalkan dapat menubuhkan Kerajaan Pusat pula selepas ini ?

    Timbul juga persoalan, adakah apa yang dilakukan oleh Ab.Rauf itu mendapat restu atau ‘lampu hijau’ daripada Ahmad Zahid? Kenapa dengan Bersatu begitu tegas menolak walaupun Perikatan Nasional (PN) berkata  sedia berunding untuk bekerjasama  dengan UMNO dalam PRN Melaka?

    Kenyataan Ab. Rauf dalam wawancara bersama Sinar Harian yang mengakui UMNO dan Barisan Nasional (BN)  berunding dengan DAP bagi menyelamatkan kerajaan negeri Melaka daripada runtuh, malam sebelum empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md.Ali dianggap sesetengah pihak sebagai ‘minta ehsan’ parti itu.

    Ab. Rauf berkata beliau mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan DAP Melaka bagi melakukan perundingan bertujuan menyelamatkan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman, selain menawarkan beberapa penyelesaian, namun ditolak parti seteru mereka itu.

    “Saya cakap terus terang saya berunding malam sebelum itu dengan kepemimpinan DAP, saya menawarkan beberapa solusi untuk kita membendung supaya ini (kerajaan negeri tumbang) tidak berlaku.

    “Tetapi adalah lebih malang saya melihat ia tidak diterima pimpinan DAP pada waktu itu,” katanya.

    Isnin lalu, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

    Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

    Ab. Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika mengulas lanjut, berkata perlu diperjelaskan bahawa beliau bukan mewakili kerajaan negeri, sebaliknya mewakili parti.

    “Ini bukan kerajaan negeri, ini antara parti. Saya tidak mewakili kerajaan negeri sewaktu saya berjumpa dengan pucuk pimpinan DAP,” katanya.

    Kata Ab.Rauf beliau berjumpa dengan pucuk pimpinan DAP atas dasar turut mewakili Barisan Nasional (BN) negeri dengan pertemuan diatur oleh seorang pemimpin UMNO yang tidak dinamakan.

    “Saya menawarkan seperti mana diputuskan dalam sidang dewan yang lepas, yang mana YAB KM (Ketua Menteri) menawarkan kumpulan parti pembangkang ini jadi rakan strategik untuk membina semula Melaka dan tawaran itu dibuat secara rasmi dalam sidang DUN baru lepas,” katanya.

    Bagaimanapun, perundingan bersama DAP itu tidak membuahkan hasil yang diharapkan walaupun usaha ‘memujuk’ dibuat, sambil menyatakan kesediaan kerajaan negeri bersama pembangkang untuk bersama-sama membangunkan negeri berkenaan, selain mengelak ketidakstabilan politik.

    “Kenapa kita nak runtuhkan kerajaan negeri, dan kenapa tidak kita bersama-sama (merujuk kepada DAP) dengan tawaran yang dibawa Ketua Menteri supaya kita dapat duduk?

    “Saya katakan kepada beliau (pimpinan DAP), saya ‘hope for the best’ (berharap yang terbaik), untuk kita duduk bersama-sama dan tidak menjejaskan kestabilan politik negeri memandangkan suka tidak suka pilihan raya umum pasti akan berlaku tidak berapa lama lagi,” katanya.

    Katanya, beliau mengetahui gerakan yang sedang diatur empat ADUN terbabit dan mendakwa turut melihat kandungan akuan berkanun (SD) yang antara lain membabitkan lantikan seorang bekas Ketua Menteri kembali dilantik ke jawatan itu.

    “Jadi, dalam perbincangan tersebut (bersama DAP), (telah dikatakan) jangan kita rosakkan kerajaan negeri ini kerana kita berada dalam suasana pandemik yang baharu masuk fasa tiga, rakyat baharu nak pulih kehidupan, dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

    Beliau berkata, ‘serangan hendap’ dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan negeri tidak mencerminkan pementeraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, dilaksanakan di peringkat negeri.

    “Tetapi mengapa kita perlu gegarkan politik Melaka ini dengan gerakan serang hendap terancang, dan saya berterus terang memang ada perbincangan (bersama DAP) saya secara tidak rasmi pada malam sebelum hari kejadian,” katanya.

    Ab. Rauf berkata, malangnya tawarannya berdamai tidak disambut.

    “Jika disambut tidak berlaku agenda serang hendap pada hari Isnin. Apa yang berlaku pada Isnin bukan berlaku dalam sekelip mata, ia sudah dirancang begitu rapi,” katanya.

    Mengulas berkenaan perancangan UMNO dan BN Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata sekiranya mahu menang kembali, UMNO dan BN negeri memerlukan bilangan kerusi mencukupi.

    “Dalam politik seninya ada 1,001 kemungkinan. Saya tidak menolak Melaka ini dijadikan PRN contoh, menjurus PRU akan datang dalam bentuk gabungan parti yang mahu bersama-sama dengan UMNO atau UMNO berdiri dengan sendirinya,” katanya.

  • Pasangan suami isteri muda rentung kereta terbakar

    Pasangan suami isteri muda rentung kereta terbakar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEPASANG suami isteri yang masih muda maut dalam keadaan rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di lampu isyarat berhampiran Tesco Mergong, Alor Setar, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pemandu kenderaan itu, Lim Gi Ying, 21 dan isteri, Tan Sun Wen, 19 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.15 pagi dengan siasatan awal mendapati kenderaan tersebut terlebih dulu terbabas ketika menghampiri lampu isyarat tersebut.

    Pasangan suami isteri yang masih muda maut dalam keadaan rentung setelah kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan berhampiran Tesco Mergong, Alor Setar di Kedah, awal pagi hari ini.

    “Kereta itu dipercayai terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang papan tanda di situ sebelum kembali memasuki jalan utama dan terbakar.

    “Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian dan siasatan lanjut ketika ini masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon memaklumkan, dianggarkan kira-kira 80 peratus atau hampir keseluruhan daripada kenderaan itu terbakar dalam kejadian tersebut.

    “Pihak kami berjaya memadamkan kebakaran kira-kira pukul 3.25 pagi namun penumpang kenderaan itu hanya berjaya dikeluarkan pada pukul 4.55 pagi manakala pemandunya pula pukul 4.59 pagi akibat kesan kebakaran, selain kenderaan yang rosak teruk.

    “Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir ke lokasi kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Tiga syarikat diberi kontrak RM9.72 juta bekal kit ujian kendiri – Radzi Jidin

    Tiga syarikat diberi kontrak RM9.72 juta bekal kit ujian kendiri – Radzi Jidin

    KEMENTERIAN Pendidikan telah memberi kontrak kepada tiga syarikat untuk membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 kepada 140 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, pemberian kontrak kepada ketiga-tiga syarikat tersebut adalah bernilai RM9.72 juta.

    Beliau berkata, pemilihan syarikat tersebut dibuat hasil rundingan dan persidangan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan enam buah syarikat pada 10 September lalu, sebelum mengenalpasti tiga syarikat yang memenuhi pertimbangan yang ditetapkan oleh KPM. 

    “KPM telah mengeluarkan surat setuju terima pada 13 September 2021, kepada tiga syarikat yang berjaya dengan nilai kontrak berjumlah RM9.72 juta. Penghantaran kit ujian saringan kendiri telah disempurnakan oleh syarikat tersebut kepada 140 PPD dan JPN seluruh negara pada 25 September lalu.

    “Untuk makluman, pembekalan kit ujian ini adalah untuk sesi pembukaan sekolah pada Oktober hingga Disember 2021,” katanya pada Sesi Pertanyaan- Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan butiran proses perolehan kit ujian kendiri untuk sekolah-sekolah termasuk kos yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian.

    Radzi berkata, enam daripada tujuh syarikat pembekal kit ujian yang menepati kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan KPM telah mengemukakan cadangan kepada kementerian, mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu sebelum 6 September.

    ‘’Asas pertimbangan untuk pemilihan syarikat termasuk kit ujian saringan kendiri COVID-19 menepati spesifikasi yang ditetapkan dan harga tawaran yang menguntungkan kerajaan.

    “Selain itu, nilai tambah oleh pihak pembekal, keupayaan syarikat dalam melaksanakan pembekalan dalam kadar segera serta keupayaan syarikat untuk membuat penghantaran ke 140 PPD dan JPN seluruh negara sebelum atau pada, 26 September,” katanya.

    Beliau memberitahu, cadangan pembekalan dibuat mengikut zon bagi memastikan syarikat boleh membekal peralatan kit ujian dalam tempoh masa yang ditetapkan.

    ‘’Memandangkan kit ujian saringan kendiri COVID-19 perlu dibekalkan di sekolah sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober dan atas faktor kesegeraan, KPM telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan perolehan tersebut secara rundingan terus pada 9 Ogos dan ia diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 1 September lalu.

  • Pintu sempadan tidak dibuka sewenang-wenangnya – PM

    Pintu sempadan tidak dibuka sewenang-wenangnya – PM

    KERAJAAN tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, sebaliknya kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi COVID-19 dari negara asal mereka, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana Menteri berkata buat masa ini kerajaan meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini, namun sempadan belum dibuka kepada pelancong.

    “Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira.

     “Setiap tindakan kerajaan kita dapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

    Ismail Sabri menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris sama ada kerajaan mempunyai pelan krisis pengurusan COVID-19 nasional sekiranya pintu sempadan dibuka, akan berlaku lonjakan kes dan penularan varian baharu seperti yang berlaku di negara lain.

    Perdana Menteri berkata,kemasukan warganegara dan warga asing seperti pelajar, diplomat, golongan profesional serta pelabur asing telahpun mula dibenarkan pada Jun tahun lalu semasa Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika itu.

    ‘’Bagaimanapun kebenaran masuk ini adalah tertakluk kepada SOP dan syarat-syarat yang ditetapkan termasuka menjalani kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin wajib yang telah disediakan,’’ katanya.

    Ismail Sabri berkata, dii bawah Pelan Pemulihan Negara, kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara itu dan bermula pada 12 Ogos lalu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

    ‘’Namun,  kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh pihak KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan COVID19 sebelum diberikan kebenaran tersebut,’’ katanya.

    Dalam hubungan ini, kata beliau,, persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko oleh KKM akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman.

    ‘’Kerajaan sentiasa memberikan keutamaan terhadap pematuhan SOP, meningkatkan penerapan amalan kawalan kesihatan awam dan penekanan kepentingan suntikan imunisasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

    ‘’Secara keseluruhannya, pihak Kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan serta kelonggaran yang diberikan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira perkembangan di seluruh dunia dan juga keutamaan untuk pemulihan ekonomi,’’ katanya.

  • Rentas negeri dibenarkan beberapa hari lagi – KP Kesihatan

    Rentas negeri dibenarkan beberapa hari lagi – KP Kesihatan

    PERGERAKAN rentas negeri akan dibenarkan dalam masa beberapa hari lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Pada masa yang sama, beliau menasihatkan semua orang agar mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal termasuk bagi mereka yang telah divaksinasi.

    “Bagi memastikan insan-insan tersayang dan keluarga selamat, lakukan ujian kendiri RTK Ag secara berkala,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.

    Perkara serupa turut dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin semalam.

    Khairy menyarankan orang ramai melakukan ujian saringan Covid-19 lebih kerap apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan kelak.

    Katanya, langkah itu penting terutamanya mereka yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi.

    “1.6 peratus sebelum sempadan negeri dibuka, ketika KKM melakukan ujian saringan untuk kes simptomatik, kami menasihatkan orang yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala.

    “Sekiranya anda ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa, lakukan ujian air liur RTK Antigen. Jaga keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sebanyak 20,786,568 individu atau 88.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 masing-masing setakat semalam.

    Perkembangan terbaharu itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi kini tinggal 1.2 peratus.

    Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi portal COVIDNOW, 94.6 peratus atau 22,135,242 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Pada 22 September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti rentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.

  • Keahlian Noor Effandi dalam Bersatu digugurkan

    Keahlian Noor Effandi dalam Bersatu digugurkan

    BIRO Politik Bersatu membuat ketetapan menggugurkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Noor Effandi Ahmad serta-merta mengikut Fasal 10 perlembagaan parti itu.

    Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketetapan itu akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti akan datang.

    Katanya, biro itu juga melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka  Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sehingga membawa kepada pembubaran DUN ketika rakyat berdepan ancaman pandemik Covid-19.

    “Biro Politik Bersatu berpendapat bahawa kemelut politik ini berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan,” katanya dalam kenyataan.

    Hamzah juga berkata, biro itu akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan perkembangan politik terkini di Melaka.

    ‘’Biro Politik Bersatu turut berpendirian kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan negeri berkenaan dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

    Selain Noor Effandi, ADUN yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman \pada Isnin lepas ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

    Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 dan satu Pilihan Raya Negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

    .

  • Tiada keperluan wujud jawatan ketiga Timbalan Speaker Dewan Rakyat – Muhyiddin

    Tiada keperluan wujud jawatan ketiga Timbalan Speaker Dewan Rakyat – Muhyiddin

    MAJLIS  Tertinggi Perikatan Nasional (PN)  telah membuat pendirian bahawa tidak ada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kewujudan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persektuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

    ‘Selain itu, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang Dipertua dan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat juga adalah memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan Mesyuarat Dewan Rakyat,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini.

    ‘’Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Perikatan Nasional berpendirian bahawa persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September 2021,’’ katanya.

    Tegas Muhyiddin, pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut.

    ‘’Adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya. Atas dasar ini, Perikatan Nasional telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,’’ katanya.

  • Abang PM tubuh parti baharu sertai PRU-15

    Abang PM tubuh parti baharu sertai PRU-15

    SEBUAH parti politik berbilang bangsa baharu dijangka dilancarkan Ahad ini, dikenali sebagai Parti Kuasa Rakyat (PKR), di Kuala Lumpur.

    Sumber memberitahu portal FMT, penggerak utama parti itu ialah Kamaruzaman Yaakob, abang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan akronim yang dipertimbangkan ialah “Kuasa”.

    Katanya, sekumpulan pengasas mengadakan mesyuarat sejak dua bulan lalu, termasuk beberapa individu dari Sabah, Sarawak dan ramai ahli politik serta NGO.

    Tetapi, disebabkan Kamaruzaman yang menghampiri usia 70 tahun dan waktu pelancaran begitu cepat sejurus Ismail berkuasa, seorang pemerhati sukar menerima parti baharu itu ditubuhkan atas matlamat tunggal untuk mendukung cita-cita demokratik sosialis Kamaruzaman pada zaman kesatuan pelajarnya.

    Beliau ialah bekas Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), salah seorang peserta demonstrasi Baling 1974 untuk membantah kemerosotan harga getah.

    Kamaruzaman kemudian ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut sebuah kumpulan yang dipelawa berbincang dengan pengasasnya, Kamaruzaman membincangkan keperluan untuk kembali kepada falsafah Perdana Menteri Kedua, Abdul Razak Hussein yang menurutnya lebih bersifat demokrat sosial.

    “Beliau berpendapat UMNO dan parti seumpamanya bergerak ke haluan terlalu kanan dan terdapat keperluan untuk menyelaras politik supaya ia kembali berpusatkan rakyat, dengan cita-cita berdasarkan sosialisme demokratik.

    “Beliau berasal dari Temerloh, tempat kelahiran Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (MNLA) dan memulakan perjuangan awalnya menentang British di Pahang. Semangat nasionalisme itu masih tinggi dalam dirinya,” sumber memberitahu portal itu.

    Mengenai waktu penubuhan dan pelancaran, katanya, dengan adiknya memegang tampuk pemerintahan negara, ia mungkin memudahkan keadaan supaya lebih banyak bantuan boleh diberikan kepada golongan miskin di kawasan luar bandar.

    “UMNO jauh tersasar daripada prinsip ini dan sukar untuk bergantung kepada kumpulan pemimpin sedia ada untuk mencapainya.”

    Bagaimanapun, sumber lain berkata, ini mungkin persediaan untuk keputusan tipis yang diharapkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang akan menjadikan kumpulan itu kuasa kecil bagi menjajarkan diri dengan parti pemenang yang mungkin tidak memiliki majoriti.

    “Satu hujah ialah kumpulan ini mungkin membabitkan Ahli Parlimen sedia ada dari PKR pimpinan Anwar yang berpihak kepada Bersatu. Ia juga cuba menarik orang lain yang mempercayai parti politik berbilang kaum,” kata sumber lain kepada FMT.

    Beliau berkata, sekurang-kurangnya tiga bekas Ahli Parlimen bukan Bumiputera PKR terbabit dalam Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020 mungkin menyertai parti baharu itu.

  • Buat ujian saringan Covid-19 lebih kerap bila rentas negeri dibenarkan – Khairy

    Buat ujian saringan Covid-19 lebih kerap bila rentas negeri dibenarkan – Khairy

    ORANG ramai disarankan melakukan ujian saringan Covid-19 lebih kerap apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan kelak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Katanya, langkah itu penting terutamanya mereka yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi.

    “1.6 peratus sebelum sempadan negeri dibuka, ketika KKM melakukan ujian saringan untuk kes simptomatik, kami menasihatkan orang yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala.

    “Sekiranya anda ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa, lakukan ujian air liur RTK Antigen. Jaga keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kenyataan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa negara hanya tinggal 1.6 peratus sebelum mencapai 90 peratus yang membolehkan larangan rentas negeri dimansuhkan.

    Hari ini, jumlah vaksinasi lengkap populasi dewasa mencecah 88.4 peratus atau 20,819,254 manakala 73.8 peratus atau 24,085,144 mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Khairy berkata, ketika negara beralih ke fasa endemik Covid-19, tanggungjawab bergantung kebanyakannya kepada orang ramai.

    “Ketika kita beralih ke fasa endemik, kita tidak boleh mengatur sekatan jalan raya untuk melihat sama ada anda telah divaksinasi atau melakukan ujian saringan.

    “Kini ia banyak bergantung kepada tanggunjawab dan tingkah laku peribadi, saya percaya kita dapat menghadapi cabaran dalam pembukaan dengan selamat,” jelasnya.

    Sementara itu melalui akaun Twitternya, Khairy menjelaskan, Sekatan Jalan Raya (SJR) pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 secara besar-besaran tidak akan dilaksanakan apabila negara memasuki fasa endemik kelak. Bagaimanapun beliau  berkata, pemeriksaan secara rawak di restoran dan premis akan tetap dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).